RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Ahad, 11 Disember 2016

MP KUANTAN TIDAK PERLU POHON MAAF KEPADA KEEGOAN MEREKA

MP KUANTAN, YB Fuziah Salleh (Kak Gee) kini menjadi sasaran Pas Kuantan pula.  Komentar beliau berkaitan Himpunan Solidariti terhadap Rohingya yang disertai oleh PM, Najib Razak, Zahid Hamidi, Hadi Awang, Ustaz Tuan Ibrahim, Pemuda Umno, Pemuda Pas, anggota-anggota Kabinet, pimpinan Pas serta majoriti ahli-ahli Umno dan beberapa ahli Pas di samping ribuan warga Rohingya dianggap oleh Pas Kuantan sebagai menghina pimpinan mereka.

Adakah status yang dicatatkan oleh Kak Gee seperti di bawah ini menghina pimpinan Pas apabila mereka sendiri terjebak dengan 'game' Najib?  Kak Gee mencatatkan;

" Eksekutif paling berkuasa dlm negara ialah seorang Perdana Menteri. !!

Dia boleh pilih untuk putuskan hubungan diplomatik dgn Myanmar. Hantar pulang Ambassador Myanmar di Malaysia contohnya. 

Dia boleh pilih untuk beri tekanan kpd United Nations untuk masuk dan bantu warga Rohingya.
Dia boleh gerakkan OIC. 

Dia boleh gesa negara ASEAN untuk tekan kerajaan Myanmar supaya tidak membisu dlm isu Rohingya.

Dia juga boleh minta persatuan ulama sedunia untuk bersuara.
Dia boleh mintak rakyat Malaysia ramai2 menekan Aung San Su Kyi melalui petition rakyat.
Dan dia boleh buat dasar Boycott Myanmar. 

Tapi MO1 negara kita ni pilih untuk berhimpun secara aman!!!
Tak pernah ada pihak kerajaan dimana2 dlm dunia tunjuk perasan dlm negara dia sendiri ...kerana pihak kerajaan ada KUASA untuk berbuat sesuatu .. they ARE in the position to DO Something! 


Susah betul saya nak faham Politik Matang yg ni !!! " (FB 05 Dis 16)




Di dalam status lain yang sama, Kak Gee mengulas kenyataan Us Tuan Ibrahim yang menyatakan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana Umno tidak akan serah Kerusi kepada Pas dan Pas juga tidak akan serah Kerusi kepada Umno.  Us Tuan juga mengulas tentang betapa pentingnya 'Satu lawan satu".

Ulasan Kak Gee berbunyi;

"Umno tidak akan beri kerusi kepada PAS & PAS tidak akan beri kerusi kpd Umno - Bab ini Saya setuju dgn TITM.
( Tapi kalau Pas lawan 3 penjuru bagaimana pulak? Adakah itu bermaksud Pas bersaing dgn Umno dan bersaing juga dgn party lain yg juga bersaing dgn Umno? Bila pecah undi siapa yg untung? Ermm 🤔
Nak dengar juga pendapat TITM dlm hal ni )"  

Adakah ini kenyataan Kak Gee yang Pas Kuantan merasakan menghina pimpinan mereka sehingga Pas Kuantan meminta Kak Gee memohon maaf atau Pas Kuantan tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Keadilan Kuantan?  Apakah sebelum ini Pas Kuantan atau YDPnya yang juga PJ Pas Pahang dan Adun Tg Lumpur, YB Us Rosli tidak pernah bercakap tentang Keadilan?  Bahkan di dalam kuliah beliau pun Ustaz ini selalu sentuh Keadilan, Amanah dan Dap.  Di dalam kuliahnya pun Ustaz ini pernah ugut Keadilan, jika Amanah bertanding di Kerusi Pas, maka Pas akan bertanding di Kerusi Keadilan.  Ada mana-mana pimpinan Keadilan yang mendesak beliau minta maaf?  

Pada aku, komen Kak Gee itu betul dan tepat.  Jika Pas merasakan komen itu tidak betul, sila tegur dan beri hujah yang betul.  Mengapa perlu ada ugutan dan menunjukkan sikap ego?  Sebenarnya kerjasama dan hubungan Keadilan Kuantan dan Pas Kuantan sudah lama dingin.  Soal mahu hentikan kerjasama itu tidak memberi apa-apa makna di dalam keadaan kerjasama yang tidak lagi wujud.  Masing-masing sudah lama membuat hal masing-masing. 

Aku tabik dengan Kak Gee yang tidak melatah dengan ugutan Pas Kuantan itu.  Teruskan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai MP yang dipilih oleh rakyat.  Penduduk mengenali Kak Gee seorang wanita yang kuat bekerja, walaupun satu ketika berada agak lama di katil hospital namun kembali berjuang membela nasib rakyat.  Beliau seorang MP yang aktif di Parlimen dan aktif di kawasannya.  Banyak permasalahan khususnya di Kuantan telah berjaya beliau bawa ke Parlimen. 

Biarkan rakyat menentukan parti manakah yang konsisten menentang kezaliman Umno/Bn dan parti manakah yang telah menggembirakan Umno/Bn iaitu parti yang semakin menghampiri ajalnya.

Selasa, 29 November 2016

BERSIH DAN HIMPUNAN RAKSASA TIDAK MENYUSAHKAN RAKYAT

SEJAK awal lagi ramai yang tidak percaya bahawa himpunan BERSIH selama ini menyusahkan rakyat.  Ramai yang yakin dari kalangan berbagai bangsa dan agama bahawa himpunan BERSIH itu menjadi satu kewajipan kerana apa yang dituntut oleh BERSIH itu sesuatu yang tidak bercanggah dengan mana-mana agama atau tamadun dunia.  Lebih-lebih lagi dalam Islam, menentang kezaliman aau paling tidak menyekat kezaliman serta ketidakadilan itu satu kewajipan.

Pelik bin ajaib, ada segolongan yang menyatakan BERSIH itu menyusahkan rakyat.  Sekadar berkata demikian tanpa membawa sebarang hujah dan fakta yang meyakinkan, maka tidak pelik golongan ini semakin dipercayai oleh rakyat sebagai penolong kepada rejim yang zalim.  Ini adalah kerana hujah mereka seakan sama, iaitu BERSIH boleh meni,bulkan huru-hara, menyusahkan orang ramai dan jika mahu tukar kerajaan, tunggu Pilihanraya.  Sebijik macam hujah Umno/Bn setiap kali menjelang himpunan BERSIH.

Namun demikian, himpunan dianggap baik dan tidak menyusahkan jika pihak mereka yang menganjurkannya.  Himpunan besar "Raksasa' bakal diadakan tanpa diketahui apakah objektif himpunan tersebut.  Jika BERSIH ada 5 tuntutan, himpunan "Raksasa' mereka untuk apa?

Dikatakan tujuan himpunan ini adalah untuk menyokong RUU Akta 355.  Persoalannya, bukankah peluang telah terbuka di Parlimen baru-baru ini? Bukankah kempen menyokong RUU itu telah diadakan berbulan-bulan sebaik sahaja MP Marang mohon usul RUU itu ditangguhkan pada sesi Parlimen sebelum ini?  Mereka telah adakan forum, wacana, ceramah, bahkan mengirim surat serta bertemu semua MP untuk mengajak mereka menyokong RUU tersebut.  Ertikata lain, sepatutnya mereka telah bersedia untuk bentang, hurai dan bahaskan pada sesi Parlimen kali ini yang berakhir pada 24 Nov kelmarin.   

Malangnya, sekali lagi MP Marang minta tangguh pada siri akan datang pula, ertinya tahun depan iaitu 2017.  Tiada siapa yang menentang, tiada yang berbunyi, Dap pun senyap sepi, begitu juga MCA atau Gerakan, tiba-tiba MP Marang mahu tangguh atas alasan ramai yang belum memahami RUU tersebut.  Pelik bin ajaib, bagaimana mahu faham RUU yang tidak dihurai serta dibentangkan?  Itulah politik dan Umno/Bn tentu bergembira atas kejayaan berulangkali strategi mereka.  Hudud kini jauh tertinggal, RUU Akta 355 pula tersangkut-sangkut.  Ini salah Dap, mungkin.

Jumaat, 25 November 2016

RUU AKTA 355 - HADI BAWA, HADI TANGGUH DUA KALI TANDA TIADA PERSEDIAAN

HARI itu aku begitu teruja menanti Usul Persendirian dari Marang berkaitan RUU Akta 355. Tentunya kita nak tahu apa yg Hadi nak bawa hujah setelah penggal yg lalu beliau hanya baca tajuk saja.

Bila tiba giliran Marang, beliau bangun dan baca lagi usulnya, kemudian dia berkata, "Oleh kerana ramai yg tak faham usul ini, saya akan huraikan pada siri Parlimen akan datang". Tiga minit saja Marang bercakap. Speaker pula kata, usul ini hanya untuk dibaca je dulu.

YB Khalid Samad, YB Dr Mujahid dan YB Fuziah Salleh minta bentuk Jkuasa dulu melibatkan semua pihak. Adakah Jkuasa telahpun dibentuk kerana usul dari Marang ini telah dibaca pada penggal yg lepas dan kali ini masih dibaca tajuk juga. YB Khalid Samad tanya, apa jaminan selepas ini tiada pindaan lagi terhadap usul ini? YB Khalid Samad tegas memohon agar usul dibawa oleh Marang ini dibahaskan hari ini juga. YB Mujahid kata, beliau tidak mahu usul ini berpanjangan sekadar baca tajuk dari satu sidang ke satu sidang yg lain tanpa ada tindakan pro aktif.

Maka, sekali lagi usul ini tergantung tunggu sidang Parlimen akan datang. Ertinya, tiada beza penggal yg lalu dengan penggal sekarang. Pada penggal yg lalu, seolah2 penting sangat usul ini sehingga melangkau giliran usul2 lain, tetapi masuk penggal ini kita hanya dapat dengar tajuk usul saja. Tiada huraian, jauh sekali untuk bahas.

Aku puji YB Khalid yg tegas minta usul ini dihuraikan dan dibahaskan hari ini juga kerana ianya penting. Seperti yg dijangka, cadangan YB Khalid itu dibawa angin lalu......

Kesimpulannya, memang benarlah bahawa Pas tidak bersedia untuk bawa RUU Akta 355 ini. Kegopohan Pas membawa kontroversi berpanjangan namun seperti biasa Pas akan tetap letak kesalahan atas orang lain.

Mudah-mudahan penggal akan datang betul2 jadi. Tiada lagi drama...

Isnin, 21 November 2016

SELAGI ADA UMNO DAN SEKUTU MEREKA GOLONGAN LEBAI KUNO, BERSIH AKAN MUNCUL LAGI


BERSIH Done !!  Salute aku tunjukan kepada pihak penganjur dan paling aku respek adalah dari semua peserta BERSIH5 kali ini.  Himpunan 19/11 akan menjadi satu lagi lakaran sejarah apabila himpunan kali ini selepas Himpunan BERSIH4 dulu tidak disertai oleh golongan lebai yang kononnya benci Umno tetapi masih mengangkang di rumah sambil berharap Umno kalah di dalam Pilihanraya.  

