RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 16 Mac 2012

YB NURUL DATANG LAGI KE FELDA LEPAR , INGATAN BUAT SAMSENG UPAHAN

Oleh:  WFAUZDIN NS

BUKAN misi balas dendam tetapi jauh sekali untuk merasa takut dengan sebarang ugutan oleh samseng-samseng belaan Umno di Lepar Hilir.  Pada program ceramah YB Nurul Izzah bersama YB Nik Nazmi di Felda Lepar Hilir 1 pada 26 Feb yang lalu, berlaku tindakan ganas dari mereka yang tidak bertamadun dan difahamkan bukannya dari penduduk tempatan Lepar Hilir 1 tetapi diketuai oleh seorang samseng bacul dari Lepar Hilir 2.

Ketua perusuh terhadap seorang YB wanita anak sulung kepada DS Anwar itu wajahnya telah tersebar di merata-rata melalui internet, siap diketahui di mana alamat dan no telefonnya.  Maka, program YB Nurul Izzah terpaksa ditangguhkan atas nasihat pihak Polis pada malam itu. Sesudah membuat kacau, puak samseng tersebut dikatakan dibawa menjamu selera di sebuah kedai makan di Batu 11, jalan Gambang.  Kononnya meraikan kejayaan mereka membuat kerja bangang dan pengecut itu.

Sebagaimana yang dijanjikan kepada penduduk Lepar Hilir, sekali lagi YB Nurul Izzah akan berkunjung di tempat yang sama pada 17 hb Mac ini.  Difahamkan kebenaran dari pihak Polis telah diperolehi dan khabarnya puak-puak tidak bertamadun itu sekali lagi ingin membuat kacau atau provokasi.  Kali ini dikatakan mereka akan mengadakan ceramah juga pada waktu yang sama dengan mengundang bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Adun PAS yang telah dipecat iaitu Dr Hassan Ali atau lebih sinonim disebut Hasan Akidah @ Jati.  Aku tidak tahu lah samada Hasan Jati ini sanggup menjadi barua atau bersubahat dengan kerja-kerja khianat seperti ini.

Program anjuran KEADILAN Paya Besar dan Dun Lepar itu tetap akan diteruskan walaupun didatangkan Iblis dari gunung mana pun datang untuk mengganggu.  Namun kali ini, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.  Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat akan lebih bersedia pada program ini nanti dengan satu slogan "Kita tidak menjual, tetapi kita juga tidak keberatan untuk membeli".  Khususnya KEADILAN, kita akan garapkan tenaga dari semua peringkat parti terutamanya dari AMK yang berperanan menjadi benteng kepada parti ini.  PAS juga turut memberikan komitmen mereka untuk menawarkan Unit Amal bagi menentukan program malam itu nanti dapat berjalan dengan aman dan selamat.  Begitu juga dari SAMM Pahang yang akan mengumpulkan beberapa ahlinya untuk saling bekerjasama bagi memastikan tiada lagi samseng bermaharajalela.

Adalah diharapkan pihak berkuasa pada malam itu nanti dapat berfungsi dengan baik, telus dan adil.  Lojiknya, dua program dari parti berlawanan di dalam satu lokasi pada tarikh dan waktu yang sama patut dilarang oleh pihak berkuasa lebih awal.  Namun, semenjak kebelakangan ini mereka sering terlepas pandang aspek keselamatan seperti ini seperti juga baru-baru ini di Sg Miang, Pekan.  Di Sg Miang, Pekan puak Umno dibenarkan berceramah bersebelahan dengan ceramah PAS dengan hanya dijarakkan lebih kurang 50 meter sahaja.  Lebih malang lagi, beberapa pemuda mereka hampir ke tepi pagar tempat ceramah PAS dengan menjerit-jerit umpama orang kena sawan babi.  Tiada satu pun tangkapan dibuat pada malam itu. 


Apa yang bakal berlaku pada 17 hb Mac ini nanti?  Kita tunggu saja.  Kepada semua penyokong Pakatan Rakyat, marilah kita sama-sama meraikan demokrasi dengan hadir beramai-ramai ke Felda Lepar Hilir 1 pada 17 Mac ini jam 09.00 malam.  Selepas itu, YB Nurul Izzah akan beregas pula ke Markas PAS Felda Cini 3, Pekan untuk berceramah.  Lawan Tetap Lawan./wfauzdin.blogspot.com  

Rabu, 14 Mac 2012

TAHNIAH, SAMM PAHANG MAJU SETAPAK LAGI

 Oleh:  WFAUZDIN NS

TAHNIAH aku ucapkan kepada SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia) Pahang yang kini semakin maju ke depan apabila mewujudkan FaceBooknya sendiri iaitu `SAMM Pahang'.  Aku juga difahamkan SAMM Pahang kini telah mula bersedia untuk mewujudkan blog sendiri pula.  Alhamdulillah.

Sebelum ini gerakan SAMM Pahang hanyalah secara individu melalui FB masing-masing.  Namun, berkat usaha Penyelaras SAMM Pahang, Sdr Kamarul Hatta yang juga bekas Timbalan Ketua AMK Pahang dan bekas Ketua AMK Kuantan serta dibantu oleh rakan-rakan beliau, maka wujudlah FaceBook SAMM Pahang ini.  

Aktiviti SAMM Pahang sejak kebelakangan ini hanyalah mempergiatkan usaha di dalam Kempen ABU (Asalkan Bukan Umno) di merata-rata kawasan di seluruh Negeri Pahang.  Hasil daripada kempen yang berterusan, alhamdulillah, baru-baru ini di beberapa kawasan Felda iaitu kubu kuat Umno, kempen ABU mendapat sambutan.

Secara peribadi, aku sendiri adalah penyokong SAMM dari awal lagi.  Sewaktu pemilihan di dalam KEADILAN dulu, aku juga salah seorang yang menyokong kuat Chegu Bard (Penyelaras SAMM) untuk bertanding jawatan Ketua AMK.  Tetapi, apa jua keputusan dari pertandingan itu aku tetap menyokong SAMM kerana bagi aku SAMM bukan lah sayap parti yang boleh aku kaitkan dengan keputusan pemilihan yang secara prinsipnya aku terima apa jua keputusan parti yang aku sertai sekarang. Bagi aku, masalah pemilihan biarlah mereka yang arif menentukannya.

Walaupun ada di kalangan rakan-rakan mendakwa SAMM wujud adalah kerana kekalahan Chegu Bard di dalam pemilihan Ketua AMK, bagi aku itu merupakan dakwaan yang ternyata tidak berpijak di bumi nyata.  Mereka boleh lihat, SAMM lebih awal wujud sebelum pemilihan lagi dan prinsip perjuangan SAMM jauh berbeza dengan prinsip kepartian, cuma asasnya sama iaitu menentang rejim yang zalim.

Walaupun aku penyokong gerakan SAMM ini, aku juga pernah mengkritik beberapa ahli SAMM yang kadangkala terbabas dan keterlaluan di dalam berkata-kata.  Bahkan, aku juga pernah menegur dan memberi pandangan kepada Chegu Bard secara peribadi dan juga melalui blog berkaitan beberapa perkara.  Tetapi semua ini tidak pernah menjadikan hubungan kami rosak akibat perbezaan pendekatan atau kritikan.  Ini lah hebatnya SAMM yang berani berdepan secara hujah bukan hanya berlagak hero di belakang tabir dan melalui facebook semata-mata.  

Bagi aku Chegu Bard (Penyelaras SAMM) sebagai Ketua Cabang Rembau dan orang kanannya iaitu Ketua AMK Rembau telah berjaya mengangkat parti ini melalui gerakan SAMM.  Ertinya, hujah yang menyebut bahawa SAMM dan AMK sentiasa bermusuh amat tidak tepat samasekali, walaupun tidak dinafikan ada yang merasakan begitu dek kerana tidak matangnya politik mereka.  Secara peribadi juga aku mengalu-alukan penubuhan beberapa NGO lain seperti Jingga 13, AIC (Anwar Ibrahim Club), MAP (Memacu Arus Perjuangan) dan beberapa lagi NGO yang sentiasa menjadikan rejim zalim sebagai sasaran mereka.

Apa yang penting bagi aku, kerja parti mesti diletakkan di atas segala-galanya.  Jika peluang melalui parti agak terhad untuk meneruskan perjuangan maka gunakanlah platform NGO seperti ini untuk meneruskan perjuangan asalkan sasarannya tetap sama.  Kita sedar, ada di kalangan di dalam parti yang `beku' di dalam perjuangan malahan ada ketua yang malas untuk hadir mesyuarat parti, tetapi mereka tidak pula mahu berjuang melalui NGO-NGO seperti yang disebut di atas.  Sikap inilah sebenarnya yang menampakkan kepimpinannya tidak berkesan dan tidak berpengaruh.

Sekali lagi tahniah kepada SAMM Pahang.  Teruskan perjuangan anda dan harungilah apa sahaja yang berada di hadapan tanpa menghiraukan `kemuncup' di jalanan.  Kekalkan prinsip SAMM sebaik mungkin dan kamu harus sedar pejuang yang hebat pasti mempunyai ramai musuh samada di luar mahu pun di dalam./wfauzdin.blogspot.com

Selasa, 13 Mac 2012

FESYEN HAJJAH ROSMAH BUKTI KONSEP `WASATIYYAH' UMNO BERJAYA


Oleh:  WFAUZDIN NS

FOTO di atas adalah foto terbaru sewaktu pembukaan sidang Parlimen semalam.  Untuk apa foto ini disiarkan?  Penting sangatkah kepada kita?  Memang penting pun.

Semua kenal beberapa tokoh di dalam foto di atas.  Selain dari DYMM YDP Agung dan Permaisuri, ada dua lagi tokoh penting di negara ini yang bergambar bersama.  Mereka adalah Haji Najib dan Hajjah Rosmah Mansor.  Apa yang peliknya tentang foto mereka berdua?  Memang pelik pun.

Sekiranya Ustazah Mashitah atau Jamil Khir melihat foto ini, terutamanya tentang fesyen pakaian Hajjah Rosmah Mansor, adakah kedua-dua pakar agama Umno tersebut mahu mengaku bahawa itu adalah isteri pemimpin negara yang mereka sanjung?  Aku rasa mesti mereka mengaku kerana jika tidak, buat apa mereka duduk di dalam saf Umno yang memilih pemimpin seperti itu?  

Hajjah Rosmah tidak peduli apa jua rakyat akan perkatakan tentangnya kerana beliau yakin dengan kekuatan suaminya Najib yang boleh membeli jiwa rakyat.  Masakan rakyat terutamanya orang-orang Melayu berugama Islam akan pertikaikan pakaiannya yang `seksi' dan `ketat lagi berisi' di bahagian dada itu setelah Najib umpan rakyat dengan BR1M sebanyak RM 500.  Pastinya rakyat bersyukur dan terhutang budi pada Najib, dan tanda bersyukur itu adalah sokong Najib dan isterinya hatta apa jua yang beliau lakukan.  Itu lah erti syukur bagi mereka.

Cantikkah Hajjah Rosmah berpakaian begitu?  Mengapa Najib redha dengan cara Hajjah Rosmah?  Jawapannya anda sendiri fikir kerana anda lah yang bakal menentukan pemimpin anda sendiri.  Kalau tanya aku, usahkan aku redha dia jadi isteri PM, kalau jadi Amah di dalam rumah aku pun aku tidak redha.  /wfauzdin.blogspot.com

Isnin, 12 Mac 2012

ISU NFC - SHAHRIZAT TUNAI JANJI `LONDEH' SENDIRI KAINNYA?

Oleh:  WFAUZDIN NS

SEMALAM dengan wajah selamba bagaikan orang tidak bersalah walaupun tidak boleh diselindung lagi riak wajah kekecewaan dan kedukaan, Shahrizat Jalil pun mengumumkan akan `meletakkan jawatan' beliau sebagai Menteri.  Bila?  Esok atau lusa atau minggu depan?

Jawapannya bukan esok atau pun minggu depan, tetapi bulan depan iaitu sama dengan tarikh tamatnya tempoh beliau sebagai Senator.  Jangan kita lupa, beliau dilantik jadi Senator untuk melayakkan beliau dilantik sebagai Menteri.  Lojiknya, tamat tempoh Senator, maka tamatlah tempoh menjadi Menteri.  Jadi, mengapa perlu Shahrizat buat cerita sedih kononnya beliau akan meletakkan jawatan?  Bukankah memang lojik beliau berhenti jadi Menteri apabila tidak lagi menjadi Senator?  

