TENTU ramai yang terkejut di tengah-tengah rakyat Selangor bergelut dengan krisis air di Selangor, tiba-tiba "lembut hati'nya Kerajaan Pusat membuat perjanjian dengan Kerajaan Selangor berhubung pemilikan konsesi air di Selangor. Mahu ucapkan syabas juga kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana berjaya akhirnya disaat rakyat Selangor mula merungut dengan masalah air sekarang, tambahan pula kita sedang menghadapi suasana kempen PRK Kajang.
|
TS Khalid - Tiada ilmu politik |
Bukan perkara itu saja yang mengejutkan, malahan kita juga terkejut kerana Penasihat Ekonomi yang juga Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak dimaklumkan akan ada perjanjian ditandatangani di Putrajaya semalam. Anwar beritahu dari semasa ke semasa butir-butir perjanjian itu dimaklumkan kepadanya, tetapi di saat ia mahu ditandatangani, tarikh, tempat dan waktu, Anwar langsung tidak dimaklumkan. Sama seperti penyediaan Tim Bolasepak, ketika memilih pemain untuk bermain sama-sama berbincang, tetapi ketika waktu perlawanan disenyapkan.
Petikan dari Malaysian Insider, "Ketua Pembangkang itu berkata Khalid memaklumkan beliau daripada masa ke semasa berkenaan rundingan antara kerajaan Selangor dan kerajaan Pusat berhubung perkara itu, tetapi butir terperinci berkenaan perjanjian berkenaan tidak dimaklumkan kepadanya.
"Saya mengetahui perjanjian yang dibuat sebelum ini, Khalid maklumkan kepada saya daripada masa ke semasa.
"Tetapi tidak yang terakhir ini. Saya tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita dalam program "Sepetang Bersama Anwar Ibrahim" di Kajang, lewat petang tadi.
Kerajaan negeri Selangor menandatangani perjanjian MoU dengan KeTTHA berhubung pemilikan konsesi air di Selangor awal hari ini.
Perdana Menter,i Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan antara Khalid dan Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
"Khalid baru beri gambaran. Pada dasar kita mahu penyelesaian segera. Tetapi saya tidak mahu ulas, beliau baru bagi gambaran umum. Bila beliau beri secara terperinci saya boleh ulas," kata Anwar kepada pemberita.
"Secara prinsipnya kita bersetuju (kerana) dapat selesaikan masalah air dengan segera," kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu lagi (Malaysian Insider).
Oleh sebab itulah, apabila ada yang berkata TS Khalid seorang yang amat bijak menguruskan negeri aku setuju 101% dan terbukti sememangnya sedemikian. Siapa boleh nafi TS Khalid lebih hebat dari pemimpin Umno memerintah negeri? Jangan bandingkan dengan Khir Toyo mantan MB Selangor, terlalu jauh bezanya. Memang TS Khalid hebat dan mungkin lebih hebat dari Azmin Ali jika Azmin dilantik jadi MB Selangor.
Tetapi, apabila ada yang berhujah TS Khalid "ZERO' dari segi politik, aku sukar mahu menafikannya. Bacaan politik, moral politik dan akhlak berpolitik mungkin tiada di dalam pengajian TS Khalid selama ini. Maklumlah, beliau asalnya bukan orang politik. Beliau dari golongan bangsawan korporat. Beliau bukan lahir dalam politik berperang dengan musuh di medan politik waktu era reformasi atau sebelumnya. Tentulah strategi atau ilmu dan peradaban politik tiada dalam dadanya. Mungkin silap besar agaknya apabila beliau naik menjadi MB Selangor atas kuasa politik.
Siapa boleh nafi TS Khalid naik atas kuasa politik? Beliau menjadi Adun setelah menang Pilihanraya melalui partinya iaitu PKR. Menjadi Adun membolehkan beliau dilantik menjadi MB. Apabila sudah menjadi MB, mana mungkin beliau boleh campakkan uniform politik beliau? Munasabahkah beliau boleh menandatangani perjanjian penting dengan Kerajaan Pusat tanpa pengetahuan 'bos'nya walaupun beliau adalah MB? Sedangkan sebelum ini butir-butir perjanjian dibincangkan bersama 'bos'nya tetapi apabila sampai waktu mahu direalisasikan, 'bos'nya tidak tahu menahu?
Itu bukan cara orang politik. Beliau mungkin sudah lupa beliau adalah MB yang naik atas sokongan politik. Beliau juga lupa beliau ada ketuanya di dalam parti. Memanglah, DS Anwar pun kata pada prinsipnya beliau bersetuju dengan MOU yang ditandatangani itu, tetapi kita dapat rasakan ada rasa 'kecil hati' Anwar dengan sikap TS Khalid yang seolah-olah mula merasa besar kepala dengan pujian demi pujian yang diberikan kepadanya selama ini bahkan selalu dipuji oleh 'bos'nya itu.
Oleh yang demikian, mungkin sudah sampai waktunya kita mahu seorang MB bukan saja cekap mentadbir negeri dengan baik dan telus, malah mesti tahu adab berpolitik, mesti sentiasa bertangungjawab terhadap partinya sendiri. Tok Guru Nik Aziz bukan saja seorang Ulamak, beliau seorang pentadbir dan politikus yang cekap. Sebab itulah dizamannya amat sukar untuk musuh masuk menyerang atau untuk lakukan sabotaj dari dalam.