REFORMASI 2.0 kini berlabuh di Pahang. Malam ini lokasinya adalah di Kempadang, Tanjung Lumpur, Kuantan (berhampiran Sek Keb Sg Soi) bermula jam 08.30 malam. Tentunya tokoh reformasi, DS Anwar Ibrahim menjadi pemidato utama.
Ada suara-suara menyebut, program ini merupakan program untuk beberapa pimpinan berkempen bagi pemilihan di dalam PKR bulan April-Mei ini. Betulkah? Jika begitu malang sungguh Presiden sekarang, DS Wan Azizah yang akan dicabar oleh DS Anwar Ibrahim tidak boleh berkempen sepanjang program Reformasi ini.
Lokasi Program Reformasi 2.0 di Kuantan malam ini |
Mengapa awal pelancaran Reformasi 2.0 di Kajang sewaktu kempen saat-saat akhir PRK Kajang, di stadium Kajang boleh dikatakan semua pimpinan yang berlawan sesama mereka tampil di pentas? Bukankah DS Wan Azizah juga muncul? Bukankah Azmin Ali juga berucap? Saifuddin, Tian Chua, Rafizi, Nurul Izzah, Samsul Iskandar dan beberapa yang lain turut tampil? Mengapa ada dakwaan program Reformasi 2.0 ini dikatakan program kempen hanya kerana yang sering muncul di setiap negeri adalah Saifuddin dan Rafizi?
Apa yang aku faham, Saifuddin dan Rafizi seperti diarahkan untuk hadir di setiap program ini adalah kerana hanya mereka diberi amanah memantau dan mencari bukti dan fakta untuk menceritakan kejadian fitnah Liwat II terhadap DS Anwar dari awal perbicaraan kes itu lagi. Hanya mereka yang banyak mengetahui fakta kes tersebut untuk diceritakan kepada rakyat sepanjang program berlangsung. Aku juga menonton banyak video program Reformasi 2.0 yang telah diadakan di beberapa negeri sebelum ini, ternyata tiada ucapan dari mereka berdua yang memperlihatkan kempen. Mereka hanya bercakap tentang konspirasi fitnah Liwat II sahaja.
Aku amat tidak setuju program rakyat ini dijadikan kempen peribadi atau kumpulan. Setakat ini, alhamdulillah semuanya berjalan baik. Sebab itu Chegu Bard juga turut tampil sedangkan Chegu Bard bukan tokoh yang bertanding, tetapi beliau adalah seorang reformis yang juga pemimpin NGO bernama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Tian Chua juga hadir kerana siapa tidak kenal beliau seorang reformis yang kental sejak tahun 1998 lagi.
Marilah beramai-ramai ke Padang Taman Berjaya Permai, Kempadang, Tg Lumpur, Kuantan malam ini. Semangat Anak Tok Gajah pencetus Reformasi di Pahang!!