RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 16 September 2009

BEBAS ISA - SYABAS GMI, TERUSKAN BERJUANG!!

'Bebas tahanan ISA kejayaan GMI'
Sep 16, 09 3:48pm

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyifatkan pembebasan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam sebagai kejayaan kempennya menentang akta tersebut, khususnya demonstrasi besar 1 Ogos lalu.

"Tentunya kerajaan tidak akan mengaku tunduk pada tekanan ini tetapi tuntutannya bukan hanya retorik atau beremosi seperti insiden (perhimpunan membawa) kepala lembu," kata Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Perhimpunan besar-besar di Kuala Lumpur itu bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar baginda perkenan campur tangan memansuhkan ISA - bagaimanapun kira-kira 20,000 penentang akta itu dihalang polis.

Mat Sah Mohamad Satray, suami ahli jawatankuasa GMI Norlaila Othman, antara lima yang dibebaskan petang semalam setelah mereka didapati telah pulih dan tidak lagi mengancam keselamatan negara.

Kelima-lima bagaimanapun dikenakan perintah tahanan terhad yang mewajibkan mereka melaporkan kepada polis setiap minggu dan harus memohon kebenaran pihak berkuasa itu untuk keluar dari daerah tahanan.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Ibrahim berkata pembebasan mereka itu bagaimanapun masih membangkitkan persoalan asas tentang kenapa mereka ditahan dan bukti-bukti kesalahan mereka.

"Jika diperhatikan seimbas lalu, seseorang akan perasan kenyataan menteri (dalam negeri) itu yang sewenang-wenangnya, subjektif dan boleh dipertikaikan," katanya, mengulas alasan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau dilaporkan berkata kelima-limanya dibebaskan bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

GMI juga mempersoalkan pembebasan secara memilih-milih yang dibuat oleh kerajaan apabila sembilan lagi tahanan - termasuk Shamsuddin Sulaiman yang ditahan selama lapan tahun.

Mat Sah ditahan sejak April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI), seperti juga tuduhan terhadap Dr Abdullah Daud yang ditahan Januari tahun yang sama.

Sementara tiga lagi yang turut dibebaskan - Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah - ditahan di kem Kamunting mulai Mei 2007.

Walaupun gembira dan mengalu-alukan pembebasan lima tahanan ini, GMI tetap mempertikaikan dua asas akta itu: penahanan itu dibuat secara sewenang-wenangnya dan kuasa sewenang-wenangnya untuk menahan pada menteri dan polis./Malaysiakini

PKR BANTU KELUARGA ISTERI PM ?

PKR hulur hadiah pada keluarga Rosmah
Jimadie Shah Othman
Sep 16, 09
12:57pm


Seminggu menjelang sambutan Aidilfitri, ahli keluarga terdekat isteri perdana menteri Rosmah Mansor - seperti pernah dilihat dalam siri klip video di Internet - mendapat hadiah dan duit raya daripada Angkatan Muda PKR.

Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hampir 10 pemimpin sayap kanan PKR itu mengunjungi ibu saudara dan sepupu isteri Datuk Seri Najib Razak di Kampung Mertang, Kuala Pilah kelmarin.

"Kunjungan ini untuk mencari kebenaran. Kalau sebelum ini, kita lihat kehidupan mereka dalam Youtube sahaja.

"Keadaan mereka amat daif. Kita berikan bantuan sekadar termampu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dalam beberapa klip video tersebut, anggota keluarga dekat Rosmah itu melahirkan rasa tidak senang dengan sikap wanita pertama negara yang tidak lagi mengunjungi mereka dan kampung asalnya itu.

Rosmah bagaimanapun tidak pernah memberikan reaksinya berhubung kandungan video tersebut, atau mengesahkan mereka anggota keluarganya, yang kelihatan memaparkan imej negatif kepadanya./Malaysiakini

Pakatan mahu ambil alih kerajaan

SHAH ALAM - Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Disember ini, adalah untuk mengukuhkan gabungan itu bagi mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden PKR, R Sivarasa berkata, konvensyen itu adalah pertama kali diadakan setelah PR yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Konvensyen ini bertujuan memperkukuhkan PR memandangkan di sinilah peluang untuk parti gabungan PR mencapai satu persetujuan dan prinsip perjuangan yang sama.

“Antara isu lain yang akan dibahaskan dalam konvensyen itu meliputi isu pengurusan ekonomi, dasar demokrasi, pentadbiran dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan mengadakan satu konvensyen besar-besaran bagi meletakkan hala tuju PR bagi tahun berikutnya.

