TERPANGGIL untuk mengulas satu artikel yang aku petik dari Web Tranungkite di sini http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=19074 , yang mana artikel tersebut dikatakan ditulis oleh Sdr Amin Iskandar. Beliau mempertikaikan kaedah Kerajaan PAS Kelantan di dalam usaha untuk meningkatkan hukum dan syiar Islam di negeri Serambi Mekah tersebut.
Aku sendiri akui memang banyak perkara kebajikan yang dituntut oleh Islam yang masih belum atau sedang diusahakan di negeri Kelantan. Namun, tulisan Amin Iskandar yang seolah-olah cuba untuk mencari alasan agar melupakan hukum Hudud yang dicita-citakan di negeri tersebut amat mendukacitakan. Aku samasekali tidak percaya bahawa Kerajaan PAS Kelantan mempolitikkan hukum tersebut, sebaliknya bagi aku meskipun ada perkara utama yang lain patut ditumpukan oleh Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Yaakob, tetapi hukum Hudud tetap menjadi impian kita dilaksanakan bukan saja di Kelantan bahkan di negara ini.
Oleh itu, aku menolak samasekali pendapat dan tulisan Amin Iskandar. Memang tidak wajar sebuah kerajaan negeri mengutamakan bentuk hukuman semata-mata untuk menegakkan hukum Islam tanpa ada usaha memberi penekanan kepada kebajikan serta pembangunan insan terlebih dahulu. Bak kata Anwar Ibrahim, bagaimana mungkin kita boleh merealisasikan hukum Hudud di dalam suasana negara yang masih belum dibersihkan dari dosa-dosa besar yang lain seperti amalan rasuah, kezaliman dan ketidakadilan di dalam sistem kehakiman. Anwar bimbang jika hukum Hudud berjalan di dalam suasana seperti yang ada sekarang, hukum tersebut tidak akan mencapai objektifnya bukan kerana kelemahan hukum tersebut tetapi kaedah kita menyediakan persediaan ke arah perlaksanaan hukum Allah itu. Maka ramai yang mendakwa kononnya Anwar turut menolak hukum Hudud sedangkan mereka tidak mendengar sendiri apa yang Anwar nyatakan tentang hukum ini.
Pendapat aku, di dalam masa kerajaan negeri Kelantan sedang menyediakan kaedah perlaksanaan hukum tersebut, kerajaan negeri jangan abaikan kebajikan rakyat. Kerajaan negeri juga mesti peka terhadap keperluan masyarakat terutamanya di luar bandar yang juga menjadi kewajipan kepada pemerintah. Kerajaan negeri juga perlu sensitif dengan isu-isu ketidakadilan dan kezaliman terutamanya yang melibatkan kerajaan Pusat. Harus diingat, Hukum Hudud perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari Kerajaan Pusat dan apakah lojik kita boleh mendapat kerjasama dari sebuah kerajaan yang penuh dengan rasuah serta kezaliman? Maka, bersihkan unsur-unsur ini terlebih dahulu di dalam masa yang sama teruskan usaha dan tingkatkan pengetahuan kepada seluruh rakyat betapa Hukum Islam ini amat baik dan adil untuk semua.
Tulisan Amin Iskandar terlalu gopoh untuk menolak perlaksanaan Hukum Hudud dengan hanya membawa contoh kecil iaitu tindakan Kerajaan Negeri yang akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak Solat Jumaat. Tindakan kerajaan negeri ini amat tepat sekali, tetapi alangkah lebih berkesannya jika di dalam waktu yang sama kita juga pantas bertindak mengatasi permasalahan rakyat. Jika tidak, Islam hanya akan dilihat seperti wujud untuk menghukum bukan untuk memberi kesejahteraan kepada manusia. Maka akan lahirlah orang yang berfikiran seperti Amin Iskandar ini.
Semoga Allah meringankan tugas kerajaan negeri di samping memberikan pertunjuk kepada pemimpin kerajaan negeri agar hukum Islam dapat dilaksanakan di sebuah negeri yang rakyatnya juga menikmati kesejahteraan dan kebajikan yang dijanjikan oleh Islam.