Rakyat cabut sebaik konsert tamat di ceramah SUPP
Chen Shaua Fui dan Ong Vic Kee
Apr 15, 2011
Kelompok manusia menjadi rebutan antara ceramah SUPP dengan DAP menjelang saat-saat akhir PRN Sarawak 2011. SUPP cuba menarik kelompoknya dengan mengundang penyanyi tempatan terkenal, Michael Wong ke ceramah mereka, bagaimanapun tetap gagal apabila puluhan ribu membanjiri ceramah DAP.
Keadaan di Sibu semalam menyaksikan pertembungan antara ahli politik dengan penyanyi terkenal, dalam jarak 300 meter - namun kesudahannya lebih memihak kepada DAP-Pakatan Rakyat. Sebagaimana yang diperhatikan wartawan, hanya kira-kira dua ribu orang, kebanyakannya pemuda-pemudi, dan antaranya mungkin ada yang belum sampai umur untuk mengundi yang menunggu konsert Michael di ceramah SUPP. Sebaliknya, ceramah DAP berjaya menarik kehadiran lebih daripada 10,000 orang.
Kedua-duanya ceramah bermula pada kira-kira jam 7 petang, semalam. Tanpa kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat utama seperti Anwar, Lim Kit Siang, Nik Aziz dan sebagainya, DAP masih berjaya menarik perhatian ratusan orang. Bilangan ini semakin bertambah, sehingga melebihi 10 ribu orang apabila penceramah terkenal seperti Nga Kor Ming (ahli parlimen Taiping), Hew Kuan Yau, Liew Ching Tong (ahli parlimen Bukit Bendera) dan lain-lain tiba di situ. Malah apabila konsert dimulakan di ceramah SUPP, orang ramai masih tidak berganjak dari tempat ceramah DAP.
Rakyat cabut sebaik konsert tamat
Ceramah SUPP pula membariskan Presiden Gerakan Koh Tsu Koon, Setiausaha Gerakan Teng Chang Yeow, dan calon-calon SUPP seperti Wong Soon Koh (Bawang Assan), Tiong Thai King (Dudong), Chieng Buong Toon (Batu Assek), Goh Chun Siong (Pelawan) dan lain-lain. Kesabaran hadirin mulai hilang apabila hujan turun renyai-renyai, dan menjerit agar konsert dimulakan.
Pada kira-kira jam 10.35 malam, Michael Wong mula bernyanyi untuk 30 minit, bagaimanapun beliau tidak menyeru agar penduduk mengundi BN. Selepas tamat nyanyiannya, orang di situ mula mencabut walaupun Teng Chang Yeow sedang memberi ucapannya. Keadaan ini membuatkan suasana ceramah SUPP semakin dingin, dan mereka yang belum berucap termasuk Koh Tsu Koon dan Chieng Buong Toon.
6000 sambut Anwar di Kuching
Di Kuching pula, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim disambut dengan kelompok kira-kira 6,000 orang, dan beliau menyeru agar pengundi menyokong calon DAP di Padungan, walaupun penyandangnya, Dominique Ng dari PKR bertanding atas kapasiti calon bebas kali ini. Beliau disambut tepukan apabila berjanji berjuang habis-habisan walaupun terpaksa mengharungi serangan seperti tohmahan dan fitnah terhadap dirinya.
Sementara itu, bekas ahli parlimen Kuching, Sim Kwang Yang juga turun padang dan berkempen untuk calon PKR-Batu Lintang See Chee How, dan Chong Chieng Jen, calon DAP di Kota Sentosa. "Ini pertentangan antara rakyat dengan politik wang. Biarpun kuasa rakyat agak tipis, namun seandainya kuasa seluruh rakyat ditumpukan, maka kuasa wang akan ditumbangkan," kata Sim Kwang Yang yang mendakwa dirinya telah menghidu bau "tsunami politik".
"Sudah 32 tahun saya menunggu hari ini. BN adalah paling lemah pada kali ini. Moga-moga pengundi merenung sebaik-baiknya, mengambil kesempatan yang ditunggu-tunggu ini," harapnya.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, dan Ong Vic Kee adalah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari dua laporan di Sibu dan Kuching.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan