RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 3 Oktober 2015

PENGIKTIRAFAN KEPADA AMANAH SUNTIK SEMANGAT BARU


TERLEBIH dahulu, Tahniah dan syabas !! 

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Kelulusan yang diberikan ini antara lain merangkumi pindaan nama pertubuhan tersebut daripada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Amanah, pertukaran alamat daftarnya serta pindaan perlembagaannya. 

Parti di bawah kepimpinan Mat Sabu ini adalah alternatif kepada Pas setelah berbagai kritikan telah melanda Pas sehinggalah parti tersebut berani melakukan 'islah' iaitu memutuskan hubungan dengan Dap, seterusnya lahirlah Amanah kerana masih ramai di dalam Pas yang merasakan Dap bukan musuh sebenar yang merosakkan negara tetapi musuh sebenar adalah Umno/Bn.  Maka, untuk menentang Umno/Bn, mereka perlu keluar dari Pas kerana tidak mahu terikut rentak menjadikan Dap sebagai musuh sebenar.

Sudah tentu hasrat Amanah ini disokong oleh mana-mana parti atau NGO yang juga menjadikan Umno/Bn sebagai musuh.  Hanya pihak yang menganggap Umno tidak sejahat Firaun sahaja menganggap Amanah itu pengkhianat.  Maka, KEADILAN sudah pastinya menerima Amanah secara terbuka, begitu juga Dap.  Bezanya, KEADILAN sentiasa dengan 'husnuz zon"nya masih harap Pas akan bersama di dalam satu "bala tentera' untuk menentang rejim. 

Kini, terpulang pada Pas samada ingin mengiktiraf Dap dan Amanah sebagai musuh Nombor Wahid atau rejim Umno/Bn.  Sebaiknya tiada paksaan atau sikap melutut kepada sesiapa kerana setiap perjuangan itu mestilah ikhlas.

Semoga Amanah terus bersama di dalam jentera kita bersama untuk mara ke hadapan menentang musuh.  Selamat berjaya, Amanah.


Jumaat, 2 Oktober 2015

BERDISKUSI, DIALOG BERSAMA USTAZ WAN JI DI INDERA MAHKOTA, KUANTAN MALAM INI


MALAM ini (Jumaat - 02/10/15) mari semua terutama anak-anak muda untuk kita berdiskusi, berdailog dan beramah mesra dengan Ustaz Wan Ji, bertempat di Restoren Sari Idaman, bersebelahan Kolej Shahputra, Indera Mahkota, Kuantan mulai jam 09.00 malam.

Program ini adalah anjuran Pemuda AMANAH Kuantan bersama AMK Indera Mahkota, Kuantan.


Khamis, 1 Oktober 2015

PAKATAN HARAPAN - JIKA TIDAK BERANI REALISASIKAN, BAIK BATALKAN SAJA

BARU-baru ini AMK dan Wanita KEADILAN P.Pinang mengeluarkan kenyataan untuk mendesak semua ahli Pas yang memegang jawatan di dalam Kerajaan Negeri P.Pinang untuk melepaskan jawatan atau tidak dilantik semula selepas tamat tempoh kontrak mereka.  Bagaimana pun, Presiden KEADILAN, DS Wan Azizah menyatakan itu bukan keputusan resmi parti.

Salahkah pendirian yang diambil oleh AMK dan Wanita P.Pinang tersebut?  Semua maklum bahawa Kerajaan Negeri telah mengistiharkan bahawa Kerajaan Negeri P.Pinang kini adalah Kerajaan Pakatan Harapan iaitu kerajaan bersama di antara KEADILAN, Dap dan Amanah.  Pas memilih untuk tidak mahu sertai pakatan tersebut.  Pas hanya selesa dengan KEADILAN di Selangor kononnya masih wujud Pakatan Rakyat di Selangor.  Kita faham sebab musabab mengapa Pas pertahankan sangat di Selangor walaupun Ketua Dewan Ulamak Pas, Dr Mahfodz menyebut Pas mungkin akan keluar dari Kerajaan Selangor.  

Berbalik di P.Pinang.  Apabila terbentuknya Kerajaan Pakatan Harapan di negeri tersebut maka lojiklah AMK dan Wanita KEADILAN memohon agar Pas menarik diri atau tidak dipilih lagi.  Keputusan dari KEADILAN Pusat memang tiada sebab itulah Azmin masih bertahan dengan Pas di Selangor.  Namun, jangan lupa perjumpaan meja bulat yang mengesahkan kewujudan Pakatan Harapan itu, bukan KEADILAN yang buat keputusan sendirian tetapi dibuat oleh tiga parti iaitu KEADILAN, Dap dan Amanah serta disokong kuat oleh beberapa Ngo.  Ini bererti apa yang dilakukan oleh Lim Guan Eng, KM P.Pinang mengumumkan P.Pinang adalah negeri Pakatan Harapan amat wajar sejajar dengan keputusan Meja Bulat itu.  AMK dan Wanita P.Pinang hanya mahu Pakatan Harapan itu direalisasikan di P.Pinang, itu saja.  Jika tidak, usah kita war-warkan Pakatan Harapan jika kita takut untuk merealisasikan.

Aku masih yakin di Selangor akan berubah juga dengan Kerajaan Pakatan Harapan.  Kecuali, kita fikirkan kembali bahawa Pakatan Harapan ini tidak baik untuk rakyat maka sila batalkan Pakatan Harapan.  Tidak perlu ada Pakatan Harapan kalau sekadar di mulut tetapi tidak melekat di dalam jiwa dan hati.  "Jika takut kepada ombak, jangan berumah di tepi pantai".  "Usah bicara soal Perjuangan jika takut kepada Risiko". 

Rabu, 30 September 2015

TENTANG KHUTBAH BERUNSUR FITNAH DAN CETUS UNSUR PERKAUMAN

BARU-baru ini kecuh isu Khutbah Hari Raya Aidil Adha di seluruh Negeri Pahang yang dikeluarkan JAIP mengandungi unsur-unsur perkauman, sentimen keagamaan berupa fitnah dahsyat terhadap Dap.  Meskipun nama Umno, PKR, Pas dan Amanah disebut, namun Dap disebut dengan jelas sebagai parti anti Islam.

Masyarakat yang bijak mesti tertanya-tanya apakah hanya Dap sahaja yang kononnya anti Islam?  Bagaimana dengan MCA atau Gerakan?  Jika Dap dikatakan anti Islam hanya kerana tidak bersetuju dengan hukum Hudud, apakah MCA dan Gerakan bersetuju dengan Hudud?  Bahkan, Umno sendiri belum pernah bercita-cita untuk melaksanakan hukum Allah tersebut meskipun telah memegang tampuk kuasa melebihi 50 tahun.  Lupakah kita bahawa Umno melalui kuasa yang ada pada mereka pernah menghalang hukum Hudud dilaksanakan di Kelantan?  Tidakkah kita tahu Umno juga melalui kuasanya telah menggagalkan RUU Akta Syariah yang dibawa oleh Hj Hadi dari dibahaskan di Parlimen?  Bukan sekali Umno menunjukkan sikapnya seolah-olah tidak suka kepada hukum Islam.  Mengapa ini tidak langsung disentuh di dalam teks khutbah tersebut?

Tidak lain tidak bukan hanyalah kerana minda kita termasuk orang-orang yang memegang kuasa di institusi agama buta sejarah atau tidak mengambil tahu perkembangan politik tetapi mahu bercakap seperti orang politik.  Kalau lah Lim Guan Eng berkata, paling kurang pun peruntukan perkembangan syiar Islam di P.Pinang lebih jauh tinggi berbanding di Negeri Pahang, tentu malu kita di Pahang.  Itu belum lagi Lim Guan Eng kata, bumi P.Pinang tiada Pusat judi terbesar seperti di Genting.  Atau, Guan Eng cabar Tok Peti Pahang usulkan agar Pahang laksanakan hukum Hudud.  Guane gamaknya?

