APABILA sahih Pas tidak akan bersama barisan Pembangkang yang lain untuk berada dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 Nov ini, maka sudah sampai masanya PH berfikir secara bijak dan rasional samada Pas berupaya membantu Pakatan Pembangkang.
Bersikap baik, ingin berbaik dan tidak mahu berpecah sesama Pembangkang telah pun kita lakukan begitu lama. Tidakkah sampai ke hari ini Pas tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama kita? Maka, sampai bila kita mahu berjalan perlahan sambil mengangkat tangan melambai-lambai kepada Pas untuk bersama kita bertempur melawan rejim Umno/Bn? Sepatutnya lambaian itu adalah "selamat tinggal kepada Pas" dan jangan kita ganggu lagi usaha Pas untuk berbaik dengan rejim Umno/Bn.
Biarlah Pas dengan keimanan dan istiqomahnya mengharapkan Umno akan bantu parti itu untuk menegakkan Islam. Kalau Pas sudah yakin Umno boleh laksanakan Islam bersama parti tersebut, biarkan saja. Kita tetap anggap Umno penipu besar, usahkan untuk laksanakan undang-undang Islam, untuk melaksanakan akhlak dan ketelusan sebagai insan pun Umno tidak mampu lakukan. Dipalit dengan skandal 1MDB dan pemimpinnya sudah mengaku ada duit masuk di dalam akaunnya berbilion ringgit, maka kita takkan percaya Umno mahu Islam. Pas mahu percaya, itu hak Pas.
Sehubungan itu, tinggalkan Pas dan kita mara ke depan dengan kekuatan yang kita ada. Jangan kita masih bermimpi dengan kisah-kisah lalu. Pas bukan seperti dulu lagi, kita jangan lupa.