Berbagai propaganda diwar-warkan di media kawalan Umno termasuk juga di media-media sosial bahawa BERSIH5 ini ditaja oleh Soros, penyangak mata wang.  Tidak cukup dengan itu, ada sekumpulan budak-budak jamban yang diketuai oleh Jamal Jamban berbulan-bulan mengadakan usaha agar rakyat takut dengan mereka dan tidak akan menyertai BERSIH.  Mereka mencetuskan provokasi dan berlagak samseng, mengugut rakyat dan pimpinan BERSIH sehingga ke tahap jenayah, tapi kadangkala menjadi bahan lawak pula.  Mereka menunjukkan aksi silat, memukul diri sendiri dengan kayu dan berakhir dengan drama hidung Jamal Jamban berdarah dek pukulan seorang wanita bernama Zuraidah.  Yang ini melucukan.

Puak lebai pula apa kurangnya.  Setelah mereka sendiri turut menyokong dan menyertai BERSIH 1, 2 dan 3, secara tiba-tiba BERSIH dihukumkan 'haram'.  Ada pula yang tidak berani menghukumkan haram tetapi berbelit-belit dengan katanya menyokong matlamat BERSIH namun tidak akan menyertainya.  Ibarat mahu kahwin, tapi enggan berjimak.  Bak kata Tok Usin UG Ceroi.  

Biar apa pun usaha geng-geng Umno ini yang turut dibantu oleh geng-geng lebai untuk menggagalkan BERSIH5, namun rakyat majoritinya tidak sebodoh mereka.  Jual lah atas apa nama sekalipun, jual atas nama undang-undang negara mahupun jual atas nama agama, rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi.  Maka, tinggallah Umno dan geng-geng lebai menghitung hari untuk dicampakkan oleh rakyat ke dalam sejarah kumpulan pengkhianat yang memakan dedak.

Apakah BERSIH akan muncul lagi selepas kejayaan cemerlang ini?  Jawapannya, Ya.  Selagi ada Umno yang berkuasa dan dibantu oleh geng-geng lebai, maka BERSIH tetap akan muncul.  BERSIH bukan ikut kata Tun Dr Mahathir seperti yang didendangkan oleh puak-puak Assobiyyah Umno dan geng-geng lebai kerana terbukti tanpa Tun Dr Mahathir pun selama ini, BERSIH terus mara untuk menyelamatkan negara.



 

Khamis, 17 November 2016

WALAUPUN PENYOKONG TEGAR PAS, SAIFUL ISLAM MENULIS "MENGAPA SAYA TURUN BERSIH?"

 
 
 
Dari FB Saiful Islam

KENAPA SAYA TURUN BERSIH 5 ?

1) Saya demonstran Bersih 1 (10 Nov 2007), Bersih 2 (09 Julai 2011), Bersih 3 (28 April 2012) dan Bersih 4 (29-30 Ogos 2015).

2) Bersih 1 saya masih mahasiswa tahun 3 di KIAS Nilam Puri, Kelantan. Bersama sekitar 10 teman mahasiswa, kami naiki bas dari Nilam Puri dan sampai ke Hentian Putra, KL, seterusnya berehat sebentar pagi itu di Pejabat Agung PAS, Jln Raja Laut. Kami bergerak bersama Pemuda PAS Pusat menuju Dataran Merdeka dan selamat dari sekatan FRU di situ, terus menuju Istana Negara melalui Masjid Negara dan membentuk gabungan yang cukup besar dengan pergerakan dari tempat-tempat lain.

3) Bersih 2 saya baru sahaja berkahwin sekitar 1 bulan. Saya bersama isteri, adik perempuan dan seorang sahabat Pemuda PAS Lembah Pantai, Sdr. Khalil Zawawi dan isterinya. Kami menaiki LRT. Saya bersama pergerakan dari Jln.Pudu-Pudu Sentral, antara lokasi tembakan gas pemedih mata yang cukup menyakitkan. Kali pertama saya dan isteri menyedut gas itu. Saya saksikan beberapa teman dibelasah teruk berdekatan sebuah hospital Cina di situ.

4) Bersih 3 saya bertugas bersama Jabatan Amal Malaysia (AMAL) dari Brickfield menuju Masjid Jamek. Kami ditembak dengan gas pemedih mata bertalu-talu diantara Masjid Jamek dan bank-bank di hadapannya. Himpunan paling dahsyat saya saksikan dan tangkapan paling besar, iaitu 512 tangkapan. Bukan sahaja 'darah tumpah' dari hidung seperti Jamal, tetapi puluhan yang cedera dibelasah polis di bawa ke hospital.

5) Bersih 4 saya beranikan diri untuk turun juga bersendirian ke Dataran Merdeka walaupun parti saya tidak turut serta. Hari kedua, saya bawa isteri dan anak-anak kerana melihat situasi himpunan yang sangat aman tanpa gangguan dan provokasi liar dari mana-mana pihak walaupun mendapat sedikit sindiran dari teman-teman yang taat tidak mahu sertai.

6) 19 Nov 2016 Sabtu ini, Bersih 5. Sekali lagi saya nekad akan sertai insya'Allah, walaupun pergi berseorangan tanpa ada kawan-kawan yang mahu turut serta kerana 'tiada arahan'. Kenapa saya akan sertai?

i) Ustaz-ustaz dan murabbi saya yang telah mentarbiyyah saya dan kawan-kawan bahawa kita menerima sistem demokrasi (termasuk pilihanraya) untuk mengambil alih kerajaan secara damai (muwajahah bis silmiyyah) demi membentuk sebuah negara yang baik dan dipimpin oleh orang yang baik. Maka, pilihanraya mesti bersih dan adil untuk memastikan kita mendapat kemenangan.

Saya diajar dengan kaedah Fiqh: [Tidak sempurna perkara wajib melainkan dengan adanya ia, maka perkara itu juga menjadi wajib]. Menegakkan negara yang baik itu wajib. Memasuki pilihanraya itu wajib. Menuntut pilihanraya bersih dan adil itu wajib. Turun beramai-ramai meluahkan tuntutan itu wajib.

Mereka ajar saya.

ii) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya, diam dari menyatakan kebenaran adalah syaitan bisu (Mafhum Hadith). Saya dengar dan belajar dari mereka bahawa, Allah akan mengazab kaum yang melihat kezaliman, tetapi mereka diam. Bercakap yang benar dihadapan pemimpin zalim adalah jihad. Jika dibunuh, syahid. Lidi sebatang boleh dipatah, seberkas lidi agak susah. Seorang bersuara, kerajaan pekakkan telinga, ramai-ramai bersuara kerajaan boleh mengalah. Selemah-lemah iman cegah mungkar dengan hati dan lain-lain.

Saya tidak pasti apakah masih ada yang tidak merasakan kerajaan yang ada pada hari ini melakukan sekian banyak mungkar dan kezaliman atau tidak terasa betapa bebannya hidup di Malaysia saat ini. Saya merasai keperitan itu. Maka saya perlu sertai himpunan ini.

iii) Bersih dipimpin oleh Ambiga (Non Muslim) dan kelompok tidak berfikrah Islam (Maria Chin dll)?

Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya dengan kisah Nabi s.a.w turut serta dalam Hilful Fudhul di rumah Abdullah bin Jud'an sewaktu Nabi masih kecil dalam misi menyelamatkan satu puak yang dizalimi, walaupun perjanjian itu dimeterai bersama oleh pemimpin jahiliyyah. (Sila baca Sirah Nabi - jangan jadi aktivis dakwah pemalas ).

Saya diulang berkali-kali tentang sikap Nabi terima bantuan dari orang kafir dalam perkara kebaikan seperti Abu Talib, Abdullah bin Uraiqit (musyrik membantu hijrah) dan jiran Abu Bakar non Muslim yang banyak membelanya.

Dimana salah dan haramnya terlibat melawan kezaliman dan penindasan jika dipimpin oleh non-Muslim? Dan salahkan jika non Muslim yang ramai hadir mendominasi himpunan ini? Anda yang tidak mahu sertai, lalu anda mempersoalkan kenapa ramai non-Muslim (Cina dll). Apakah anda beranggapan Melayu, Muslim sahaja yang rasa terbeban dengan keadaan negara pada hari ini?

iv) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah, Allah tidak tanya apa hasil perjuangan, tetapi berjuang atau tidak. Dibawakan kisah burung memadam api yang membakar Nabi Ibrahim ( ada yang menyebut ini kisah Israiliyat, tetapi boleh diambil pengajarannya). Lalu saya difahamkan, memang kerajaan atau SPR khasnya tidak peduli semua tuntutan kita, tetapi setidak-tidaknya mereka terima satu dan paling penting, kita sudah melakukan usaha yang terdaya.

Bahkan bagi yang memperlecehkan usaha berhimpun dari Bersih 1-4 tidak membawa perubahan langsung, ini dakwaan mereka yang buta politik dan sebenarnya tidak membaca pun hasil himpunan Bersih terhadap PRU 2008 dan PRU 2013. Dakwat kekal antara yang berjaya diperjuangkan walaupun masih tidak dijalankan secara baik.

v) Matlamat Bersih sudah lari, terima dana dari pihak asing, pijak gambar pimpinan, provokasi, kekasaran dan lain-lain.

Saya tidak tahu disudut apa matlamat Bersih sudah lari. Jika tuntutan-tuntutan Bersih ada perubahan, seperti dakwat kekal tidak dimasukkan lagi kerana ia sudah dilaksanakan. Maka dimasukkan tuntutan-tuntutan baru yang masih dalam lingkungan 'pilihanraya bersih'.

Terima dana dari asing saya tidak tahu dimana sumber maklumatnya. Yang pasti isu dana asing ini doktrin TV3, Utusan dan pemimpin Umno sejak Bersih 1 lagi.

Ustaz-ustaz dan murabbi saya selalu peringatkan agar hati-hati dengan provokasi untuk burukkan himpunan Bersih. Mungkin ada pihak yang diupah atau SB yang melakukan aksi-aksi radikal untuk burukkan himpunan termasuk memijak gambar mana-mana pimpinan negara atau parti-parti tertentu. Saya yakin pijak gambar pimpinan bukan restu penganjur Bersih dan jika benar itu peserta Bersih, penganjur sudah memberi kerjasama agar pihak keselamatan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
------------------------------------------------
Cukuplah 5 alasan saya ini, saya akan sertai Bersih 5. Saya hormati anda yang memang ada strategi atau pendekatan lain yang diyakini lebih syar'ie bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Dan anda jangan kecam saya yang mahu turun!

Saya tidak ada lagi alasan untuk tidak turun di usia 30 tahun yang muda dan masih ada kekuatan ini. Saya mempelawa semua kawan-kawan yang bersama saya pada Bersih 1, 2, 3 & 4 untuk turut serta pada 19 Nov! Jangan lupa saat indah sewaktu tangan kita pernah bersilang erat dulu demi negara yang lebih baik!

Saya turun sebagai rakyat Malaysia!

- Abi Sumayyah -
16 Nov 2016 : Kuala Lumpur

Rabu, 16 November 2016

MAHU TUNGGU SIAPA LAGI MENJADI MANGSA?



MAHU tunggu siapa lagi yang dipenjarakan?  Anwar telah pun merengkok di dalam.  Rafizi pula bakal merengkok juga di dalam.  Yang masih menanti giliran adalah Tian Chua, Nurul Izzah dan beberapa pimpinan lagi.  Kita masih merasa selamat di luar sebab kita merasakan tidak kena pada kita, adik beradik, keluarga atau saudara mara kita.

Sampai bila kita mahu mempertahankan kezaliman ini?  Sampai bila kita hanya mampu menggelengkan kepala dengan apa yang kita saksikan?  Masakan kita tidak tahu apa yang Anwar dan Rafizi perjuangkan?  Adakah mereka mahu memperjuangkan nasib diri dan keluarga mereka sahaja?  Anwar bukan dari keluarga yang susah macam kita.  Sebelum dipenjarakan, Anwar ada gaji sebagai Ahli Parlimen dan ada elaun Ketua Pembangkang.  Isterinya juga adalah Wakil Rakyat yang mempunyai gaji dan elaun yang bukan sedikit.  Anaknya, Nurul Izzah pun begitu.  Anwar bukan keluarga susah macam kita.  Tapi mengapa Anwar sanggup masuk penjara untuk kali kedua?  Begitu juga Rafizi.  Sebelum menceburi politik, Rafizi ada kerjaya lumayan di Petronas dengan gaji puluhan ribu sebulan.  Bila dia jadi Ahli Parlimen, dia juga mendapat gaji dan elaun belasan ribu sebulan.  Rafizi bukan hidup susah macam kita.  Kita lihat sendiri bila Rafizi istiharkan hartanya secara sukarela, beliau memiliki simpanan lebih dari sejuta ringgit.  Bukan dari duit rasuah, komisyen atau sebagainya,  

Apakah kita rasa Anwar dan Rafizi sanggup masuk penjara kerana kepentingan diri?  Anwar dan Rafizi korbankan kesenangan yang ada tidak lain tidak bukan adalah kerana kita.  Kerana rakyat.  Mereka tahu rakyat tengah derita dan sengsara sekarang.  Mereka tahu banyak hak rakyat yang telah dirompak oleh penyamun.  Maka, Anwar dan Rafizi dedahkan agar kita tahu bahawa kita susah kerana hak kita telah dirompak.  Apakah kita masih mahu berdiam diri?  Tidak cukupkah lagi mereka menjadi korban kerana sikap kita yang tidak ambil kisah ini?

Cukuplah.  Marilah kita sama-sama baiki negara kita.  Tidak perlu lagi kita tunggu korban-korban seterusnya.  Sekarang giliran kita pula untuk berkorban, bukan perlu masuk penjara atau perlu ke depan seperti Anwar atau Rafizi.  Kita hanya perlu turun BERSIH pada 19 Nov ini.  Kita turun dengan aman, dengan satu tekad iaitu untuk memberitahu rejim bahawa kita sebagai rakyat tidak lagi redha dan restu hak-hak kita dirompak.  Kita mahu rejim hentikan kemungkaran ini.  

Ayuh, tunjukkan sokongan kita pada BERSIH bagi melawan kekotoran rejim.  Selamatkan negara tercinta ini.

Khamis, 10 November 2016

KONVENSYEN PH - TIBA MASANYA PH BUAT KEPUTUSAN LOJIK DAN RASIONAL

 
APABILA sahih Pas tidak akan bersama barisan Pembangkang yang lain untuk berada dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 Nov ini, maka sudah sampai masanya PH berfikir secara bijak dan rasional samada Pas berupaya membantu Pakatan Pembangkang.

Bersikap baik, ingin berbaik dan tidak mahu berpecah sesama Pembangkang telah pun kita lakukan begitu lama.  Tidakkah sampai ke hari ini Pas tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama kita?  Maka, sampai bila kita mahu berjalan perlahan sambil mengangkat tangan melambai-lambai kepada Pas untuk bersama kita bertempur melawan rejim Umno/Bn?  Sepatutnya lambaian itu adalah "selamat tinggal kepada Pas" dan jangan kita ganggu lagi usaha Pas untuk berbaik dengan rejim Umno/Bn.

Biarlah Pas dengan keimanan dan istiqomahnya mengharapkan Umno akan bantu parti itu untuk menegakkan Islam.  Kalau Pas sudah yakin Umno boleh laksanakan Islam bersama parti tersebut, biarkan saja.  Kita tetap anggap Umno penipu besar, usahkan untuk laksanakan undang-undang Islam, untuk melaksanakan akhlak dan ketelusan sebagai insan pun Umno tidak mampu lakukan.  Dipalit dengan skandal 1MDB dan pemimpinnya sudah mengaku ada duit masuk di dalam akaunnya berbilion ringgit, maka kita takkan percaya Umno mahu Islam.  Pas mahu percaya, itu hak Pas.

Sehubungan itu, tinggalkan Pas dan kita mara ke depan dengan kekuatan yang kita ada.  Jangan kita masih bermimpi dengan kisah-kisah lalu.  Pas bukan seperti dulu lagi, kita jangan lupa.


Ahad, 6 November 2016

BERSIH5 PAHANG - MENGAPA YB DARI KEADILAN TIDAK MENONJOL?

 
ADA sahabat tanya aku, kenapa YB2 dari Keadilan seperti tak menonjol dan ke depan dlm Jelajah Bersih5 Pahang?

Aku nak jawab, sememangnya pimpinan Keadilan khususnya YB2 kami tidak menonjolkan diri ke hadapan sepanjang Jelajah Bersih5 ini kerana kami tidak mahu Bersih dilihat di bawah pengaruh politik kepartian. Sebab itu yg mengetuai Bersih5 Pahang bukan pimpinan utama parti atau YB bahkan dilantik seorang aktivis wanita sahaja.

Namun demikian, kesemua pimpinan dan YB2 Keadilan turun di dalam banyak program Jelajah Bersih khususnya dlm program2 besar atau utama seperti penyerahan obor Bersih. Mereka juga banyak beri pandangan, nasihat, bahkan sedikit sebanyak menyumbang kpd aktiviti BERSIH. 

Tahukah anda, pejabat khidmat MP Kuantan YB Fuziah Salleh telah menjadi mangsa simbahan cat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab hanya kerana bangunan pejabat beliau dibenarkan sebagai Pusat Operasi Bersih5 Pahang?

Pimpinan2 politik dari Keadilan, Dap dan Amanah juga turut meraikan peserta2 BERSIH5 ini setiap kali mereka sampai ke kawasan mereka. BERSIH melampaui sentimen kepartian kerana perjuangan BERSIH adalah untuk rakyat MSia keseluruhannya.

Khamis, 3 November 2016

BIAR KITA YANG BUKA PINTU, JANGAN KITA MASUK PINTU MEREKA

PAS buka pintu kepada PH?  Baca tajuk je pun aku mahu ketawa.  Bukan apa, kita semua tahu bahawa PH sewaktu seawal ditubuhkan lagi telah menyatakan bersedia untuk membuka pintu kepada mana-mana pihak untuk bersama PH melawan rejim Umno/Bn yang zalim itu.  PH tidak pernah menyatakan keinginan untuk menyertai 'rumah' orang lain, termasuk 'rumah suci' Pas.

Oleh itu, bila membaca kenyataan "Pas bersedia untuk buka pintu kepada PH dengan syarat jangan buat onar dalam rumah Pas", tentulah kita yang tidak berada dalam perigi buta ini tertawa.  Siapa 'offer' siapa ni?  PH atas dasar tidak berdendam dan berbaik sangka menyatakan bersedia untuk menerima mana-mana pihak untuk bersama.  Kalau tidak berada dalam PH pun, berada dalam satu saf perjuangan pun tidak mengapa asalkan sasarannya sama iaitu, Najib, Umno dan Bn.  Parti Bersatu sebagai bukti telah diterima sebagai rakan PH dengan syaratnya mudah iaitu sanggup bersusah bersama untuk menentang rejim.

Sekiranya Pas pula membuka pintu rumah sucinya itu untuk PH masuk dengan syarat-syaratnya, kita ucapkan terima kasih sajalah.  Biarlah Ikatan sahaja yang menjadi penghuni di dalam rumah suci Pas itu.  Aku rasa PH tidak berselera berada di dalam rumah tersebut apatah lagi apabila melihat semakin ramai penghuninya yang secara senyap-senyap keluar dari tingkap dan meninggalkan rumah suci yang bersejarah itu.

Di dalam waktu yang sama, aku suka ingatkan PH tentang kisah Hang Tuah dan Hang Jebat.  Dua sahabat baik, apabila menjadi seteru, Hang Jebat cuba memerangkap Hang Tuah dengan membuka pintu istana dan menjemput Hang Tuah masuk ke dalam.  Hang Tuah, walaupun dia amat sayang kepada Hang Jebat kerana itulah rakannya sejak kecil, tapi Hang Tuah sedar akan tipu muslihat Hang Jebat itu.  Maka, Hang Tuah mengambil sikap berhati-hati sekali.

Umno memang kita kenali memang kaki kelentong.  Sesiapa yang berbaik dengan kaki kelentong, tidak mustahil akan belajar kelentong juga.  Sehubungan itu, elok lupakan saja pintu yang dibuka oleh Pas itu.  Lebih baik jika kita yang membuka pintu kepada mana-mana pihak yang mahu bertahalluf dengan kita untuk menumbangkan rejim Umno/Bn.  Rumah kita tidak perlu kepada Penasihat rejim yang akan buat semak di dalam rumah kita.

Rabu, 2 November 2016

PERLUKAH EZAM DISEKAT UNTUK BERSAMA MELAWAN REJIM NAJIB?



EZAM Mohd Noor kini bukan lagi ahli Umno dan Bn.  Beliau secara sah telah menyertai PPBM atau aku lebih suka menyebut sebagai "Bersatu".  Ertinya, beliau kini adalah musuh Najib, Umno dan Bn.  Musuh Ezam sekarang adalah musuh kita juga.  Sepertimana kita mahu Najib, Umno/Bn tumbang seberapa segera, begitulah juga Ezam, begitulah juga kehendak Parti Bersatu.

Aku sebenarnya merasa bersyukur kerana Ezam tidak memohon untuk menyertai Keadilan.  Aku tahu tidak semudah itu untuk Keadilan menerima Ezam kembali.  Ramai warga Keadilan masih terluka dan terasa hati dengan gelagat Ezam sewaktu beliau meninggalkan Keadilan, apatah lagi apabila beliau 'mengganas' menyerang Anwar dan keluarganya selepas itu sehingga serangan beliau itu terlalu peribadi dan lebih berbisa dari serangan Tun Mahathir sendiri.  Siapa dari warga Keadilan yang sudah lupa dalang fitnah Liwat 2?  Kita semua tahu siapa yang bertemu Saiful sebelum babak fitnah ini bermula.  Ezam tidak boleh menafikan penglibatannya.  Oleh itu, tidak pelik jika kami dari Keadilan terlalu sukar untuk menerima Ezam jika Ezam mahu kembali bersama Keadilan.  Nasibnya baik, Ezam tidak memohon untuk menyertai Keadilan, seperti juga Tun Mahathir atau Muhyidin.

Apakah atas alasan di atas, maka sudah berakhir dunia ini buat Ezam?  Apakah Ezam tidak berhak untuk memperbetulkan jalannya?  Apakah kita rela melihat Ezam berterusan menyokong rejim zalim dan penfitnah terbesar itu?  Salahkah Ezam untuk bersama Tun Mahathir dan Muhyidin beserta rakan-rakan bekas Umno yang lain menebus dosanya dengan menghunus keris untuk menentukan hayat Najib, Umno/Bn berkubur seberapa segera?

Kita telah menerima Tun Mahathir dan Muhyidin di dalam saf perjuangan kita walaupun berbeza parti.  Apakah Tun Mahathir dan Muhyidin tidak berdosa kepada kita sebagai rakyat, lebih-lebih lagi kepada Anwar dan keluarganya?  Jika kita boleh berlapang dada menerima Tun Mahathir dan Muhyidin bersama Bersatu untuk kita mara ke medan perjuangan, mengapa harus kita kecualikan Ezam?  Tidak adakah sedikit ruang untuk kita memberi peluang kepada Ezam agar beliau boleh buktikan bahawa beliau kini adalah Ezam yang sebenarnya, Ezam yang dulunya anak didik Anwar.  Ikutkan hati dan perasaan, memang kita mahu Ezam musnah dengan kesilapannya yang lalu.  Tapi kita diajar oleh Anwar, kita bukan pejuang yang pendendam. 

Biarlah Ezam berjuang di dalam Bersatu.  Aku yakin satu hari nanti Ezam akan lakukan seperti Tun Mahathir dan Muhyidin lakukan iaitu bertemu Anwar dan sama-sama hulurkan tangan.  Walaupun Anwar tidak pernah menuntut itu semua, tapi Anwar tidak pernah lari dari menyambut salam dari tangan-tangan insan yang pernah menyiksanya.  Itulah Anwar dan tidak ramai yang boleh jadi seperti Anwar, jauh sekali kita. 

 

 

Selasa, 25 Oktober 2016

KONVOI JELAJAH BERSIH5 DI PAHANG MULAI CUBA DIGANGGU

PADA 22 Okt 2016, Sabtu jam 5.00 petang, konvoi Jelajah BERSIH5 dari Terengganu telah sampai terlebih dahulu di Pintu Gerbang sempadan Kemaman/Kuantan di Chendor.  Tidak beberapa minit kemudian, konvoi lebih dari 20 buah kenderaan yang bergerak dari Pejabat Adun Semambu, Indera Mahkota pun tiba di Pintu Gerbang Kemaman bagi menyambut obor BERSIH5 untuk meneruskan Jelajah BERSIH5 ke Negeri Pahang pula.


Serah menyerah obor dari Terengganu kepada Ketua Koordinator BERSIH5 Pahang, Puan Sitarunnisa disaksikan juga oleh MP Indera Mahkota yang juga Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Adun Semambu YB Lee Chean Chung dan Adun Teruntum YB Sin Choon Siang, kesemuanya dari Keadilan.  Selain dari pimpinan Keadilan Negeri Pahang, turut serta adalah wakil dari pimpinan Parti Amanah tempatan serta pimpinan NGOs.



Selesai serah menyerah obor, konvoi Jelajah BERSIH5 terus membawa obor BERSIH5 ke Pejabat MP Kuantan, YB Fuziah Salleh untuk disimpan sebelum memulakan jelajah keesokkannya.  Pada 23 Okt 2016, jam 09.00 pagi Jelajah BERSIH5 telah mula memenuhi perkarangan UTC, tengah bandar Kuantan.  Di UTC, Jelajah BERSIH5 Peringkat Negeri Pahang dilancarkan secara resminya oleh MP Kuantan, YB Fuziah Salleh.  Di dalam ucapan beliau, YB Fuziah menjelaskan secara panjang lebar 5 matlamat utama perjuangan BERSIH5.  Selesai pelancaran, peserta-peserta Jelajah BERSIH5 membuat edaran risalah BERSIH5 kepada semua yang berada di sekitar UTC dan pasar pagi berhampiran.





Jelajah BERSIH5 kemudiannya bergerak ke Kg Tiram, Indera Mahkota bagi menemui dan memberikan sokongan kepada anak-anak muda yang berada di Pertandingan Futsal Piala MP Indera Mahkota/Dun Semambu bertempat di Gelanggang Futsal Kg Tiram.  MP Indera Mahkota, YB Dato Fauzi Abdul Rahman dan Adun Semambu YB Lee Chean Chung turut menyaksikan pertandingan tersebut dan seterusnya menyampaikan piala dan hadiah kepada Johan Pertandingan iaitu Tim Galing Baru dan Naib Johan, Tim Bukit Bayrot.  

 



Selesai saja pertandingan, Jelajah BERSIH5 terus menuju ke Taman Gelora untuk mengadakan gotong royong membersihkan kawasan Taman Gelora.  Peserta-peserta Jelajah BERSIH5 berehat dan makan tengahari di Taman Gelora di samping mengedar risalah kepada para pengunjung.


Pada 24 Okt 2016, Jelajah BERSIH5 meneruskan jelajah memasuki kawasan Rompin.  Di sinilah bermulanya Jelajah BERSIH5 telah diprovokasi oleh Kumpulan Baju Merah di Leban Chondong, Rompin.  
Konvoi Bersih 5 dalam misi mengedarkan risalah dan memberi penerangan berkaitan gerakan itu dihalang oleh sekumpulan penduduk yang menanti di Leban Chondong.  Konvoi yang menuju ke Bandar Kuala Rompin selepas singgah di Leban Chondong kemudiannya ditahan di Kampung Derahman sekitar jam 12.30 tengahari.   Setelah ditenteramkan oleh pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, keadaan kembali tenang dan konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Kuala Rompin dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke lokasi yang ingin dituju iaitu di Kedaik, kawasan perkampungan Orang Asal untuk mengadakan "Medical Camp" kepada para penduduk di situ.  




Sambutan dari masyarakat setempat amat baik sekali.  Tahniah kepada peserta Konvoi BERSIH5 yang berjaya menangani provokasi oleh Baju Merah dengan baik dan berdisiplin sekali.  Kerjasama pihak Polis juga amat baik dan diharapkan akan berterusan sehingga Jelajah BERSIH5 di Pahang ini berakhir pada 18 Nov ini nanti.  Esok, 25 Okt 2016, InsyaAllah, BERSIH5 akan berada di Kawasan Paya Besar iaitu di Taman Tas, Kuantan pula.

Sabtu, 22 Oktober 2016

AYUH BERSAMA JELAJAH BERSIH5 DI PAHANG BERMULA PETANG INI


BERSIH5 kini menghampiri sempadan Pahang.  Petang nanti, Sabtu (22/10/16) lebih kurang jam 05.00 petang Jelajah Bersih yang telah menghabiskan tugasnya di Terengganu akan memasuki sempadan Pahang dan kami dari warga Pahang akan menyambutnya di Pintu Gerbang Kemaman/Kuantan (Chendor).

Kepada rakyat Pahang yang menyokong perjuangan Bersih diseru untuk beramai-ramai menyambut kehadiran Jelajah Bersih ke bumi Pahang.  Lokasi berkumpul dengan kenderaan masing-masing adalah di Pejabat Komuniti Adun Beserah, Jalan Hj Ahmad, Kuantan pada jam 2.30 petang untuk menerima taklimat pergerakan dan keselamatan.  Para peserta yang akan berkonvoi ke Pintu Gerbang Kemaman digalakkan memakai pakaian berwarna Kuning Bersih atau kuning.



Menyedari Jelajah Bersih ini akan menghadapi risiko provokasi daripada pihak-pihak tertentu, maka aspek keselamatan perlu diutamakan.  Dilarang samasekali para peserta membawa sebarang peralatan merbahaya atau sebarang senjata tajam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.  Para peserta juga dilarang mencetuskan kontroversi atau menimbulkan sensitiviti agama mahupun perkauman sepanjang Jelajah Bersih.  Apa yang perlu disampaikan adalah mesti berpandukan kepada objektif perjuangan Bersih yang sedia maklum.  Sebarang kegiatan sepanjang Jelajah Bersih ini mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Sekretariat Bersih.

Adalah dilarang samasekali peserta bergerak bersendirian atas nama Jelajah Bersih ini.  Larangan ini adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan para peserta Bersih.  Sekiranya berlaku sebarang kejadian atau provokasi, semua peserta mestilah mematuhi arahan pihak berkuasa atau Sekretariat Bersih.  Tidak dibenarkan para peserta bertindak bersendirian dan pihak Bersih tidak akan bertanggungjawab ke atas sesiapa yang tidak mematuhi arahan yang diberikan.

Sekali lagi, rakyat Pahang diseru untuk bersama-sama menyertai Jelajah Bersih yang akan bermula petang nanti,  keesokkannya di UTC Kuantan dan seterusnya mengikut jadual yang ditetapkan dengan penuh aman dan tertib.  

Ahad, 16 Oktober 2016

MENJAWAB KENYATAAN TERBARU PJ PAS PAHANG

SEBELUM aku ulas kenyataan PJ Pas Pahang, ada baiknya kita baca dulu apa yang beliau sebut;


PAS PAHANG TETAP DENGAN PENDIRIANNYA.
 

PAS Pahang tidak akan menyerahkan walau satu pun kerusi yang ditandingi pada PRU 13 yang lalu kepada mana-mana komponen Pakatan Harapan.

Kerusi yang ditandingi PAS pada PRU 13 yang lalu adalah hasil muafakat dalam Pakatan Rakyat. Kini PAS dan PKR masih lagi berada di dalam Pakatan Rakyat, maka semua kerusi antara PAS dan PKR adalah berdasar kepada status quo.

Namun suasana politik terkini memungkinkan Pakatan Harapan akan bertanding di kerusi PAS melalui komponennya samaada PAN atau DAP.

PAS Pahang menegaskan bahawa jika sekiranya Pakatan Harapan bertanding di kerusi PAS bertanding, PAS Pahang juga akan meletakkan calonnya termasuk di kerusi PKR bertanding.

Kerana PKR adalah komponen Pakatan Harapan, maka diharapkan PKR dapat berbincang sebaik mungkin untuk rakan-rakan Pakatannya tidak menganggu kerusi PAS bertanding.

Keputusan ini telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri Pahang baru-baru ini, kerana jentera PAS telah bekerja disetiap DUN PAS bertanding sejak bertahun lalu dan lebih agresif lagi apabila hampir pilihanraya. Jika PAS menarik diri untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan pasti akan melemahkan jentera pilihan raya PAS yang kini sedang bersemangat untuk menghadapi PRU 14.

PAS tidak mungkin akan menerima Pakatan Harapan selagi di dalamnya ada DAP dan PAN. Walaupun di dalamnya ada PKR yang sangat mesra dengan PAN, tapi masih bertahaluf dengan PAS, PAS tidak mungkin akan bertolak ansur untuk membenarkan Pakatan Harapan bertanding dikerusi PAS.

PKR dan DAP boleh berbincang sesama mereka untuk memberikan kerusi mereka kepada PAN, bukan ambil kerusi PAS, PAS tidak akan bertanding dikerusi PKR bertanding, namun PAS Pahang tegaskan sekali lagi bahawa PAS Pahang akan bertanding dimana2 kerusi sekalipun termasuk kerusi yang ditandingi PKR jika ada salah satu kerusi PAS dicerobohi oleh Pakatan Harapan.

PAS bukan sahaja bersedia untuk bertanding 3 penjuru, malahan beberapa penjuru sekali pun dan inilah juga kesediaan diperingkat akar umbi PAS, PAS nekad untuk bertegas apatah lagi setelah pengerusi DAP Pahang mengeluarkan kenyataan menghina kepimpinan PAS dan menghalau PAS keluar dari bumi Pahang dalam ucapannya di Raub baru-baru ini. Kenyataan ini sangat menghiris hati ahli PAS.

Keutamaan PAS ialah perjuangkan prinsip Islamnya demi kebaikan rakyat. PAS tetap akan menentang UMNO dan BN dan sesiapa sahaja yang menghalang PAS dari perjuangkan prinsipnya. PAS tidak akan berganjak walau seinci pun, InsyaAllah PAS akan terus mengharungi cabaran politik Negara bersama rakan didalam "Gagasan Sejahtera". 
 
Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
 

MENJAWAB KENYATAAN TERBARU PJ PAS PAHANG

PJ Pas Pahang ada keluarkan kenyataan bahawa Pas tetap akan bertanding di semua Kerusi yg Pas bertanding dalam PRU13 yg lalu, kononnya atas persefahaman di dalam PR sebelum PRU13 yg lalu. Sekiranya parti lain dalam PH bertanding di Kerusi Pas, maka Pas akan bertanding di semua Kerusi termasuk Keadilan.

Sebagai PJ Pas Pahang patutnya beliau arif dan peka dengan situasi politik semasa dan jangan masih bermimpi dengan perkara lalu. Suka atau tidak, harus diakui PR sudah tidak wujud termasuk di Pahang sekarang ini. Apa yang ada sehingga hari ini adalah kerjasama dua parti iaitu Keadilan dan Pas dan kerjasama ini direstui oleh PH. Oleh itu, alasan persefahaman PR tidak lagi releven. Beliau juga harus tahu bahawa setiap persefahaman atau perbincangan Kerusi tidak kekal dan perbincangan tentangnya sentiasa diadakan setiap kali menjelang PRU. Alasan PJ Pas untuk mengekalkan persefahaman sebelum PRU13 dahulu adalah melucukan.

Kita semua tahu, walaupun sebelum PRU13 yang lalu ada persefahaman dan disahkan melalui Mesyuarat PR, namun masih ada yang melanggar persefahaman tersebut dan bertanding sesama sendiri. Maka, alasan untuk bertanding di Kerusi Keadilan sekiranya Amanah bertanding di Kerusi Pas, bagi saya satu lawak jenaka kerana semua tahu sebelum Amanah wujud pun berlaku pertandingan 3 penjuru di tempat yang telah disepakati. Sampai ke tahap sanggup menfitnah calon Keadilan edar pil kuda dan berfahaman komunis demi mahu rebut Kerusi.

Saya andaikan adalah tidak betul jika kamu bergaduh dengan satu pihak, pihak yang lain menjadi mangsa. Apakah itu cara Islam? Apabila kami menyeru kepada penyatuan untuk satu barisan Pembangkang yang kuat bersama Keadilan, Amanah, Dap dan Bersatu, agar perbincangan boleh dilakukan demi menjatuhkan rejim Umno/Bn, kamu meletakkan berbagai alasan dan syarat. Kalau dengan Syiah pun kamu sanggup ingin satukan dengan Sunni tanpa syarat, mengapa untuk bersatu melawan rejim Umno/Bn menjadi satu masalah besar bagi kamu?

Siapa sebenarnya yang tidak mahu bersatu?

Jumaat, 14 Oktober 2016

EZAM MEMILIH UNTUK BERSAMA BERSATU, ADAKAH KITA RUGI ?


EZAM Mohd Noor adalah salah seorang tokoh muda yang amat popular sewaktu berada di dalam Parti Keadilan sesuai dengan jawatannya diwaktu itu selaku Ketua Pemuda Keadilan (sekarang disebut Angkatan Muda Keadilan).  Beliau popular kerana berada dalam wadah Keadilan bukan kerana batang tubuhnya atau auranya. 

Apabila beliau meninggalkan Keadilan dan menubuhkan Gerak, satu pertubuhan menentang rasuah, belum ada yang membenci Ezam bahkan beliau sering dijemput berceramah di atas pentas Pembangkang atas kapasitinya selaku Pengerusi Gerak.  Menentang rasuah adalah salah satu perjuangan Parti Keadilan maka perjuangan Ezam di dalam Gerak dianggap membantu perjuangan Parti Keadilan.  Mantan Timbalan Presiden Keadilan, Dr Syed Husin Ali ada menulis tentang mengapa Ezam keluar parti, di antara lainnya beliau menyebut Ezam menghadapi masalah kewangan.  Apa pun alasan Ezam keluar parti, perjuangannya di dalam Gerak waktu itu mendapat sokongan rakyat dan juga dari Parti Keadilan sendiri.  Nama Ezam tetap terpelihara ketika itu.

Waktu bila Ezam telah mencemarkan imej dan namanya?  Nama Ezam mula membusuk apabila menyerahkan borang untuk menyertai Umno di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku PM dan Presiden Umno.  Rakyat melihat benarlah seperti apa yang dinyatakan oleh Dr Syed Husin tentang Ezam.  Ezam tidak cukup kuat bertahan dengan perjuangan yang sukar dan penuh liku.  Alasannya untuk menyertai Umno adalah kerana beliau yakin dengan kepimpinan Pak Lah.  Beliau ingin membersihkan Umno dari dalam, kononnya, satu alasan yang pernah bekas bosnya Anwar Ibrahim gunakan sewaktu Anwar menyertai Umno dahulu.  Sewajarnya Ezam berfikir, jika seorang tokoh hebat seperti Anwar pun gagal mensucikan Umno dari dalam, siapakah Ezam?

Ezam terus yakin dengan Umno walaupun Pak Lah tidak lagi menjadi PM.  Ezam masih yakin bahawa Umno di bawah Najib selepas itu akan gemilang dan terbilang.  Ahli-ahli Umno sendiri kurang senang apabila Ezam bersama Umno dan ada yang berprasangka Ezam adalah "Trojan Horse" Anwar Ibrahim.  Ezam adalah 'spy' yang diutuskan oleh Anwar untuk merosakkan Umno dari dalam, fikir sebahagian dari pemimpin dan ahli-ahli Umno.  Ezam sedar akan hal ini, maka Ezam cuba membuktikan kepada ahli-ahli Umno bahawa beliau hadir ke dalam Umno adalah untuk membantu Umno berdepan dengan Pembangkang, terutamanya Anwar Ibrahim.  Ezam berfikir, cara paling berkesan untuk membuktikan kejujuran beliau untuk bersama Umno adalah dengan menyerang Anwar Ibrahim habis-habisan.    

Maka, menyalak dan melolonglah Ezam membelasah Anwar, bekas bosnya itu.  Tidak ada apa yang sulit dan buruk tentang Anwar yang Ezam tidak dedahkan kepada umum.  Boleh dikatakan kutukan, makian dan cercaan Ezam terhadap Anwar melampau apa yang pernah dibuat oleh pemimpin Umno sendiri malah Tun Dr Mahathir orang yang memecat Anwar sendiri tidak berbuat sehebat Ezam lakukan.  Berbaloikah apa yang Ezam lakukan?  Pada aku, tindakan Ezam itu langsung tidak berkesan untuk menghilangkan pengaruh Anwar.  Anwar terus diangkat sebagai wira dan Pembangkang terus melanyak Umno/Bn sehingga parti Ezam waktu itu hilang 2/3 majoriti di Parlimen.  Bukti jelas Ezam tidak langsung membantu memperkuatkan Umno.  Beliau hanya diupah dengan Senator dan sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan.  Di dalam parti, Ezam hanya mampu menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, menang tanpa bertanding.  Setakat itu sahaja Ezam punya standard.  Lokman Adam, bekas seperjuangan Ezam sewaktu di dalam Pemuda Keadilan yang kini berada bersama Umno sendiri di dalam kenyataan terbarunya mengakui Ezam gagal di dalam Umno dan tidak membantu PM walau sedikitpun di dalam isu-isu kontroversi seperti isu 1MDB.

Akhirnya, Ezam mengistiharkan keluar dari Umno atas alasan tidak lagi percaya dengan Najib dan Umno terutamanya di dalam isu 1MDB dan beberapa isu lain.  Ezam baru sedar Umno sampai bila-bila pun tidak boleh disucikan.  Bahkan, batang tubuh Ezam sendiri berlumuran 'najis' dari tong najis Umno.  Tindakannya yang menyerang Anwar habis-habisan dan penglibatannya di dalam kes fitnah Liwat 2 terhadap Anwar adalah kemuncak 'kekotoran' batang tubuh Ezam.  

Baru-baru ini Ezam umumkan beliau akan bersama parti Tun Mahathir dan Muhyidin iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau sinonimnya disebut 'Bersatu".  Aku merasa amat lega kerana Ezam tidak memilih Keadilan semula kerana aku tahu ramai di kalangan ahli parti Keadilan tidak akan setuju jika Ezam menyertai Keadilan.  Tidak salah untuk Ezam mahu insaf dan menebus segala dosanya sebelum ini.  Seperti juga Tun Dr Mahathir dan Muhyidin, dosa-dosanya kerana melakukan kezaliman atau bersekongkol dengan kezaliman satu ketika dahulu boleh ditebus dengan kembali bersama rakyat melawan rejim Umno/Bn.  

Walaupun Keadilan bukan tempat yang sesuai dan terbaik untuk Ezam, tetapi jika Ezam jujur untuk membersihkan dirinya, tiada cara lain, Ezam perlu memilih wadah yang sesuai untuknya bagi melawan rejim Umno/Bn.  Sebagai pejuang keadilan, kita harus akur dengan pilihan Ezam dan berikan peluang kepadanya untuk membuktikan keikhlasannya.  Bersatu akan bersama PH untuk melawan rejim Umno/Bn, dan Ezam adalah sebahagian dari jentera Bersatu.  

Samada Ezam boleh dipercayai atau tidak, jawapannya tetap sama apabila kita menerima Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin di dalam gabungan Pembangkang sekarang.  Boleh saja kita merasa sangsi dan boleh saja kita 'Tabayyun' dan aku memilih untuk "Tabayyun" kerana bagi aku di dalam politik segalanya mungkin dan politik memerlukan seramai mungkin sahabat dan minimakan musuh.  Kita tiada hak untuk melarang Bersatu menerima Ezam.  Sekumpulan orang-orang yang pernah menyakiti Anwar kini ingin bersama kita dan Anwar untuk menghancurkan Umno/Bn, apakah kita rugi jika menerima mereka?  

Kembali kita kepada kata-kata Anwar sendiri, "  Saya telah maafkan semua, tapi saya tidak lupa".  Ertinya, kita harus berhati-hati dalam strategi kita walau dengan sesiapa pun.  Ingatlah, Allah tidak melihat masa lampau kita, Allah akan melihat masa akhir kita.  Semoga mereka yang bersama kita benar-benar insaf bahawa negara ini perlu diselamatkan dari rejim Umno/Bn.  Jika kita mahu selamatkan Anwar, kita tiada pilihan selain dari jatuhkan Umno/Bn walaupun yang ingin bersama kita dahulunya adalah musuh-musuh kita.  Orang yang zalim tidak harus kita biarkan menyokong kezaliman berterusan.
 

Isnin, 10 Oktober 2016

MENYANGGAH KENYATAAN SAMM WILAYAH TERHADAP RAFIZI

AKU ada membaca knyataan dari Penyelaras SAMM Wilayah persekutuan, Sdr Shariful Azmir bertarikh 09 Okt 2016 yg mengutuk tindakan Jamal baju merah yg sering mencetuskan kontroversi terhadap Jelajah Bersih5. SAMM Wilayah juga memuji tindakan Pengerusi Bersih, Maria Chin yg mengambil tindakan untuk menyaman Jamal kerana menfitnah Bersih dengan tuduhan kumpulan Pengganas dan kononnya ingin mengepung beberapa lokasi tertentu bagi menumbangkan kerajaan.

Apa yang aku tidak bersetuju di dalam kenyataan SAMM Wilayah itu apabila beliau mempersoalkan sikap Rafizi Ramli yang tidak berbuat apa2 apabila Jamal menfitnahnya sebagai orang yg menyalurkan maklumat kepadanya tentang kegiatan Bersih. Rafizi disebut sebagai ego dan bodoh apabila tidak menyaman Jamal, kata kenyataan SAMM Wilayah.

Aku berpendapat, Rafizi telah melakukan yg sewajarnya iaitu menafikan tentang tuduhan tersebut dan mengembalikan semula tuduhan bodoh dan lucu dari Jamal itu dengan menggelar Jamal sebagai "Badut Umno". Tuduhan yg bodoh wajar dijawab dengan cara yang bodoh untuk orang bodoh seperti Jamal. Terpulang pula kepada Jamal samada ingin menyaman Rafizi jika benar beliau bukan "Badut Umno:.

Rafizi bertindak tepat mengembalikan semula bola ke kaki Jamal. Apakah setiap tuduhan yang bodoh perlu dilayan dengan saman? Kalau tidak layan maka kita pun jadi bodoh? Jika begitu, Anwar adalah insan yang paling banyak dituduh dengan tuduhan2 bodoh dan kadangkala melucukan. Anwar tidak melayani kesemuanya dan tidak pun mengambil tindakan saman ke atas semua tuduhan bodoh berkenaan. Apakah kita mahu sebut Anwar ego dan bodoh?

Aku juga pernah dengar banyak tuduhan ke atas Chegu Bard, termasuk difitnah oleh salah seorang pimpinan AMK Keadilan di Selangor yang menuduh beliau telah diupah oleh Umno untuk merosakkan parti. Beliau juga pernah dituduh minum arak dan berpoya2 di kelab malam. Lucu bukan tuduhan ini? Perlukah Chegu Bard menyaman fitnah yang jelas nampak bodoh itu? Apakah Chegu Bard juga ego dan bodoh?

Sehubungan itu, kita harus berfikir panjang sebelum membuat kenyataan yang merendah2kan orang lain sebaliknya kita berdiam diri apabila terkena kepada kita.

Ahad, 9 Oktober 2016

MARAH SUNGGUH KAT MAHATHIR DAN MUHYIDIN BILA MEREKA MAHU UMNO TUMBANG

BUAT APA SENTIASA MENCARI SALAH? 
 
Mula2 dulu, korang kata Mahathir tu nak jatuhkan Najib je utk selamatkan Umno. Bila Mahathir tubuh parti baru dan istiharkan bahawa Pembangkang mesti jatuhkan Najib, Umno/Bn dan mengambil alih putrajaya, korang kata pulak jangan percaya kat Mahathir, bagaimana dengan Anwar? 
 
Kemudiannya, Mahathir sanggup jumpa Anwar di mahkamah dan bersalam serta berbincang selama lebih kurang 40 minit, korang kata, setakat bersalam je buat apa, tak ikhlas pun. Bila Mahathir buat deklarasi rakyat dan Mahathir mahu bawa jumpa Agong, korang pun kata Mahathir tipu kerana masih tak jumpa Agong pun. Bila Mahathir dapat jumpa Agong, korang pun kata mengapa dirahsiakan tentang isi perjumpaan dengan Agong? 
 
Masih juga korang tak yakin dengan Mahathir. Muhyiddin pula datang ke penjara bertemu Anwar. Korang pun cari kenyataan2 lama Muhyidin sewaktu beliau dalam Umno dulu yg hentam Anwar untuk menunjukkan Muhyidin ni sebenarnya tak boleh pakai. Pada korang, sebaiknya orang yg zalim dahulu seharusnya kekal dengan kezaliman dan mesti sokong kezaliman sampai mati. 
 
Jadi, aku nasihatkan, elok korang cari kenyataan2 lama Anwar dulu sewaktu dia dalam Umno yg mana Anwar memuji Umno dan menghentam Dap dan Pas. Cari sekali kenyataan2 lama Mat Sabu hentam Anwar. Cari semula kenyataan Kit Siang hentam Anwar. Baru nampak cerdik sikit...

Jumaat, 7 Oktober 2016

SOLIDARITI BEBASKAN ANWAR 12 OKT - WAKIL RAKYAT KEADILAN WAJIB TURUN !!


ANWAR adalah pilihan PH untuk menjadi PM sekiranya PH berjaya ke Putrajaya.  Pengiktirafan ini berulangkali disebut oleh pimpinan dari Dap dan Amanah, apatah lagi oleh Keadilan yang mana Anwar adalah Ketua Umumnya.

Tentang pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau sinonim disebut "Bersatu'. mereka ada hak untuk menamakan siapa sahaja untuk menjadi PM kerana kita yakin proses demokrasi akan menentukan siapa PM berpandukan siapa pilihan majoriti di dalam Parlimen nanti.  Sehubungan itu, langkah awal yang wajib kita lakukan adalah bebaskan Anwar terlebih dahulu.  

Pada 12 Oktober 2016 ini, Anwar akan mengemukakan permohonan semakan semula sabitan kes liwat ke atasnya bertempat di Istana Kehakiman, Putrajaya.  Anwar kini merengkok di dalam penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kes liwat terhadapnya.  Satu dunia percaya bahawa Anwar telah difitnah mengikut hukum akal mereka, apatah lagi jika mengikut hukum Islam.  Mereka yakin Anwar adalah mangsa konspirasi dan banyak negara menuntut agar Anwar dibebaskan.

Sekiranya kita yakin bahawa Anwar tidak bersalah, adalah menjadi kewajipan kita bersama untuk bersolidariti menandakan sokongan terhadap bakal PM tersebut.  Rakyat terutamanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, khususnya yang masih simpati dengan Anwar dan keluarganya serta mahu Anwar kembali kepada rakyat wajiblah turun beramai-ramai.  Tunjukkan kepada rejim bahawa insan bernama Anwar ini tetap di hati rakyat.  Ini bukan isu peribadi.  Ini isu kezaliman dan keadilan.  

Pada 12 Okt ini nanti, sewajibnya seluruh Wakil Rakyat dari PH, terutamanya dari Keadilan mesti turun dan bawa seramai mungkin rakyat di kawasannya.  Jangan lupakan jasa Anwar sehingga kamu berada di tahap ini.  Rakyat akan melihat dan menilai samada kamu seorang Wakil Rakyat yang mengenang budi atau tidak.  

Khamis, 6 Oktober 2016

USAH GUNA ISLAM UNTUK TIDAK BERSAMA BERSIH 5



BERSIH akan mengadakan himpunan mega BERSIH 5 di Kuala Lumpur pada Sabtu, 19 November. Anak semua bangsa, para penyokong BERSIH, kaum kerabat BERSIH di dalam dan luar negara dan semua pejuang demokrasi dari seluruh Malaysia akan turun sekali lagi ke jalan raya.  Penyokong BERSIH akan berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Jelajah BERSIH 5 kini telah mula mengorak langkah dari satu negeri ke satu negeri tanpa menghiraukan kumpulan merah Jamal Tak Tongkol yang semakin meroyan untuk mengampu Najib.  Kita faham Jamal Pak Tongkol ini tidak pernah kenyang dengan dedak yang disuapkan, manakala kuli-kuli bataknya akan kutip sisa-sisa dedak dari mulut Jamal Pak Tongkol.



Bukan kali pertama BERSIH diugut dan diberi amaran untuk tidak terus melawan rejim yang semakin kuat merompak di negara kita.  Sebelum ini kita pernah diugut oleh geng-geng silat termasuk geng-geng silat pulut pengantin.  Kita pernah diancam oleh NGOs pengampu rejim waktu itu seperti PEWARIS atau PERKASA.  Mereka ugut mahu datang ke himpunan kita dan kita raikan hak mereka asalkan mereka tidak melakukan provokasi kerana himpunan BERSIH sejak BERSIH 1.0 lagi semuanya kita mahukan himpunan yang aman dan mematuhi hak-hak bersuara yang dibenarkan di dalam Perlembagaan.

Kali ini kumpulan merah Jamal Pak Tongkol pula mahu mencuba nasib untuk menjadi hero dan pengampu Sang Penguasa.  Khabarnya mereka boleh bawa 300K anggota-anggotanya untuk berhimpun pada tarikh yang sama dengan Himpunan BERSIH 5.0 nanti.  Seperti lazimnya, kita kena hormati hak mereka untuk berhimpun hatta mereka akan hadir dengan jumlah 1 Juta orang sekalipun.  Apakah nawaitu mereka untuk hadir?  Itu Allah saja yang tahu tapi melihat kepada zahirnya seperti di Teluk Intan baru-baru ini, mereka hadir di mana BERSIH 5 menjelajah ke Teluk Intan, mereka datang dengan provokasi seolah-olah mereka kebal.  Macam beruk nampak pisang, meluru tidak tentu arah.

Apakah BERSIH 5 gentar dengan Jamal Pak Tongkol?  Kalau itu sangkaan Jamal, nyata beliau bodoh di dalam menilai sejarah BERSIH sebelum ini.  Kekuatan Jamal Pak Tongkol hanyalah mampu buang kertas ke dalam mangkuk tandas dan mendabik dada beliau kuat.  Kekuatan Jamal hanyalah buat laporan kepada Polis menuduh Rafizi dengan tuduhan yang paling kelakar sehinggakan Timbalan Menteri Dalam Negeri pun kata, usah layan Jamal ini, menyusahkan.  Jamal adalah "Ketua Badut", bak kata Rafizi.