Dijangkakan setiap parti akan menghantar wakil seramai 500 perwakilan.

Sivarasah turut menyangkal dakwaan bahawa konvensyen itu hanya untuk memperbetulkan kembali hala tuju parti gabungan PR yang dilihat semakin bertentangan di antara satu sama lain.

“Parti dalam PR masih mempunyai hala tuju dan perjuangan yang sama. Kita faham mana-mana parti politik ada perbezaan perjuangan politik. Jika semua fahaman sama, lebih baik berada dalam satu parti saja.

“Cadangan untuk mengadakan konvensyen ini dilakukan dengan lebih awal lagi bertujuan mengukuhkan PR dan menghalusi persefahaman politik antara satu sama lain bukan disebabkan hala tuju yang menyimpang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategik PKR, Tian Chua berkata, konvensyen ini adalah satu manifestasi untuk menunjukkan rakyat bahawa PR sentiasa bersatu padu dan mempunyai satu prinsip perjuangan yang sama dan mampu mentadbir kerajaan Malaysia.

“Dalam konvensyen ini, segala isu akan dibincangkan dalam satu pasukan,” katanya./SH

Selasa, 15 September 2009

KISAH BENAR DI KELANTAN, SEJADAH BERDIRI 8 JAM


SHARIFAH NOR dan Mohd. Faizal menunjukkan sejadah yang didakwa berdiri di rumahnya di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS - Percaya atau tidak, sehelai sejadah bergerak dan berdiri secara tiba-tiba hingga menggemparkan seisi rumah warga emas, Sharifah Nor Syed Agil, 61, di Kampung Tok Sangkut, Repek di sini pagi kelmarin.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu ketika berdiri kelihatan seolah-olah seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.

Kejadian misteri itu berlaku kira-kira hampir lapan jam sehingga mengundang ramai penduduk kampung ke rumah tersebut untuk menyaksikan keajaiban sejadah itu yang dikatakan berdiri tanpa bantuan sesiapa.


GAMBAR sejadah berdiri yang sempat dirakamkan oleh Mohd. Faizal di rumahnya di Repek, Pasir Mas semalam.


Namun, kejadian pelik itu berakhir apabila sejadah itu kembali menyembah lantai setelah seorang tetamu yang hadir menyentuhnya meskipun telah dilarang.

Menurut Sharifah Nor, kejadian pelik itu disedari oleh anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, yang kebetulan baru saja terjaga daripada tidur di ruang tamu rumah pukul 8.30 pagi ketika dia sedang sibuk membuka kedai runcitnya.

Menyedari sejadah milik ibunya sedang berdiri, perasaan takut mula menyelubungi Mohd. Faizal dan terus memanggil ibunya yang berada di kedai untuk memaklumkan keadaan tersebut./Sumber: Kosmo

Isnin, 14 September 2009

UMNO LEBIH AWAL KECAM MAHATHIR SEBELUM MIC

Nak tahu kisah-kisah Umno kecam Tun M, cuba tanya muka dia ni.....

Oleh: WFAUZDIN NS

Saya rasa hendak tergelak, kadang-kadang rasa hendak muntah bila mendengar kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim yang mengecam perhimpunan agung MIC yang dikatakan banyak mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir. Pada saya memang layak mantan PM itu dikecam kerana siapa yang tidak tahu apa yang telah Tun buat sehingga berlakunya perpecahan yang maha hebat di kalangan orang-orang Melayu ketika era pemerintahannya.

Apa yang saya ingat, perpecahan orang-orang Melayu mula berlaku ketika Ku Li menentang Tun M menjadi Presiden Umno. Tun Mahathir hampir-hampit tewas dengan aib sekali. Maka, wujudnya Parti Semangat 46 (kemudiannya Parti Melayu S46). Perpecahan orang-orang Melayu bermula kerana kediktatoran Tun memimpin. Apa pula yang berlaku bila Tun M memecat DS Anwar yang ketika itu adalah TPM dan Timbalan Presiden Umno? Alasan pemecatan yang terlalu bodoh dan tidak masuk akal itu menandakan taraf pemikiran Tun M yang semakin `kondem'. Beliau silap besar, beliau sangka DS Anwar sama seperti pemimpin Umno yang sentiasa boleh diperbodohkan dan sentiasa sanggup jadi `pencacai' murahan atau sampai mati mahu jadi `Gurkha' Umno. Kali ini, Tun dapat melihat hasil kerja tangannya di mana orang-orang Melayu telah berpecah lebih teruk sejurus beliau menzalimi DS Anwar.

