RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Isnin, 14 Januari 2019

ANWAR TIDAK PERLU MENGGANTIKAN KAK WAN SEBAGAI TPM BAGI MENJADI PM KE 8

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Ketua Amanah Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria melalui kenyataannya yang disiarkan oleh Malay Mail, semalam. Rujuk di https://www.projekmm.com/…/azizah-perlu-beri-laluan-anwar-j…

Beliau mencadangkan agar Kak Wan, TPM memberikan laluan kepada Presiden Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk berada di Kerusi TPM sebelum tokoh reformasi ini diangkat menjadi PM selepas Tun M. Ketua Amanah Permatang Pauh ini menyebut bahawa Anwar terlalu banyak bercakap tentang isu-isu berkaitan dasar dan kepentingan negara, sedangkan waktu ini beliau tidak mempunyai kuasa dan kedudukan untuk bercakap sedemikian. Baginya, adalah lebih baik Anwar berada di dalam Kabinet sekarang agar segala apa yang beliau cadang atau kemukakan lebih efisyen kepada kerajaan.

Saya tahu Dr Zaidi tentunya mempunyai niat yang baik apabila mencadangkan sedemikian rupa. Beliau tentu mahu melihat kerajaan ini lebih mantap dan berkesan apabila Anwar berada di sebelah kanan Tun M. Namun, saya berpendapat bahawa adalah lebih baik kita mematuhi apa yang telah kita sepakati di dalam Pakatan Harapan sebelum PRU14 yang lalu bahawa Tun M adalah PM, manakala Kak Wan sebagai TPM dan Anwar adalah PM seterusnya. Rakyat pula masih teruja dan berbangga dengan rekod tercipta di bawah kerajaan Pakatan Harapan apabila seorang wanita ditabalkan sebagai TPM.

Anwar sebagai Ahli Parlimen biasa, selaku Presiden Keadilan bahkan selaku Ketua Umum Pakatan Harapan itu sendiri sudah cukup memadai untuk beliau menyatakan pandangannya terhadap apa jua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Setakat ini, apa yang pernah disuarakan oleh Anwar nampaknya diberi perhatian serius oleh kerajaan. Sehubungan itu, tidak timbul soal Anwar lebih berperanan atau berfungsi di dalam kerajaan hanya apabila beliau dilantik sebagai TPM.

Kak Wan harus diberikan ruang untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai TPM di samping Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sehingga sampai masanya Anwar diangkat sebagai PM ke 8.

Kedudukan Anwar sekarang adalah lebih baik bagi beliau kerana beliau mempunyai banyak masa dan ruang berada di akar umbi untuk melihat dari luar tentang kemajuan kerajaan yang baru berusia lebih kurang 8 bulan ini sebelum beliau sendiri menerajuinya.