RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Rabu, 4 Ogos 2010

CERAMAH `CAP AYAM' EZAM RAJA SESUMPAH

Oleh Hishamuddin Rais

Pada awalnya saya langsung tidak kenal siapa dia Ezam Mohd Nor ini. Malah saya tidak ambil peduli sangat apa kerja dan tugas dia. Untuk saya sesiapa yang bekerja untuk United Malays National Organisation ini pastilah orang sesat, kurang membaca, kurang berilmu dan kaki bodek. Pandangan saya ini tidak pernah berubah hingga ke hari ini.



Tapi apa yang hendak saya kisahkan di sini bukan hal United Malays National Organisation tapi hal Ezam. Secara jujur saya katakan di sini, saya tidak pernah ambil tahu siapa setiausaha politik, setiausaha akhbar atau siapa setiausaha sulit Anwar Ibrahim. Untuk saya semua mereka ini hanyalah apparatchik kalau pun bukan tukang bodek. Pandangan saya ini berasakan budaya politik yang wujud hari ini.

Pada awalnya - saya terdengar - apabila Anwar ditangkap pada 20 September 1998, ramai juak-juak Anwar termasuk Ezam (kiri sekali) telah melarikan diri ke Indonesia. Ada yang lari membawa duit dan ada yang lari membawa harapan. Apa yang mereka lakukan di Indonesia, tidak Remove Formatting from selectionpula ingin saya ketahui.

Gerakan Reformasi muncul sesudah penangkapan Anwar. Gerakan ini menobatkan jalan raya sebagai wadah politik. Kami tidak ambil peduli tentang juak-juak Anwar yang lari dan yang tidak lari. Malah juak-juak Anwar ini tidak pernah masuk dalam perhitungan politik jalan raya kami. Kami juga langsung tidak ambil peduli terhadap 'polong-polong' peliharaan Anwar yang saku mereka telah penuh dengan 'darah saham' dan 'pink form'.

Gerakan politik jalan raya hanya bercita-cita untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Untuk saya jenayah besar United Malays National Organisation hanya satu: membodohkan orang Melayu selama 50 tahun.

Saya pun kurang ingat bila Ezam muncul kembali - mungkin sesudah tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Fakta sejarah ini tidak penting. Apa yang penting ialah Ezam terpaksa menerima wadah jalan raya yang telah kami teroka. Kami sedar ada beberapa benggolan juak Anwar yang tidak berapa setuju dengan wadah politik jalan raya.Tetapi kerana ombak jalan raya begitu besar maka mereka terpaksa membuat 'teater' berlakon bersama kami.

Reformasi tak peduli Anwar jadi PM

Juak-juak Anwar ini sedar dan faham bahawa politik jalan raya inilah sahaja jalannya untuk menumpaskan United Malays National Organistion. Tetapi perjuangan juak-juak ini bukan hendak menumpaskan United Malays National Organistion. Justeru mereka selalu 'memberatkan' gerakan Reformasi. Sebenarnya mereka berjuang agar Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri (PM) Malaysia. Dalam congak politik mereka, apabila Anwar menjadi PM maka mereka akan sekali lagi berkenduri-kendara dan mengumpul 'pink form' dan memungut harta kekayaan.

Harus dinyatakan jelas di sini - gerakan Reformasi tidak peduli sama ada Anwar Ibrahim jadi PM atau sesiapa pun yang menjadi PM. Yang penting Mahathir Mohamad didobrak dan United Malays National Organistion dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

Akhirnya setelah sepuluh tahun - sebahagian panennya Reformasi telah kita tuai pada 8 Mac 2008 dahulu. Inilah contoh yang dinamakan perjuangan jangka panjang. Menabur benih kesedaran selama sepuluh tahun. Ini kerja politik yang sulit dan bertahan lama. Turun ke jalan raya itu ialah untuk membajak dan menyemai benih kebencian terhadap kuasa politik United Malays National Organisation.

Pada ketika ini Ezam telah mudik kembali ke sarang lamanya. Saya sifatkan Ezam ini terkena penyakit KKS - kurang kasih sayang. KKS ini adalah satu penyakit tidak berkuman yang selalu menyerang orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Hasil dari serangan KKS ini Ezam telah mundar-mandir ke hulu ke hilir berceramah membantai dan menelan kembali semua air liur basinya yang diludahkannya dahulu.

Nasib saya agak baik, beberapa hari yang lalu ada kawan menghantar klip video salah satu dari ceramah Ezam. Menurut kawan saya ini klip ini daripada siri ceramah perdana 'Selamatkan Selangor Dari Khir Toyo'.

Saya kurang faham apakah Khir Toyo sudah bertukar menjadi Jepun dan menyerang Selangor. Lalu saya menelefon dan bertanya apakah Khir Toyo telah ada bala tentera? Kawan saya ini ketawa berdekah-dekah dan meminta saya kembali ke sekolah untuk belajar ilmu politik. Cis... bongek punya kawan. Maka tidak dapat tidak saya pun terpaksalah melihat klip ceramah Ezam.

Tiru Anwar

Ezam telah meniru gaya berceramah Anwar Ibrahim. Saya tahu tentang hal ini kerana saya pernah satu masa yang lama dahulu berkongsi pentas dengan Ezam. Ezam telah cuba meniru lenggok dan dengung idgham ma'al 'unnah termasuk tajwid dan sengau si Anwar Ibrahim. Untuk saya gaya ini agak 'geli' tetapi menarik perhatian setengah orang yang mendengar ketika Anwar dalam penjara. Tetapi sekarang ini apabila yang asli telah ada maka Mak Cik Felda tidak akan terpaut untuk datang ke ceramah cap ayam Mat Ezam.

