RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 26 September 2014

PRK PENGKALAN KUBUR - MUKTAMAR SEHINGGA LUPA DIRI AKIBAT KITA TEWAS?

KEPUTUSAN tidak resmi menunjukkan BN mengekalkan kerusi Pengkalan Kubor dengan majoriti 2,635 undi.  Mengikut keputusannya, BN yg diwakili oleh Mat Razi mendapat 9,960 undi manakala PAS melalui calonnya Wan Rosdi mendapat 7,335 undi. Calon Bebas, Izat Bukhary hanya mendapat 37 undi dan hilang deposit.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi apabila pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.   Dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.  Ertikata lain, PAS lebih teruk tewas berbanding PKR walaupun aku meramalkan PAS mampu menang dengan majoriti kecil dan samasekali tidak menjangkakan PAS tewas seteruk ini.

Khabarnya, undian daripada masyarakat Non Muslim dan anak-anak muda juga terlalu jauh merosot.  Tambahan pula bak kata Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pengarah PRK ini bahawa di antara faktor kekalahan PAS adalah kerana ramai pengundi luar yang tidak balik untuk mengundi.  Persoalannya, adakah sekiranya mereka balik mereka akan mengundi PAS kerana kebanyakan perantau-perantau terutamanya yang bekerja di kawasan-kawasan bandar mereka celik maklumat dan mereka tahu selama ini apa yang sering diperkatakan orang tentang PAS.

Sewajarnya anak-anak perantau ini akan lebih bersemangat untuk pulang mengundi kerana mereka tahu PAS teramat ingin merampas Kerusi tersebut setelah PKR gagal sebanyak dua kali.  Tetapi mengapa mereka tidak pulang?  Benar, hari mengundi hari bekerja tetapi jika semangat itu tinggi untuk memenangkan PAS aku rasa mereka tetap akan pulang walaupun sanggup membeli "MC" untuk satu hari.  Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena kali ini.  Ustaz Tuan Ibrahim pun ada menyebut, ada sesuatu yang tidak kena mengapa anak-anak muda tempatan pun tidak seperti dulu.  

Sedikitpun aku tidak merasakan ketiadaan kempen oleh Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim ke sana menjadi faktor tewasnya PAS.  Anwar bukan hebat lagi di Kelantan, dan Kelantan adalah kubu PAS di Malaysia dan mempunyai berbagai jentera yang teramat kuat.  Bukankah jentera PAS sering dilaung-laungkan sebagai terhebat berbanding PKR?  Sepatutnya selepas Muktamar PAS di Batu Pahat baru-baru ini semangat pemimpin dan para penyokong PAS tentu membuak-buak, apatah lagi di dalam hubungan yang agak kontroversi dengan PKR, tentunya PAS ingin tunjukkan bahawa PAS memang hebat sebenarnya.

Boleh dikatakan kesemua kepimpinan PAS, dari Presiden, Mursyidul Am, ahli-ahli Majlis Syura dan Dewan Ulamak, Pro Ulamak dan Profesional, kesemuanya turun berkempen.  Habis kekuatan PAS turun kali ini.  PKR juga turun membantu dan sewaktu PAS sibuk bermuktamar, jentera PKR mengambil tugas berkempen di beberapa kawasan,  Jentera PKR juga berkampong di Pengkalan Kubur.  Ertikata lain, segala usaha telah kita lakukan demi untuk melihat Umno berkubur di Pengkalan Kubur.  Malangnya, Pengkalan Kubur itu kuburnya milik kita.

Aku melihat kebijaksanaan amat kurang sepanjang kempen.  Bayangkan, sewaktu Muktamar PAS berlangsung yang diketahui menjadi bahan berita media termasuk TV3, pemimpin dan para perwakilan tidak sedarkan diri berpidato menunjukkan kehebatan membelasah rakan-rakan sendiri samada dari PKR mahu pun DAP.  Tidak cukup dengan itu, sesama mereka pun menjadi bahan cemuhan sehingga ucapan menjadi doa laknat, dan tercatat dalam sejarah mulut Tuan Presiden sendiri perkataan "broker dan Barua".  Ini semua adalah bahan makanan yang dihidangkan percuma kepada media-media berlidah syaitan ini.  

Telah dijangka kesemua ucapan negatif sepanjang Muktamar telah dijadikan modal kempen Umno/Bn bahkan dijadikan cogan kata dan ayat-ayat disusun indah di dalam Banner-banner mereka.  Imej PAS sepanjang kempen teruk terjejas angkara Muktamar yang lupa bahawa PAS sedang bertarung di Pengkalan Kubur.  PAS tanpa disedari memberikan peluru kepada musuh.  

Amat sedih sekali ini berlaku.  Ini lah yang selalu aku sebut tidak semua Ulamak itu tahu berpolitik walaupun ugama dan politik itu tidak terpisah.  Politik perlu kepada kebijaksanaan dan strategi yang baik serta tersusun.  Menyerang rakan-rakan di dalam PR, menyerang rakan-rakan seperjuangan di dalam parti ketika Muktamar di mana waktu kempen berlangsung di Pengkalan Kubur bukan satu tindakan bijak malahan teramat songsang sekali. 

PRK memang kita sering kalah.  Kita akui mereka punyai jentera kerajaan yang hebat beserta dengan berbagai umpan yang diberi.  Itu kita akui dan itu juga bukan asing bagi kita dan sepatutnya kita telah bersedia untuk hadapi semua itu.  Malangnya, kita menambah beban lagi dengan masalah dan isu yang kita cipta sendiri.  Muhasabah lah bersama.


Rabu, 24 September 2014

KAJANG MOVE - LANGKAH AWAL AZMIN POSITIF

"KAJANG MOVE"  gagal?  Tentunya tidak gagal kerana aku boleh gariskan faktor-faktor mengapa aku sebut Langkah Kajang ini masih releven dan amat penting diteruskan walaupun tanpa Anwar mahu pun Azizah.  Azmin mampu membawa hasrat besar kita agar dapat merealisasikan objektif "Kajang Move".

Objektif paling penting, keluarkan dulu 'ejen amno' di dalam teraju utama Kerajaan PR Selangor.  Maka, Kajang Move berjaya nyahkan TSKI dari Kerusi MB Selangor setelah beliau gagal membela dirinya dari tuduhan yang dihadapkan kepadanya.  

Gagal meletakkan Anwar dan Azizah sebagai MB Selangor untuk terus menekan amno Selangor, tidak bermakna kita berhenti di situ.  Anak didik Anwar dijadikan pemain simpanan tampil menerajui MB Selangor menggantikan TSKI.  Langkah pertama beliau, kaji semula Perjanjian Konsesi Air dan Langat 2 yang ditandatangani oleh TSKI secara kelamkabut dahulu.  Azmin akan semak semula perjanjian ini samada ianya 'ada udang di sebalik batu". 

Bukan itu saja, Azmin akan mengkaji semula projek Lebuhraya Kidex yang telah mendapat bantahan ribuan penduduk sekitar.  Siapa kontraktor yang bakal memperolehi projek lumayan itu?  Benarkah orang itu adalah kroni Tun Daim yang telah menjadi perantara penyelesaian hutang TSKI?  Ini yang Azmin akan teliti dan ini juga merupakan salah satu objektif Kajang Move.  Dan, banyak lagi projek yang dirancang oleh TSKI sebelum ini bakal disemak semula oleh Azmin selaku MB Selangor yang baru.  Tentunya ini akan menggelisahkan beberapa orang yang selama ini cari makan dengan TSKI.

Apakah anda fikir tanpa Kajang Move semua ini boleh dilakukan?  Mustahil, bahkan TSKI terkenal dengan sifat suka berahsia dengan partinya sendiri.  Kali ini kita akan tahu kebenarannya sejauh mana kehebatan TSKI selama ini untuk memenuhkan poket-poket kroni amno.  Tanpa Kajang Move ianya tidak akan boleh berlaku.  

Adanya Kajang Move, kita kenal siapa kawan kita yang paling setia sewaktu kita susah.  Kajang Move juga mendedahkan kepada kita bagaimana rupanya yang dikatakan Sistem Raja Berperlembagaan.  Itu baru sedikit yang dapat dihuraikan.  Selebihnya kita sendiri akan tahu nanti mengapa Anwar mencipta Kajang Move walaupun sekarang ini mereka memperlekehkan Kajang Move. 

Selasa, 23 September 2014

PKR BUKTIKAN SANGGUP KORBANKAN PRINSIP DEMI TUANKU

AKHIRNYA kita telah berjaya membuktikan bahawa PKR bukan parti yang derhaka kepada Tuanku.  Awalnya ramai yang beranggapan sedemikian apabila PKR terus istiqomah dan konsisten dengan calon MB Selangor, Azizah yang telah pun mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai MB Selangor yang baru.

