RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Ahad, 14 Jun 2009

MENARIK UNTUK DIBACA - KHALID SAMAD MENGUPAS TENTANG MUKTAMAR PAS


Oleh Khalid samad

Beberapa pengamatan setelah seminggu tamatnya muktamar PAS yang ke-55 di Shah Alam.

1. SUASANA PERBAHASAN

• Isu PR & Isu Terpinggir

Ramai yang menumpukan perhatian mereka sepanjang Muktamar yang ke 55 ini kepada hanya persoalan pemilihan dan ‘kerajaan perpaduan’. Sehingga mereka terlepas pandang satu perbezaan yang amat ketara sekali pada pandangan saya di antara Muktamar tahun lepas di Ipoh dan Muktamar yang berjalan seminggu yang lalu.

Perbezaan ini bukanlah berhubung tempat, sistem PA, pentas atau sebagainya. Perbezaan ini adalah berhubung isi kandungan perbahasan ucapan dasar. Tahun lalu, wakil Pemuda, Selangor, Terengganu dan beberapa Negeri yang lain begitu kritikal terhadap kerajaan PR dan juga Anwar. Ada yang menyatakan ‘terpinggir’, ada yang mendakwa di anak tirikan, melukut di tepi gantang dan sebagainya.

Tahun ini senyap.

Pada pendapat saya sekiranya masih ada golongan yang tidak berpuas-hati dengan PR, mereka terpaksa mendiamkan diri. Mereka melihat bahawa di sisi perwakilan, PR telah diterima secara sebulat suara. Mempertikaikan PR merupakan satu pendekatan yang tidak dapat diterima oleh perwakilan. Ini jelas terbukti apabila kita melihat kenyataan PJ Selangor di dalam Harakah keluaran minggu Muktamar yang bertajuk ‘Rakyat Selangor Bahagia di bawah PR’. Ini jauh sekali berbeza dari yang lalu.

Ini merupakan berita baik bagi penyokong PR.

• Isu kerajaan perpaduan

Isu kerajaan perpaduan tidak dibawa dalam Ucapan Dasar dan tidak juga dikemukakan semasa perbahasan. Ianya timbul semasa sidang akhbar apabila ditanya oleh wartawan. Jawapan ikhlas dan terbuka Dato’ Seri Presiden selepas itu di ‘spin’ untuk menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong.

Status isu ini sebenarnya adalah tertunda sehingga dibahas di dalam AJK PAS Pusat dan seterusnya oleh Muktamar khas, iaitu sekiranya diterima AJK PAS Pusat. Seterusnya ke Majlis PR untuk dibincangkan bersama dengan PKR dan DAP. Secara prinsipnya, proses ini sepatutnya terhenti sekiranya cadangan ini ditolak di mana mana peringkat.

Oleh yang demikian, hakikat bahawa ianya disebut atas sebab ‘jolokan’ wartawan perlu diambil kira dalam kita menangani isu ini. Ianya tetap merupakan pandangan peribadi dan bukan pandangan parti.

Ini juga berita baik bagi penyokong PR.

2. KEPUTUSAN PEMILIHAN TIMBALAN PRESIDEN

• Asas Pemilihan

Ada yang berkata kepada saya bahawa kemenangan Ust Nasha menunjukkan bahawa kumpulan pro-Muzakarrah telah menang. Oleh itu Muzakarah dengan UMNO boleh diteruskan. Saya menjawab malangnya itu bukan asas pemilihan! Betul, saya telah meminta para perwakilan memilih atas dasar tersebut, iaitu siapa pro-kerjasama dengan UMNO dan siapa tidak. Tetapi pandangan saya ditolak esoknya oleh Ketua Penerangan PAS Selangor dan beliau menggesa perwakilan memilih atas dasar yang lain.

Oleh itu, keputusan ini tidak boleh dilihat dari sudut pro dan kontra kerjasama dengan UMNO.

Kedua, hakikatnya dalam beberapa program sebelum hari pemilihan, calon yang dianggap pro-kerjasama membuat penafian demi penafian bahawa mereka ingin “membawa PAS masuk UMNO dan BN”. Akhbar Sinar hari Jumaat berkenaan, muka depan, disebut sebagai berkata “Tidak mungkin di adakan kerjasama PAS dan BN”.

Penafian-penafian sebegini menyebabkan pewakilan yang anti-kerjasama turut mengundi kumpulan ini. Oleh itu ianya bukan keputusan yang menunjuk sokongan terhadap usaha kerjasama dengan UMNO.

Perlunya calon-calon menafikan keinginan bekerjasama dengan UMNO untuk berpeluang menang adalah juga berita baik bagi penyokong PR.

