RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 1 Mei 2009

DEBAT ISA - SIARKAN DI TV BUKAN DI RADIO


Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada PEWARIS kerana berani menyahut cabaran dari GMI untuk mengadakan debat terbuka berkaitan isu ISA. Difahamkan di sebalik keberanian PEWARIS itu, terdapat pula syarat iaitu isu ISA tidak akan didebatkan tetapi sekadar perbincangan semata-mata. Syarat lain pula ialah PEWARIS mahukan forum perbincangan tersebut diadakan bukan secara terbuka tetapi hendaklah diadakan secara langsung melalui siaran radio BERNAMA. Alasan PEWARIS adalah untuk memberi lebih peluang kepada rakyat Malaysia mengikutinya, tetapi timbul persoalan berapa ramaikah yang mengikuti siaran radio BERNAMA tersebut malahan mungkin ramai yang tidak tahu mencari siaran tersebut.

Sekiranya ikhlas untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan forum tersebut, mengapa PEWARIS tidak mengesyorkan agar kerajaan memberi kebenaran untuk menggunakan siaran TV samada RTM, TV3 mahu pun Astro untuk menyiarkan forum berkenaan? Bukankah lebih terbuka kerana kesemua lapisan rakyat dapat mengikutinya berbanding dengan siaran radio BERNAMA yang kurang popular itu? Saya rasa tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk memberi hak penyiaran apatah lagi menterinya Rais Yatim memang suka kepada perdebatan. Bukankah Rais Yatim pernah mencabar Zaid Ibrahim untuk berdebat secara terbuka? Tetapi, apabila Zaid Ibrahim menyahut cabarannya, Rais Yatim seolah-olah buat tidak mendengar dan kini sibuk untuk mencari lagu yang sesuai bagi memuja memuji PM yang baru.

Saya juga terfikir mengapa PEWARIS tidak mahu format debat diadakan tetapi lebih selesa dengan bentuk forum? Bukannya GMI inginkan kemenangan jika debat diadakan tetapi untuk menentukan kebenaran semata-mata. Bolehkah kebenaran diperolehi dengan cara berforum bagi membincangkan satu isu besar melibatkan dasar kerajaan ini? Debat bukan satu kaedah yang kotor malahan di dalam Islam juga debat diharuskan demi untuk menunjukkan mana satu kah yang benar dan yang bathil. Contoh terdekat, perdebatan di antara DS Anwar dengan Shabery Cheek yang disiarkan secara langsung melalui TV mendapat kepujian ramai kerana majlis perdebatan berjalan dengan baik dan teratur. Hasil perdebatan tersebut telah menyaksikan kepada rakyat siapa di antara mereka yang berkata benar dan yang lebih kepada mengampu.

Saya sebenarnya secara peribadi tidak bersetuju isu Akta ISA ini didebatkan atas isu halal atau haramnya di sisi Islam kerana jelas Akta ISA ini menyalahi hukum yang diperturunkan oleh Al-Quran. Perkara pokok yang jelas hukumnya tidak harus diperdebatkan. tetapi oleh kerana PEWARIS tetap berpegang bahawa Akta ISA yang ada sekarang bertepatan dengan Islam bahkan mampu menyelamatkan Ummah kononnya,maka kita bersedia untuk mendengar dan melihat nas dan dalil yang mengharuskan menahan dan memenjarakan manusia tanpa bicara ini. Kita juga ingin menyaksikan pihak manakah yang benar-benar menggunakan Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Ulamak di dalam menghuraikan permasalahan ini dan pihak manakah yang cuba memutar belitkan hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Saya sarankan agar majlis yang akan diadakan itu nanti menjemput wakil dari Persatuan Ulamak atau pun Mufti sebagai Moderator atau pengulas perbincangan. Perbincangan berkenaan ISA yang melibatkan hukum di dalam Islam ini tidak memadai dan bersesuaian sekiranya Moderator atau pengulas perbincangan adalah dari golongan akademik semata-mata. Sekiranya Mufti Perak dijemput ke dalam majlis itu nanti, kita akan berpeluang mendengar apakah ulasan dari Mufti Perak tentang halal atau haram Akta ISA ini sepertimana beliau pernah menyatakan hukum terhadap `Sure Heboh' suatu ketika dahulu. Kini, `Sure Heboh' mungkin tidak dianggap haram kerana telah menjadi `Jom Heboh'.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan