RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Isnin, 31 Mei 2010

SYUKUR, PAS MASIH BERSAMA PR - NIK AZIZ

Dzulfikar Mashoor

SEPANG, 30 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan rasa syukur kepada Allah kerana kekal memelihara PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno BN pada pilihanraya umum ke-13 (PRU13) kelak.

“Mahu tak mahu, Allah dah siapkan kita bersama DAP dan PKR untuk kita (PAS) sebut tentang Islam untuk ganti Umno.

“Alhamdulillah, sekarang ini PAS dah bersama Pakatan (Rakyat) dan tolak (usaha) perpaduan (PAS) dengan Umno,” jelas beliau tengah hari tadi ketika merasmikan Masjlis Pecah Tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetland, di sini. (Gambar)

Disebabkan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS seharusnya terus mendekati masyarakat bukan Islam dari kalangan kaum Cina dan India untuk menghadapi Umno, selain memperkukuh hubungannya dengan masyarakat Islam berbangsa Melayu.

“Yang lawan kita ini bukannya orang Cina, orang India bukan Islam, yang lawan kita ini dalam pilihan raya nanti orang Melayu (Umno).

“Sebab ini, dalam pilihan raya nanti yang lawan PAS bukannya orang Cina, tetapi orang Islam sendiri (Umno),” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memuji kepemimpinan PAS kerana meletakkan PAS sebagai parti yang disegani oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di tanah air.

“Setahun dua ini, orang Cina mulai rapat dengan PAS, orang India mulai rapat dengan PAS atas pemimpin kita yang tolak politik perkauman,” ujar beliau.

Mengambil contoh reaksi rakyat terhadap PAS dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini, beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa masyarakat bukan Islam kian mengenali keindahan Islam.

“Di Sibu baru-baru ini, orang Cina yang sokong DAP mula rapat dengan PAS, mula-mula rapat dengan PAS, selepas ini rapat dengan Islam,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak mustahil Islam di tanah air akan dominan dengan keislaman bangsa Cina dan India kerana sejarah membuktikan bahawa kedua-dua bangsa itu lebih awal menerima Islam berbanding bangsa Melayu serta sudahpun mempunyai tamadun Islamnya yang tersendiri.

Sebelum pada itu, Abdul Hadi mewakili kepemimpinan PAS Pusat merakamkan penghargaan kepada Nik Abdul Aziz kerana sudi merasmikan masjlis pecah tanah tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyeru seluruh rakyat khususnya ahli-ahli PAS supaya berlumba-lumba berwakaf harta untuk membina kompleks PAS sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan membeli sebidang tanah untuk didirikan Masjid Nabawi di Madinah.

Turut bercakap di pentas yang sama, Datuk Husam Musa selaku Pengarah Jawatankuasa Pembinaan Kompleks PAS.

Sebarang derma dan sumbangan wakaf boleh disalurkan melalui Bank Islam Sdn. Bhd. (BIMB) bernombor 14023010039098 atas penama Parti Islam SeMalaysia Markaz Tarbiah PAS./Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Komen