RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 6 Jun 2009

ADAKAH HUSAM KESEORANGAN MEMBELA PR ?

"Lebih baik aku bertemankan bangsa Cina daripada aku bertemankan bangsa ku sendiri yang pernah mengkhianati partiku..." Mungkin itu yang ada dalam fikiran Husan sekarang.

Saranan wujud kerajaan perpaduan anjuran Presiden Pas dipertikai pemimpin parti, Pakatan Rakyat

SHAH ALAM: Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan saranannya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan semalam, bukan saja dipertikaikan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), malah pemimpin kanan parti itu sendiri.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang bertanding jawatan Timbalan Presiden dan jika menang akan bergandingan dengan Abdul Hadi, secara terbuka mempertikaikan kenyataan ketuanya itu kerana beranggapan ia tidak menguntungkan parti berkenaan. Beliau menegaskan parti itu tidak boleh menjalin kerjasama dengan Umno seperti kerjasama yang dipraktikkan dengan PKR dan DAP kerana Pas tidak akan menjadi parti yang dominan dalam pakatan berkenaan, selain pemimpin Pas sudah tentu tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, katanya, beliau tidak akan sesekali membenarkan Pas menjadi 'kuda tunggangan' Umno melalui kerajaan perpaduan, walaupun ia diilhamkan oleh parti itu. "Saya juga bimbang pembahagian kerusi antara Pas dengan Umno kemungkinan tidak adil. Yang kita mahu adalah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Muktamar Pas Ke-55 oleh Abdul Hadi, di sini semalam. Husam berkata, jika kedudukan kerusi Pas dan Umno tidak sama rata, Pas mungkin tidak dapat memainkan sebarang peranan dalam kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, beliau mahu Pas lebih menumpukan kerjasama dalam Pakatan Rakyat kerana mendakwa taraf semua parti dalam pakatan itu adalah sama rata. "Namun, jika perbincangan mengadakan kerajaan perpaduan mahu dilaksanakan juga, lebih baik dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13. Pas boleh memastikan kerusi kita benar-benar cukup untuk mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan," katanya.

Abdul Hadi pada sidang medianya selepas menyampaikan ucapan dasar pada muktamar itu semalam mempertahankan gesaannya supaya kerajaan perpaduan dibentuk bagi menyelesaikan masalah dalam negara secara menyeluruh. Presiden Pas itu berkata, usaha itu menunjukkan yang Pas mengamalkan dasar terbuka selaras dengan prinsip demokrasi. Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata cadangan pembentukan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat dan beliau hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang diperkatakan oleh Abdul Hadi mengenai kerajaan perpaduan, tetapi terpaksa membuat komen demi kepentingan penyokong Pakatan Rakyat," katanya dalam laman blognya. Lim berkata, beliau diburu wartawan selepas perasmian muktamar semalam yang mahu mendapatkan komen berhubung kenyataan Abdul Hadi mempertahankan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Semua pemimpin mesti bersedia untuk berbincang dengan pemimpin lain berhubung apa saja isu yang membabitkan kepentingan ramai," katanya. Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar, berkata idea kerajaan perpaduan bersama BN adalah idea politik yang terkebelakang dan tidak progresif.

"Pengalaman politik kompromi seumpamanya pernah berlaku pada 1978 antara Pas dan BN yang akhirnya tidak memperlihatkan sebarang manfaat. Justeru, idea ini sudah ditolak oleh pemimpin PKR. "Cadangan bekerjasama oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kerajaan BN pula khusus untuk perkara untuk kepentingan rakyat, seperti masalah ekonomi negara dan tidak mengaitkan kerajaan perpaduan," katanya.

~~Sumber BH Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan