RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Ahad, 27 Disember 2009

Nik Aziz ulangi kesal dengan sikap Mahfuz

24 Dec 2009

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sikap Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang masih membangkitkan isu berhubung peletakan jawatan menantunya, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Nik Aziz berkata, terpulang kepada Mahfuz untuk menyuarakan apa sahaja pandangannya kerana pucuk pimpinan Pas sudah membuat keputusan mengenainya.

“Ikut dia (Mahfuz) la, keputusan kita buat dah. Presiden sendiri (sudah berikan pandangan). Berapa kali nak ulang benda itu. Ikut dia nak kata apa pun. Dia tahu siapa dia, presiden di mana.

“Cukup la tutup fail dah. Mari la datuk mana sekali pun saya kena dengar keputusan daripada pusat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat di Wisma YAKIN di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahfuz yang meminta Ariffahmi mempertimbangkan secara serius desakannya untuk melepaskan jawatan itu secepat mungkin.

Kelmarin Mahfuz dilaporkan berkata, tindakan itu perlu demi menjaga kepentingan parti dan kepentingan semua pihak, terutama imej Kerajaan Kelantan yang sering menjadi mangsa tohmahan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Mahfuz menyarankan agar peletakan jawatan Abdul Ariffahmi disegerakan bagi mengelak persepsi buruk terhadap Kerajaan Negeri selain menghentikan kontroversi ini.

Mahfuz turut mencadangkan agar Abdul Ariffahmi diberikan dua pilihan sama ada menerima sebulan gaji dan terus berhenti atau memberikan notis tiga bulan untuk melepaskan jawatan tetapi diarahkan bercuti.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, Pengarah Jentera Pilihan raya Pas negeri Kelantan, Abdul Fattah Haron menyarankan kepada semua pimpinan Pas supaya tidak lagi membuat sebarang kenyataan berhubung isu tersebut kerana ia dianggap sudah selesai.

Abdul Fattah berkata, pimpinan Pas tidak perlu membangkitkan kembali isu ini sebaliknya mereka kini perlu memperkukuhkan benteng dan perancangan bagi menghadapi Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Saya minta kepada semua pemimpin Pas jika tidak keberatan agar menyerahkan kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) menyelesaikan masalah itu dan kita pula perlu tumpukan kepada kerja masing-masing.

“Bagi yang bekerja untuk parti tumpukan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan bagi yang bekerja dengan kerajaan tumpukan kepada kerja masing-masing.

“Saranan ini adalah bagi meredakan keadaan. Sekarang ini kita perlu ambil peluang di sebalik apa yang berlaku kepada UMNO,” katanya.

Abdul Fattah berkata, ahli dan pimpinan Pas sepatutnya mengambil peluang ini untuk mengatur strategi dan bukannya mencari salah masing-masing yang akan melemahkan parti.

“Saya berharap semua dapat bekerja keras untuk mengukuhkan parti. Buangkan tradisi lama Pas yang mana kita sering leka apabila lawan kita lemah dengan cara kita mencari salah sesama sendiri tetapi sebaliknya pula jika kita menghadapi lawan yang kuat.

“Dalam keadaan UMNO yang lemah sekarang kita perlu bersatu menyusun dan mengubah strategi bagi menghadapi lawan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai isu yang melanda Kelantan, Abdul Fattah berkata, biarkan Kelantan menangani dan menyelesaikannya sendiri.“Telah banyak bukti yang menunjukkan bahawa kita mampu menangani dan menyelesaikan masalah kita sendiri,” katanya./ Sinar Harian
"Ikut dia nak kata apa pun," Nik Aziz

Tiada ulasan:

Catat Komen