 Azizah terus menjadi pilihan daripada 1,057 pengundi, namun Istana tidak memilih beliau
(Poll blog ini)

Meskipun dua kali rasanya pihak Istana telah mengeluarkan surat kepada PKR tentang kaedah parti yang hanya menamakan satu calon di mana Istana tetap mahukan lebih senarai calon.  Adakah tindakan PKR itu derhaka?  Anwar telah menjawabnya iaitu PKR meneruskan kaedah yang lazim digunakan sebelum ini, dan PKR juga ingin tunjukkan bahawa tiada rebutan jawatan MB di kalangan PKR untuk menjadi MB Selangor.  Azizah disokong oleh 30 Adun dari PKR, DAP dan dua Adun PAS untuk menduduki Kerusi MB Selangor.

Lazimnya tiada masalah, namun Istana juga punyai hak untuk berbuat apa yang Tuanku ingini.  Rakyat mungkin keliru dengan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan, jauh bezanya dari apa yang diamalkan di Perak sewaktu kejatuhan Kerajaan PAS di bawah Nizar.  Namun, Anwar tetap bertegas selagi Tuanku tidak menitahkan bahawa Azizah ditolak.  Ramai yang beranggapan Anwar degil kerana tidak menggugurkan Azizah sebagai calon.  Anwar bertindak betul kerana Tuanku tidak pernah secara resminya menolak Azizah.  Maka, usaha terus dibuat agar Istana melaksanakan tugasnya seperti kelaziman iaitu memilih calon MB dari kalangan majoriti.

Malangnya, apabila Tuanku menamakan Azmin sebagai MB Selangor, secara tidak langsung membawa erti Azizah ditolak Istana walaupun Azizah memiliki majoriti.  Apabila ini berlaku, sekali lagi Anwar dan Azizah berjiwa besar dan berkorban untuk mengalah dengan kehendak istana.  Azmin, walaupun tiada parti yang mencalonkannya namun Anwar dan Azizah merasakan Azmin juga layak untuk jawatan itu kerana Azmin adalah Timbalan Presiden PKR dan juga Pengerusi PKR Selangor.  Mungkin Anwar beranggapan jika PKR terus berkeras, mungkin calon lain yang langsung tidak layak akan terpilih.

Tentunya PKR boleh menentang atau mencabar keputusan Istana itu secara baik, tetapi mengambil tindakan memberi laluan kepada Azmin lebih berhemah lagi dan bak kata Azizah, beliau sendiri tidak mahu rakyat Selangor terus dibebankan dengan kemelut MB Selangor.  Di Perak, kes dibawa ke mahkamah.  Anwar lebih lembut dari itu.  Terbukti Anwar tegas tetapi tidak serakus yang mereka fikirkan.

Ada yang mendakwa PKR buat "U-Turn".  Jauh sekali anggapan mereka.  PKR tidak pernah "U-Turn", sebab itulah nama Azizah terus kekal seorang sehingga Tuanku buat keputusan.  Apabila keputusan telah dibuat, pilihan hanya ada dua kepada PKR samada mencabar kesahihan perkenan Tuanku atau menerimanya sebagai tanda hormat.  Anwar memilih pilihan kedua.  Itu pun masih ada yang menuduh naiknya Azmin sebagai MB Selangor memang dirancang oleh Anwar.  Begitulah jahatnya perangai puak-puak ini yang tidak pernah akui apa yang Anwar lakukan.

"Kajang Move" amat berjaya.  TSKI berjaya turun daripada menjadi ejen musuh.  Kajang Move juga buat kita kenal erti persahabatan dan pengorbanan.  Kajang Move yang asalnya ingin menjadikan Anwar sebagai "killer' Umno di Selangor akhirnya dibebankan kepada anak didiknya Azmin.  Ada hikmahnya ini berlaku.  Rakyat lebih kenal dan faham erti dan konsep "Raja Berperlembagaan" itu.  Mungkin kes di Selangor ini akan dijadikan contoh atau rujukan di dalam mana-mana kes selepas ini.  Tetapi harus diingat, kes di Perak dahulu tidak membantu kita di Selangor.

Tahniah Anwar dan Azizah, tahniah kepada semua yang terus bersabar sepanjang kemelut ini.  Tahniah kepada Azmin yang terpaksa naik atas kehendak Istana bukannya membelakangkan parti.