RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Isnin, 26 Oktober 2009

EGM - HJ HADI BERSUARA

25 Oktober, 2009

Hadi Mahu Cadangan EGM Pas Diselesai Secara Musyawarah

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa dan media baru, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Sehubungan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini," katanya dalam kenyataan media di sini, pada hari Ahad.

Ini merupakan kenyataan pertama Abdul Hadi selepas Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan dalam blognya, www.bloktokguru.com supaya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah.

Tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya itu ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Abdul Hadi berkata beliau telah pun mengarahkan Mustafa supaya menentukan tarikh yang sesuai dalam masa terdekat untuk diadakan mesyuarat bagi membincangkan permasalahan yang timbul.

"Kita berdoa agar Allah sentiasa memberikan taufik dan hidayahnya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti," katanya.

Cadangan Nik Abdul Aziz itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada anggota parti itu, manakala individu-individu yang dikaitkan sebagai 'pemimpin bermasalah' setakat ini mengambil pendekatan sama ada untuk berdiam diri atau mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kenyataan berkenaan.

Naib Presiden parti itu Salahuddin Ayub pula hari ini dilaporkan berkata isu mengadakan EGM sudah tidak berbangkit kerana parti itu sebaliknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu dalaman parti seperti yang disarankan Nik Abdul Aziz dalam pertemuan mereka di Kota Baharu semalam.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan