RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 14 Mei 2019

PH TIDAK PERLU JADI "KERAJAAN MALAIKAT" TETAPI JANGAN MENJADI "KERAJAAN SYAITAN"

Negara kita pernah mencipta sejarah apabila berada di bawah pemerintahan "Syaitan Kleptokrat" sehinggalah Allah mencabut "nyawa" Umno/Bn dari terus menjadi kerajaan dan memberikan peluang kepada PH untuk menerajui negara.

Tiada siapa berani meramalkan bahawa hayat Umno/Bn di Putrajaya akan berakhir pada 09 Mei 2018, kecuali suara dari INVOKE yang berulangkali menyatakan kerajaan baru akan terbentuk selepas PRU14 dan suara ini sering menjadi bahan jenaka bukan sahaja oleh Umno/Bn malahan dari kalangan kita sendiri. Kita mampu merancang, Allah jua adalah sebaik perancangan dan Alhamdulillah, umur kerajaan Kleptokrat direntap tanpa belas kesihan.

Sejurus kemenangan PH melakar sejarah negara, rakyat begitu teruja untuk berada di bawah kerajaan baru yang menyajikan manifesto berlandaskan prinsip keadilan dan reformasi. Apabila PH membuka kunci Putrajaya, di luar jangkaan samasekali betapa terlalu banyak kerosakan telah berlaku tanpa diketahui umum. PH menjangkakan paling tinggi hutang yang akan diwarisi dari kerajaan lama hanya sekitar RM 600-700 Bilion sahaja dan PH telahpun bersedia untuk menangani hutang-hutang berkenaan di samping komitmen PH untuk melaksanakan kesemua janji-janji di dalam manifesto PRU14.

Rupa-rupanya keburukan kerajaan Kleptokrasi yang sering PH perkatakan sebelum ini lebih dahsyat dari yang dijangkakan. Masuk sahaja di bangunan Putarajaya, kerajaan PH terperanjat besar apabila menyaksikan bahawa sebenarnya kerajaan turut menanggung bebanan selain dari hutang-hutang yang diistiharkan secara resmi. Kerajaan sebenarnya turut menanggung hutang pinjaman dari syarikat 1MDB di mana kerajaan adalah penjamin kepada syarikat yang penuh misteri tersebut. Tanggungan hutang ini tidak pernah diumumkan kepada rakyat sehinggaka sampai ke hari ini masih ramai tidak percaya bahawa tanggungan hutang kerajaan sewaktu PH mengambil alih kuasa adalah melebihi RM 1 Trilion.

Saya suka ibaratkan seperti kisah kita yang mahu menyewa sebuah rumah. Di lihat dari luaran, rumah itu memang agak usang namun kita merasa yakin bahawa kita boleh memperbaikinya. Kita pun berjanji dengan isteri dan anak-anak sekiranya kita berpindah ke rumah tersebut, kita akan baikinya dan rumah itu akan kita penuhi dengan perabut-perabut yang cantik. Sudah tentu isteri dan anak-anak akan merasa teruja untuk berpindah . Apabila kita memasuki rumah tersebut, ianya amat memeranjatkan kita kerana kerosakan yang kita jangkakan selama ini bukan sahaja di luar rumah, malahan di dalam rumah begitu dhaif dan buruk sekali. Bukan sahaja atap yang bocor, pintu pagar yang rosak, tetapi di dalam rumah pintu bilik semua terkopak, siling pecah, tangki air bocor, tandas tersumbat, singki di dapor juga pecah bahkan pendawaian letrik juga terputus di sana sini. Apakah keutamaan kita waktu itu? Apakah kita akan terus membeli perabut yang mahal-mahal sebagaimana yang kita janjikan kepada keluarga kita, atau kita tangguhkan dahulu untuk kita memperbaiki semua kerosakan yang berlaku di dalam rumah? Apabila kita mengambil keputusan untuk memperbaiki semua kerosakan itu terlebih dahulu kerana ianya amat penting demi keselamatan keluarga kita, apakah wajar isteri dan anak-anak kita menuduh kita memungkiri janji untuk membeli perabut-perabut di dalam rumah?

Menangguhkan janji kerana terdapat sebab musabab yang tidak dapat dielakkan berbeza samasekali dengan memungkiri janji. Namun, masih terdapat suara-suara yang menuduh kerajaan PH memungkiri janji-anji mereka. Apakah tempuh setahun dua untuk memulihkan negara yang rosak ini adil untuk kita adili tentang prestasinya?

Tidak semua manifesto PH ditangguhkan. Banyak juga yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan. Malangnya, kita sedikit lemah di dalam menyalurkan maklumat tentang pencapaian kita. Rata-rata masyarakat di luar sana tidak tahu apa yang telah kita lakukan dan sedang kita lakukan. Maka, tidak pelik jika mereka menyatakan apa kelebihan PH berbanding Umno/Bn selain dari mengheret Najib, Rosmah, Zahid Hamidi, Azeez Tabung Haji, Isa Samad, dan beberapa orang pemimpin Umno itu ke mahkamah? Kita kena terima hakikat bahawa kita masih lemah di dalam menggunakan media arus perdana untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan seluas mungkin. Jika di era Umno/Bn, mereka bukan sahaja ada TV3, RTM, Radio semata-mata, tetapi mereka punyai media cetak akhbar harian seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian yang bukan sahaja dijual setiap hari di merata-rata tempat, tetapi sehingga dilanggan oleh pejabat-pejabat kerajaan.

Kerajaan PH ada media cetak seperti ini? Akhbar parti pun tidak berkembang bahkan dikatakan seperti terpinggir selepas kita menjadi kerajaan. Suara Keadilan contohnya, adakah jualannya semakin meningkat atau menurun sekarang? Apakah kita fikir tidak perlu lagi akhbar parti kerana kita telah menjadi kerajaan? Bayangkan, sekiranya PH tiada akhbar harian, media elektronik seperti TV dan radio juga tidak berfungsi dengan baik, di dalam masa yang sama akhbar Utusan dan Berita Harian masih dilanggan di pejabat-pejabat kerajaan dan masih terjual di merata-rata kedai, apakah kita boleh kekal sebagai kerajaan selepas PRU15?

Percayalah, jika ditakdirkan kita tumbang (Na'uzubillah) di dalam PRU15 akan datang, ianya bukan kerana kita tidak lebih baik dari Umno/Bn tetapi kerana kita tidak tahu gunakan kuasa yang kita miliki. Kita telah bekerja kuat dan sanggup berkorban berpuluh tahun untuk mendapatkan kuasa, tetapi apabila diberi peluang berkuasa kita tidak tahu menggunakannya.

Gunakan kuasa yang dipinjamkan kepada kita ini sebaik mungkin. " Kita tidak perlu untuk menjadi kerajaan Malaikat, tetapi kita jangan menjadi kerajaan Syaitan". Gunakan kuasa yang ada ini untuk kepentingan rakyat dan dengan kuasa itu juga kita perlu bertindak tegas kepada mana-mana pihak atau individu di dalam kerajaan yang cuba untuk mensabotaj usaha baik yang kita rancang. Mereka boleh berbeza pendirian politik dengan kita, tetapi sebagai kakitangan kerajaan mereka tidak boleh mensabotaj usaha dan dasar-dasar kerajaan. Kita tidak boleh singkirkan mereka hanya kerana mereka tidak menyokong PH, tetapi kita wajib singkirkan mereka sekiranya mereka tidak patuh kepada dasar-dasar kerajaan PH.

Cukuplah setahun kita memberi peluang kepada mereka untuk memahami dasar-dasar kerajaan dan reformasi yang mahu kita tegakkan. Kini tiba masanya kerajaan perlu bertindak tegas kerana kita bertanggungjawab kepada rakyat yang memberikan mandat kepada kita. Jangan kerana seekor dua nyamuk di dalam kelambu, kita tidak boleh lena tidur sampai ke pagi.