Oleh: WFAUZDIN NS
MEMBACA kenyataan Najib di dalam Malaysiakini hari ini, beliau mahu agar Umno bersemangat sama seperti Pasukan Bolasepak Harimau Muda yang telah memenangi Pingat Emas di dalam Sukan Sea di Jakarta baru-baru ini. Semua tahu betapa kuatnya semangat pemain-pemain Harimau Muda sepanjang kejohanan tersebut dengan berbagai halangan, tekanan dan cemuhan yang diterima oleh Tim bimbingan Ong Kim Swee tersebut, namun Harimau Muda akhirnya berjaya menutup mulut `brengsek' penyokong Indonesia.
Semangat seperti ini lah yang Najib mahu Umno contohi. Memetik kenyataan PM tersebut di dalam Malaysiakini, beliau berkata, " Kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga," katanya (Malaysiakini).
Sayang seribu kali sayang, Najib bermimpi apabila mahu Umno mencontohi semangat jitu Skuad Harimau Muda itu. Pertamanya, benarkah Umno sekarang sedang berjuang di dalam keadaan tertekan dan berada di padang yang tidak raya? Tahukah Najib, padang yang tidak rata itu menyebelahi beliau sebenarnya? Segala jentera kerajaan dan media kerajaan sekarang menyebelahi siapa? Adakah Najib sekarang merasa seolah-olah Umno kini sebagai Pembangkang di negara ini apabila merasa Umno seperti teraniaya dengan padang tidak rata? Sepatutnya, istilah padang tidak rata itu diucapkan oleh Pembangkang di negara ini.
Memang benar, Harimau Muda berjuang di dalam keadaan padang tidak rata dengan tekanan dari para penyokong Indonesia serta sabotaj dari penganjur yang ingin melemahkan semangat setiap pemain sehingga terpaksa berulang alik ke stadium dengan menaiki `kereta besi'. Namun, sepanjang pertandingan yang melibatkan Skuad Harimau Muda, skuad ini beruntung kerana diadili oleh Pengadil profesional yang bersikap adil.
Adakah Umno mengalami seperti Skuad Harimau Muda? Di sepanjang Pilihanraya di negara ini, adakah kita memiliki `Pengadil' yakni SPR yang profesional? Mahukah Najib mengakui Umno amat bertuah kerana mengawal seluruh jentera kerajaan termasuk media berkempen untuk mereka sejak bertahun-tahun dahulu? Adakah Najib mahu menafikan bahawa Undi Pos sentiasa membantu memenangkan Umno? Najib tidak sedarkah betapa Pembangkang sering dinafikan hak untuk berkempen secara adil dengan berbagai halangan seperti permit dan sebagainya? Inikah yang dimaksudkan dengan Najib bahawa Umno berjuang di dalam keadaan padang tidak rata?
Jauh panggang dari api untuk Najib bermimpi mahu menyamakan perjuangan Umno dengan Harimau Muda. Harimau Muda berjuang dengan kudrat dan semangat semata-mata di samping diperkuatkan dengan sokongan rakyat. Beraksi di atas padang yang tidak rata, Harimau Muda mampu menewaskan musuh mereka. Berbeza dengan Umno, dengan segala bantuan dari jentera kerajaan malahan dari `Pengadil' yang sering menyebelahi mereka, Umno masih gagal mendapat sokongan rakyat.
Nampaknya, Umno cuba meraih simpati rakyat dengan mengambil kesempatan di atas semangat Harimau Muda. Namun, rakyat tahu bahawa yang sepatutnya bergelar semangat Harimau Muda itu adalah Pakatan Rakyat kerana mereka lah sebenarnya yang berada di padang yang tidak rata. /wfauzdin.blogspot.com
saya setuju.....
BalasPadam