Kerajaan Negeri Turut Beri Insentif Kepada Pemain Kelantan
  KOTA BAHARU, 28  Okt (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memberi jaminan  akan turut memberi insentif kepada pemain bola sepak negeri ini kerana  berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di  Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
 Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata insentif yang  lebih besar dalam bentuk wang tunai akan diberi jika pasukan Red  Warriors seterusnya menjuarai piala berprestij itu.
 Bagaimanapun, Nik Aziz tidak menjelaskan jumlah insentif yang bakal dihadiahkan kepada pemain terbabit.
 Pada musim lalu, pemain Kelantan dihadiahkan mengerjakan umrah kerana berjaya ke peringkat akhir piala berkenaan.
 "InsyaAllah, kita akan turut memberi insentif kepada pemain Kelantan  kerana berjaya ke peringkat akhir kejohanan piala itu... dalam bentuk  wang tunai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim di  sini, Khamis.
 Menurutnya, langkah kerajaan negeri menghadiahkan wang tunai itu supaya ia turut dapat dinikmati oleh semua keluarga pemain.
 Beliau bagaimanapun, menasihatkan penyokong dari negeri ini menunjukkan  semangat kesukanan yang sejati ketika menyaksikan perlawanan akhir itu  nanti dan tidak memalukan Kelantan dengan menimbulkan kekecohan dalam  perlawanan itu.
 Katanya, beberapa insiden kekecohan semasa perlawanan akhir di Bukit  Jalil musim lalu tidak harus berulang kerana ia tidak mencerminkan  budaya dan sikap sebenar rakyat negeri ini.
 Menurutnya, beliau tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir itu Sabtu  ini dan mewakilkan kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub yang  juga Pengerusi Perbadanan Stadium Negeri.
 Beliau berharap semua rakyat negeri ini mendoakan agar Kelantan akan menjulang Piala Malaysia yang sudah lama diidamkan itu.
 Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengisytiharkan cuti peristiwa  pada Ahad ini jika Kelantan berjaya menjuarai piala berprestij itu, Nik  Aziz berkata:
 "Kita tidak bercadang untuk mengisytiharkan cuti peristiwa walaupun  kita ada hak, kerana kerajaan negeri sudahpun mengumumkan cuti peristiwa  pada hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas 4  November ini.
 "Adalah tidak wajar kita mengambil cuti peristiwa kerap walaupun kita mempunyai hak berbuat demikian," katanya.
 -- BERNAMA
 
 
 
 
 
 

 


Tiada ulasan:
Catat Ulasan