SELAMAT datang Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk meneruskan kesinambungan wadah politik berlandaskan Islam, melawan kezaliman dan menuntut keadilan di bumi Malaysia ini. GHB diumumkan sebagai satu lagi wadah politik yang akan bersama KEADILAN dan Dap untuk meneruskan langkah yang sedikit terencat sekarang bagi menghadapi rejim Umno/Bn.
Pakatan Rakyat yang dahulunya adalah melibatkan KEADILAN, Pas dan Dap nampaknya seperti tiada jodoh yang berpanjangan kerana ada suara-suara yang menzahirkan rasa tidak puas hati hingga ke tahap kebencian dan mengugut untuk bercerai. Dap berkata putuslah hubungan dengan Presiden Pas tapi tetap bersama Pas. Ertinya, mahu terus berbaik dan berkawan dengan si anak, namun tidak berkenan dengan perangai si ayahnya. Pas pula bertindak lebih 'berani' dan hebat. Pas tidak tolak Kit Siang atau Guan Eng, malah lebih berani apabila Pas menolak batang tubuh Dap keseluruhannya. Ertikata, Pas beranggapan kerana Dap tidak mahu berkawan dengan 'ayah' (Presiden) maka kami dari keluarga si ayah tidak mahu berkawan dengan seluruh keluargamu (Dap). Begitulah keadaannya sekarang.
Di atas kertas belum bercerai walaupun kata-kata nista dan cerai dilafazkan di khalayak ramai bahkan satu dunia sudah tahu usul memutuskan hubungan dengan Dap telah diluluskan tanpa bahas di dalam Muktamar, iaitu badan berkuasa penuh di dalam Pas. Katanya, usul tersebut belum muktamad kerana Majlis Syura belum luluskan. Nah, baru-baru ini Majlis Syura Ulamak telah pun bertindak tepat menyokong usul dari Dewan Ulamak itu. Maka, sah atau tidak cerai itu? Katanya lagi, belum sah lagi kerana tidak dibawa lagi di dalam AJK Pas Pusat. Atau, sebenarnya telah sah cuma tunggu AJK Pas Pusat saja laksanakannya. Itulah situasi pelik bin ajaib yang berlaku di dalam PR sekarang.
Secara peribadinya, aku rasa amat tepat pada masanya GHB muncul untuk menenangkan situasi. Umno/Bn kini memang di dalam keadaan amat lemah. Pemimpin mereka kini telah terlondeh segala-galanya, bayangkan jika sampai ke tahap akaun bank laki bini pun didedahkan orang. Maka, ini lah waktu dan saat yang paling baik GHB berada dalam satu saf perjuangan rakyat yang telah diamanahkan di dalam PRU 13 yang lalu. Kita tidak mampu lagi untuk melayani drama "Hudud" yang dipersembahkan oleh Umno untuk membuli umat Islam. Kita tidak sanggup lagi melihat Hudud dijadikan modal untuk merealisasikan cita-cita UG yang tidak pernah digemari oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Kita mahu Hudud dilaksanakan atas kesedaran ugama bukan untuk mainan politik untuk mencipta perpecahan.
GHB tentunya tidak percaya kepada Umno/Bn untuk merealisasikan Hudud. GHB tentunya mahu melihat Islam itu bukan hanya tertumpu kepada Hudud semata-mata tetapi kebajikan rakyat juga satu kewajipan agama. GHB tentu merasa sedih melihat masih ada lagi rakyat yang merempat tiada tempat tinggal, tiada pendidikan dan masih berada di dalam khemah menjelang Raya. Ini bukan cara Islam mentadbir. Islam itu syumul, bukan hanya terkandung Hudud di dalamnya. Justeru itu, GHB merasakan tiada pilihan melainkan turut sertai jihad menentang rejim Umno/Bn. GHB tidak akan sesekali bersetuju bahawa Najib perlu dikekalkan sehingga PRU 14 untuk meneruskan kezalimannya.
Mudah-mudahan GHB akan menjadi wadah yang efisyen untuk berganding bahu bersama kita semua. Mana-mana wadah lain yang tidak mahu bersusah payah berjuang dan hanya mahu berada di dalam keselesaan dengan menggosok belakang Umno, biarkan mereka dengan uslubnya.