RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 21 Oktober 2015

ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH, SERIUSKAH?

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak usul yang difailkan oleh Gerakan untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan tetapi telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Mac lalu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zaharah Ibrahim menolak permohonan itu atas alasan bahawa ketiga-tiga pemohon gagal untuk mendedahkan bagaimana undang-undang itu memberi kesan kepada mereka dan membuktikan sama ada mereka memang adalah beragama Islam.  "Saya sudah meneliti afidavit para pemohon dan tidak mendapati dalam afidavit, satu kenyataan bahawa hak mereka secara spesifik terjejas atau akan terjejas oleh undang-undang yang dicabar.  "Oleh itu, usul itu ditolak dengan tiada perintah tentang kos," katanya.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana hukum Islam ini tidak dipermainkan hatta di mahkamah sekalipun.  RUU berkenaan pastinya akan dibawa oleh Hj Hadi, Presiden Pas di dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang kerana tiada lagi halangan seperti yang beliau perkatakan sebelum ini.  Samada Speaker menerimanya untuk memasukkan RUU tersebut sebagai perkara utama atau tidak, itulah risiko yang terpaksa dihadapi apabila kita mengharapkan pihak yang tidak pernah berhajat kepada undang-undang Islam.
Seandainya dibahaskan juga, tidak mudah pula untuk melaksanakannya kerana kita tahu pendirian Umno, MCA, Gerakan atau Bn keseluruhannya terhadap hukum ini.  Bagi PH tentunya kita tetap berpegang kepada pendirian asal iaitu perjuangan kita melangkau dari yang ingin diperjuangkan oleh Pas.  Bagi PH, Islam itu syumul dan kebajikan serta keadilan Islam itu mestilah dipraktikkan agar menampakkan bahawa Islam bukan hanya sekadar ugama menghukum.
Tiada jalan lain untuk melaksanakan perintah Allah di dalam konsep bernegara selain dari menjatuhkan rejim terlebih dahulu.  Tidak masuk akal langsung jika kita mengharapkan rejim zalim untuk membantu kita melaksanakan hukum Allah sedangkan rejim berkenaan berterusan melanggar hukum Allah.  Tidak sedikit pun menampakkan rejim yang ada ini menunjukkan sikap ingin berubah. 
Tumpuan sekarang mestilah kepada usaha untuk menjatuhkan rejim melalui sistem yang sah di negara ini.  Rakyat sedang menderita untuk hidup di negara ini dengan berbagai masalah yang dihadapi.  Ekonomi semakin hancur, rakyat semakin susah dengan kos sara hidup yang tinggi.  Wajib kita ambil-alih kerajaan yang menyusahkan seperti ini.  Menang di Putrajaya dengan nawaitu untuk melakukan kebaikan serta melaksanakan kebajikan kepada rakyat, itulah kemenangan yang Allah redhai.  Kita mahu menang dengan redha Allah. 

Isnin, 19 Oktober 2015

JELAJAH PAKATAN HARAPAN MENERUSKAN HARAPAN RAKYAT


TERUS mara.  Itulah Pakatan Harapan (PH) terdiri dari KEADILAN, Dap dan Amanah, satu gabungan Pembangkang yang tidak pernah undur dari perjuangan menentang rejim.  Bersama Amanah, satu parti yang baru diwujudkan bagi mengambil tempat Pas yang masih belum bersedia untuk bersama gerakan ini.

Meskipun PH akan meneruskan kemaraan, namun Pas dan mana-mana parti yang ingin bersama merasai pahit maung perjuangan ini akan tetap dinantikan.  Hidup mesti diteruskan.  Jelajah PH telah pun bermula di Johor baru-baru ini.  Sambutannya amat menggalakkan.  PH bukan mensasarkan satu-satu golongan kaum atau agama sahaja.  PH adalah parti yang didokong oleh semua rakyat Malaysia yang mahu menamatkan rejim yang memerintah sekarang.  Amat malang sekali jika ada mana-mana pihak yang tidak mahu melibatkan diri bersama gerakan ini atau memilih jalan mudah, selesa atau memikirkan kepentingan masing-masing semata.

Awal November ini, Jelajah PH akan sampai ke bumi Tok Gajah, Pahang.  Lokasi pilihan PH di Pahang adalah di Temerloh.  Tarikh dan lokasi sebenar akan dimaklumkan kemudian.  Di dalam sejarah Jelajah Merdeka Rakyat sebelum PRU13 yang lalu, sambutan rakyat di Pahang kepada Pakatan Rakyat (PR) waktu itu tidak mengecewakan.  Apakah kali ini PH akan terus diyakini oleh rakyat Pahang bagi meneruskan perjuangan mereka?

WAKIL AMANAH PATUT DIBERI TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB DI NEGERI

APABILA tertubuhnya Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat hasil perbincangan Meja Bulat yang lalu, maka mahu tidak mahu ianya mestilah direalisasikan di semua peringkat.  Merealisasikan PH bukan membawa maksud 'membuang' Pas kerana keputusan PH setakat hari ini adalah PH masih terbuka untuk menerima Pas dan PSM atau mana-mana pihak yang ingin bersama PH.


Merealisasikan PH adalah membawa kesemua yang berada di dalam PH berganding bahu di setiap negeri.  Langkah pertama telah pun bermula di mana program Jelajah PH kini sedang bergerak dari satu negeri ke satu negeri.  Tentunya belum mencukupi, PH haruslah direalisasikan melalui pentadbiran di negeri-negeri yang kita kuasai seperti di Selangor dan P.Pinang.

Seperti yang disebutkan awal tadi, bukan bererti PH membuang kesemua penglibatan Pas di semua negeri berkenaan.  Wakil Pas boleh terus berada bersama selagi PH masih membuka pintu atau Pas masih belum berani buat keputusan untuk keluar dari bekerjasama.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah melibatkan wakil Amanah, salah satu parti utama yang berada di dalam PH untuk berganding bahu di bawah kerajaan negeri yang kita kuasai.  Tentulah tidak adil jika Amanah tidak diberi tanggungjawab bersama mengurus dan mentadbir negeri.  Di Selangor, terdapat dua Adun dari Amanah yang boleh diambil untuk diberi tugas dan tanggungjawab bersama.  Wakil dari parti tersebut juga haruslah diserap ke dalam mana-mana syarikat GLC di Selangor dan juga dilantik di dalam Ahli Majlis.  Begitu juga hendaknya di P.Pinang yang dikatakan telah mula mengorak langkah tersebut.

Menyerapkan wakil Amanah tanpa menolak wakil Pas adalah salah satu kaedah terbaik bagi menunjukkan keadilan di dalam PH.  Semoga cara ini dapat direalisasikan secepat mungkin.