RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 2 Januari 2010

PESANAN BUAT BLOGGER - KITA TIDAK MAMPU LAGI BERPECAH

Oleh: WFAUZDIN NS

MEMASUKI tahun baru 2010, nampaknya gelodak di dalam parti alternatif orang-orang Melayu yang menyokong Islam iaitu PAS kini semakin hilang. Isu Kerajaan Perpaduan telah mula dilupakan walau pun beberapa blog cuba untuk memanaskan kembali isu ini. Saya tidak menyalahkan blog-blog berkenaan kerana saya faham kesemua mereka amat bimbang jika PAS termakan dengan tipu daya Umno. Isu kepimpinan PAS di Kelantan telah dapat ditangani oleh Mursyidul Am PAS selaku MB Kelantan dengan bijak. Beliau telah menunjukkan sifat sebagai seorang pemimpin yang bersedia menerima teguran dan nasihat terutamanya dari pimpinan PAS Pusat. Mursyidul Am telah membuktikan Wala' kepada pemimpin wajib ada selagi pemimpin itu memberikan pandangan dan nasihat yang benar.

Apabila melihat PAS kini mula melupakan isu Kerajaan Perpaduan, Umno masih mengharapkan agar PAS Kelantan kucar kacir kerana runtuhnya PAS di Kelantan maka akan runtuhlah PAS di mana-mana bumi Malaysia ini. Tunjang kekuatan PAS di negara ini terletak di Kelantan, senang kata kubu PAS atau markas pertahanan PAS adalah di Kelantan. Maka, tidak hairanlah berbagai propaganda dan tektik perang saraf telah cuba dilakukan oleh Umno terhadap PAS Kelantan. Alhamdulillah, PAS Kelantan mampu bertahan.

Apabila kita merasa lega dengan situasi ini, kini kita melihat pula suasana yang tidak begitu menyenangkan. Sejak kebelakangan ini, blogger atau pengendali laman web pro PR atau pro PAS `berperang' sesama sendiri. Blog masing-masing digunakan untuk menyindir, menuduh dan memburukkan blog yang lain. Mungkin ada di antaranya yang ditulis itu benar, tetapi apakah kebenaran itu dapat membantu kita memperkuatkan PR terutamanya PAS? Blog yang merasa mereka dituduh dan dihina, tentunya akan bertindak mempertahankan diri. Maka, keluarkan berbagai bahan dan fakta untuk membuktikan mereka benar sehingga ke tahap bersumpah. Apa yang mendukacitakan, segala kebenaran dan fakta itu sebenarnya adalah aset bagi Umno untuk menyerang kita kembali. Bijakkah kita bertindak sedemikian?

Di saat blog atau web pro Umno semakin lesu, kita berperang pula sesama kita. Tidak dapat dinafikan ada di antara blogger yang mudah di`beli' atau diumpan untuk menulis sesuatu berita. Tetapi berbaloikah kita dengan jumlah yang kita perolehi sedangkan parti yang kita sokong akhirnya akan musnah? Blog yang mengkritik pimpinan dengan jujur perlu ada tetapi tentunya ada batasan yang kita mesti patuhi. Perkelahian yang berpanjangan secara terbuka tidak akan menguntungkan kita.

Mudah-mudahan kita bermuhasabah dan berkorban demi untuk kepentingan parti yang kita sokong dan sayangi ini. Jalan kita masih jauh, kita tidak mampu lagi berpecah./Kembali ke laman asal di sini.

Tiada ulasan:

Catat Komen