Rakyat termasuk beberapa kerat pemimpin Umno bukan mahu Shahrizat berhenti jadi Menteri serentak dengan tamatnya tempoh beliau sebagai Senator.  Mereka mahu Shahrizat berhenti serta merta kerana terlalu banyak yang buruk dari baiknya beliau berada di dalam Kabinet yang sememangnya sudah buruk itu.  Bak kata Nazri Aziz, beliau harus pulangkan balik RM250 Juta dari NFC.  Ertinya, berhenti sahaja tidak memadai bahkan jika dipulangkan kembali wang rakyat itu pun masih belum mencukupi. Seperti yang dikatakan oleh seorang Pegawai Polis dari Bukit Aman bahawa suami Shahrizat harus didakwa atas tuduhan pecah amanah.  Mampukah Peguam Negara berbuat demikian?

Kita juga mahu tahu sejauh mana Shahrizat tidak berperanan di dalam kes NFC ini.  Pokoknya bukan isu letak jawatan atau tidak, isunya adalah RM 250 Juta itu.  Rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan lakonan letak jawatan yang dianggap tindakan tepat oleh Najib itu.  Nampaknya masih panjang lagi masa untuk Shahrizat berada di dalam kabinet dan diharapkan dengan masa yang masih panjang ini, tidak `memanjangkan' tangan (panjang tangan) Shahrizat. Janji Sharizat tertunai sudah, beliau telah pun `melondehkan' kainnnya./wfauzdin.blogspot.com


ADA AKU KISAH MEREKA MEROYAN?

Oleh: WFAUZDIN NS

KADANGKALA kesian tengok kawan-kawan seperjuangan.  Mereka cuba mahu menjadi hero maki hamun di dalam facebook, kononnya orang lain penakut berhujah dengan mereka.  Aku pun baca semua yang ditulis dalam facebook mereka, kot-kot ada lah hujah mantap yang boleh aku jawab, malangnya yang ada hanya maki hamun.  Kesihan penyakit Umno sudah berjangkit, tidak boleh berhujah melainkan maki hamun.

Kononnya mereka berani dan kata aku ni takut untuk berhujah, lucunya setakut-takut aku pun nama dan gambar aku, maksudnya identiti aku tetap terpapar di profile facebook.  Yang menyalak maki hamun tu pulak, berselindung dengan nama yang aku sendiri tak tahu datangnya dari mana.  Lebih parah lagi guna nama parti pulak tu dalam facebook, kononnya untuk burukkan parti sendiri?

Paling bangsat dan bacul, dia minta penjelasan dari aku secara personal melalui inbox facebook aku.  Aku ni anggap dia ikhlaslah nak minta penjelasan, maka aku pun terang dan jawab apa yang beliau mahu aku jawab.  Aku ikhlas juga bagitahu dia, jika masih kabur dengan penjelasan aku, hibungi lah aku semula untuk penjelasan lebih lagi, malahan aku kata aku boleh bertemu muka jika dia masih tidak faham.  Dia pun tak jawab selepas itu, maka aku fikir dia faham....

Rupa-rupanya dia copy apa yang aku tulis melalui personal kepada dia, dia letakkan kat wall facebook.  Lepas tu, dua tiga ekor ini pun mulalah bercakap sesama mereka isu yang aku jawap tu.  Pelik juga, kan?  Aku tak hairan sikit pun dia copy paste apa yang aku tulis tu kerana apa yang tertera tiada maki hamun atau lucah pun.  Sebaliknya, mereka jadikan bahan maki hamun sesama mereka.  Ada aku kisah?  

Aku hanya tabik jika mereka yang boleh berbahas dan berhujah bukan yang menjawab dengan maki hamun.  Jika mahu cari yang pandai maki hamun untuk menjawab hujah, melambak puak-puak macam tu dalam Umno.  Sekali lagi aku tawarkan kepada sesiapa saja hatta orang-orang Umno sekalipun yang tidak puas hati dengan apa yang aku tulis, kita boleh bertemu dan berhujah cara baik.  Tetapi, sekiranya mahu pancing aku agar masuk dalam facebook yang penuh dengan cercaan dan makian, maaf sajalah kerana aku dah jemu dengan semua tu dan takkan boleh buat kita lebih cerdik melainkan bertambah bodoh...Ada aku kisah?/wfauzdin.blogspot.com