RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 1 Mei 2009

DEBAT ISA - SIARKAN DI TV BUKAN DI RADIO


Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada PEWARIS kerana berani menyahut cabaran dari GMI untuk mengadakan debat terbuka berkaitan isu ISA. Difahamkan di sebalik keberanian PEWARIS itu, terdapat pula syarat iaitu isu ISA tidak akan didebatkan tetapi sekadar perbincangan semata-mata. Syarat lain pula ialah PEWARIS mahukan forum perbincangan tersebut diadakan bukan secara terbuka tetapi hendaklah diadakan secara langsung melalui siaran radio BERNAMA. Alasan PEWARIS adalah untuk memberi lebih peluang kepada rakyat Malaysia mengikutinya, tetapi timbul persoalan berapa ramaikah yang mengikuti siaran radio BERNAMA tersebut malahan mungkin ramai yang tidak tahu mencari siaran tersebut.

Sekiranya ikhlas untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan forum tersebut, mengapa PEWARIS tidak mengesyorkan agar kerajaan memberi kebenaran untuk menggunakan siaran TV samada RTM, TV3 mahu pun Astro untuk menyiarkan forum berkenaan? Bukankah lebih terbuka kerana kesemua lapisan rakyat dapat mengikutinya berbanding dengan siaran radio BERNAMA yang kurang popular itu? Saya rasa tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk memberi hak penyiaran apatah lagi menterinya Rais Yatim memang suka kepada perdebatan. Bukankah Rais Yatim pernah mencabar Zaid Ibrahim untuk berdebat secara terbuka? Tetapi, apabila Zaid Ibrahim menyahut cabarannya, Rais Yatim seolah-olah buat tidak mendengar dan kini sibuk untuk mencari lagu yang sesuai bagi memuja memuji PM yang baru.

Saya juga terfikir mengapa PEWARIS tidak mahu format debat diadakan tetapi lebih selesa dengan bentuk forum? Bukannya GMI inginkan kemenangan jika debat diadakan tetapi untuk menentukan kebenaran semata-mata. Bolehkah kebenaran diperolehi dengan cara berforum bagi membincangkan satu isu besar melibatkan dasar kerajaan ini? Debat bukan satu kaedah yang kotor malahan di dalam Islam juga debat diharuskan demi untuk menunjukkan mana satu kah yang benar dan yang bathil. Contoh terdekat, perdebatan di antara DS Anwar dengan Shabery Cheek yang disiarkan secara langsung melalui TV mendapat kepujian ramai kerana majlis perdebatan berjalan dengan baik dan teratur. Hasil perdebatan tersebut telah menyaksikan kepada rakyat siapa di antara mereka yang berkata benar dan yang lebih kepada mengampu.

Saya sebenarnya secara peribadi tidak bersetuju isu Akta ISA ini didebatkan atas isu halal atau haramnya di sisi Islam kerana jelas Akta ISA ini menyalahi hukum yang diperturunkan oleh Al-Quran. Perkara pokok yang jelas hukumnya tidak harus diperdebatkan. tetapi oleh kerana PEWARIS tetap berpegang bahawa Akta ISA yang ada sekarang bertepatan dengan Islam bahkan mampu menyelamatkan Ummah kononnya,maka kita bersedia untuk mendengar dan melihat nas dan dalil yang mengharuskan menahan dan memenjarakan manusia tanpa bicara ini. Kita juga ingin menyaksikan pihak manakah yang benar-benar menggunakan Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Ulamak di dalam menghuraikan permasalahan ini dan pihak manakah yang cuba memutar belitkan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Saya sarankan agar majlis yang akan diadakan itu nanti menjemput wakil dari Persatuan Ulamak atau pun Mufti sebagai Moderator atau pengulas perbincangan. Perbincangan berkenaan ISA yang melibatkan hukum di dalam Islam ini tidak memadai dan bersesuaian sekiranya Moderator atau pengulas perbincangan adalah dari golongan akademik semata-mata. Sekiranya Mufti Perak dijemput ke dalam majlis itu nanti, kita akan berpeluang mendengar apakah ulasan dari Mufti Perak tentang halal atau haram Akta ISA ini sepertimana beliau pernah menyatakan hukum terhadap `Sure Heboh' suatu ketika dahulu. Kini, `Sure Heboh' mungkin tidak dianggap haram kerana telah menjadi `Jom Heboh'.


