RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Khamis, 1 Disember 2011

"PLACE WHERE TALKING COW" (PWTC), LEMBU BETINA MENGAMUK

Oleh:  WFAUZDIN NS

MAKA, bertempat di `Place Where Talking Cow' (PWTC), berkumpullah segala jenis lembu dari berbagai bentuk rupa untuk membincangkan masalah spesis mereka dan masa hadapannya.  Persidangan kali ini amat penting kerana dikhabarkan harga lembu jatuh mendadak dan begitu murah sekali walaupun dari jenis lembu yang tinggal di dalam kondo.

Semalam, lembu jantan tua yang lembam mukanya bercakap atas kandang di PWTC, didengari oleh lembu-lembu jantan dan betina yang masih muda belaka. Si Lembam itu bercakap bagi merasmikan persidangan "lembu-lembu kebangsaan bersatu" khusus untuk lembu-lembu muda sebelum perasmian besar hari ini.  Hari ini, perasmian oleh bapak lembu adalah untuk segala jenis lembu, tua, muda, nyanyuk, jantan atau betina. Bezanya, lembu-lembu  yang sudah nyanyuk diberikan tempat khas di kandang PWTC berhampiran tandas kerana dibimbangi lembu-lembu nyanyuk dan veteren ini akan `melepaskan hajat' di merata-rata tempat.


Di dalam banyak-banyak lembu di kandang PWTC mulai semalam hingga setakat ini, diperlihatkan seekor lembu betina yang menunjukkan garang dan seperti meroyan.   Naik kembang segala bulu di tubuh lembu betina ini menunjukkan amarahnya apabila ada yang mendakwa keturunan beliau memiliki kandang mewah berupa kondo dan sebijik kereta Merc yang mewah.  Marahnya lembu betina ini sehinggakan terangkat-angkat kaki dan ekornya seperti mahu melepas lagaknya.  Lembu betina ini tak mampu menjawab hujah atas dakwaan terhadap keluarganya, maka yang keluar dari muncung mulutnya adalah meroyan tanpa ada butir dan isi.  Akhirnya, lembu betina ini mahu sekalian lembu-lembu betina di dalam kandang PWTC bangkit dan mempertahankannya.  

Memang lazim perangai lembu di cucuk hidung, maka lembu-lembu betina yang lain pun bersorak dan bertepuk hingar bingar di dalam kandang PWTC mempertahankan bos mereka lembu betina yang sudah memiliki kondo dan merc itu, walaupun  lembu-lembu betina yang lain itu hanya tinggal di dalam kandang reput.  Begitu sedih melihat bagaimana murahnya maruah lembu-lembu betina yang lain. Lembu tetap lembu.

Hari ini, bapak segala lembu pula akan berdiri di pentas PWTC.  Sudah dijangka semestinya bapak lembu jantan itu juga akan memohon sokongan lembu-lembu yang lain agar terus menyokongnya menjadi ketua segala lembu.  Ini penting untuk lembu jantan ini meneruskan hidup mewahnya terutama buat bininya yang berjambul itu. 

Maka, persidangan kali ini hanya untuk membela dua ekor lembu iaitu bos lembu betina dan lembu jantan.  Bos lembu betina perlu sokongan untuk meneruskan kehidupan keluarganya di kondo, manakala sokongan untuk lembu jantan pula untuk meneruskan kehidupan mewah lembu betina berjampul dan bercincin itu.  Lembu-lembu yang lain bagaimana?  Mereka seperti biasa akan pulang ke kandang reput masing-masing untuk terus menjadi `lembu pawah'./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan