RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 10 Januari 2015

KAWASAN MANA YANG MAHU PIMPINAN KERAJAAN PUSAT DATANG MELAWAT, SILA JEMPUT ANWAR DATANG DULU

ANWAR datang ke Pahang di Parlimen Temerloh iaitu di Paya Pulai dan di Parlimen Bera iaitu di Kg Mengkarak pada 07 Jan 2015 baru-baru ini bagi melawat mangsa-mangsa banjir.  Turut serta adalah isterinya Presiden PKR, Azizah.

Kehadiran Anwar di Temerloh disambut oleh Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Sdr Nizam serta Ketua Cabang PKR Temerloh, Sdr Jamil dan beberapa pimpinan tempatan.  Kehadiran Anwar dan Azizah juga turut disertai oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor YB Daroyah Alwi dan beberapa pimpinan NGO termasuk dari Jingga 13.

Seperti biasa, Anwar dan Azizah serta rombongannya melawat ke beberapa kawasan yang dilanda banjir di kedua-dua Parlimen tersebut.  Sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun kehadiran Ketua Pembangkang ini adalah secara mengejut tanpa sebarang publisiti media.  

Pada 08 Jan 2015, tiba-tiba Muhyiddin pun turun ke dua-dua kawasan Parlimen tersebut beserta dengan bermacam bentuk bantuan dari Pusat.  Ertikata lain, mana-mana kawasan yang mahu melihat pemimpin utama Kerajaan Pusat datang ke kawasan mereka, sila jemput Anwar datang dahulu.  Pasti pemimpin Pusat akan tiba kemudian untuk membawa bantuan.  Kalau tidak percaya, sila cuba.

Itulah hebat dan aura yang ada pada Anwar.  Hanya mereka yang busuk hati dan berdendam saja yang enggan akui kehebatan tokoh reformasi ini.  Anwar tidak kira di mana saja yang dirasakan perlu untuk beliau datang menjenguk, beliau akan datang walaupun Parlimen Temerloh itu MP nya bukan dari PKR pun malah MP nya itu tidak hadir sewaktu kehadiran Anwar.  Oleh kerana Temerloh salah satu kawasan yang teruk dilanda banjir, Anwar tetap turun sama juga di Kelantan walaupun Kelantan di bawah PAS bukan PKR.  Anwar tahu PAS masih lagi bersama PR.  

Kalau ada geng-geng UG yang hari-hari memburukkan Anwar, itu mereka punya pasal sebab kita tahu golongan ini sejarahnya pun memang datang dari puak yang busuk hati tetapi berlindung di bawah jubah dan serban.   Selagi mereka tidak dapat bersama amno yang korup itu, mereka tetap akan berusaha burukkan Anwar.


Khamis, 8 Januari 2015

ANWAR KE KELANTAN WALAUPUN DIKECAM DAN DI MAKI HAMUN

DALAM diam-diam Anwar berkunjung ke Pahang dua hari lepas selepas berkunjung ke Kelantan baru-baru ini bagi melawat mangsa-mangsa banjir.  Anwar bukan PM, Anwar juga bukan MB tetapi Anwar adalah Ketua Pembangkang Malaysia yang kehadirannya tentunya banyak memberi makna kepada mangsa-mangsa banjir.

Kecuh satu dunia kononnya Anwar sengaja tidak mahu turun menemui mangsa-mangsa banjir sebaliknya berseronok bercuti di luar negara.  Sedangkan semua tahu, semenjak bila tiap kali banjir di mana-mana negeri Anwar pasti turun?  Tidak pernah.  Kali ini mereka bertanya.  Peliknya, sewaktu Anwar tidak menjadi musuh mereka, tidak hairan pun jika Anwar tidak turun menemui mangsa-mangsa banjir kerana mereka faham peranan Anwar di dalam membantu mereka walaupun tidak turun ke bawah.  Apa yang penting waktu itu, apa peranan Anwar dan apa yang parti buat untuk membantu mereka.

Berbeza kali ini, sebelum banjir mereka kutuk dan hina Anwar dengan berbagai kata nista dan cemuhan.  Bukan saja musuh yang dikenali, bahkan penyokong sendiri pun tidak kurangnya menghina Anwar.  Bagi mereka Anwar tidak lagi berguna dan ada yang mahu Anwar masuk penjara selepas ini.  Betapa busuknya hati mereka apabila kehendak dan keinginan mereka gagal dicapai dan Anwar mereka anggap penghalang cita-cita mereka.  Maka, Anwar saban hari mereka hina.  PR akan tetap utuh tanpa Anwar, kata mereka.

