RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 24 Ogos 2013

KINI 'KAMBING HITAM' SUDAH BEBAS, MISTERI KEMATIAN ALTANTUYA BERLANJUTAN

Mahkamah Rayuan semalam melepas dan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
 
Apa pun penghujahan Hakim untuk menghalalkan pembebasan tersebut, rakyat hanya ingin bertanya;
 
1.  Benarkah memang wujud kisah seorang wanita bernama Altantuya telah dibunuh?
 
2.  Jika benar, siapakah yang telah membunuh wanita ini sebenarnya?
 
3.  Jika Sirul dan Azilah dituduh awalnya sebagai terlibat membunuh Altantuya, mengapa kedua-dua anggota Polis ini membunuh wanita tersebut?  Apa motifnya?
 
4.   Adakah perbicaraan pada awalnya, kedua-dua anggota Polis ini pernah membuat pengakuan bersalah di dalam Mahkamah?  Jika pernah, relevenkah segala bukti atau keterangan lain untuk membuktikan lagi pengakuan beliau itu adalah benar?  Maksudnya, tidakkah cukup dengan hanya mengaku bersalah saja boleh dihukum tanpa perlu bukti atau keterangan lain?
 
5.  Adakah seorang Pegawai Polis bernama DSP Safri yang mempunyai peranan penting untuk memberikan keterangan di mahkamah pada awal perbicaraan 'sengaja' tidak dipanggil untuk beri keterangan agar alasan ini boleh digunapakai untuk membebaskan kedua-dua tertuduh di peringkat rayuan seperti yang berlaku semalam?

6.   Mengapa kes rayuan kedua-dua tertuduh dimulakan selepas PRU 13?  
 
7.   Adakah dengan bebasnya kedua-dua mereka ini maka kes Altantuya sudah selesai?  Ertinya, Altantuya mati tanpa dibunuh oleh sesiapa?
 
Kes ini amat memalukan negara kita.  Seorang warga asing dibunuh di negara kita tanpa kita nyatakan siapakah yang membunuhnya dan apakah motif Altantuya dibunuh.  Lebih parah lagi, satu dunia tahu akan cerita salah seorang tertuduh pernah menyebut beliau menjadi ' kambing hitam' di dalam kes ini.  Apakah maksud 'kambing hitam' itu?
 
 

Khamis, 22 Ogos 2013

DREBAR TEKSI DI MALAYSIA PALING BERTUAH !!


KITA masih tidak lupa sebelum PRU 13 yang lalu, bagaimana Persatuan Teksi telah mengangkat 'sumpah' di hadapan Najib untuk menyokong Bn di dalam PRU 13.  Angkat 'sumpah' itu dilakukan mungkin kerana termakan budi kerana sebelum itu para pemandu teksi dapat BT1M (Bantuan Tayar 1 Malaysia).  

Sebelum itu, Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim beberapa kali menegaskan bahawa sekiranya PR mengambil alih Putrajaya, bukan sahaja harga minyak petrol akan diturunkan bahkan pemandu-pemandu teksi akan mendapat permit sendiri dan ini boleh menguntungkan setiap pemandu teksi.  Berapa kerat pemandu teksi yang percaya janji-janji Anwar?  Mereka kebanyakan begitu percaya dengan Najib dan sebab itulah tidak ada rasa apa-apa sanggup mengangkat sumpah taat setia kepada Bn.

Kini, PRU 13 telah berlalu dan Najib dengan dibantu oleh jin SPR telah membentuk kerajaan 47%.  Tentunya pemandu-pemandu teksi yang terlibat di dalam himpunan bersama Najib dahulu merasakan pasti mereka bertuah kerana Najib tidak akan lupa taat setia yang telah mereka berikan.

Memang Najib tidak pernah lupakan para pemandu teksi.  Sejurus membentuk kerajaan maka pemandu teksi tentu beruntung dengan kenaikan harga barang, termasuk kenaikan harga ayam menjelang Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini.  Kemudian diberikan pula 'bonus' tambahan dengan kenaikan harga gas memasak.  Tidak cukup dengan itu, had laju di beberapa jalanraya dan lebuhraya dikurangkan dan AES sentiasa menanti para pemandu teksi. Jika ada pula anak-anak pemandu teksi yang belajar di Universiti dan ada meminjam PTPTPN tentunya tiada masalah untuk membayarnya.  Beruntungnya pemandu-pemandu teksi di Malaysia.

Berita di atas tentu lebih menarik perhatian pemandu-pemandu teksi.  Tidak bayar saman, lesen memandu akan ditarik.  Cukup melegakan mereka kerana berbaloi dengan 4 biji tayar percuma yang baru sekali diberi itu.  Tahniah Pak Drebar Teksi !!


Selasa, 20 Ogos 2013

MELAYU YANG KUAT BERHUTANG, KUAT JUGA BERSYUKUR

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak memangkah buruk padahnya.  Cuba renungkan apa yang hebat sangat Kerajaan Bn buat selepas PRU 13? 
 
Adakah hebat bila mengumumkan kenaikan harga gas memasak?  Hebat benarkah apabila tambang pengangkutan awam dinaikkan 10 %?  Harga ayam yang naik melambung menjelang sambutan Aidil Fitri baru-baru ini sudah cukup untuk memberitahu para pengundi Bn bahawa mereka telah buat keputusan yang tepat?  Kenaikan harga ayam kemudian diikuti pula dengan kenaikan harga gas memasak maka para peniaga kedai makan pun diberi amaran jangan naikkan harga makanan, itu menunjukkan kehebatan Kerajaan Bn yang memerintah dengan undian 47% itu?
 
Terbaru, pengumuman Menteri Pendidikan II Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN yang ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sebagai satu lagi tanda prihatinnya Kerajaan Bn kepada para pelajar?  Kerajaan Bn juga bijak memerintah dan bijak mencari wang dengan mewujudkan AES yang memberi keuntungan kepada Syarikat bukannya keuntungan kepada kerajaan melalui JPJ itu boleh diterima?
 
Tidak adakah yang turun selain dari hujan di era Bn?  Ada.  Kerajaan Bn turunkan had kelajuan menjelang Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini.  AES wujud, had kelajuan diturunkan.  Tersenyum lebar tokey syarikat yang mengendalikan AES.  Itu di antara hebatnya Kerajaan Bn yang majoriti kaum Melayu pilih untuk terus memerintah.  
 
Kaum Melayu masih ramai yang tidak mahu pendidikan percuma.  Mereka juga masih kepingin untuk membayar tol dan teruja untuk menanggung hutang PTPTN.  Maklumlah Melayu dengan hutang ini sudah sebati.  Tanpa hutang, matilah kaum Melayu.  Hidup Melayu !!  Hidup apa?  Hidup dengan hutang lah!!  Cuba selidik berapa orang para Peneroka Felda yang tidak berhutang?  
 
Melayu hebat berhutang dan Melayu juga kuat bersyukur!!