TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

KOBAT FM


web widgets

ADAKAH WAJAR DITERUSKAN RUNDINGAN DENGAN PAS ?

Jumaat, 17 Oktober 2014

ANWAR DI MARAN PADA 25 OKTOBER INI - MENGAPA DI MARAN?



MARAN adalah pilihan Ketua Umum, DS Anwar Ibrahim untuk jelajah beliau ke Pahang sebelum beliau menghadapi takdir samada disumbatkan ke penjara atau dibebaskan pada 28 hb Oktober ini. Program beliau di Maran pada 25hb Oktober ini akan diadakan di perkarangan Pejabat Cabang KEADILAN Maran (berhadapan stesyen bas Maran) bermula jam 08.30 mlm.

Selain dari DS Anwar, di antara pimpinan lain yang akan berucap adalah Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, pimpinan DAP dan PAS, Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh dan beberapa penceramah yang diundang.

Amat sesuai Maran dipilih kerana Maran sejak kebelakangan ini menunjukkan prestasi yang amat menakjubkan di mana begitu ramai ahli-ahli Umno telah berpaling tadah menyertai KEADILAN sehinggakan ada di antara mereka yang berani tampil berceramah di pentas KEADILAN.  Baru-baru ini Umno telah memecat beberapa ahli mereka yang mengaku telah menyertai KEADILAN di Maran. Itu belum termasuk yang menyokong KEADILAN secara diam-diam.

KEADILAN di Maran tiada masalah dengan PAS di Maran, lebih-lebih lagi dengan DAP.  Justeru itu KEADILAN Maran telah menjemput wakil dari PAS untuk turut sama menyertai program ini.  Kita cuba buktikan bahawa tidak semua setuju perbezaan pendapat boleh memecahkan hubungan baik KEADILAN dan PAS di Pahang.  Di Maran, PAS dan KEADILAN tetap bekerjasama dan diharapkan tidak ada mana-mana pihak cuba menjejaskan hubungan baik yang sedia ada ini.  Rakyat di Maran kini semakin celik kepada perubahan, maka PR khususnya di Maran mesti bijak mengambil kesempatan yang ada.

KEADILAN Pahang telah mengeluarkan arahan agar program ini mendapat perhatian utama dari semua kepimpinan Cabang di Pahang.  Ini bukan soal batang tubuh DS Anwar tetapi ianya merupakan perjuangan rakyat marhaen menentang kezaliman.  Jika Ketua Pembangkang yang pernah menjadi TPM pun diperlakukan sedemikian, bayangkan rakyat biasa seperti kita.  Hari ini giliran DS Anwar yang juga pimpinan dari KEADILAN, esok lusa siapa boleh jamin tiada pimpinan dari PAS atau DAP yang akan dizalimi?  Ini lah yang kita perjuangkan.

Sekiranya DS Anwar mahu melihat kehadiran yang ramai di dalam kunjungannya kali ini, tentu saja beliau akan memilih Kuantan atau Indera Mahkota iaitu kubu kuat PR di Pahang.  Tetapi beliau sanggup turun ke kubu Umno iaitu Maran.  Ketua Cabang Maran dan para penyokong PR di Maran seharusnya berbangga di atas kunjungan DS Anwar ke sana dan buktikan Maran bukan Maran yang dahulu.

Rabu, 15 Oktober 2014

NIK ABDUH BUAT HAL, YB KHALID SAMAD TOLONG JAWAB HUJAH UMNO DI PARLIMEN

BUKAN main sedap Anuar Musa belasah PAS di Parlimen.  Semua modal dan hujah Anuar Musa dipetik dari Nik Abduh yang baru-baru menceritakan kononnya PAS telah dibuli oleh PKR dan DAP. Umno pun kutib lah cerita ini lantaran kebodohan Nik Abduh yang baru bertatih di dalam PAS sekarang.

Aku ingatkan bila Anuar Musa bangkit isu karut ini, maka pastinya MP Pasir Mas, Nik Abduh akan bangkit untuk berhujah kerana isu itu datangnyua dari mulut beliau.  Malang sekali, Nik Abduh tidak seberani seperti yang ditunjukkannya di dalam FB.  Beliau hanya hero FB sama seperti Tantawi juga.

Akhirnya, MP Shah Alam, YB Khalid Samad yang berani bangun mempertahankan PAS meskipun PAS pernah anggap beliau puak "Anwarisme".  Mana perginya suara Nik Abduh?  Mana suara Tantawi?  PAS bertuah ada pemimpin seperti YB Khalid Samad dan beberapa lagi pemimpin yang anti AG.  Mereka yang merasakan bahawa mereka saja yang sokong Ulamak nampaknya menjadi bisu di dalam Parlimen.

Mahu tunggu Nik Abduh atau Tantawi pula mahu bercakap soal ekonomi dan belanjawan?  Jangan asyik meratib "PasMa....PasMa...Pasma", Bukankah PasMa itu dikatakan tiada pengaruh maka mahu gelabah kenapa?



Isnin, 13 Oktober 2014

DUA ADUN PAS DIGANTUNG, PKR ATAU DAP JANGAN TIRU PERANGAI ANGKUH UNTUK CAMPURTANGAN

TAHNIAH aku ucapkan kepada PAS kerana telah menunaikan disiplin parti terhadap ahli-ahlinya. Apabila dua Adun PAS iaitu YB Saari Sungip dan YB Hasnul yang telah menyokong DS Wan Azizah sebagai MB Selangor telah dikenakan tindakan tatatertib iaitu digantung keahlian selama setahun.  Kesalahan kedua-dua Adun ini adalah mendahului keputusan parti.  Ertikata lain, mereka tidak mematuhi arahan parti.

Aku ucapkan tahniah bukan kerana aku gembira dua Wira PR ini digantung, tetapi aku merasa bahawa sekarang baru PAS faham bahawa adalah menjadi satu kesalahan seseorang ahli itu tidak patuh kepada parti, walaupun mereka tidak disabitkan dengan mahkamah atau SPRM.  Sebelum ini, Presiden PAS selalu sebut pemecatan TS Khalid Ibrahim, mantan MB Selangor dari PKR adalah sesuatu yang zalim dan tidak Syarie kerana TSKI tidak disabitkan dengan mahkamah atau salah laku seperti rasuah mahupun penyelewengan.

Adakah YB Saari Sungip dan YB Hasnul terlibat di dalam salah laku mahu pun disabitkan dengan mahkamah?  Jawapannya, tiada.  Mengapa digantung?  Jawapannya kerana melanggar disiplin parti.  Ini bermakna secara tidak langsung PAS akhirnya akui bahawa PKR  telah melaksanakan tanggungjawab parti seperti yang telah PAS lakukan itu.  Begitu pantas Allah memberi pertunjuk kepada PAS yang mungkin selama ini hanya tahu bahawa kesalahan di dalam parti itu adalah semata-mata melakukan penyelewengan.  Hakikatnya, engkar arahan parti dan tidak hormat kepada pimpinan parti juga merupakan satu kesalahan.

Tentu ada ahli-ahli PAS yang masih mahu pertahankan bahawa apa yang PAS buat terhadap kedua-dua Adun mereka itu betul dan Syarie, tetapi tindakan PKR pecat TSKI itu tetap salah dan tidak Syarie.  Terpulangkan kepada para penyokong PAS yang taksub dan fanatik sedemikian rupa.  Mereka boleh fikir sendiri apa beza tindakan PAS dan tindakan PKR itu.  Bezanya hanya dari segi hukuman saja.  PAS hanya gantung keahlian, tetapi PKR telah mengambil tindakan lebih keras iaitu memecat TSKI.

Kedua-dua Adun berkenaan digantung kerana menyokong Presiden PKR yang mana PAS masih belum buat keputusan samada sokong atau tidak.  PAS hanya buat keputusan pantas iaitu mengarahkan 4 Exco PAS yang ada untuk terus menyokong TSKI iaitu MB yang tiada parti.  Kononnya untuk selamatkan Kerajaan PR sedangkan TSKI sendiri kata PR tidak wujud kerana tidak berdaftar.  Namun 4 Exco itu terus berada di bawah TSKI ketika itu walaupun DS Wan Azizah telah pun membuktikan bahawa beliau punyai majoriti iaitu 30 Adun termasuk dua Adun PAS.  Lojiknya 4 Exco berkenaan menghentikan sokongan mereka kepada TSKI sebaik sahaja DS Wan Azizah mempunyai sokongan majoriti.  Ini tidak berlaku samasekali.

Kini, dua Adun berkenaan tiada parti sehingga berakhirnya tempuh penggantungan.  Aku harap PKR atau DAP jangan campor urusan dan pentadbiran PAS di dalam menangani soal disiplin parti mereka. Kita jangan jadi bodoh dengan mempertikaikan undang-undang dan peraturan parti rakan kita. Cukuplah PKR merasa bagaimana hal ehwal dan pengurusan parti sendiri ada pihak lain yang mempertikaikannya.   Kita jangan tiru kerja bongkak dan angkuh itu.

Ahad, 12 Oktober 2014

TAHNIAH KERAJAAN NEGERI SELANGOR DAN MBPJ - PESTA ARAK TERPAKSA DIBUAT DI TEMPAT TERTUTUP



ARAK adalah minuman yang diharamkan kepada umat Islam samada di tempat tertutup mahupun di tempat terbuka. Bagi umat Islam arak meminum arak berdosa besar sama juga seperti melakukan rasuah samada rasuah berlaku secara terbuka mahupun tertutup.

Kepada ugama lain, mungkin arak dihalalkan oleh mereka dengan syarat-syarat tertentu tetapi aku yakin semua agama menerima bahawa meminum arak merupakan satu perbutan yang amat tidak baik. Banyak keburukan dari kebaikannya, sebab itulah ugama lain juga tidak menggalakkan penganutnya meminum arak.

Isu "Pesta Minum Arak" (OktoberFest) yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini mendapat tentangan dari banyak pihak terutamanya kepada umat Islam. Kita sedar bagi ugama lain bukan baru di negara kita mereka minum arak. Apa yang kita bantah adalah mengapa perlunya berpesta meminum arak di tempat terbuka? 

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Selangor amat peka di atas aktiviti yang tidak sihat ini. Atas arahan MB Selangor, YAB Azmin Ali dan juga dari MBPJ, aktiviti ini hendaklah dilakukan di tempat tertutup, terkawal dan dilarang keras kepada penganut berugama Islam menyertainya. Akhirnya, penganjurnya Carlsberg Malaysia terpaksa memindahkan acara tiga hari tu ke kawasan letak kereta bertingkat, selari dengan arahan Menteri Besar. Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengarahkan acara berkenaan dijalankan di lokasi tertutup. Penganjur turut menegaskan bahawa acara berkenaan "khusus untuk pengguna bukan Islam berusia 18 tahun ke atas".

Sebenarnya gejala ini elok dihentikan di masa-masa akan datang. Tidak perlulah arah diminum secara beramai-ramai dan dijadikan sebagai acara tahunan. Lebih-lebih lagi yang menyedihkan para pemimpin politik atau Wakil Rakyat juga seolah-olah merestui gejala tidak sihat ini. Sepatutnya mereka berkempen untuk menyeru masyarakat agar menjauhi arak. Jadikan larangan itu sebagai larangan kegiatan yang merosakkan moral atau menjejaskan kesihatan sepertimana kegiatan merokok. 

Bagi kita umat Islam, jangan pula menjadikan isu ini untuk menutup punca besar tentang arak di negara kita. Jangan lupa siapa yang merasmikan kilang arak terbesar di Shah Alam dan mengeluarkan lesen arak ini? Kita juga jangan lupa bahawa kita ada masalah yang lebih hebat dari minum arak ini iaitu masalah rasuah di mana umat Islam sendiri banyak yang terlibat bahkan dilakukan oleh pemimpin Melayu Islam di negara kita. Jangan lupa, terdapat dua orang Melayu Islam dikatakan menjadi Ahli Lembaga Pengarah Carlsberg Malaysia. Apakah tiada bantahan dari mana-mana kumpulan atau parti politik tentang ini? 

Bukan kita setuju dengan aktiviti meminum arak, tetapi kita juga patut peka dengan masalah terbesar yang boleh meruntuhkan negara ini iaitu masalah rasuah. Kita mesti lawan aktiviti pesta arak, kita juga mesti aktif menentang perasuah bukan bersekongkol atau cuba berbaik dengan parti yang terkenal dengan amalan rasuah ini.
Terdapat ralat dalam alat ini