RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 3 Ogos 2010

LAPORAN POLIS BUAT SAIFUL PULA

Kes ditangguh, Anwar mohon batal pertuduhan
Hafiz Yatim
Ogos 2, 10

Perbicaraan kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan berikutan permohonan ketua pembangkang itu untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya dengan alasan seorang timbalan pendakwa raya dalam pasukan pendakwaan dikatakan mempunyai hubungan dengan saksi utama kes, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Ogos depan untuk mendengar permohonan itu.

Peguam utama Anwar -- Karpal Singh -- yang sebelum ini cuti sakit selama 15 hari sehingga menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan sementara, hadir hari ini.

Katanya, timbalan pendakwa raya itu, Farah Azlina Latif dan pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari Azlan "seharusnya mengemukakan afidavit berasingan" bagi menjawab dakwaan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin. yang mereka mempunyai 'hubungan romantis”.

"Pihak pendakwaan tidak mengesahkan hubungan itu mahupun menafikannya. Berdasarkan ini, kami yakin wujudnya hubungan dan terpulang kepada mereka untuk menafikan dakwaan itu,” katanya di luar mahkamah.

Menurut Karpal, seluruh imej pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, kini tercemar kerana dakwaan itu.

Justeru, katanya, integriti dan keadilan seluruh pasukan pendakwaan dicurigai berikutan dakwaan tersebut dan dengan itu mahkamah harus membatalkan tuduhan liwat yang dihadapi Anwar.

Karpal berkata Farah Azlina telah melanggar Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi manakala Mohd Saiful pula telah melanggar Seksyen 8(2) akta yang sama.

Katanya notis usul untuk menggugurkan tuduhan itu telah difailkan pagi tadi bersama afidavit Anwar untuk menyokong permohonan berkenaan.

Walaupun mengikut jadual, Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur sepatutnya memberi keterangan dan disoal balas, namun 'hubungan romantis' berkenaan mencuri tumpuan.

Karpal meminta mahkamah mendengar permohonan itu sebelum meneruskan perbicaraan.

Peguam Anwar mendesak hakim supaya membuang kes ini berdasarkan dakwaan hubungan berkenaan.

P

eguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail Isnin lalu memutuskan Farah Azlina digugurkan dari pasukan pendakwaan agar 'hubungan romantisnya' tidak akan menjejaskan kes itu.

Faraf Azlina juga telah dipindahkan dari bahagian pendakwaan, pejabat peguam negara.

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan Karpal memfail permohonan supaya pendakwaan terhadap ketua pembangkang itu digugurkan.

Bagaimanapun, ketua pendakwa raya membantah permohonan berkenaan tetapi bersetuju supaya kes itu ditangguh seketika.

Mohamed Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam hujah balasnya berkata ia hanyalah tuduhan tanpa kebenaran sama sekali, tambah lagi penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai prosiding tersebut.

Dalam permohonan itu, alasan yang dinyatakan dalam afidavit Anwar bagi menyokong permohonan beliau antaranya adalah Farah Azlina mempunyai pengetahuan kepada kertas siasatan dalam kes itu.

Anwar berkata Mohd Saiful mempunyai akses kepada kertas siasatan tersebut yang diklasifikasikan sebagai terhad dan sulit dan amat jelas Mohd Saiful juga mempunyai pengetahuan kepada kenyataan semua saksi yang direkodkan sebelum beliau memberi keterangan di mahkamah.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal tetapi disebabkan peguam belum bersedia, perbicaraan ditangguh seketika.

Selepas perbicaraan ditangguhkan, Anwar membuat laporan polis terhadap Farah Azlina dan Mohd Saiful di bit polis, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur ini.

Kedua-dua mereka didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

Di dalam laporan itu Anwar juga menggesa pihak polis menyegerakan siasatan terhadap Farah Azlina dan Mohd Saiful.

Kehadiran Anwar di mahkamah pada jam 9 pagi ini diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR termasuk, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.


Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat./Malaysiakini


Tiada ulasan:

Catat Ulasan