Amat sukar untuk menyembunyikan rahsia keretakan di dalam parti Bersatu nampaknya. Apabila ahli-ahli Bersatu sendiri menzahirkannya secara terbuka di dalam Perhimpunan Agong Tertinggi (PAT) Bersatu kelmarin, jelas membuktikan kewujudan Akuan Bersumpah (SD) dari 120 Ketua Bahagian Bersatu daripada 198 bahagian seperti yang dilaporkan.
Apakah doa Qunut Nazilah yang sering dilaungkan oleh mereka dari kalangan pimpinan PN telah memakan diri? Nampaknya isu SD yang sering Muhyidin jadikan modal di dalam ceramahnya untuk menunjukkan beliau sebenarnya paling layak untuk menjadi PM ke 10, bukan Anwar Ibrahim kerana beliau ada SD yang mencukupi, telah memakan dirinya sendiri di mana SD dari 120 Ketua-Ketua Bahagian Bersatu menolak beliau selaku Presiden Bersatu. Hukum karma, mungkin.
Bagaimana mahu memberitahu rakyat bahawa Muhyidin layak menjadi calon PM ke 11 sedangkan lebih separuh Ketua-Ketua Bahagian Bersatu sendiri menolaknya sebagai pemimpin? Terbaru, MB Kedah, Sanusi sendiri memberi amaran jangan cepat sangat Bersatu umumkan Muhyidin adalah calon PM ke 11 kerana ianya perlu dibawa ke perbincangan di dalam PN terlebih dahulu. Nampaknya di dalam Pas sendiri kurang selesa dengan nama Muhyidin.
Memang wajar Muhyidin meluahkan rasa kecewa dan sedihnya apabila beliau diaibkan sewaktu sedang berucap dalam ucapan dasar sewaktu PAT kelmarin. Memang benar, semua parti ada berlaku kekecuhan atau kadangkala wujud tim. Itu biasa, kata Muhyidin. Namun, apa yang luar biasanya adalah apabila kekecuhan itu berlaku sewaktu Presiden sedang berucap dengan jeritan "Tan Sri turun', itu amat memalukan dan tidak berlaku kepada parti lain. Itu juga hukum karma barangkali.
Nampaknya doa Qunut Nazilah amat berkesan kepada Bersatu. Sebelum ini, enam MP dari Bersatu telah menyatakan sokongan kepada PMX. Satu tamparan hebat kepada Bersatu. Apabila lebih 2/3 Ketua-Ketua Bahagian menolak beliau, ini bukan lagi tamparan. Muhyidin telah di"telanjangkan" di khalayak dan beliau tiada pilihan selain dari berundur.
Siapa di sebalik cerita ini? Drama apa yang mereka cuba pertontonkan di pentas PAT Bersatu dengan adegan peluk memeluk Muhyidin - Hamzah? Kalau tanya saya, itu tidak pelik kerana ada bersama mereka seorang tokoh khianat bekas Keadilan dan kita tahu mainannya dalam politik sewaktu berada di dalam Keadilan. Menikam bos dari belakang, itu memang perangainya.