Khamis, 30 April 2009

PRK DUN PENANTI - TIADA YANG `JANTAN', UMNO BOLEH LETAKKAN PUTERI



Umno dilihat semakin gelisah dan berada di dalam keadaan dilema sehinggakan terpaksa Biro Politiknya menangguhkan keputusan untuk mengumumkan samada Umno wajar meletakkan calonnya bertanding di dalam PRK Dun Penanti nanti. Parti yang semakin ditolak oleh orang Melayu ini semakin keliru dengan rentak politik PR terutamanya strategi yang sedang dimainkan oleh PKR di P.Pinang. Pada zahirnya dilihat PR P.Pinang kelihatan berpecah apabila dikatakan PAS Permatang Pauh menolak calon dari PKR sebaliknya inginkan calon dari PAS bertanding di Dun Penanti. Namun dalam situasi begini, Umno masih berhati-hati kerana bimbang akan terjebak ke dalam perangkap PR di P.Pinang.

Najib selaku PM amat teruja dengan tindakan Fairus meletakkan jawatannya sebagai Adun Penanti sekaligus memberi peluang untuk rakyat khususnya di Dun Penanti `menelanjangi' Najib sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini. SPRM secara pantas dan cekap mengumumkan Fairus bersih dari dakwaan rasuah seperti yang didakwa, malang sekali Fairus mempunyai jiwa yang kuat dan moral yang tinggi tidak bercadang untuk menarik kembali keputusannya meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti. Jika demikian keadaannya, apakah lagi modal Umno untuk berkempen di Dun Penanti nanti sekiranya calon Umno bertanding. Sebaliknya, PR mempunyai berpuluh-puluh `peluru' untuk dihalakan kepada Umno di Dun Penanti. Sudah tentu`peluru-peluru' yang dimiliki oleh PR nyata jauh lebih banyak dari 6 kotak yang masih terpikul di bahu Ezam.

Suruhanjaya Pilihanraya mulai mengatur langkah kononnya untuk menjadikan pilihanraya ini lebih adil dan telus. Peraturan menghadkan penyokong semasa penamaan calon dan menghapuskan pondok panas semasa hari mengundi adalah kaedah paling `profesional' yang dirasakan oleh SPR bagi menjamin pilihanraya kali ini dan seterusnya adalah lebih adil dan telus. SPR tidak lagi peduli samada media kerajaan seperti TV dan radio memainkan propaganda dan kempen menyebelahi Umno/Bn tanpa ada ruang untuk PR menggunakan saluran yang sama. Apakah SPR juga tidak menyedari bahawa terdapatnya jentera-jentera kerajaan dan kemudahan kerajaan yang digunakan oleh Umno/Bn setiap kali pilihanraya diadakan? Mengapa di dalam perkara ini SPR membisu ? Terlalu banyak yang seharusnya SPR fikirkan jika ikhlas untuk menjadikan pilihanraya di negara ini bermutu tinggi, adil dan bersih. Mengapa harus memikirkan tentang penyokong yang ramai dan pondok panas? Apakah dengan pondok panas tersebut benar-benar `memanas'kan Umno/Bn?

Saya tidak mahu mengulas kenyataan bekas MB Selangor, Khir Toyo yang menyatakan PR tidak perlu bertanding jika sudah tidak mempercayai SPR. Kenyataan dangkal dan kurang cerdik dari Khir Toyo sewajarnya dianugerahkan `penyapu'. Sebenarnya Khir Toyo sudah tidak mampu lagi bersuara di Selangor kerana pekungnya telah banyak terdedah sehinggakan baunya menusuk merata-rata di negeri Selangor. Kini, rakyat di Dun Penanti ingin melihat sendiri samada Umno yang sering menjulangkan kerisnya itu adalah anak `jantan' atau tidak. Sekiranya tiada lagi `anak jantan' yang sanggup berpencak dengan PKR di Dun Penanti, kita syorkan Umno meletakkan Puterinya untuk menebus maruah Umno yang hampir tiada itu.


AGENDA DAILY `BUTA MATA' SEBELAH, PAS PERMATANG PAUH MENGELIRUKAN

AGENDA DAILY `BUTA MATA' SEBELAH, PAS PERMATANG PAUH MENGELIRUKAN

Pilihanraya Kecil Dun Penanti akan menyaksikan PKR sekali lagi akan mencabar sesiapa jua calon dari Umno di kerusi tersebut. Meskipun sehingga kini, Umno masih dalam dilema samada untuk meletakkan calon mereka atau sekadar untuk mengupah sesiapa jua yang sanggup untuk menjadi `pencacai' mereka sebagai calon bebas di situ, Sebuah laman web pro Umno Agenda daily, mempersoalkan mengapa PKR meletakkan Dr Mansor Othman sebagai calon sedangkan beliau pernah tewas tiga kali sebelum ini. Saya tidak faham apa maksud laman web tersebut dan di manakah kewajarannya untuk mempertikaikan perkara tersebut. Adakah Dr Mansor Othman dilantik memegang jawatan dalam kerajaan Negeri P.Pinang tanpa dipilih oleh parti atau rakyat? Dr Mansor Othman hanya akan memegang jawatan TKM 1 P.Pinang sekiranya beliau memenangi Pilihanraya Kecil ini nanti. Jadi, tidak timbul berapa ratus kali kah Dr Mansor Othman pernah tewas sebelum ini.

Sewajarnya soalan laman web tersebut ditujukan kepada Timbalan Menteri di JPM Dr Mashitah Ibrahim dan juga menterinya Mej Jen (B) Jamil Khir yang tidak dicalonkan di dalam pilihanraya malahan tidak bertanding untuk apa-apa jawatan di dalam parti Umno tetapi terus dilantik sebagai jemaah menteri. Jelas di sini, Dr Mansor Othman akan dilantik sebagai TKM 1 P.Pinang secara lebih bermaruah sekiranya menang. Berbeza dengan cara Umno melantik seseorang menganggotai kabinet yang dilihat terlalu cerca merba. Mungkin KJ boleh bersetuju dengan pandangan saya ini kalaupun Mukhriz mungkin tidak bersetuju.

Cuma yang menjadi kita sedikit keliru ialah bagaimana keputusan yang diambil oleh pimpinan PAS di Permatang Pauh seolah-olah kurang senang dengan PKR yang dikekalkan mewakili kerusi tersebut. Kenyataan pimpinan PAS Permatang Pauh sepertimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini (jika benar) untuk membekukan jentera PAS di sana seolah-olah memberi isyarat kepada musuh PR untuk bersemangat kembali bertarung di Dun Penanti. Saya tidak fikir keputusan tersebut dipersetujui oleh kepimpinan PAS Pusat mahupun kepimpinan PAS Negeri P.Pinang. Oleh yang demikian, sewajarnya pimpinan PAS Pusat dan Negeri mencari jalan untuk menyelesaikan kekeliruan yang timbul. Kita bimbang sekiranya di dalam PR masih terdapat suara-suara yang tidak lagi menghormati keputusan bersama di dalam PR, ia bukan sahaja merugikan PKR atau DAP malahan PAS juga akan menerima musibahnya dalam jangka masa panjang. Kenyataan pimpinan PAS Permatang Pauh yang menyatakan PKR mampu menggerakkan jenteranya bersendiri di Dun Penanti kerana PKR dilihat gagah di situ amat mengecewakan. Bayangkan jika PKR atau DAP juga berkata demikian sewaktu Pilihanraya Kecil di Bukit Gantang sebelum ini. Sememangnya PAS begitu kuat di Bukit Gantang, tetapi yang penting tanda kerjasama dan ukhwah sesama PR lebih penting dari menunjukkan kekuatan bersendirian.

Apa pun yang berlaku selepas ini, PKR diharapkan terus bekerja kuat untuk meyakinkan rakyat bahawa PKR terus komited bersama PR bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat di Dun Penanti. Kita telah memenangi beberapa kerusi di dalam Pilihanraya Kecil baru-baru ini sehinggakan Umno menjadi fobia dengan pilihanraya. Kemenangan yang dicapai itu adalah kemenangan bersama, berkat kesefahaman dan keterbukaan di dalam PR. Sehubungan itu, wajar kita menolak sesiapa sahaja yang cuba untuk memusnahkan perpaduan yang dibentuk sekian lama ini.

WFAUZDIN NS