|  KUALA LUMPUR, 1 Nov:  Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mewakili  Perdana Menteri dalam majlis yang tidak boleh disertainya menimbulkan  pelbagai persoalan kini apakah beliau adalah pemangku perdana menteri. 
 "Saya  keliru. Jika PM tidak sihat, bukankah sepatutnya timbalan perdana  menteri yang mewakili beliau dan kerajaan, dan bukan Rosmah? Atau dia  (Rosmah) pemangku PM," kata Malik Imtiaz Sharwa seorang peguam terkenal  dalam twitternya.
 
 Semalam, Rosmah telah berucap mewakili PM di Karnival Deepavali 1Malaysia di Litle India dekat Brickfield.
 
 Dalam majlis itu, Najib melalui teks ucapan yang dibacakan oleh isterinya berjanji akan membantu orang India di negara ini.
 
 Najib telah didapati mempunyai tanda-tanda awal sakit chicken pox dan diminta berehat oleh doktor.
 
 Menurut  penasihat medianya, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Najib juga  diingatkan supaya mengelakkan dirinya daripada menghadiri semua majlis  rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit  cacar itu.
 
 Katanya, presiden Umno itu mula merasa kurang sihat  dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari  terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam  selama tiga hari.
 
 "Setibanya di Subang (Selangor) hari ini,  beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan  dengan segera mendapat rawatan. Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana  Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor  peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan  mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.
 
 "Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," kata Jalaludin./Harakahdaily
 | 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan