RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 10 September 2011

BUKAN KERJA SAYA MAHU PANTAU KEGIATAN `KRISTIANISASI" - KETUA UMNO BAHAGIAN

Oleh: WFAUZDIN NS

Sebuah stesyen TV di negara ini menjadi bahan tertawa masyarakat apabila menamakan sebuah surau dengan nama `Surau Al-Musyrikin' apabila menyiarkan isu `Kristianisasi' yang kononnya berlaku di sebuah Pusat Tuisyen berhampiran surau tersebut. Jadi, tidak hairan lah jika TV ini akan digelar sebagai `TV Al-Musyrikin' oleh masyarakat suatu hari nanti, dan memang agak sesuai memandangkan TV ini mempunyai ciri-ciri seperti itu.

Hari ini, Malaysiakini menyiarkan kenyataan Pengerusi surau yang TV ini sebut `Al-Musyrikin' bahawa memang berlaku kegiatan `Kristianisasi' di Pusat Tuisyen berkenaan. Tetapi katanya, beliau tidak memantau kegiatan berkenaan kerana itu bukan kerjanya. Baca di sini. Saya merasa pelik juga, seorang Pengerusi Surau yang namanya seperti nama orang Islam iaitu Datuk Mustapha Kamal boleh berkata bukan kerja beliau untuk memantau kegiatan seperti itu. Apabila Malaysiakini menyebut bahawa beliau Ketua Umno Bahagian Seputeh, baru saya tersedar memanglah bukan kerja Umno memantau kegiatan sedemikian. Kerja Umno mungkin hanya menghebohkan sahaja atas sesuatu kepentingan.

Di dalam Islam, setiap umat Islam mesti peka dengan keadaan sekeling apatah lagi dengan kegiatan memurtadkan umat-umat Islam. Tetapi ini bukan kerja Ketua Umno Bahagian selaku Pengerusi Surau di situ. Berbeza dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor berkaitan isu serbuan JAIS ke atas sebuah Gereja baru-baru ini. Kerajaan Negeri bertindak pantas dengan menyiasat kejadian tersebut serta meminta JAIS mengemukakan laporan lengkap agar tindakan boleh diambil. Sehingga kini, laporan masih belum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri, sebaliknya isu Tauliah pula dihangatkan oleh JAIS.

PAS juga bertindak pantas dengan memohon untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja agar cerita sebenar boleh diketahui. Malangnya, terdapat halangan dari `eksekutif' menghalang PAS untuk bertemu JAIS. Sebab apa? Kononnya siasatan dan maklumat yang ada pada JAIS ini rahsia. Mengapa perlu dirahsiakan dengan isu sebesar ini? Jika mahu berahsia, mengapa dari awal tidak sahaja dirahsiakan kisah serbuan tersebut?

Di sini, jelas kepada kita pihak mana yang tidak sensitif dengan isu agama. Kita juga tahu pihak di sebelah sana hanya mahu mensensasikan isu agama bertujuan untuk kepentingan politik mereka, bukannya ikhlas untuk membela agama Islam. Media bersifat `Al-Musyrikin' ini juga banyak membantu kerja-kerja puak ini. Oleh yang demikian, kita menyeru seluruh umat Islam agar jangan bersubahat dengan puak seperti ini./wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 9 September 2011

PENANGGUHAN PEMILIHAN JAWATAN CABANG PKR DI PAHANG SUATU TINDAKAN YANG TIDAK BIJAK

Oleh: WFAUZDIN NS

MAKLUMAT terbaru menyebut bahawa Biro Politik PKR Pusat telah mengarahkan beberapa Cabang di Negeri Pahang yang sepatutnya mengadakan mesyuarat dan pemilihan bagi mengisi beberapa jawatan penting yang masih kosong pada Oktober ini ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Difahamkan terdapat beberapa Cabang yang masih mempunyai kekosongan jawatan penting seperti Ketua Cabang, Timbalan, Ketua AMK dan Wanita serta AJK-AJK yang lain. Mungkin alasan Biro Politik Pusat menangguhkan pemilihan ini adalah untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRU yang semakin hampir dalam jangkaannya. Faktor bimbang kepada perpecahan di dalam parti atau pun hilang tumpuan untuk bekerja dan memperkuatkan parti menjelang PRU mungkin di antara faktor penangguhan ini.

Walau bagaimanapun, saya berpendapat kita silap sekiranya kita meletakkan satu Tim Bolasepak yang akan bertarung dan kita amat mengharapkan kemenangan tanpa kita menentukan siapakah Kapten Tim kita. Di dalam Bolasepak, sekiranya seseorang Kapten pasukan itu tercedera atau dibuang padang, maka dengan serta merta Kapten tersebut akan diambil alih pemain lain. Apakah tujuannya? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menentukan agar pasukan tersebut tidak kehilangan punca dan mampu bermain di bawah kawalan seorang Ketua (Kapten).

Tidak perlu kita takut kepada bayang-bayang sendiri. Perpecahan di dalam parti bukan hanya disebabkan oleh adanya pemilihan semata-mata. Banyak bukti bahawa perpecahan berlaku sehingga ada yang keluar dari parti walaupun tiada pemilihan. Ini semua ada kaitan dengan prinsip seseorang itu samada tetap komited dengan parti atau kepentingan peribadi. Jika seseorang itu lemah dan tidak berprinsip, sudah menang dalam parti bahkan sudah menjadi Wakil Rakyat pun mereka tetap mengkhianati parti.

Sehubungan itu, saya mengharapkan agar Biro Politik Pusat memikirkan semula kepentingan pemilihan ini. Amat sukar satu-satu Cabang itu untuk bergerak dengan lebih efisyen tanpa bimbingan dari Ketua mereka. Jangan pula nanti bila kita tewas di dalam Pilihanraya, baru kita sedar bahawa kita bukan tiada sokongan tetapi kita lemah di dalam mengatur strategi. Strategi yang baik adalah strategi yang diatur dan dipimpin oleh seorang Ketua, dan mana mungkin kita mampu melakukan strategi yang berkesan tanpa Ketua?

Justeru itu, amat baik dan bijak jika kita meneruskan pemilihan Cabang yang telah dijadualkan itu seberapa segera agar setiap Cabang berkenaan boleh merancang beberapa program dengan lebih tersusun dan sistematik./wfauzdin.blogspot.com

Khamis, 8 September 2011

TERDAPAT `IBLIS' DI DALAM MAIS DAN JAIS ?

Oleh: WFAUZDIN NS

SAH, di Negeri Selangor sekarang bukan pihak Gereja yang ingin menghancurkan Islam tetapi puak itu berada di dalam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan juga terdapat di dalam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Benarlah kata orang, Iblis boleh berada di mana-mana demi untuk menghancurkan Islam.

YB Khalid Samad, Ahli Parlimen PAS dari Shah Alam tidak dibenarkan memberikan syarahan agama mahu pun tazkirah di seluruh masjid dan surau di selangor, atas alasan beliau orang politik. Begitu juga dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, YB Dr Rani Osman. Saya tidak pasti apakah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, YB Dr Hassan Ali itu orang politik atau tidak kerana beliau sering bertazkirah dan membaca Khutbah di masjid-masjid seluruh Selangor. Arahan ini disebut oleh YB Khalid Samad di dalam kenyataannya di sini.



YB Khalid menunjukkan bukti beberapa foto penglibatan ahli politik Bn
bersama Pengerusi MAIS di perkarangan masjid

YB Khalid juga mendedahkan bahawa Pengerusi MAIS, Muhamad Adzib Mohd Isa adalah penyokong tegar Umno jika melihat kepada tindak-tanduknya sebelum ini. Terdapat foto yang didedahkan oleh YB Khalid di mana Pengerusi MAIS ini bersama Kamalanathan, MP Hulu Selangor sewaktu kempen PRK di situ berada di perkarangan masjid yang mana jelas MP Hulu Selangor itu memakai baju BN. Ketika itu di mana prinsip Pengerusi MAIS?

MAIS dan JAIS jangan cuba untuk menyesatkan umat Islam khususnya di Selangor bagi mempercayai bahawa politik itu tiada kena mengena dengan agama. Jika tauliah mengajar diberikan kepada sesiapa yang ingin mengajar itu boleh kita terima, tetapi melarang samasekali ahli politik bercakap soal agama itu sudah keterlaluan. Jika begitu keadaannya, Negeri Selangor sampai kiamat tidak boleh menerima kehadiran Islam di dalam pentadbirannya kerana orang politik tidak boleh bercakap agama. Inikah yang MAIS dan JAIS mahukan? Jika begitu, tiada guna JAIS bertindak ke atas sebuah Gereja baru-baru ini sedangkan tindakan JAIS melarang kerja dakwah sesama Islam itu sendiri sudah cukup membantu kerja pihak Gereja.

Diberitakan terdapat ahli-ahli politik dari Umno yang bebas memberikan syarahan dan tazkirah agama di dalam masjid di Selangor namun belum pernah lagi kita dengar mereka didakwa atau dipersoalkan tentang tauliahnya. Seperti dijangka, akhirnya nama Istana digunakan untuk meng`halal'kan kerja haram ini. Siapa berani menyanggah jika nama Istana digunakan? Itulah kelebihan Umno dengan jenteranya di dalam MAIS dan JAIS untuk menentang kebangkitan Islam di selangor. Semoga Allah melaknat kerja-kerja mereka yang menghalang kebangkitan Islam./wfauzdin.blogspot.com

"Jangan Hairan Jika Ramai Orang Murtad" - Dr. Asri

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menyifatkan apa yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekarang adalah mengekalkan sistem penjajah untuk mengekang agama sendiri.Sehubungan itu, beliau yang melahirkan simpati terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didakwa Jais semalam berkata, “jangan hairan jika ramai orang murtad..kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama.”

Asri mengulas tindakan Jais yang mendakwa Khalid semalam dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Klang 24 November depan kerana memberikan tazkirah di sebuah surau tanpa tauliah dari Jais.

Sebelum ini, Asri juga adalah menjadi mangsa Jais apabila beliau dikepong oleh penguatkuasa Jais ketika sedang memberikan kuliah agama seumpama penjenayah. Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam semalam dan dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini. “..simpati apabila ada ahli Parlimen yang diambil tindakan oleh Jais kerana memberi tazkirah..sekalipun tiada bukti ada kesalahan dalam tazkirah tersebut.

“Begitulah susahnya berdakwah..sistem penjajah dipakai untuk mengekang agama sendiri..jangan hairan jika ramai orang murtad..kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama,” tulis Asri dalam Facebook.

Bagi beliau, tindakan Jais ini seumpama arahan Nabi s.a.w “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat” dimansuhkan. Bagi Dr Asri, perkara ini berlaku kerana pihak yang tidak layak dan berilmu sewajarnya diberikan kuasa mkenjaga agama.

“Yang tidak layak menaungi agama diberikan kekebalan yang tidak diberikan kepada al-Khulafa al-Rasyidin sekalipun..apapun yang selamat HARD ROCK CAFE jua,” tulis beliau./Addin

KISAH MAT INDERA MAHU DISAMAKAN DENGAN KISAH FIRAUN DI DALAM AL-QURAN OLEH YB KERDAU

Oleh: WFAUZDIN NS

SEORANG `ustaz' iaitu Adun Kerdau, Pahang, YB Syed Ibrahim Syed Ahmad semalam mengulas tentang isu yang kini hangat diperkatakan iaitu berkenaan Mat Indera, tokoh yang diangkat sebagai Pejuang oleh Mat sabu, Timbalan Presiden PAS. Kenyataan Syed Ibrahim disiarkan di dalam akhbar Sinar semalam dan kenyataan beliau tersebut sudah cukup menggambarkan YB ini tidak tahu hujung pangkal isu Mat Indera yang sedang diperbahaskan.

Beliau menggesa rakyat di negara ini tidak mudah terpedaya dengan bukti yang dikemukakan oleh Mat Sabu iaitu sebuah buku yang dikeluarkan oleh Yayasan Johor bertajuk " Pengukir Nama Johor" yang menyenaraikan Mat Indera adalah tokoh yang termasuk di dalam Pengukir Nama Johor. Lojikkah Pengukir Nama Johor dipilih dari kalangan Komunis? Sudah tentu tidak, apatah lagi buku tersebut diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Johor sendiri bahkan di dalamnya tercatat kata-kata aluan dari MB Johor.

Melucukan apabila Syed Ibrahim membawa contoh Al-Quran yang juga menyebut nama Firaun di dalamnya. Soal beliau, adakah Allah sebut nama Firaun maka Firaun dianggap pejuang? Teramat dangkal pemikiran YB yang dikatakan berkelulusan agama ini, yang hanya berhujah seperti menggunakan kepala lutut. Memanglah Allah sebut nama Firaun dan banyak lagi nama lain di dalam Al-Quran termasuk juga nama Abu Lahab dan juga nama-nama Nabi. Tetapi, setiap nama yang tercatat di dalam Al-Quran ada kisah dan penceritaannya.

Maksud YB Kerdau ini, kita jangan percaya pada buku yang tertulis nama Mat Indera yang disebut sebagai Pejuang itu kerana di dalam Al-Quran nama Firaun juga disebut sedangkan Firaun bukan Pejuang. Kita mahu memberitahu YB Kerdau, nama Firaun disebut di dalam Al-Quran seperti juga nama Abu Lahab disebut dengan kisah pendurhakannya terhadap Allah. Begitu juga dengan nama Mat Indera, disebut dengan kisah perjuangannya menentang British. Paling jelas, kisah Mat Indera diceritakan di dalam buku yang bertajuk "Pengukir Nama Johor". Ertinya, Mat Indera adalah salah seorang dari `Pengukir Nama Johor'. Komuniskah `Pengukir Nama Johor' ini?

Sewajarnya atau paling bijak jika YB Kerdau ini mahu agar nama Mat Indera disenaraikan sebagai Komunis, beliau patut menggesa agar MB Johor mengharamkan buku tersebut dan menarik balik pengiktirafan MB Johor terhadap `Pengukir Nama Johor' itu. Bukannya membuat perbandingan yang jauh lari dari perbahasan.

Jelas pada kita, kebanyakan pemimpin Umno semakin celaru untuk berdepan dengan isu yang ditimbulkan oleh Mat Sabu ini. Terbaru, seorang Prof bernama Zainal Kling pula menyatakan Mat Indera ini ada dua jiwa, iaitu Pejuang dan Petualang. Lagi berserabut Prof ini punya kenyataan. Seorang lagi Pakar Sejarah yang terkenal dengan sikap `kipas' Umno nya menyebut, sebenarnya negara kita tidak pernah dijajah. Prof Ramlah Adam sebut, “PKM yang berasal dari luar negara mahu menakluk negara ini walhal dari segi perundangan Tanah Melayu tidak ditakluk oleh British.” Ini kerana British tidak mengambil alih kuasa Sultan dan negeri-negeri Melayu ialah negeri naungan. Hanya Pulau Pinang dan Melaka ialah negeri jajahan takluk mahkota." (Free Malaysia Today). Jika tidak pernah dijajah, buang masa sahaja setiap tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan. Ulasan apa yang Prof Ramlah sebut, anda boleh baca di dalam blog ASD di sini.

Begitulah keadaannya apabila Umno sudah semakin pening. Sasaran mereka sering tersasar menjelang PRU ke 13 akan datang. Semua isu mereka gagal bahkan menimpa ke atas batang hidung mereka sendiri, apatah lagi muncul orang seperti YB Kerdau ini yang langsung tidak tahu punca ingin juga mengambil bahagian untuk mengulas./wfauzdin.blogspot.com

Rabu, 7 September 2011

HASSAN ALI, SERAHKAN SAJA SEMUA KUNCI PINTU MASJID PADA JAIS !!

Oleh: WFAUZDIN NS


APA kena dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekarang? Setelah Jabatan ini dilihat seperti `menyerang' Gereja, kali ini mereka mendakwa pula golongan yang ingin berrdakwah yang diwajibkan oleh Ugama Islam. Mereka seperti anti dengan umat Islam yang murtad, tetapi dalam masa yang sama dilihat seperti anti pendakwah Islam. Mainan politik apa ini, wahai JAIS?

Bayangkan, Ahli Parlimen PAS dari Shah Alam, YB Khalid Samad dan juga Pesuruhjaya PAS Selangor sendiri , YB Dr Rani akan didakwa oleh JAIS kerana memberi tazkirah tanpa Tauliah. Mereka bukan mengajar Kitab, cuma berdakwah iaitu dengan pesan memesan, ingat mengingati sesama Islam, takkan dakwah sedemikian pun perlu Tauliah? Ya Allah, celakalah hendaknya golongan yang menghalang kerja dakwah ugama mu ini.