Sesiapa yang tidak mahu menyokong dan menyertai BERSIH 5 kali ini, kita faham bahawa mereka adalah satu kepala dengan rejim, adik beradik Jamal Pak Tongkol.  Mereka mahu kezaliman, penipuan, skandal 1MDB dan banyak lagi kepincangan di dalam negara ini mahu disorokkan.  Usahlah berdalih mahu katakan BERSIH 5 ini tidak selari dengan perjuangan Islam.  Jangan guna nama Islam untuk lindungi rejim kerana Islam tidak membenarkan kezaliman itu dibiarkan berlaku walau sesaat.

Jumpa nanti di BERSIH 5.   

Rabu, 5 Oktober 2016

MAT SABU GANTI NAJIB, LAWAK DATO FAUZI BUAT WALAUN SENTAP

LAWAK sungguh.  Apabila Pengerusi Keadilan Pahang yang juga MP Indera Mahkota membuat ucapan berbentuk gurauan terhadap Presiden Amanah dengan menyatakan bahawa beliau ada cara untuk menjadikan Mat sabu "YAB", sewaktu MP Indera Mahkota, Dato' Fauzi Abdul Rahman berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam sempena setahun Amanah di Indera Mahkota baru-baru ini telah membuatkan beberapa walaun tersentap.  Betulkah Dato' Fauzi ada "kuasa' untuk mengangkat Mat Sabu jadi "YAB"?

Inilah apabila otak tidak berkembang langsung.  Gurauan sinis pun menjadi serius sedangkan ucapan Dato Fauzi itu disambut dengan tepukan dan gelak tawa hadirin di dewan, malangnya Walaun pulak yang melatah dan sentap.  Kelakar sungguh!!

Para hadirin yang hadir faham lawak jenaka spontan Dato Fauzi dan sememangnya Dato Fauzi terkenal dengan lawaknya yang spontan.  Dato' Fauzi sebut, Mat Sabu boleh jadi "YAB" jika beliau bertanding di Parlimen Pekan melawan Najib selaku PM, ertinya jika Mat Sabu menang kalahkan PM, Mat Sabu boleh dikira layak ganti Najib sebagai PM.  Itu lawak biasa.  Lawak orang politik, tapi malangnya Walaun ini fobia bila mendengar nama Mat Sabu, apatah lagi bila Mat Sabu mahu 'diangkat" sebagai YAB.  Kesihan walaun.

Begitulah singkatnya pemikiran Walaun.   

Selasa, 4 Oktober 2016

SAMBUTAN PROGRAM DI BERA BUKTI KEADILAN PAHANG MAMPU LAKUKAN

 
 
HEBAT !!  Itu yang boleh aku katakan apabila melihat rakyat sekitar Bera, Pahang hadir ribuan jumlahnya, dianggarkan lebih 5 ribu yang hadir, mengatasi rekod kehadiran Program Jelajah 1MDB di Selangor dan Johor sebelum ini.  Jelajah yang sama telah diadakan di Bera, Pahang pada 02 Okt baru-baru ini dan sasaran Keadilan Pahang untuk mendapatkan kehadiran sekitar 5 ribu telah berjaya.
 

Memang tidak silap Keadilan memilih untuk berbaik dengan parti Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin.  Tidak salah juga apabila Keadilan tetap bersama-sama Dap dan Amanah.  Malahan sikap Keadilan yang sentiasa membuka pintu kepada Pas untuk bersama-sama PH dan Bersatu menunjukkan bahawa kita komited untuk menguburkan Umno/Bn meskipun sehingga kini Pas masih istiqomah mahu bersendirian.  Tanpa kehadiran wakil Pas malam itu, kita teruskan juga kerja kita kerana kita menentang Umno/Bn tidak kira siapa yang mahu bersama kita.  Keadilan tidak terikat dengan kehendak pihak lain.
 
 
Bera adalah kubu Umno/Bn, di sana adalah tempat Ismail Sabri.  Tidak mudah untuk menarik warga felda yang banyak di Bera dan golongan muda di sana untuk turun di dalam program penerangan kita.  Keadilan telah mengalami suasana program yang kurang sambutan dan kuat sambutan sebelum ini.  Maka, kesemuanya kita jadikan pengajaran dan sentiasa kita baiki apa jua kelemahan kita.  Kita berlapang dada apabila ada dakwaan mengatakan Keadilan akan hancur dan lemah sekiranya tiada tokoh reformasi, DS Anwar Ibrahim.  Kita berlapang dada apabila ada tuduhan mengatakan kita terlalu memberi muka kepada Pas.  Keadilan tidak mengikut rentak ejen-ejen pemusnah parti reform ini.  Kita yakin, Keadilan akan terus kuat selagi kita memperkuatkan jentera, eratkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu kepada perubahan.  Keadilan juga tidak akan merayu dan melutut kepada pihak-pihak yang ego dan sombong.
 
Kita sentiasa akui ada kelemahan tetapi kita tidak akan berhenti berjuang hanya kerana kita dikatakan lemah.  Kelemahan mesti diperbaiki bukan sebagai alasan untuk kita berhenti berjuang.  Mana ada parti yang lengkap dan sempurna?  
 
 

Sabtu, 1 Oktober 2016

MAHATHIR DAN MUHYIDIN MAHU LUPUSKAN UMNO, PH PAHANG BERSEDIA MEMBANTU, MALAM ESOK JUMPA DI BERA !!



ESOK, Ahad 02/10/16 bertempat di Spg Kepayang, Bera, Pahang Tim Jelajah 1MDB akan menyinggahi Pahang.  Program besar-besaran ini akan diketuai oleh Presiden Keadilan, Kak Wan sendiri beserta Timbalannya yang juga MB Selangor, YAB DS Azmin Ali.  Bagi melengkapkan kombinasi penerangan di dalam jelajah ini, dua pimpinan utama dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bersatu, iaitu Pengerusinya Tun Dr Mahathir dan Presidennya, TS Muhyidin Yassin juga turut dijemput.

Pahang selaku negeri yang mengiktiraf Pakatan Harapan, maka kepimpinan PH peringkat negeri juga turut akan berucap iaitu Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Dap Pahang YB Leong Ngah Ngah dan Pengerusi Amanah Pahang Sdr Dr Hamzah Jaafar.  

Lokasi program yang betul-betul berada di persimpangan ke kawasan penempatan felda menunjukkan PH begitu serius mahu menyedarkan warga felda bahawa sudah sampai waktunya mereka berubah.  Warga felda kini merasai dan sedar bahawa apa yang mereka impikan sejurus PRU13 yang lalu ternyata meleset bahkan di dalam diam mereka akui apa yang pihak Pembangkang perkatakan kepada mereka sewaktu kempen PRU13 yang lalu benar-benar terjadi.  Mereka tahu mereka hanya mahu dijadikan aset Umno/Bn semata-mata untuk mengekalkan kuasa.  

Sekiranya PH mahu menawan Pahang, kawasan felda wajib diberikan tumpuan.  Nasib warga felda mustahil dapat kita atasi sekiranya kita gagal memerintah.  Justeru itu, senang atau sukar, PH mesti berhadapan dengan warga felda dan kuatkan semangat untuk meyakinkan mereka bahawa PH mampu mengubah nasib mereka.  

Warga felda diseru beramai-ramai ke program malam esok.  Sudah tentu mereka mahu tahu mengapa bekas pemimpin mereka, Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin kini amat kuat menentang Najib.  Tun dan Muhyiddin telah pun nyatakan, mereka bukan saja mahu Najib berundur bahkan mereka mahu Umno/Bn dilupuskan samasekali.  PH Pahang bersedia untuk bantu kerja-kerja mereka berdua.

 

Selasa, 27 September 2016

PH BERSAMA TUN MAHATHIR GEMPUR PAHANG 02 OKT INI !!



 
RAKYAT Pahang dijemput hadir beramai2 ke Program Penerangan Jelajah 1MDB - "Bohong Yang Tidak Berpenghujung" pada 02 Okt 2016 (Ahad) jam 08.30 malam bertempat di Simpang Kepayang, Bera.

Pimpinan utama yang akan hadir adalah Presiden KEADILAN, YB Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamed, Presiden PPBM YB Dato' Seri Muhyiddin Yasin, dan Timb Presiden KEADILAN merangkap MB Selangor, YAB Dato' Seri Azmin Ali.

Pimpinan2 PH peringkat negeri yang turut akan menyampaikan pidato adalah Pengerusi KEADILAN Pahang YB Dato' Fauzi Abdulrahman , Pengerusi Dap Pahang YB Leong Ngah Ngah, Pengerusi Amanah Pahang Dr Hamzah Jaafar serta Ketua Cabang Bera Sdr Zakaria Abdul Hamid.

Perbagai isu rakyat bakal disentuh oleh pimpinan2 terutamanya isu skandal 1MDB, GST, isu2 Felda yang semakin hangat dibincangkan oleh para peneroka dan lain2 isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Mungkin selama ini kita sukar mempercayai akan kata2 dari pimpinan Pembangkang, tetapi kali ini yang membicarakan isu2 tersebut adalah dari tokoh2 negara dan bekas pimpinan utama Umno/Bn sendiri.

Jangan lepaskan peluang ini untuk kita mendapatkan maklumat yang jelas di mana maklumat2 seperti ini tidak akan kita perolehi dari media2 perdana kawalan Umno/Bn. Orang ramai dijemput hadir dan mohon hebahkan

Jumaat, 23 September 2016

KEADILAN PATUT KURANG KERUSI JIKA LANGKAH INI BOLEH MENAMBAHKAN KEKUATAN PEMBANGKANG

KALAU ditanya tentang pendapat aku, adakah parti Mahyuddin (Aku sebut Bersatu) bakal mengancam Keadilan?  Aku akan jawab, Bersatu menjadikan Keadilan lebih tercabar dan akan menyuntik motivasi kepada Keadilan untuk bersaing dengan parti tersebut di dalam meraihkan sokongan dan ahli.

Itu di dalam aspek persaingan dua parti ini.  Tetapi kebaikan yang lebih besar faedahnya kepada rakyat adalah Bersatu mahu berganding bahu dengan Keadilan khususnya dan PH, amnya untuk bersama-sama menumbangkan Umno/Bn.  Ini yang membimbangkan Umno/Bn serta sekutunya.  Kehadiran Bersatu bakal mencuri seberapa banyak mungkin ahli-ahli Umno yang sedar tentang skandal Najib yang telah memusnahkan Umno, parti keramat orang-orang Melayu sejak dahulu.  

Masalah Keadilan semenjak mula ditubuhkan adalah kesukaran untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu bagi menjatuhkan kerajaan yang zalim sekarang.  Terutama kaum Melayu di pendalaman, di felda-felda, itu merupakan masalah besar buat Keadilan.  Apabila Bersatu wujud, Keadilan anggap ianya satu rahmat dari Allah dan terpulanglah kepada Keadilan untuk mengatur strategi sebaik mungkin agar matlamat utama menjatuhkan Umno/Bn tercapai.  

Di dalam mengatur strategi ini, Keadilan harus banyak bertolak ansur.  Strategi tidak mungkin berjaya jika Keadilan memiliki sifat tamak haloba dan tidak melihat kepada realiti.  Aku bersetuju dengan pendapat MP Kuantan, YB Fuziah Salleh yang berteori bahawa Umno boleh kita kalahkan jika kita sanggup kurangkan Kerusi kita di dalam masa yang sama Kerusi Umno juga kurang, dan Pembangkang dapat menambah Kerusi.  Apakah Keadilan rugi?  Tidak.  Keadilan hanya mungkin rugi jumlah bilangan Kerusi tetapi Keadilan mencapai hasratnya iaitu Umno/Bn turut kurang Kerusi yang mereka miliki sekarang.

Keadilan akan kekalkan Kerusi yang telah dimenangi dan InsyaAllah, ianya tidak berkurangan.  Keadilan cuma kurang Kerusi yang dulunya ditandingi oleh Keadilan tetapi tidak pernah menang atau dapat memberi saingan kepada Umno/Bn.  Ini banyak berlaku di kawasan-kawasan pendalaman dan felda.  Oleh kerana itu, amat bijak dan strategik sekali jika kawasan-kawasan ini dipertaruhkan kepada Bersatu untuk berdepan dengan Umno/Bn.  Jika Bersatu menang, maka Pembangkang akan dapat menambah Kerusi walaupun Keadilan kurang Kerusi.  

Aku yakin, pimpinan di dalam PH dan Bersatu serius untuk membincangkan agihan Kerusi ini secepat mungkin selepas isu sempadanan semula kawasan Pilihanraya yang menjadi kontroversi sekarang dapat diselesaikan.  

 

Rabu, 21 September 2016

KEHADIRAN PARTI MAHATHIR - MUHYIDIN PERKUATKAN PH, CABARAN BUAT PAS?

BERUNTUNGKAH jika PH bersama parti Tun Mahathir yang sinonim disebut BERSATU itu?  Sehingga kini BERSATU masih belum diterima menjadi komponen di dalam PH walaupun BERSATU telah menyatakan hasrat untuk berganding bahu bersama PH di dalam menjatuhkan rejim Umno/Bn.  BERSATU sama seperti PSM yang masih tidak bersama PH tetapi mempunyai nawaitu yang sama.

Samada BERSATU berada di dalam PH atau tidak, itu tidak penting.  Apa yang penting adakah BERSATU mahu menjatuhkan Najib, Umno/Bn?  Jawapannya adalah Ya.  Berbeza dengan Pas yang masih belum jelas apakah Pas mahu Najib jatuh sekarang ini atau Pas hanya mahu tunggu PRU14?  Menunggu PRU14 adalah pilihan terakhir, tetapi berusaha dan berikhtiar untuk menjatuhkan Najib sekarang wajib dilakukan kerana kemudharatannya selaku PM tdak boleh dibiarkan walaupun untuk tempoh 1 hari lagi apatah lagi untuk dua tahun lagi.  

Bagi Keadilan, Dap, Amanah dan BERSATU, kerja untuk menjatuhkan Najib harus bermula sekarang.  Lemahkan rejim Umno/Bn wajib bermula dengan gugurkan Najib.  Itu pilihan utama.  Jika gagal sekarang, kita ada peluang lagi pada PRU14.  Jika berjaya sekarang, itu bonus.  Rakyat tidak boleh terima mana-mana parti yang hanya menupang dagu sahaja menunggu PRU14 sedangkan rakyat di dalam keadaan tertekan dengan kehidupan yang semakin menyesakkan nafas.

BERSATU akan menguntungkan PH.  Jika Pas menjauhkan diri dari PH, BERSATU adalah parti yang boleh mengisi kekosongan Pas.  Jika selama ini Pas mendakwa parti itu mahu menarik ahli dari mereka yang tidak suka kepada Najib, tetapi tidak mahu bersama PH, mereka boleh berada bersama Pas, tetapi dengan kehadiran BERSATU, sudah tentu menyukarkan Pas untuk menarik sokongan dari rakyat.  Sekarang pun sudah jelas, BERSATU kini semakin giat mendaftarkan ahli-ahli mereka.

BERSATU akan mengisi Kerusi-Kerusi yang tidak mungkin dimenangi oleh wakil parti dari PH.  BERSATU dilihat berupaya mengisi banyak Kerusi Parlimen di kawasan yang mempunyai kekuatan Umno/Bn.  Program BERSATU yang kini menjelajah dari satu negeri ke satu negeri terutama di kawasan pendalaman amat membantu PH.  Undi kepada Umno/Bn akan dipecahkan.  Memecahkan undi Umno/Bn adalah usaha kita bertahun-tahun lamanya.  Amat bodoh sekiranya PH tidak meraikan usaha BERSATU ini.

Selasa, 20 September 2016

JELAJAH 1MDB NEGERI PAHANG PADA 02 OKT DI BERA

JELAJAH 1MDB akan tiba di Pahang pula.  Tarikh 02 Oktober 2016 ini dipilih sebagai giliran bagi Negeri Pahang untuk siri Jelajah 1MDB ke seluruh negeri.  Di Pahang, Bera dipilih sebagai lokasi program yang bakal menyusahkan Umno/Bn kerana segala maklumat yang Umno/Bn sembunyikan dari pengetahuan rakyat di desa-desa dan pendalaman khususnya di dalam isu skandal 1MDB akan dibongkar habis-habisan.

Jika sebelum ini, pendedahan yang dibuat seawal tahun 2011 lagi oleh DS Anwar Ibrahim, seterusnya dibongkar pula oleh Rafizi dan Tony Phua serta pimpinan-pimpinan Pembangkang yang lain amat sukar diterima oleh penyokong tegar Umno/Bn di kampong-kampong dan di felda-felda.  Rata-rata mereka menyangka isu 1MDB ini adalah ciptaan Pembangkang dan jika benar sekalipun bagi rakyat di pendalaman skandal yang melibatkan lebih RM 50 Bilion yang lesap itu tiada kaitan dengan kehidupan mereka.  

Kali ini kita menjemput semua para penyokong dan ahli-ahli Umno untuk mendengar sendiri dari mulut mantan Timbalan PM dan mantan Timbalan Presiden Umno sendiri iaitu TS Muhyidin Yassin yang dulunya berada di dalam kabinet bahkan orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.  Skandal ini pun bermula sewaktu beliau di dalam kabinet dan sudah tentu beliau orang yang arif di dalam isu ini.  

Selain dari TS Muhyiddin, Jelajah 1MDB Peringkat Negeri Pahang juga akan menampilkan Presiden KEADILAN, DS Wan Azizah serta Timbalannya dan juga selaku MB Selangor, DS Azmin Ali.  Pimpinan-pimpinan PH Negeri Pahang juga turut akan hadir iaitu Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Dap Pahang, Leong Ngah Ngah serta Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah.

Program ini bermula dari sebelah petang dengan berbagai acara yang disusun untuk pimpinan-pimpinan tersebut termasuk menemui rakyat di kawasan pendalaman di Bera.  Acara kemuncak adalah program ceramah bertempat di Lot 17, Simpang Kepayang/Sebertak, Bandar Bera, Pahang.  

Orang ramai dijemput hadir.

 

Jumaat, 9 September 2016

KALAU NAJIB JATUH DAN TUBUH PARTI BARU, BAGAIMANA?

ADA orang berteori begini;

Seandainya Najib berjaya dijatuhkan oleh Zahid, dan Najib kemudiannya tubuh parti baru untuk lawan Zahid. Najib kemudiannya mahu bersama kita untuk tumbangkan Zahid. Apakah wajar kita terima sepertimana kita terima Mahathir dalam Bersatu sekarang?

Jawapan aku;

Pertamanya, yg nak jatuhkan Najib sekarang ini adalah kita, bukan Zahid. Objektif kita adalah jatuhkan Najib, Umno dan Bn. Ini juga yg sering diulang2 oleh pimpinan kita bahkan oleh Mahathir dan Muhyiddin.

Keduanya, kalau Najib jatuh, bgaimana dia nak tubuhkan parti baru sedangkan kejatuhannya nanti akan membawa dia keluar masuk mahkamah dan tidak mustahil merengkok dlm penjara. Terlalu banyak kes Najib yg terkumpul sekarang. Sebab itu dia amat takut nak lepaskan kuasa yg berada dihujung tanduk itu. Adakah kita berfikir bahawa pengganti Najib nanti akan diamkan segala skandal Najib? Sudah tentu penggantinya tidak mahu dituduh sebagai pelindung skandal2 Najib.

Ketiga, situasi di atas mungkin berlaku jika Najib turun sebelum PRU14. Jika tidak, PRU14 adalah medan terakhir untuk kita tumbangkan Umno/Bn dan dirikan kerajaan baru di Putrajaya.

Selasa, 6 September 2016

AKHIRNYA MAHATHIR YG DATANG BERTEMU ANWAR

AKHIRNYA Mahathir bertemu Anwar, bukan Anwar yg pergi bertemu Mahathir atau meminta untuk bertemu Mahathir. Itulah hebatnya Anwar.

Mahathir datang bertemu Anwar kerana menyokong usaha Anwar untuk menentang akta zalim. Wlaupun Mahathir sewaktu berkuasa dulu pernah wujudkan akta zalim, adakah kerana itu maka Mahathir seharusnya selama2nya mesti menyokong kezaliman?
 

Adakah Mahathir datang untuk memohon maaf kpd Anwar? Jawapannya tidak. Tiada perkataan maaf dari Mahathir, tetapi secara zahirnya Mahathir hulurkan salam kpd Anwar dan beri sokongan Anwar dlm usahanya dan Mahathir sempat bertanyakan khabar kesihatan Anwar. Tiada terzahir ucapan maaf dari Mahathir, tetapi dari gerak laku yg dilihat dari mata kasar, biasanya org yg bermusuh dan berdendam tidak akan bersalam dan bertanya khabar. 
 

Itulah hebatnya Anwar. Dia sudah lama maafkan Mahathir dan dia boleh tersenyum menatap wajah Mahathir walaupun Mahathir tidak memohon maaf kepadanya. Bagi Anwar, memohon maaf kepadanya tidak penting. Yg penting buat Anwar adalah rakyat dan negara ini. Anwar meletakkan kepentingan rakyat jauh lebih penting dari peribadinya.

Bagi aku, ini satu permulaan yg positif buat kita menekan terus rejim Umno/Bn. TV3 suku malam tadi telah menzahirkan kebimbangan apabia melihat Mahathir dan Anwar sudah mula boleh bertentang mata. Kita seharusnya melihat itu satu kebaikan apabila bertemunya dua musuh ketat satu ketika dulu.

Seandainya, dua jiran kita yg telah terlalu lama bergaduh dan tidak bertegur sapa dek kerana anak2 mereka bergaduh, tiba2 satu hari kita melihat mereka berbual dan bersalaman, adakah kita wajar bertanya, " Hang sudah maaf ke belum pasal anak hang tumbuk anak dia?". Aku rasa tidak wajar kita bertanya sedemikian. Cukuplah kita mengucapkan "Alhamdulillah". Selebihnya kita serah kpd Allah.