RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 7 Februari 2015

MESYUARAT PR - BERMULANYA EPISOD PENTING

AHAD (08/2/15), Pimpinan PR akan bermesyuarat di Pejabat PAS Pusat.  SUA PAS telah beri jaminan bahawa Presiden PAS akan hadir, begitu juga diperkuatkan lagi dengan kenyataan Timb Pres PAS, Mat Sabu bahawa tentunya Tok Guru Hj Hadi akan hadir kerana sebagai sebuah parti Islam tentunya komitmen kepada janji itu penting, kecuali sekiranya beliau keuzuran.

Ini bukan saja kepada PAS.  Kita juga mahu semua pimpinan PR hadir dengan ketua-ketua mereka.  PKR tentunya akan diketuai oleh Ketua Umum, DS Anwar atau Azizah selaku Presiden, manakala DAP pula oleh Lim Guan Eng selaku SUA yang mempunyai kuasa eksekutif di dalam DAP.   Anwar hadir selaku Ketua Pembangkang serta selaku Ketua umum PKR yang mana jawatan ini telah diiktiraf di dalam PKR melalui kongress dan konvensyennya.

Isu sebelum ini bukan masalah ketua hadir atau tidak.  Jika ketua tidak dapat hadir pun, timbalan pasti akan mewakilinya.  Isunya yang besar adalah adakah keputusan mesyuarat PR itu diterima akhirnya.  Isunya ada yang tidak hadir mesyuarat tetapi membelakangkan keputusan penting PR.  Itu yang menjadi masalah.  Kita tahu, tidak semua pimpinan utama hadir di dalam mesyuarat namun ada yang menghormati keputusan yang dibuat oleh wakil mereka, ada yang tidak menghormatinya.  Itu masalahnya.

Diharapkan kali ini, keputusan mesyuarat wajar dihormati.  Boleh tidak bersetuju asalkan diluahkan di dalam mesyuarat.  Utamakan yang dipersetujui bersama, dan mana yang tidak dipersetujui maka boleh saja dibincangkan dari semasa ke semasa.  Sebaiknya deraf Hudud Kelantan itu dibawa bersama kerana tidak molek jika kita sering menuduh rakan kita tidak menyokong Hudud sebaliknya kita masih gagal tunjukkan kepada mereka apa yang kita mahu buat. 

Ahad ini, apa yang penting adalah membincangkan adakah PR sebenarnya masih perlu bersama?  Apakah PR telah bersedia mencari pengganti Ketua Pembangkang seandainya Anwar disumbatkan ke penjara pada 10hb ini?  Biarlah mesyuarat Ahad ini menentukan.  Jika mahu berpisah, elok dinyatakan dengan terus terang.  Jika masih mahu kekal, baiki saja kerosakan yang ada.  Tinggalkan sikap ego jika ada.

Rabu, 4 Februari 2015

TAHNIAH PR KEMAMAN - ADUN PAS TURUT BERSAMA ANWAR MALAM TADI

MALAM tadi Selasa (03/2/15) Program Ceramah Perdana "Rakyat Hakim Negara" telah diadakan di Perkarangan Pejabat PKR, Kemaman yang mana pemidato utamanya adalah Sdr Anwar Ibrahim.  Aku ingin sekali melihat situasi dan sambutan program tersebut apatah lagi diadakan di Negeri Terengganu dan di kawasan kubu kuat Umno di Terengganu.



Sebelum bertolak ke sana, aku bertanyakan YB Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR yang juga Ketua Cabang Kemaman samada program jadi atau tidak diadakan.  Beliau berkata, program tetap berjalan tetapi beliau amat bimbang kerana hujan lebat yang tidak berhenti sejak jam 3.00 petang akan menjejaskan kehadiran orang ramai.  Sewaktu aku menghubungi Rafizi sekitar jam 08.00 malam dan hujan masih lagi turun di Kemaman, katanya.

Oleh kerana sudah berjanji dengan rakan, aku bertolak juga ke Kemaman walaupun dari Kuantan ke Kemaman sememangnya hujan agak lebat.  Sampai di lokasi ceramah, hujan terus turun dan kebanyakan yang datang sedikit demi sedikit semuanya berpayung.  Ada juga yang duduk berteduh di kaki lima bangunan kedai berhampiran dan juga di hentian bas berdekatan.  Hanya satu khemah yang disediakan, sudah tentu tidak dapat menampung yang hadir.



Alhamdulillah, di dalam keadaan iklim cuaca yang sedemikian dan iklim politik terutamanya di Terengganu yang kita semua tahu, jumlah kehadiran malam tadi di dalam keadaan cuaca hujan tidak berhenti tidaklah mengecewakan.  Rafizi perlu bersyukur kerana orang ramai tetap hadir di dalam keadaan cuaca seperti itu.  Anwar pun di dalam ucapannya menyatakan beliau merasa bangga kerana kekuatan semangat rakyat sekitar Kemaman yang sanggup meredah hujan.  



Aku yang hadir malam tadi menganggarkan sekitar seribu yang datang termasuk yang berada di kaki-kaki lima dan berteduh di hentian bas.  Ada yang menjangkakan tiada ahli-ahli PAS yang datang.  Jangkaan ternyata meleset, bukan saja ahli PAS malah Adun PAS juga turut hadir malam tadi.  Tahniah PR Kemaman.