RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 23 September 2016

KEADILAN PATUT KURANG KERUSI JIKA LANGKAH INI BOLEH MENAMBAHKAN KEKUATAN PEMBANGKANG

KALAU ditanya tentang pendapat aku, adakah parti Mahyuddin (Aku sebut Bersatu) bakal mengancam Keadilan?  Aku akan jawab, Bersatu menjadikan Keadilan lebih tercabar dan akan menyuntik motivasi kepada Keadilan untuk bersaing dengan parti tersebut di dalam meraihkan sokongan dan ahli.

Itu di dalam aspek persaingan dua parti ini.  Tetapi kebaikan yang lebih besar faedahnya kepada rakyat adalah Bersatu mahu berganding bahu dengan Keadilan khususnya dan PH, amnya untuk bersama-sama menumbangkan Umno/Bn.  Ini yang membimbangkan Umno/Bn serta sekutunya.  Kehadiran Bersatu bakal mencuri seberapa banyak mungkin ahli-ahli Umno yang sedar tentang skandal Najib yang telah memusnahkan Umno, parti keramat orang-orang Melayu sejak dahulu.  

Masalah Keadilan semenjak mula ditubuhkan adalah kesukaran untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu bagi menjatuhkan kerajaan yang zalim sekarang.  Terutama kaum Melayu di pendalaman, di felda-felda, itu merupakan masalah besar buat Keadilan.  Apabila Bersatu wujud, Keadilan anggap ianya satu rahmat dari Allah dan terpulanglah kepada Keadilan untuk mengatur strategi sebaik mungkin agar matlamat utama menjatuhkan Umno/Bn tercapai.  

Di dalam mengatur strategi ini, Keadilan harus banyak bertolak ansur.  Strategi tidak mungkin berjaya jika Keadilan memiliki sifat tamak haloba dan tidak melihat kepada realiti.  Aku bersetuju dengan pendapat MP Kuantan, YB Fuziah Salleh yang berteori bahawa Umno boleh kita kalahkan jika kita sanggup kurangkan Kerusi kita di dalam masa yang sama Kerusi Umno juga kurang, dan Pembangkang dapat menambah Kerusi.  Apakah Keadilan rugi?  Tidak.  Keadilan hanya mungkin rugi jumlah bilangan Kerusi tetapi Keadilan mencapai hasratnya iaitu Umno/Bn turut kurang Kerusi yang mereka miliki sekarang.

Keadilan akan kekalkan Kerusi yang telah dimenangi dan InsyaAllah, ianya tidak berkurangan.  Keadilan cuma kurang Kerusi yang dulunya ditandingi oleh Keadilan tetapi tidak pernah menang atau dapat memberi saingan kepada Umno/Bn.  Ini banyak berlaku di kawasan-kawasan pendalaman dan felda.  Oleh kerana itu, amat bijak dan strategik sekali jika kawasan-kawasan ini dipertaruhkan kepada Bersatu untuk berdepan dengan Umno/Bn.  Jika Bersatu menang, maka Pembangkang akan dapat menambah Kerusi walaupun Keadilan kurang Kerusi.  

Aku yakin, pimpinan di dalam PH dan Bersatu serius untuk membincangkan agihan Kerusi ini secepat mungkin selepas isu sempadanan semula kawasan Pilihanraya yang menjadi kontroversi sekarang dapat diselesaikan.  

 

Rabu, 21 September 2016

KEHADIRAN PARTI MAHATHIR - MUHYIDIN PERKUATKAN PH, CABARAN BUAT PAS?

BERUNTUNGKAH jika PH bersama parti Tun Mahathir yang sinonim disebut BERSATU itu?  Sehingga kini BERSATU masih belum diterima menjadi komponen di dalam PH walaupun BERSATU telah menyatakan hasrat untuk berganding bahu bersama PH di dalam menjatuhkan rejim Umno/Bn.  BERSATU sama seperti PSM yang masih tidak bersama PH tetapi mempunyai nawaitu yang sama.

Samada BERSATU berada di dalam PH atau tidak, itu tidak penting.  Apa yang penting adakah BERSATU mahu menjatuhkan Najib, Umno/Bn?  Jawapannya adalah Ya.  Berbeza dengan Pas yang masih belum jelas apakah Pas mahu Najib jatuh sekarang ini atau Pas hanya mahu tunggu PRU14?  Menunggu PRU14 adalah pilihan terakhir, tetapi berusaha dan berikhtiar untuk menjatuhkan Najib sekarang wajib dilakukan kerana kemudharatannya selaku PM tdak boleh dibiarkan walaupun untuk tempoh 1 hari lagi apatah lagi untuk dua tahun lagi.  

Bagi Keadilan, Dap, Amanah dan BERSATU, kerja untuk menjatuhkan Najib harus bermula sekarang.  Lemahkan rejim Umno/Bn wajib bermula dengan gugurkan Najib.  Itu pilihan utama.  Jika gagal sekarang, kita ada peluang lagi pada PRU14.  Jika berjaya sekarang, itu bonus.  Rakyat tidak boleh terima mana-mana parti yang hanya menupang dagu sahaja menunggu PRU14 sedangkan rakyat di dalam keadaan tertekan dengan kehidupan yang semakin menyesakkan nafas.

BERSATU akan menguntungkan PH.  Jika Pas menjauhkan diri dari PH, BERSATU adalah parti yang boleh mengisi kekosongan Pas.  Jika selama ini Pas mendakwa parti itu mahu menarik ahli dari mereka yang tidak suka kepada Najib, tetapi tidak mahu bersama PH, mereka boleh berada bersama Pas, tetapi dengan kehadiran BERSATU, sudah tentu menyukarkan Pas untuk menarik sokongan dari rakyat.  Sekarang pun sudah jelas, BERSATU kini semakin giat mendaftarkan ahli-ahli mereka.

BERSATU akan mengisi Kerusi-Kerusi yang tidak mungkin dimenangi oleh wakil parti dari PH.  BERSATU dilihat berupaya mengisi banyak Kerusi Parlimen di kawasan yang mempunyai kekuatan Umno/Bn.  Program BERSATU yang kini menjelajah dari satu negeri ke satu negeri terutama di kawasan pendalaman amat membantu PH.  Undi kepada Umno/Bn akan dipecahkan.  Memecahkan undi Umno/Bn adalah usaha kita bertahun-tahun lamanya.  Amat bodoh sekiranya PH tidak meraikan usaha BERSATU ini.

Selasa, 20 September 2016

JELAJAH 1MDB NEGERI PAHANG PADA 02 OKT DI BERA

JELAJAH 1MDB akan tiba di Pahang pula.  Tarikh 02 Oktober 2016 ini dipilih sebagai giliran bagi Negeri Pahang untuk siri Jelajah 1MDB ke seluruh negeri.  Di Pahang, Bera dipilih sebagai lokasi program yang bakal menyusahkan Umno/Bn kerana segala maklumat yang Umno/Bn sembunyikan dari pengetahuan rakyat di desa-desa dan pendalaman khususnya di dalam isu skandal 1MDB akan dibongkar habis-habisan.

Jika sebelum ini, pendedahan yang dibuat seawal tahun 2011 lagi oleh DS Anwar Ibrahim, seterusnya dibongkar pula oleh Rafizi dan Tony Phua serta pimpinan-pimpinan Pembangkang yang lain amat sukar diterima oleh penyokong tegar Umno/Bn di kampong-kampong dan di felda-felda.  Rata-rata mereka menyangka isu 1MDB ini adalah ciptaan Pembangkang dan jika benar sekalipun bagi rakyat di pendalaman skandal yang melibatkan lebih RM 50 Bilion yang lesap itu tiada kaitan dengan kehidupan mereka.  

Kali ini kita menjemput semua para penyokong dan ahli-ahli Umno untuk mendengar sendiri dari mulut mantan Timbalan PM dan mantan Timbalan Presiden Umno sendiri iaitu TS Muhyidin Yassin yang dulunya berada di dalam kabinet bahkan orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.  Skandal ini pun bermula sewaktu beliau di dalam kabinet dan sudah tentu beliau orang yang arif di dalam isu ini.  

Selain dari TS Muhyiddin, Jelajah 1MDB Peringkat Negeri Pahang juga akan menampilkan Presiden KEADILAN, DS Wan Azizah serta Timbalannya dan juga selaku MB Selangor, DS Azmin Ali.  Pimpinan-pimpinan PH Negeri Pahang juga turut akan hadir iaitu Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Dap Pahang, Leong Ngah Ngah serta Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah.

Program ini bermula dari sebelah petang dengan berbagai acara yang disusun untuk pimpinan-pimpinan tersebut termasuk menemui rakyat di kawasan pendalaman di Bera.  Acara kemuncak adalah program ceramah bertempat di Lot 17, Simpang Kepayang/Sebertak, Bandar Bera, Pahang.  

Orang ramai dijemput hadir.