Memetik sumber Harakah, Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam hari ini dan dinyatakan pendakwaan ke atas beliau dan ditetapkan perbicaraannya pada 24 November depan di Mahkamah Syariah Klang. Beliau dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan 24 November ini. Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"Tauliah saya tamat Ramadhan lalu selepas menerimanya tahun lepas dan saya telah memohon untuk menyambungnya. Namun saya menerima surat dari Jais permohonan saya ditolak dan tauliah saya ditarik balik oleh Jais," kata Dr Rani kepada Harakahdaily. Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mengapa kita menyusahkan kerja dakwah ini? Jika kedua-dua tokoh ini tiada Tauliah, berikan sahaja Tauliah. Apa masalahnya? Lagi pun, perlu sangatkah Tauliah sekadar Tazkirah, bukannya mengajar Kitab besar yang memerlukan ilmu pengetahuan yang mendalam? Jika ilmu ingin dijadikan ukuran, JAIS juga pernah mengharamkan dua Ulamak iaitu Tuan Guru Nik Aziz, Prof Dr Haron Din dan Ustaz Ismail Kamus daripada memberi kuliah atau tazkirah agama di seluruh Masjid di Selangor. Adakah mereka ini tiada ilmu? Siapa Pengarah JAIS yang tinggi sangat ilmunya itu?

Ini semua kerana JAIS tidak peka dengan Syariat Islam, mereka sengaja mencari jalan untuk menyusahkan kerja dakwah bukan untuk memudahkan. Adakah YB Khalid dan YB Dr Rani memberi tazkirah yang menyesatkan? Jika benar sesat, dakwa mereka dan jika terbukti benar maka hukumlah mereka dan lojiklah mereka terus diharamkan dari memberi tazkirah. Apa hujah JAIS untuk menghalang kerja dakwah ini? Mengapa golongan dakwah seperti Kumpulan Tabligh berleluasa di merata Masjid dibiarkan? Pernah mereka dipersoalkan tentang Tauliah? Mungkin kerana golongan ini tidak merbahaya kepada kepentingan politik sesuatu pihak?

Seperti kata YB Khalid, beliau hanya memberi tazkirah tentang keadilan Islam dan membawa kisah di zaman Nabi dan para sahabat. Adakah itu ajaran sesat? Di mana sesatnya kisah tersebut? Tidak terfikir oleh kita, seorang Pesuruhjaya PAS dilarang memberikan tazkirah hanya kerana tiada Tauliah. Ertinya, kita memerintah Selangor pun kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk kebaikan Islam kerana adanya pihak yang menentang Islam ini berkuasa penuh. Tetapi apabila berlaku sesuatu isu yang memburukkan imej Islam, puak haramjadah ini akan menuding jari menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat. Apabila kita melakukan kerja dakwah, banyak pula songelnya untuk menghalang kewajipan dakwah tersebut.

Saya bersetuju jika seseorang yang ingin mengajar Kelas Fardhu Ain, Tafsir, Hadith yang berpandukan kitab besar, dan pengajiannya berjadual eloklah memerlukan Tauliah agar pengajian yang disampaikan itu tidak tersasar dari ajaran Islam. Tetapi, jika sekadar datang ke masjid untuk saling berpesan, ingat mengingati sesama kita, tidak perlulah kepada Tauliah.

Jika beginilah keadaannya, elok juga dicadangkan agar Kerajaan Selangor memansuhkan sahaja jawatan Exco Agama yang kini dipegang oleh YB Dr Hassan Ali. Apa beliau buat di dalam isu ini? Tiada kuasa? Jika tiada, lebih baik tiadakan saja jawatan itu. Buat apa buang duit rakyat untuk membayar gaji dan elaun Exco Agama?

Di dalam kes serbuan Gereja baru-baru ini, kita lihat sepantas kilat Dr Hassan Ali mengulas. Di dalam kes ini di mana menyoroknya Dr Hassan Ali? Dr Hassan Ali tidak tahukah yang mahu didakwa itu adalah ahli Jemaah parti beliau sendiri, bahkan YB Dr Rani itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor iaitu bos beliau juga. Adakah Dr Hassan Ali tidak yakin dengan ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh PAS itu? Kita tahu, Dr Hassan Ali pasti akan jawab, itu bukan bidangkuasa dia sebagai Exco Agama. Habis tu, kerja dia apa? Tegur JAIS pun Dr Hassan Ali tak mampu?

Ya Allah, apa nak jadi dengan Islam jika ada badan Islam yang sengaja mahu menyusahkan kerja dakwah seperti ini. Kita sangkakan apabila kita memerintah, kita boleh kembangkan Islam, rupa-rupanya tidak. Kita sangkakan adanya Exco Agama boleh juga menjadi pemimpin dan memandu kita ke arah memartabatkan Islam, rupa-rupanya kerja dia hanya merampas arak dari kedai Seven Eleven. Jika begitu, mansuhkan saja jawatan Exco Agama dan serahkan semua kunci pintu masjid pada JAIS.

DEBAT - CICAK MENGKARUNG JADI MANGSA

Oleh: WFAUZDIN NS

KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sudah mula perasan dan syok sendiri apabila Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu menyerahkan kepada Pemuda PAS untuk menguruskan debat berkaitan isu siapa pejuang kemerdekaan. Nampaknya Mat Sabu kenal siapa lawan yang sesuai dengan beliau bukannya cicak mengkarung yang tiada apa-apa nilai di dalam Umno itu.

KJ perasan beliau hebat kononnya Mat sabu takut berdebat dengan beliau, sedangkan Mat sabu mensasarkan Muhyiddin yang setaraf dengan Timbalan Presiden PAS itu. Kesediaan KJ untuk berdebat dengan PAS berkaitan isu ini disambut oleh Pemuda PAS Johor kerana tokoh yang menjadi kontroversi iaitu Mat Indera berasal dari Johor, tambahan pula `level' mereka sama sahaja iaitu dari kalangan Pemuda. Oleh yang demikian, KJ patut sedar diri dan cermin muka dahulu dan terima sahaja pelawaan dari Pemuda PAS Johor.

Biarkan sahaja Mat sabu menguji Muhyiddin samada Timbalan Presiden Umno dan TPM ini benar-benar `anak jantan' yang selama ini berkokok di depan media sahaja. Kita juga ingin melihat sejarah tercipta seorang tokoh nombor dua di dalam Umno berani berdebat secara terbuka setelah tokoh nombor satu mereka, Najib memang terbukti bukan `anak jantan'. Sebelum ini, Umno memiliki seorang wakil yang ada `kejantanan'nya sedikit iaitu Shabery Chik yang sanggup berdepan dengan Ketua Pembangkang DS Anwar di dalam debat isu minyak. Walaupun meleleh air liur, namun kita `respek' tokoh ini kerana beliau telah diuji secukupnya oleh DS Anwar.

Mustahil di dalam Umno tiada seorang pun yang duduk di atas sana yang benar-benar `jantan'. Mengapa pemimpin atasan Umno asyik memperkudakan pencacai mereka di bawah sahaja jika dicabar berdebat? Kita sering lihat Nazri Aziz, KJ, Lokman Adam dan beberapa ekor cicak mengkarung itu sahaja yang mewakili Umno untuk berdebat. Mana tokoh atasan Umno? Mana Najib, Muhytiddin, Zahid Hamidi, Hishamuddin dan juga menteri yang bahasanya berbunga-bunga iaitu Rais Yatim?

Kali ini kita sokong pendirian Mat Sabu yang terus mendesak Muhyiddin agar keluarkan `kejantanan'nya jika Muhyiddin merasa beliau bakal menjadi PM selepas Najib. Umno perlu ada pemimpin yang berani kerana benar, bukan pemimpin yang hanya lantang berkokok di depan kamera TV sahaja. Kali ini kita tunggu reaksi Muhyiddin./wfauzdin.blogspot.com

Isnin, 5 September 2011

SELAGI UMNO BERKUASA, SEJARAH AKAN TERUS MENIPU?

Oleh: WFAUZDIN NS

MASIH mahu membincangkan tentang kebenaran dan kepalsuan sejarah di negara kita. Rakyat mula meminati `bidang sejarah' ini khususnya tentang perjuangan menentang penjajah selepas tajuk ini dipopularkan oleh Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS yang dianggap penyokong Komunis oleh puak yang pernah memberikan tanah kepada `beberapa komunis yang telah bersara' selepas peristiwa Komunis meletakkan senjata di negara ini. Pelik bunyinya bukan?

Saya tertarik dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa sejarah di negara ini boleh berubah cerita mengikut rentak Sang Penguasa. Baca kenyataan beliau di sini. Benar kata beliau, apabila sejarah tidak mampu ditulis secara jujur yang bertentangan dengan kepentingan Sang Penguasa, maka ianya akan bertukar menjadi Puisi untuk menzahirkannya. Maka, hari ini banyak Puisi yang `mengeluh' tentang kezaliman Sang Penguasa serta menceritakan sejarah silam yang tiada dicoretkan di dalam buku sejarah.

Apa yang ada dalam buku sejarah? Kisah pemimpin yang pernah bersekongkol dengan penjajah, yang makan minum mereka disuap oleh penjajah, kaya raya dengan bertepuk bahu dengan penjajah telah dinukilkan sebagai pejuang kemerdekaan. Di mana cerita Pahlawan Melayu yang hanya bersenjatakan keris dan kudrat empat kerat menentang penjajah? Jika ada pun, hanya dipaparkan seolah-olah seperti cerita hikayat dan dongeng semata-mata.

Bak kata Tuan Ibrahim, seandainya berpuluh tahun akan datang jika sejarah negara ini ingin menceritakan tentang pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, adakah cerita yang mahu mereka tulis tentang DS Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri negara ini? Rasa-rasanya adakah mereka berani untuk menulis bahawa DS Anwar Ibrahim adalah tokoh yang telah membawa sedikit roh Islam ke dalam parti keramat Melayu, Umno itu? Sanggupkah mereka menulis betapa DS Anwar ini telah banyak membantu mewujudkan Universiti Islam, bank Islam, takaful Islam, peraturan berpakaian menutup aurat bagi pelajar lelaki dan perempuan di sekolah-sekolah dan beberapa program Islamik yang lain?

Sudah tentu sejarah ketika itu tidak akan bercerita tentang kehebatan tokoh yang bernama DS Anwar Ibrahim ini. Usahkan berpuluh tahun akan datang, bahkan sekarang pun jika kita pergi ke bangunan Umno di PWTC, masihkah lagi terdapat potret bekas Timbalan Presiden Umno dan bekas Timbalan Perdana Menteri Umno itu? Dahulu, di UIA terdapat batu asas pembinaan Universiti ini mencatatkan nama DS Anwar, tetapi ianya `ghaib' secara tiba-tiba. Sejarah telah mula menipu awal lagi.
Link
Hanya satu cara saja jika rakyat mahu mengetahui sejarah sebenar tanpa ada `kurang dan tambah' atau diselewengkan. Berikan kuasa memerintah negara ini kepada Pakatan Rakyat dan kita semua akan tahu sejarah sebenar negara ini, bahkan ahli-ahli Umno juga akan tahu bahawa parti yang mereka sanjung jika boleh sampai ke liang lahad itu adalah parti `klon' baru setelah Umno diharamkan ketika di era Mahathir. Rakyat juga akan tahu siapakah pejuang tanahair yang sebenarnya dan siapa pula `barua' British yang hakiki./wfauzdin.blogspot.com

Ahad, 4 September 2011

JAKET KALIS PELURU UNTUK PETUGAS MEDIA - ESKAY DAN RAHIM BOLEH BANTU

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA telah berlaku satu tragedi yang mengakibatkan seorang Jurugambar BERNAMA TV terkorban di Somalia, maka kerajaan pun bercadang untuk membekalkan jaket kalis peluru kepada petugas-petugas media yang melaksanakan tugas di dalam misi bantuan seperti di Somalia.

Saya mengucapkan takziah kepada waris Almarhum yang terkorban disaat kita bergembira menyambut Hari Raya Idul Fitri, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan menyebut bahawa kerajaan bersedia untuk membekalkan jaket kalis peluru kepada petugas-petugas media di masa-masa akan datang. Kita menyokong langkah tersebut kerana risiko melakukan tugas di negara-negara yang dilanda peperangan amatlah tinggi.

Jika Datuk Eskay dan Rahim Tambi Chik boleh dibekalkan jaket kalis peluru untuk melakukan `sumpah bidaah' di dalam masjid di negara yang aman seperti di negara ini, apatah lagi bagi mereka yang mahu melakukan tugas di negara yang sedang bergolak.

Syabas, kerajaan Malaysia kerana bijak berfikir walaupun telah terkorban seorang rakyat negara ini. Sekiranya jaket kalis peluru tidak mencukupi, mungkin Datuk Eskay atau Rahim Tambi Chik bersedia untuk membekalkannya./wfauzdin.blogspot.com