Oleh: WFAUZDIN NS
SAKIT hati pun ada, sedih pun ada. Ini aku ikhlas mahu tegur seorang pemimpin yang dianggap kanan juga di dalam parti yang aku sertai. Aku tak mahu sebut nama sebab aku tak berniat nak burukkan sesiapa cuma sekadar menegur.
Aku diminta oleh seorang rakan untuk mengiringinya bertemu dengan si YB ni. Beliau beritahu temujanji telah dibuat melalui SMS beberapa kali untuk bertemu. Akhirnya YB yang popular dan diminati ramai orang ini memberikan tarikh semalam (27 Mac 2012) di antara jam 2.00 petang hingga 5.00 petang untuk bertemu dengannya di Parlimen. Rakan aku ini bekerja dengan Kerajaan dan beliau mahu bawa satu aduan berkaitan beberapa hal mengenai gaji dan lain-lainnya yang diharapkan YB ini boleh kemukakan pertanyaan di dalam Parlimen.
Maka, semalam rakan aku terpaksa mengambil cuti untuk bertemu dengan YB tersebut. Tengahari itu, aku, rakan aku dan seorang lagi pimpinan parti dari Pahang pun bertolak ke KL.Di dalam perjalanan, sekali lagi rakan aku dan aku sendiri menghantar SMS kepada YB ini untuk memberitahu bahawa kami telah bergerak ke KL untuk bertemu beliau sebagaimana yang beliau sendiri cadangkan. SMS kami tidak berjawab. Kami fikir tentu beliau sibuk di Parlimen waktu itu maka SMS kami tidak dijawab.
Akhirnya, sampai di Parlimen kami terpaksa menunggu di Balai Pengawal kerana mereka hanya benarkan kami masuk setelah mendapat pengesahan dari YB berkenaan. Kami pun SMS lagi, tidak berjawab. Pemimpin parti yang kami bawa bersama terus membuat panggilan, malangnya panggilan tidak diangkat. Aku juga membuat panggilan namun tidak juga diangkat, sedangkan nombor telefon kami semua ada pada YB berkenaan kerana telah berurusan beberapa kali sebelum ini melalui SMS. Kami tidak putus asa, mungkin YB ini teramat sibuk ketika itu berbahas, fikir kami. Apabila aku buat sekali lagi panggilan, telefon YB ini ditutup.
Rakan aku, pemimpin parti yang berjawatan agak penting di dalam PKR Pahang ini terus menghubungi MP Kuantan, YB Fuziah Salleh. YB Fuziah menyuruh kami masuk dengan menggunakan nama beliau. Kami pun masuk dan berjumpa dengan YB Fuziah Salleh di luar Dewan Parlimen berhampiran kantin yang pada waktu itu beliau mahu keluar seketika untuk satu urusan lain. Namun, kami sempat berbual seketika dengan MP Kuantan ini. Aku pun SMS MP Batu, YB Tian Chua untuk memohon bantuannya memberitahu YB yang kami mahu temui itu bahawa kami telah berada di luar dewan untuk bertemu dengannya. YB Tian Chua cepat membalas SMS aku dengan menyebut bahawa YB yang kami ingin temui itu tiada di dalam dewan kerana ada urusan lain.
Hati mula merasa sakit, kerana kami datang dari jauh bukan untuk melakukan lawatan ke Parlimen. Lagi pun, tarikh, tempat serta waktu temujanji itu YB berkenaan yang tetapkan, bukan kami. Tapi kami tetap sabar kerana kami fikir YB tersebut mungkin ada tugas lain yang lebih penting dan akan kembali semula ke Parlimen. Kami pun pergi ke kantin untuk minum sambil berbual di situ dengan harapan kami tidak akan pulang kosong.
Agak lama menunggu lebih satu jam, SMS dikirim berkali-kali langsung tidak berjawab maka kami berputus asa. Kami pun beredar meninggalkan Parlimen dengan hati yang sakit di samping tertanya-tanya mengapa kami perlu datang dari Kuantan dengan perbelanjaan sendiri, memandu mengejar masa hanya untuk ditipu sedemikian rupa? Rakan aku yang sememangnya puas untuk memohon cuti hanya diluluskan cuti 1 hari, ternyata sia-sia. Masa terbuang, penat dan buang duit untuk menjadi bodoh seperti ini. Kami pilih YB dari PKR bukan untuk menganiayai orang apatah lagi dari ahli parti sendiri.
