RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 10 Mei 2013

ISU MB SELANGOR - TS KHALID KEKAL, AZMIN KENA BELAJAR AMALKAN TEORINYA SENDIRI

TAHNIAH, Pakatan Rakyat Selangor telah buat keputusan melantik bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor.  Keputusan ini adalah hasil tolak ansur dari rakan-rakan Pakatan Rakyat terutamanya dari PAS yang memiliki lebih Kerusi Dun di Selangor berbanding PKR tetapi bersetuju untuk meneruskan khidmat Tan Sri Khalid Ibrahim, begitu juga dengan DAP yang memiliki Kerusi terbanyak di Selangor.

Aku juga menghormati pendirian Azmin Ali tentang isu MB Selangor ini jika mengikut formula atau teorinya iaitu MB Selangor dari PKR mestilah melalui Pejabat PKR Negeri atau Majlis Pimpinan Negeri Selangor.  Ertikata lain, tidak ada jalan lain untuk meletakkan calon MB dari PKR tanpa melalui saluran parti di negeri tersebut.  Itu teorinya.  Aku yakin nama Tan Sri Khalid Ibrahim tiada di dalam senarai calon MB Selangor yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat PKR Negeri Selangor.  Calonnya aku percaya adalah Azmin Ali sendiri.

Retoriknya pula, bagaimana dengan banyak kes di serata negeri, senarai calon termasuk calon Dun ditentukan oleh JPRP (Jabatan Pilihanraya Pusat) yang diketuai oleh Azmin sendiri?  Apa yang kita faham senarai calon Parlimen, JPRP boleh tentukan atau ada hak untuk memilih calon-calon yang mereka fikir layak, tetapi untuk calon Dun, sepatutnya kuasa menentukan calon lebih wajar diberikan kepada Pengerusi MPN atau Biro Politik Negeri untuk menentukannya.  Malangnya, ada kes calon Dun pula 'datang dari belakang' tanpa melalui Ibu Pejabat Negeri sendiri.  Ertikata lain, ada calon Dun menggunakan 'kabel' dari JPRP yang diketuai oleh Azmin dan beberapa orang kuncu-kuncunya.  

Adakah formula Azmin yang dinyatakan di dalam Sidang Medianya pagi tadi (Jumaat) dipraktikkan oleh Azmin sendiri?  Jika kuasa MPN dirampas oleh JPRP, mengapa perlu risau jika Presiden menggunakan kuasanya menentukan MB Selangor?  Bukankah Tan Sri Khalid Ibrahim telah menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang sebagai MB Selangor, justeru itu rakyat memberikan sokongan berlipat kali ganda kepada PR di dalam PRU 13 baru-baru ini?  Apatah lagi DAP dan PAS juga turut berkenan dan menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.  Sepatutnya kita sebagai ahli-ahli PKR amat gembira dengan sokongan DAP dan PAS kepada PKR biarpun kita memiliki Kerusi yang terendah di Selangor.

Sehubungan itu, Azmin Ali boleh lupakan teorinya buat sementara waktu sehingga beliau juga boleh beramal dengan teori atau formulanya sendiri.


Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Saifudin:

Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua.

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu’ dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk  diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat  dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sekian, terima kasih.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT

RAKYAT TIDAK PEDULI AZMIN MINAT ATAU TIDAK UNTUK BANGKIT BERHIMPUN

JIKA Azmin Ali ada hak untuk menegur tindakan DS Anwar Ibrahim yang bekerja siang malam menyedarkan rakyat tentang penipuan pilihanraya, aku juga berminat untuk menegur Timbalan Presiden PKR ini.

Pertamanya tahniah kerana menjelaskan beliau akan terus bersama parti dan ingin bersama rakyat.  Tentang isu perhimpunan rakyat membantah penipuan pilihanraya yang bakal diadakan di setiap negeri, jika Azmin tidak berminat untuk turut serta beluau tidak harus menyekat kebangkitan rakyat untuk terus berjuang, bukan sahaja setiap hari bahkan setiap kali mata berkedip.  Azmin mungkin ada alasan untuk tidak berminat apatah lagi beliau telah menang selesa.  Mungkin satu hari nanti Azmin akan berkata buat apa adakan ceramah hari-hari?