Pelik lagi ajaib, PJ Pas Perak, Razman Kastam pun sokong teks khutbah berunsur fitnah tersebut.  Beliau tidak baca pun teks berkenaan tapi terus menyokong buta.  Begitukah contoh akhlak Islam yang mahu kita tunjukkan kepada Non Muslim?  Razman lupa, mimbar masjid pernah digunakan untuk memburuk-burukkan Pas sebelum ini.  Itu dulu, mungkin tidak lagi sekarang.  Sebab apa?  


Isnin, 28 September 2015

AZMIN TIDAK PERLU MENGAMBIL MASA TERLALU LAMA UNTUK MEMAHAMI KEHENDAK RAKYAT

MASIH ramai yang mahukan penjelasan tentang hubungan KEADILAN dan Pas setelah kewujudan Pakatan Harapan yang disertai oleh KEADILAN, Dap dan Amanah.  Pakatan terbaru ini ditolak awal-awal dan mentah-mentah oleh Pas dengan berbagai alasan.  Itu hak Pas dan kita mesti hormatinya,

Isunya sekarang, setelah P.Pinang serta merta mengistiharkan P.Pinang kini adalah Kerajaan Pakatan Harapan.  Itu bukti bahawa Dap amat serius dengan perbincangan dan berdisiplin dengan keputusan perbincangan.  Soalnya sekarang, bagaimana dengan Selangor?

Azmin, selaku MB Selangor kata Pakatan Harapan tiada kaitan dengan Selangor.  Ertinya, kewujudan Kerajaan Negeri Selangor berasingan dari muafakat politik terkini.  Azmin dan beberapa pimpinan Pas masih iktiraf Pakatan Rakyat yang asal, sedangkan kita tahu Pakatan Rakyat yang asal adalah terdiri dari KEADILAN, Pas dan Dap.  Apabila Pas mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Dap, apakah Azmin masih mahu mengatakan Pakatan Rakyat masih berfungsi seperti asal?  Jika benar, mengapa kita terlalu bodoh sangat mewujudkan Pakatan Harapan?  

Azmin juga menyebut kerajaan Selangor yang ada sekarang akan dikekalkan sehingga PRU14 akan datang.  Itu aku setuju.  Tiada keperluan untuk menukar MB baru mahupun bubar Dun.  Apa yang dipersoalkan sekarang adakah Azmin mengiktiraf Pakatan Harapan atau tidak?  Jika iktiraf, apakah yang patut beliau lakukan?  Jika tidak iktiraf, nyatakan sahaja bahawa kamu tidak iktiraf dan kita di dalam Pakatan Harapan boleh melakukan sesuatu agar Pakatan Harapan ini berfungsi di Selangor juga.

Aku harap Azmin tidak lakukan kesilapan besar setelah di awal kemasukannya sebagai MB Selangor beliau dilihat mampu mengikut insiprasi rakyat berbagai kaum bukan sahaja melihat di kawasan beliau sahaja.  Pakatan Harapan bukan arahan Azizah, Rafizi, Saifudin, Mat Sabu, Kit Siang atau sesiapa.  Pakatan Harapan adalah pilihan semua di antara kita, kecuali Pas.  Usahlah melakukan sesuatu yang menyongsang dan membuatkan KEADILAN dilihat tidak jujur apabila berunding.  

Buat masa ini aku masih yakin Azmin belum terlambat.  Aku tidak boleh melihat setiap hari beliau dicemuh dan diperlekehkan hanya kerana untuk melayan kehendak pihak yang tidak mahu bersatu di dalam Pakatan Harapan.  Usah beri berbagai alasan atau strategi yang hanya seorang dua sahaja yang menentukan tetapi menolak strategi atau keputusan ramai.  

Bertindak segera sebelum terlambat.