Sibuk sangat? Ya, kami tahu YB memang sibuk tetapi masakan untuk sepatah perkataan melalui SMS pun tidak mempunyai masa? Andainya beliau tahu beliau memang tidak ada masa untuk melayani kami hari itu, jawab sahaja SMS mengatakan temujanji ditunda ke tarikh lain. Kami boleh berpatah balik, tiada masalah. Beliau tidak baca SMS kami? Itu bohong kerana kami bukan sahaja mengirim SMS bertalu-talu bahkan membuat panggilan di dua nombor telefon bimbitnya. Beberapa panggilan tidak diangkat, kemudiannya telefon ditutup. Bukan khianat ke namanya itu?
Sewaktu kami telah jauh meninggalkan KL, barulah YB ini SMS aku dengan mengatakan beliau dari pagi lagi ada mesyuarat di Pejabat Parti. Ya Allah, kenapa tidak jawab mesej kami dari awal? Kalau beritahu kami suruh jumpa di Pejabat Parti pun kami sanggup datang.
Dugaan kami bukan setakat itu. Di dalam perjalanan pulang, kereta yang kami pinjam dari rakan lain pula buat hal. Kereta kami mempunyai masalah di tengah jalan iaitu `temperature' heating. Mekanik yang meronda di lebuhraya tiba dan kami terpaksa minta Mekanik tersebut membaiki dan tukar beberapa alat memandangkan perjalanan kami masih jauh dan jika dibiarkan akan membahayakan kami semua. Rakan aku keluar duit poket sendiri dan di`baham' oleh Mekanik sebanyak RM 200 lebih. Biasalah Mekanik ronda ni.
Rupa-rupanya kereta yang kami naiki tidak bertahan lama, masih mengalami masalah yang sama. Kami akhirnya tahu bukan sedikit yang perlu dibaiki, tetapi kami tiada pilihan kerana wang pun tidak mencukupi dan hari pun sudah gelap. Kami teruskan perjalanan perlahan-lahan dan terpaksa berhenti beberapa kali apabila `temperature' terlalu tinggi. Perut lapar, kami berhenti makan di R@R sambil menyejukkan injin kereta.
Aku tidak mahu ungkit pasal kereta yang rosak dan rabaknya duit rakan aku itu. Itu sudah takdir kerana andainya kami dapat bertemu YB tersebut, kereta yang kami naiki itu pasti mengalami kerosakan juga. Tetapi, mungkin berbaloi juga kerana hajat tercapai untuk bertemu YB berkenaan.
Mungkin inilah yang dinamakan perjuangan. Kita diminta untuk berjuang bersama dan membantu parti. Rakan aku itu boleh dianggap hadir ke KL untuk memperjuangkan nasib rakan-rakan sekerjanya di seluruh negara. Beliau bukan hadir untuk kepentingan dirinya seorang. Malangnya, perjuangan beliau dianggap tidak bermakna langsung oleh YB ini.
Sebagai orang yang bekerja dengan parti sepenuh masa, aku nasihatkan rakan aku agar tidak berasa kecil hati. Aku katakan padanya, walaupun kita lihat satu yang tidak baik pada YB berkenaan yang buat kita marah, kita boleh redakan kemarahan kita dengan memikirkan terlalu banyak jasa-jasa beliau terhadap parti dan rakyat. Aku katakan padanya lagi, mungkin kita adalah di antara segelintir sahaja yang YB ini `terlepas pandang', tetapi jangan kita mudah kecewa kerana kita berjuang bukan kerana YB ini tetapi kerana parti yang kita sayangi. Sedih juga aku memikirkan, rakan aku ini terlalu menyanjung YB berkenaan sehinggakan sewaktu YB ini berceramah di Kuantan baru-baru ini, rakan aku sanggup menunggu di luar pintu pagar ceramah untuk bergambar bersama YB yang diminatinya itu. Mungkin, tiada rezeki buat beliau untuk bertemu YB itu sekali lagi.
Pesanan buat YB berkenaan, kami tetap menyokong anda atas nama parti yang anda sering laungkan sebagai parti yang menyanjung konsep keadilan untuk semua. Terima kasih buat YB Fuziah Salleh dan YB Tian Chua yang banyak membantu kami semalam. Buat rakanku, jangan berputus asa, teruskan perjuangan dari dalam kerana setiap perjuangan yang baik dan ikhlas, samada berjaya atau tidak, tetap diberi pahala oleh Allah SWT, InsyaAllah./
wfauzdin.blogspot.com