Azmin berkata, ada cara lain untuk menentang penipuan pilihanraya iaitu siapkan bukti dan bawa ke mahkamah untuk petisyen pilihanraya.  Aku mahu tanya Azmin, tidakkah beliau sedar bahawa semuanya itu telah pun kita mulakan di mana Sdr Rafizi, Pengarah Strategi PKR telah diamanahkan untuk mengumpul semua bukti tersebut?  Adakah Azmin fikir itu kerja yang sudah memadai tanpa rakyat dimaklumkan perkara sebenar?  

Azmin pernah dituduh melakukan perkara sumbang di dalam tandas.  Mengapa Azmin tidak laporkan sahaja kepada Polis atau menyaman pihak yang menyebarkan aksi tidak senonoh yang kononnya dikatakan beliau itu?  Mengapa Azmin ke hulu ke hilir berceramah untuk mempertahankan dirinya dan menerangkan isu fitnah tersebut?  Mengapa tidak dihentikan setakat membuat laporan Polis?  

Azmin harus faham, untuk berdepan dengan rejim zalim ini tidak cukup dengan hanya bergantung kepada laporan atau mahkamah kemudiannya duduk diam.  Jika ini yang kita amalkan sejaktahun 1998, nescaya Azmin pun tidak akan merasa menjadi YB sampai sekarang.

Isu tentang perlantikan MB Selangor, memang semua maklum bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim telah dipersetujui oleh rakan-rakan di dalam PR, tambahan pula beliau telah buktikan beliau mampu mentadbir Selangor dengan efisyen dan cemerlang.  Jadi, tepatlah jika Presiden Parti menamakan Tan Sri Khalid sebagai calon MB Selangor.

Soal kononnya Presiden masuk campur urusan di dalam parti di Selangor, aku mahu tanya Azmin adakah beliau lebih berhak camportangan urusan parti di negeri-negeri lain?  Adakah Azmin mahu nafikan ini semua?  

PESANAN BUAT AZMIN ALI, JANGAN PENTINGKAN DIRI

SEHARI dua ini kecoh pasal isu Azmin Ali.  Awalnya berita yang memetik komen Azmin Ali di dalam Twitternya yang tidak bersetuju apabila rakyat berhimpun di Kelana Jaya malam kelmarin untuk menunjukkan rasa tidak puas hati di atas keputusan PRU 13 yang dikatakan penuh dengan kontroversi.  Azmin Ali tidak bersetuju rakyat berhimpun malam itu kononnya 'rakyat sudah letih'.

Terbaru, dikatakan pula ada ura-ura Azmin mahu umumkan keluar dari PR bersama lebih kurang 11 Ahli Parlimen yang menyokongnya.  Pagi nanti (Jumaat 10/5/13) jam 11.00 pagi diberitakan Azmin Ali akan adakan Sidang Akhbar di Ibu Pejabat PKR di Tropicana.  Kita boleh ketahui kesahihan kesemua perkara di atas.

Aku mahu ingatkan saja Azmin Ali.  Isu pertama, jika benar beliau tidak suka Perhimpunan Rakyat di Kelana Jaya malam kelmarin atas alasan 'rakyat sudah letih', Azmin silap besar.  Kehadiran lebih 100,000 dari berbagai kaum malam tadi di Stadium Kelana Jaya walaupun dibasahi hujan sebelum terpaksa menghadapi kesesakan berjam-jam di jalanraya, adakah itu bukti 'rakyat sudah letih'?  Atau, Azmin Ali yang sudah letih kerana menang besar?  Jika Azmin Ali atau Zuraida, Ketua Wanita PKR itu tewas angkara tipu muslihat, adakah Azmin Ali dan Zuraida akan letih juga?  

Jangan fikirkan kemenangan diri sendiri.  Fikirkan juga nasib rakan-rakan lain yang tewas angkara penipuan.  Pemimpin yang baik tidak akan mementingkan diri sendiri.  Sedarkah beliau di antara ratusan ribu yang hadir di Kelana Jaya malam kelmarin itu adalah pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong beliau di Gombak dan Bukit Antarabangsa?  Mengapa mereka hadir?  Bukankah Azmin Ali telah menang dikedua-dua kawasan tersebut?  Jawapannya, mereka mahu demokrasi di negara ini berjalan dengan baik, mereka tuntut agar penipuan dihentikan.  Mereka tidak pentingkan kawasan mereka sahaja.

Isu kedua, ura-ura Azmin Ali akan umum keluar PR bersama rakan-rakannya seramai 11 orang Ahli Parlimen.  Perkara ini aku kurang percaya dan aku tidak yakin Azmin Ali sebodoh itu.  Andaikata benar sekalipun beliau akan keluar PR, aku ingin beritahu beliau bahawa ahli-ahli PKR menyokong PKR bukan kerana Azmin, begitu juga bukan kerana susuk tubuh Anwar.  Jika benar kamu boleh bawa 11 atau lebih MP dari PKR keluar parti, kami ahli bawahan sudah biasa dengan hanya ada satu wakil Parlimen sahaja di Parlimen iaitu DS Wan Azizah suatu ketika dahulu.  Ketika itu kami tetap setia bersama parti, susah, suka dan duka bersama.  

Sehebat-hebat Ezam sesumpah yang keluar dari parti tidak membawa kesan kepada parti, siapa sangatlah insan bernama Azmin Ali dan kuncu-kuncunya?  Kami hormati Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR kerana beliau bersama mendokong perjuangan parti.  Bukan kerana susuk tubuh Azmin Ali mahu pun Zuraida.  

Dikhabarkan juga, Azmin Ali bersikap sedemikian adalah untuk menekan DS Anwar agar memilih beliau menjadi MB Selangor.  Aku tidak percaya Azmin Ali begitu kemaruk mahu menjadi MB Selangor.  Jika ada cita-cita ke arah itu, beliau kena buktikan apakah salah dan silapnya Tan Sri Khalid selama beliau menjadi MB Selangor?  Jika ada hujah untuk menolak Tan Sri Khalid, beliau boleh mencuba untuk menggantikannya, tetapi adakah beliau boleh memberi jaminan beliau lebih baik dari Tan Sri Khalid?

Blog ini adalah di antara blog paling kuat berkempen menyokong Azmin Ali sewaktu beliau bertanding menentang Zaid Ibrahim sewaktu pemilihan parti dahulu.  Aku menyokongnya atas sebab Azmin Ali lebih lama berjuang di dalam parti dan telah diuji bersama parti.  Tetapi jika kesemuanya ini Azmin Ali ingin musnahkan, aku tiada pilihan lain selepas ini.  

Aku harap kesemua yang dilaporkan di atas tidak benar atau spekulasi pasca PRU 13 semata-mata.  Fokus rakyat sekarang adalah akan terus berdepan dengan rejim yang zalim dan mengkhianati kepercayaan rakyat.  Tidak mungkin Azmin Ali termasuk di dalam golongan puak yang kami tentang ini.  Itu harapan kami.


Khamis, 9 Mei 2013

ISU MB SELANGOR - KETUA WANITA PKR JANGAN SOMBONG SANGAT !!




MENGAPA sombong sangat Zuraida Kamaruddin ini?  Aku cukup benci dengan orang yang sombong dan bongkak seperti ini dan beliau memang tak layak jadi Wakil Rakyat di dalam PR khususnya PKR jika begitu angkuh dan sombong seperti ini.

Jika beliau pertikaikan DAP dan PAS untuk membincangkan soal calon MB Selangor, apa pula kelayakan beliau untuk bercerita soal calon MB Selangor?  Besar sangatkah jawatan Ketua Wanita atau Ahli Parlimen yang baru beliau menangi itu?  Beliau jangan lupa, beliau menang baru-baru ini pun banyak dibantu oleh penyokong-penyokong DAP dan PAS, justeru itu jangan sombong sangat.

Apa salahnya DAP suarakan pendapat tentang MB Selangor kerana DAP adalah pemilik Kerusi Dun paling banyak di Selangor, bukannya DAP mahu jawatan itu tetapi sekadar beri pendapat sahaja.  Begitu juga PAS, mengapa perlu disekat PAS bercerita soal MB Selangor kerana PAS juga lebih Kerusi dari PKR?  Apa yang penting nanti, keputusan daripada perbincangan PR akan diterima bersama biarpun berapa banyak cadangan yang ada.  Yang pasti akan ada keputusan bersama.  Jadi, Zuraida ni sibuk-sibuk mahu sekat orang ni apa cerita?

Lagi satu, kenyataan beliau seolah-olah ingin menolak Tan Sri Khalid jadi MB Selangor.  Sebab itulah dia meroyan bila DAP cadangkan Tan Sri Khalid.  Agenda kamu apa pula Zuraida?  Kamu mahu siapa jadi MB Selangor?  Salahkah DAP cadangkan Tan Sri Khalid?  Kamu mahu DAP ikut telunjuk kamu?  Kamu siapa?  Jika PR buat keputusan MB Selangor adalah Tan Sri Khalid atau calon dari PAS, kamu mahu bantah?  Ingat PKR ni parti kamu ke?  Aku pun ahli PKR juga dan semestinya aku suka jika PKR yang jadi MB Selangor, tetapi aku sedar PKR adalah salah satu parti dalam PR, maka kenalah hormati pandangan orang lain.

Jangan sombong sangat bercakap, ini akan memalukan parti. 

Rabu, 8 Mei 2013

JANGAN SILAP PILIH MB SELANGOR, PEDULIKAN HASUTAN HASSAN JATI

TAHNIAH kepada seluruh rakyat Selangor yang telah 'membutakan' mata mereka terhadap umpan BR1M, TR1M dan berbagai-bagai lagi umpan mereka, tetapi telah memilih dan mengekalkan sebuah kerajaan negeri yang bersih dan terbukti ketelusannya.  Ertinya, Kerajaan Pakatan Rakyat menjadi pilihan dan idaman rakyat Selangor walaupun Umno telah meletakkan Najib sendiri sebagai 'Bos' di negeri termaju dan terkaya tersebut.

Paling mengejutkan rakyat Selangor telah memberi 'TKO' kepada Umno/Bn di Selangor apabila membuktikan jumlah Kerusi Pakatan Rakyat di negeri itu bertambah.  Umno/Bn hanya berjaya menempatkan 12 orang Wakil Rakyat mereka sahaja di Dun Selangor, manakala Pakatan Rakyat menguasai 44 Kerusi Dun seterusnya berjaya menjadi Kerajaan Negeri yang memiliki majoriti 2/3.  Satu kejayaan besar yang memeranjatkan Najib kerana sejak dari mula Parlimen di bubarkan setiap hari, siang dan malam TV kawalan mereka memainkan iklan khas untuk mengajak rakyat menyokong Umno/Bn. 

Persoalan sekarang, siapa bakal menjadi MB Selangor?  Kita tolak jumlah Kerusi yang dimenangi oleh DAP (15 Kerusi) kerana DAP pun tahu wakil mereka tidak akan menjadi MB Selangor.  Jumlah Kerusi PAS adalah sebanyak 15 Kerusi.  KEADILAN pula hanya mendapat 14 Kerusi Dun.  Secara lojiknya, tentulah PAS boleh dilantik sebagai MB Selangor yang baru.  Namun, apakah perkiraan sedemikian paling bijak untuk menentukan Selangor boleh ditadbir dengan baik sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi?

Bagi aku, calon MB Selangor yang baru mestilah dipilih dari mereka yang terbaik, yang dirasakan boleh mentadbir Selangor jika tidak melebihi kehebatan Tan Sri Khalid (MB Selangor sebelum ini) sekurang-kurangnya tidak lebih teruk dari Tan Sri Khalid Ibrahim.  Jika PAS mempunyai kelayakan seperti itu, lebih baik diberikan saja jawatan itu kepada wakil dari PAS.

Sebagai sebuah pakatan, amat manis dan beradab jika pandangan dari rakan kita di dalam DAP turut diambil kira bagi menentukan calon MB Selangor.  Tentulah molek jika kesemua memberi kata sepakat tentang calon MB Selangor.  Jangan peduli kata-kata 'batu api' dari mantan Pesuruhjaya PAS yang telah disepak keluar dari PAS iaitu Hassan Jati.  Beliau nyatakan elok PAS jadi MB Selangor kerana PAS juga ada wakil yang berkelayakan.

Tidak perlu beliau sebut itu kerana kita sendiri pun tahu mahu memilih yang terbaik untuk menjadi MB Selangor.  Kita tidak lupa kata-kata Hassan Jati sebelum ini yang menuduh PAS sesat berkawan dengan DAP.  Mengapa tiba-tiba Hassan Jati mahu memuji PAS pula?  Jika bukan sekadar ingin menjadi 'batu api', untuk apa lagi?

Apa yang penting, Pakatan Rakyat di Selangor harus sepakat di dalam menentukan calon MB Selangor.  Fikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan agar Selangor terus dapat kita pertahankan untuk Penggal akan datang.  Buat KEADILAN, jangan fikir jawatan MB Selangor hanya layak untuk mereka sahaja, dan buat PAS pula jangan hanya berfikir dengan banyaknya Kerusi maka layaklah menjadi MB Selangor.  Perlu banyak perkiraan untuk jangkamasa panjang perlu difikirkan.


Selasa, 7 Mei 2013

PRU 13 - PENCAPAIAN LEBIH HEBAT DARI TSUNAMI 2008, MENGAPA PERLU DUKACITA?

SEPERTI yang telah diduga, memang puak-puak penipu itu akan label kemenangan besar kita merampas 7 Kerusi Parlimen dari Bn dibantu oleh DAP yang pada mereka adalah parti perkauman atau rasist.  Betapa bengapnya pemikiran mereka.  Tidak tahu beza DAP dengan MCA.

Mereka tidak tahu rupanya beberapa calon Melayu Islam di dalam DAP telah menang di dalam PRU 13 baru-baru ini.  Cuba sebut siapa calon Melayu Islam di dalam MCA yang menang?  Usahkan Melayu, calon Cina di dalam MCA pun banyak yang tewas.

Walaupun jelas dan nyata PRU 13 penuh dengan kontroversi, namun kejayaan PR merampas banyak Kerusi Parlimen kepunyaan Bn adalah satu rekod melebihi rekod yang dicipta tahun 2008.  Ertinya, PR mendapat sokongan lebih tinggi daripada PRU 12 yang dikatakan 'Tsunami' itu.  Selangor, negeri impian mereka untuk dirampas sehinggakan setiap hari siang malam mereka gunakan media haprak untuk iklankan kempen rampas Selangor.  Nampaknya cita-cita mereka gagal bahkan keputusan di Selangor memalukan parti penipu besar ini.

Rakyat Selangor sudah melihat betapa jauh bezanya kebaikan negeri yang dipimpin oleh PR berbanding dari yang mereka tadbir.  Rakyat di Selangor tidak selera dengan umpan BR1M, walaupun BR1M mereka ambil tetapi mata kail mereka cangkukkan kembali ke leher pemberi umpan.  Itulah bijaknya rakyat Selangor dan kita di dalam PR tidak harus berputus asa untuk terus berjuang agar rakyat di negeri-negeri lain terutamanya yang berada di bawah tapak kaki perasuah ini kita selamatkan.

Kita berjaya besar di dalam PRU 13.  Itu fakta.  Kita letakkan sasaran ke Putrajaya, mungkin terlalu tinggi atau terlalu awal tetapi di dalam kita mengejar Putrajaya, kita tidak keciciran apa-apa bahkan kita sempat mengutip 7 Kerusi Parlimen dari tangan mereka.  Memang wajar raut muka Najib malam itu tidak ceria walaupun berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.  Pertama, beliau tahu mengapa Bn menang dan siapa yang bantu.  Kedua, beliau teringat kata-kata Mahdey Kutty bahawa jika menang sekalipun Bn, jika keputusannya merosot, Najib boleh perlahan-lahan pindah dari Putrajaya.  Patut pun Muhyiddin tersengeh panjang di sebelah beliau malam itu.

Tahniah kepada semua yang telah bekerja kuat sehingga kita berjaya mencuri sedikit demi sedikit Kerusi Parlimen mereka.  Teruskan berjuang...kita semakin hampir.


Ahad, 5 Mei 2013

TIDAK RESMI - BENARKAH KIT SIANG MENANG BESAR?

BENARKAH berita yg baru aku terima?  Parlimen Gelang Patah, Johor menyaksikan calon PR, Lim Kit Siang dari DAP menang besar menewaskan bekas MB Johor, Ghani Othman?  Berita ini tidak sahih dan tidak resmi...Harap-harap betul.