RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Khamis, 2 Julai 2009

Anwar nafi DAP Kedah keluar pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan DAP Kedah telah keluar daripada pakatan pembangkang semalam kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas Kedah.

Sebaliknya, beliau menyalahkan media yang didakwanya sengaja menggembar-gemburkan dan memperbesarkan isu itu.

"Ini media, surat khabar saudara yang bangkitkan. Kalau dalam Barisan Nasional, banyak perbezaan dalam banyak perkara tetapi tak pula diperbesarkan.
Pakatan Rakyat ini pakatan miskin (yang) tak ada media yang besar. Itu bezanya," kata kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Anwar bagaimanapun berkata beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dalam suasana yang baik antara anggota pakatan pembangkang. Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui keputusan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk merobohkan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya di itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu berkata beliau telah dimaklumkan dan tahu bahawa pusat penyembelihan berkenaan akan dipindahkan ke kawasan lain.

Semalam, DAP Kedah mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di Kedah ekoran tindakan meroboh satu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di Alor Setar.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su berkata beliau bagaimanapun menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin pusat parti itu.

Pengarah pilihan raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata isu DAP Kedah itu bukanlah sesuatu yang besar.

"Kita pernah berdepan dengan kenyataan Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang meminta Anwar meletak jawatan, itu jauh lebih besar. Jadi itu semua proses yang
akan mematangkan diri kita," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata beliau menunggu laporan penuh daripada DAP Kedah tetapi menyifatkan perkara itu sebagai tidak serius.

Karpal Singh ketika ditemui pula berkata isu berkenaan boleh diselesaikan.

"Saya tidak fikir masalah itu serius sehingga mampu memecah-belahkan pakatan pembangkang," katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob, yang mempengerusikan satu mesyuarat sekretariat pakatan pembangkang hari ini, berkata isu itu akan dibincangkan oleh
Majlis Presiden pakatan pembangkang Sabtu ini. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan