Plan 16 Sept yang dirancang oleh DS Anwar merupakan satu plan terbaik bagi menyelamatkan negara ini. Ianya merupakan satu perancangan atau cita-cita yang DS Anwar komited untuk melaksanakannya dengan kaedah yang dikira bersih tidak melibatkan sebarang unsur rasuah, tekanan jauh sekali dari unsur ugutan sepertimana yang dilakukan di Perak. DS Anwar cuba memujuk MP-MP dari Umno/Bn untuk berhijrah dari parti yang korup itu kepada Parti PR yang mahu membawa perubahan demi kesejahteraan rakyat. Tiada paksaan, tiada rasuah mahu pun tawaran jawatan dan pujukan dan akhirnya terpulanglah kepada kesedaran serta keinsafan MP-MP berkenaan.
Bukan mudah untuk melaksanakan kerja ini di dalam keadaan mereka telah berada di dalam zon yang selesa, apatah lagi ada di antaranya mempunyai `hutang-hutang' atau rekod yang menjadikan mereka amat bimbang tentang keselamatan dirinya sekiranya parti yang memerintah mengambil tindakan awal ke atas mereka. Memang terbukti ada kesan di atas usaha DS Anwar untuk mengambil alih Putrajaya sehinggakan gerombolan MP telah dibawa melawat Taiwan menjelang tarikh 16 Sept itu. Keengganan PM ketika itu untuk memanggil sidang tergempar di Parlimen menguatkan lagi bahawa usaha DS Anwar hampir menjadi kenyataan. Tuduhan Zahrain tentang 16 Sept memang benar dan itu bukan rahsia lagi kerana umum telah dimaklumkan oleh DS Anwar semasa itu. Cuma, `nasi tambah' penyedap selera dibuat oleh Zahrain berkaitan semua MP diarahkan berkumpul di Parlimen, persetujuan DYMM YDP Agung, campurtangan Pemerintah Tertinggi ATM dan beberapa lagi pendedahan Zahrain di Parlimen baru-baru ini ternyata bohong.
Jika DS Anwar dikatakan berbohong dengan cerita APCO atau ejen Israel dan mungkin dikenakan tindakan oleh Parlimen, bagaimana dengan pembohongan Zahrain juga berlaku di Parlimen. Malahan pembohongan Zahrain melibatkan YDP Agung serta ATM. Ternyata beberapa MP yang kununnya ingin berhijrah bersama DS Anwar seperti didedahkan oleh Zahrain telah membuat kenyataan menafikan tuduhan MP Bayan Lepas itu. Tidak dipastikan adakah MP-MP berkenaan mahu mencabar tuduhan yang dibuat oleh Zahrain itu.
Kegagalan 16 Sept tidak perlu kita persalahkan kepada sesiapa samada DS Anwar mahu pun pimpinan PR yang lain. Kegagalan ini sebenarnya adalah kerana tiada kekuatan dan keberanian moral di kalangan mereka yang mulanya bersetuju untuk berhijrah bersama PR. DS Anwar tidak memaksa mereka atau mengurung mereka kerana sebagai orang yang pernah duduk di dalam kerajaan dan Umno, DS Anwar tahu mengapa mereka amat bimbang untuk bersama PR. DS Anwar faham betapa tekanan yang mereka hadapi ketika itu. Inilah faktor utama kegagalan 16 Sept.
Mungkin juga kegagalan ini disebabkan terlalu banyak bebanan diberikan kepada DS Anwar bersendirian. Usaha dakwah mengajak mereka berhijrah dari yang buruk kepada yang baik mungkin gagal dilakukan oleh beberapa pemimpin di kalangan kita. Kita mungkin merasa ragu betapa usaha DS Anwar itu tidak demokratik, justeru itu kita tidak banyak membantunya. Saya sendiri tidak percaya kepada demokrasi jika demokrasi membenarkan majoriti adalah pihak yang benar. Jika kita berpegang kepada prinsip Islam, demokrasi dalam Islam bukan bermakna majoriti di pihak yang benar. Oleh itu, pada pendapat saya tidak salah jika mana-mana MP berhijrah dari parti yang mereka rasa korup kepada parti yang lebih baik dan adil. Jadi pada saya usaha DS Anwar itu tidak salah dari segi prinsip Islam, tetapi mengapa kita tidak bekerja kuat seperti yang diusahakan oleh DS Anwar itu?
Kesimpulannya, pada pendapat saya kegagalan 16 Sept adalah kerana tiadanya kekuatan kerohanian di kalangan MP-MP yang berada di sebelah sana untuk membuat perubahan dan berhijrah. Kegagalan ini ditambah pula oleh faktor kurangnya komitmen kita terutamanya pimpinan kita sendiri untuk berganding bahu bersama DS Anwar bagi melakukan perubahan. Justeru itu, kita melihat plan 16 Sept yang lalu seolah-olah seperti plan DS Anwar bersendirian. Apa pun, kita masih belum terlambat untuk meneruskan usaha ini. Negara ini perlu kita selamatkan dengan apa cara sekali pun. Plan 16 Sept sebenarnya tidak boleh terhenti selagi kita tidak berada di Putrajaya. /wfauzdin.blogspot