Saya pernah meminta kawan-kawan untuk pergi mendengar ceramah Mat Ezam ini. Sekurang-kurangnya meramaikan orang yang nampaknya semakin susut. Malu melihat kawan lama 'bertandak atas tong' seorang diri. Saya sendiri tak berani pergi kerana umum tahu saya bukan orang Selangor. Kalau tidak, dalam dalam gelap itu boleh juga saya menebeng untuk meramaikan pendengar ceramah.

Seperti di zaman Reformasi, Ezam akan ke hulu ke hilir melaung sambil mencabar dari atas pentas ceramah. Ezam mencabar sesiapa sahaja yang berani mempertikai apa yang dicakapkannya. Hebat. Gugat.

Tetapi sayang sekali, semuanya telah menyakitkan hati Ezam. Bukan kerana yang mendengar tak ramai - ini pun satu hal - tapi tidak ada sesiapa pun yang ambil peduli dan menyambut cabarannya itu. Semua orang buat tidak peduli sahaja. Malah Lokman Adam, seorang pemikir dalam gerakan Pemuda gerombolan yang lebih kurang sama hebatnya dengan Mat Ezam pun terus memperlekehkan Ezam yang tidak sudah-sudah mencabar.

Sesiapa yang ada pergi mendengar ceramah akan tahu bagaimana di pembukaannya, si penceramah akan melafaz berdoa berjela-jela dan selawat dimasukkan ke sana sini untuk menunjukkan betapa alim dan waraknya si penceramah. Pada anggapan si penceramah lagi panjang selawatnya maka lagi sucilah apa yang diperkatakan. Mat Ezam juga tergulung dalam kumpulan ini.

Tetapi ada sesuatu yang paling menakjubkan dalam ceramah Ezam yang saya tonton. Saya tidak berbohong. Saya takjub apabila saya terdengar apa yang dikatakan oleh Ezam ini.
Mat Ezam berkata yang dia bersyukur kerana dengan pertolongan Allah dia telah mendapat tahu bahawa Anwar ini bermaruah rendah. Bagaimana Allah memberi ilham kepada Ezam tidak pula jelas. Tidak ada pula Ezam menyebut beliau bersuluk atau dia pergi bertapa.

'Ilham' dari Muhyiddin

Mengikut ceramah Ezam semenjak mendapat ilham dari Allah, maka dia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan bos lamanya Anwar Ibrahim. Kini Anwar yang menjadi idolanya dahulu bukan sahaja seorang yang bermoral rendah malah seorang pengkhianat bangsa. Betul. Anwar dikatakan oleh Ezam sebagai pengkhianat bangsa Melayu.

Di bahagian ini saya minta maaf. Saya agak kurang jelas. Tentang pengkhianat bangsa Melayu, saya agak kabur, apakah ilham ini datang dari Muhyiddin Yassin? Kalau ingatan saya betul, si Muhyiddin inilah orang yang pertama mengatakan si Anwar ini pengkhianati Melayu. Kalau saya silap saya minta maaf.

Sebenarnya, mengaitkan Tuhan dalam politik ini bukan sesuatu yang baru. Kalau kita rajin membaca sejarah kuno Eropah, maka kita akan bertemu dengan para paderi yang mengakui diri mereka mewakili Tuhan di bumi ini. Bayangkan betapa kecutnya petani apabila si paderi datang melawat kampung mereka. Bukan sahaja panen petani ini akan diambil sang paderi malah silap-silap hari bulan anak dan isteri juga akan dibungkus sama. Ini semua dilakukan kononnya atas permintaan Tuhan.

Apabila Ezam cuba mengaitkan Allah maka saya angkat tangan menyerah. Saya mengaku kalah. Saya angkat tangan dan angkat topi. Bandingkan, maklumat yang saya terima hanya melalui laporan hospital Pusrawi dan maklumat daripada laporan tuan doktor dari Hospital Kuala Lumpur. Kemudian saya mengikuti laporan akhbar tentang perbicaraan ini. Inilah sumber maklumat saya. Dari maklumat ini saya membuat rumusan berhubung kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bandingkan pula maklumat saya dengan maklumat Ezam. Apabila Ezam mendakwa mendapat ilham dari Allah - saya tak terkata apa-apa. Siapa yang boleh mempertikaikan hal ini. Saya tidak memiliki kudrat dan iradat untuk mempertikai ilham Ezam ini.

Tetapi saya ada sedikit kekalutan dan merasa resah. Sebenarnya saya ingin bertanya dengan Ezam apakah beliau tidak diilhamkan tentang siapa sebenarnya membunuh Altantuya. Atau tentang adik Sharlinie Mohd Nasyar yang selama ini masih hilang.

Semua ini pelik. Untuk saat ini saya hanya berani berkata seperti dalam kitab Sulalatus Salatin - wallahhu 'alam bissawab - hanya Allah yang Maha Mengetahui.M/Kini

2 ulasan:

  1. Hishamuddin Rais penyokong totok Anuar, pernah menjadi pelarian ke negeri orang putih, sama seperti Raja Putar Alam, Orang Melayu tak pernah lupa, cuma Orang PKR buat buat lupa.

    BalasPadam
  2. Orang Melayu tak pernah lupa UMNO pengkhianat bangsa Melayu..

    BalasPadam