SERING kita mendengar persoalan dari beberapa pimpinan Pas bahawa sekiranya Amanah bertanding di dalam PRU 14 akan datang, parti yang dibidani oleh Mat Sabu itu mahu bertanding di kawasan mana?
Pas sudah beri amaran awal-awal bahawa parti itu tidak akan memberikan Kerusi kepada Amanah, bahkan parti itu bersedia pula untuk bertanding di Kerusi Dap. Ertinya, Pas mahu cari Kerusi sebanyak mungkin maka mana lojik Pas mahu "sedekah" Kerusi kepada musuhnya, Amanah? Baru-baru ini pun, Ketua Dewan Ulamak Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mahfodz berkata bahawa Pas bersedia untuk bertanding di semua Kerusi di Johor. Adakah Kerusi KEADILAN juga akan dilibatkan? Terpulang.
Kita semua tahu, Presiden Amanah, Mat Sabu berulangkali menyebut bahawa Amanah tidak fokus Kerusi bertanding buat masa ini. Amanah kini sedang mempersiapkan jentera dan bala tenteranya untuk menyerang rejim bersama Pakatan Harapan. Menyerang rejim tidak semestinya masuk bertanding di dalam Pilihanraya. Sekiranya Amanah merasakan jenteranya sudah lengkap dengan bala tenteranya, waktu itu pastilah Amanah akan memikirkan strategi seterusnya termasuk kawasan-kawasan yang ingin ditandinginya. Manakah kawasannya? Itu pertanyaan Pas.
Itulah sebabnya Pakatan Harapan diwujudkan untuk menggabungkan semua parti Pembangkang yang merasakan rejim Umno/Bn wajib ditamatkan di dalam PRU 14 akan datang. Malangnya, hanya KEADILAN, Dap dan Amanah sahaja yang sudi menawarkan diri di dalam gabungan pembangkang ini. Melalui gabungan ini, tentulah ada cara dan kaedah dilakukan untuk menyusun pembahagian Kerusi sesama rakan sekutu. Tapi, Pas tidak mahu dilibatkan dan hanya mengiktiraf KEADILAN sahaja sebagai rakannya, itu pun masih belum pasti jika kita melihat beberapa kenyataan beberapa pimpinan Pas sendiri. Mursyidul Am Pas juga sering membayangkan Pas mungkin menarik diri dari bekerjasama dengan KEADILAN kerana parti yang diasaskan oleh DS Anwar ini berkawan dengan Dap dan Amanah. Ketua Dewan Ulamak juga berfikiran sedemikian. Ertinya, hubungan Pas dengan KEADILAN amat longgar.
Pas menyatakan jika Amanah bertanding di Kerusi Pas, ini bermakna Amanah sengaja memecahkan undi dan Amanah akan berikan kemenangan mudah kepada Umno/Bn. Amanah ejen Umno/Bn, kata pimpinan Pas. Amanah pula bertanya, Pas akan bertanding di Kerusi Dap dan Pas juga akan memecahkan undi para penyokong pembangkang, akhirnya tidakkah itu menguntungkan Bn? Salahkah jika Amanah turut mendakwa Pas sebagai ejen Bn? Nampaknya Pas selalu lupa apa yang parti itu buat tetapi selalu nampak bila orang lain buat.
Hakikatnya, ramai yang setuju Pakatan Harapan atau apa jua nama Pakatan itu sewajibnya dibarisi oleh KEADILAN, Pas, Dap dan Amanah bahkan jika perlu libatkan PSM sekali asalkan semuanya bertolak ansur atas beberapa perkara selagi ianya tidak menyalahi syarak. Tidak bersetuju dengan pendekatan atau cara-cara melaksanakan Hudud itu tidak menyalahi Syarak. Menolak secara total hukum tersebut itu jelas salah dan merosakkan akidah umat Islam. Selagi ada jalan terbaik, sebaiknya eloklah berbincang dan berpakat.
"Teknik bijak menjawab soalan peperiksaan, buatlah soalan yang mudah dahulu tetapi jangan tinggalkan semua soalan kerana semua soalan itu penting", pesan Guru Sekolah yang masih aku ingat.