• 46% Nasha 28% Husam 26% Mat Sabu

Turut perlu dikupas adalah keputusan pemilihan. Ianya dapat dibahagikan kepada 3 point seperti berikut :

i.) Isu Ulama

Ada yang mengatakan bahawa keputusan ini membuktikan perwakilan inginkan ulama’ sebagai TP. Ini tidak benar kerana lebih ramai memilih calon yang bukan berpendidikan agama secara rasmi sebagai pilihan mereka. Husam dan Mat Sabu mendapat 28% dan 26% dan ini menjadikan jumlah perwakilan yang memilih bukan ulama’ sebanyak 54%.

Ini juga tidak bererti perwakilan inginkan bukan ulama sebagai TP. Ianya hanya merupakan bukti bahawa perwakilan merasakan tidak semestinya seorang ulama menjawat jawatan berkenaan.

ii) Isu Kerajaan Perpaduan

Ada juga yang menyatakan ini bukti bahawa konsep kerajaan perpaduan diterima. Ini juga tidak benar kerana ianya bukan asas pemilihan dan kedua, Ust Nasha hanya mendapat 46%.

iii) “Saya tetap menang”

Saya agak kecewa bila membaca Ust Nasha menjawab “I still won” atau “saya tetap menang” apabila disebut oleh wartawan bahawa dia hanya memperolehi 46% dari undi perwakilan. Ini adalah kerana ia mengingatkan saya kepada jawapan Dr. M bila dia menyebut “walaupun dengan majoriti satu undi, saya tetap menang”. Sebagai pemimpin dia harus lebih peka kepada hakikat bahawa dia tidak mendapat sokongan majoriti dan bagaimana PAS seolah-olah terbahagi dua dalam persoalan pemilihan ini. Jawapan “saya tetap menang”, sekiranya benar, merupakan jawapan yang agak kebudak-budakan bagi saya dan kurangnya sifat kepimpinan. Ini juga menunjukkan sikap kurang prihatin terhadap kehendak majoriti perwakilan.

3. SOAL BERKEMPEN

Pengharaman berkempen diumumkan secara meluas. Namun hakikatnya unsur-unsur kempen berlaku secara terbuka. Dalam soal ini, saya tidak berpuas hati dengan beberapa persoalan seperti berikut:

• Peranan Harakah

Harakah keluaran muktamar menyiarkan lapuran ‘Fokus Selangor’. Ia merupakan kempen yang jelas terhadap beberapa personaliti Selangor yang bertanding di dalam muktamar pada kali ini. Ia tidak sepatutnya dibenarkan berlaku.

• Perasmian Muktamar Dewan-Dewan

Calon ‘incumbent’ atau yang sedia memegang jawatan dapat merasmikan mesyuarat agung tahunan dewan-dewan. Ini memberi kelebihan kepada mereka kerana mereka dapat memanfaatkan peluang ini untuk menjelaskan beberapa persepsi negatif terhadap diri mereka.

• Program Jubili Perak Kepimpian Ulama’

Program ini malangnya merupakan program kempen yang jelas bagi calon yang dilihat sebagai ulama. Termasuk dalam soal ini kenyataan oleh Ust Daud Iraqi dan Dr Harun Din. Ini juga tidak sepatutnya berlaku.

• Alternatif

Kita sepatutnya membenarkan kempen secara terbuka tetapi terkawal. Iaitu mengikut garis panduan yang jelas demi menentukan perwakilan dapat memahami agenda setiap calon. Ini mungkin lebih baik demi menjamin hanya yang terbaik akan dipilih. Seperti dalam pilihan raya kecil ataupun umum, calon perlu diberi peluang bertemu dengan pengundi untuk menjelaskan segala isu yang perlu diperjelaskan. Saudara Husam ditimpa bermacam-macam fitnah seperti mandi bunga di kubur, terlibat rasuah, agen Anwar, tak wala’ kepada pimpinan dan sebagainya. Beliau sepatutnya diberi peluang untuk memberi penjelasan dan begitu juga Ust Nasha serta Mat sabu.

Apa yang boleh difikirkan ialah sesi-sesi terbuka di setiap negeri di mana calon-calon berkenaan bertemu dengan perwakilan dan menjelaskan sikap dan pendirian mereka terhadap segala isu yang dikemukakan kepada mereka. Dalam keadaan sebegitu maka segala yang tidak jelas boleh menjadi jelas dan segala keraguan dapat dilenyapkan.


4. AKHIR KATA

Akhir kata saya ingin mengucapkan JazakaLlahu khairan kathira kepada semua yang mengundi saya untuk jawatan AJK PAS Pusat. Saya dimaklumkan saya telah mendapat 408 undi dan menduduki tempat yang ke 23. Walaupun tidak dipilih, saya akan terus memberikan khidmat saya untuk memajukan perjuangan Islam yang dibawa PAS dan berusaha untuk meningkatkan tahap penerimaan perjuangan Islam oleh seluruh masyarakat negara kita ini.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

1 ulasan:

  1. TGNA, Khalid samad, husam, mat sabu.kami sokong anda. dedahkan lagi rancangan mengheret Pas ke dalam umno

    BalasPadam