Oleh itu, pelik apanya jika ramai yang mengecam atau mengutuk Tun M? Umno pun selepas Tun M meletak jawatan, bukan tidak ada ada pemimpinnya yang lagi kuat mengutuk dan mengecam Tun M. Tidak percaya, cuba tanya Dato' Nazri Aziz. Mukhriz anak Tun M pun tahu siapa pemimpin Umno yang selama ini kuat mengecam bapak beliau. MIC mengecam atau mengkritik Tun M memang amat wajar kerana apa pentingnya Tun berkempen menentang Presiden MIC S. Samy Vellu sekarang? Bukankah begitu lama Tun duduk `sekelambu' dengan Samy Vellu semasa pemerintahannya, tidakkah terbau olehnya `kentut' Samy Vellu itu busuk atau tidak?

Lagipun, tindakan beberapa ahli dan pimpinan MIC yang mengecam Tun M baru-baru ini tidaklah sehebat seperti kisah `semburan' ke muka Tun M yang berlaku di Kelantan dahulu. Siapa punya angkara itu? Orang-orang MIC kah? Sebenarnya pemimpin Umno lebih banyak rekod yang menghina Tun M daripada pemimpin MIC. Oleh itu, kita mengharapkan agar Pemuda Umno semak kembali kenyataan beberapa pemimpin Umno yang lebih hebat mengecam Tun M setelah Tun M tiada lagi `kuku'nya. Jika mahu Tun M sentiasa dipuji dan `dijilat', Umno perlu mengambil semula MP Pasir Mas Ibrahim Ali. /wfauzdin.blogspot.com

BETUL KE UMNO TAK SUKA ARAK ? INI BAGAIMANA ?

Mirzan dilantik ahli lembaga pengarah pengeluar arak terbesar Filipina
Harakahdaily
Sun | Sep 13, 09
KUALA LUMPUR, 13 Sept: Ketika kerajaan negeri Selangor melalui Exco agamanya berusaha keras untuk menghalang umat Islam di negeri itu dari terjebak dengan ketagihan arak, anak bekas Perdana Menteri, Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah dalam syarikat pengeluar arak terbesar Filipina.

"Ini adalah urusan perniagaan sahaja," kata Mirzan sebagaimana suratnya kepada laman web The Malaysian Insider selepas berita mengenai perlantikan beliau dalam San Miguel Corp (SMC) disiarkan oleh laman web itu.

Menurut Mirzan, beliau sedang berusaha agar penglibatan SMC dengan arak hanya akan tinggal 15 peratus sahaja tahun depan.

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran beer Filipina. Syarikat ini telah mengeluarkan San Miguel Beer sejak lebih 100 tahun lalu. Beer ini dibuat di Filipina, China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan juga Malaysia. Ia dijual di 60 negara di seluruh dunia, lapor laman webnya.

Menurut Mirzan dalam suratnya itu, syarikat itu sedang berubah haluan ke infrastruktor, kemudahan awam dan tenaga yang diperlukan oleh negara Filipina.

Dengan apa yang dilakukan oleh Mirzan, ia lebih besar kesannya berbanding ketagihan arak secara individu kerana Mirzan akan menyumbangkan tenaga, wang dan fikirannya untuk memajukan perniagaan arak ini.

ImageNamun Mirzan, anak sulong Dr Mahathir ini dalam suratnya menolak perkara itu.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya mahu membantu San Miguel membina pendekatan baru dan harapan saya apabila ianya berjaya akan memberikan kesan baik kepada negara dan rakyat," kata Mirzan.

Berlawanan dengan Mirzan, kerajaan negeri Selangor sedang berusaha mengawal jualan arak ini agar ia tidak diminum oleh orang Islam.

Satu peraturan baru sedang dirangka untuk mengawalnya kerana beer tidak memerlukan sebarang lesen untuk dijual. Yang dikawal oleh undang-undang yang ada hanya liqour sahaja.

ImageUsaha ini dibuat ekoran bantahan umat Islam negara ini apabila kedai 24 jam menjual beer secara bebas kepada rakyat negara ini termasuk kepada umat Islam.

Ia menjadi parah apabila golongan remaja mengambil kesempatan membeli arak ini selepas waktu tengah malam untuk mengelak dari dilihat oleh orang ramai.

Mereka kemudiannya menghabiskan masa tengah malam dengan meminum arak dan kemudiannya tidak segan untuk terlibat dengan aktiviti kurang sihat termasuk merempit dan pecah rumah dan seterusnya terjebak dengan pelbagai jenis kelakuan tidak bermoral lagi.

Sumber: Harakahdaily