Peliknya, berlaku bencana banjir besar di Pantai Timur terutamanya di lubuk puak-puak ini.  Siapa yang mereka sebut?  Anwar.  Di mana Anwar, jerit mereka.  Meskipun diuji dengan bencana besar yang boleh dikatakan hampir menenggelamkan negeri mereka, sedikitpun mereka tidak insaf.  Mereka masih mahu memperlekehkan Anwar.  Mereka bukan mahu sangat Anwar turun ke negeri mereka untuk memberi apa jua bantuan, tetapi mereka hanya bertanya di mana Anwar adalah kerana ingin memburukkan nama Anwar agar semua tahu Anwar insan yang tidak berguna.  Anwar tidak pedulikan rakyat.  Itu yang mereka mahu canangkan walaupun di dalam keadaan rumah mereka pun hampir tenggelam di dalam banjir.

Anwar akhirnya turun juga walaupun semua tahu di dalam keadaan Anwar bukan seperti zaman beliau menjadi TPM yang boleh meredah air, bukit bukau dan lumpur paya.  Anwar sekarang mahu menaiki dan menuruni tangga pun tidak segagah dulu.  Tapi Anwar turun juga kerana dia tahu tidak semua orang membencinya.  Dia tahu masih ramai yang mahu bersamanya dan ingin melihatnya.  Kelantan menjadi negeri pertama yang dikunjungi Anwar selepas beliau kembali dari luar negara.  Kelantan satu-satunya negeri paling teruk dilanda banjir. Alhamdulillah, Anwar disambut oleh Husam Musa dan beliau turut berkesempatan bertemu Tok guru Nik aziz, mantan MB Kelantan yang juga idolanya sejak muda.  Tanpa disambut oleh MB Kelantan atau Timbalan MB mahupun para Exco Kelantan, Anwar terus bertemu mangsa-mangsa banjir dan diberikan taklimat oleh Panglima Tentera 8 Briged.  

Sebelum Anwar tiba ke Kelantan, Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor telah berbincang dengan MB Selangor. YAB Azmin Ali agar Kelantan dibantu dari segi kewangan.  Kerajaan Selangor telah meluluskan RM 1 Juta kepada Kelantan dan RM 100 Ribu kepada negeri-negeri lain yang dilanda musibah banjir kali ini.  Anwar juga telah mendesak agar Kerajaan Pusat segera memberikan bantuan kepada negeri-negeri terlibat.  Itu lah peranan Anwar biar apa pun mereka gelar Anwar.  Anwar bukan tidak biasa dihina malahan pernah dizalimi lebih hebat dari itu.  Dihina oleh musuh politik itu biasa.  Dihina oleh rakan politik juga menjadi pengalaman buat pejuang ini.  Sedikit pun imej Anwar tidak terjejas, sebaliknya kumpulan yang menghina beliau kini nampak semakin terhina dan terpinggir.

Aku tidak pernah bersedih bila Anwar dikecam dan dizalimi musuh politiknya sejak berpuluh tahun.  Malahan aku menjadi bertambah semangat dan geram untuk melawan rejim bangsat itu.  Namun, sedikit terguris dan sedih bila melihat Anwar dihina dan dikecam oleh rakan-rakan sendiri.  Mereka anggap Anwar sedikit pun tidak berjasa ke atas perjuangan mereka.  Maklumlah mereka golongan mulia dan terpilih untuk ke syurga, Anwar siapa?  Alhamdulillah, semangat aku tidak pernah luntur untuk bersama Anwar kerana aku tahu tidak majoriti di dalam puak itu yang benci kepada Anwar melainkan mereka yang masih ada perasaan kasih sayang dan cinta kepada Umno.

InsyaAllah, aku akan menulis pula tentang kunjungan Anwar ke Pahang dan apa hikmahnya selepas ini.

Isnin, 5 Januari 2015

CIRI-CIRI KEPIMPINAN HUSAM MUSA TERSERLAH

JIKA MB Kelantan mahu ditukar, tiada tokoh lain yang berwibawa selain dari YB Husam Musa, Adun Salor. Husam, pemegang ijazah ekonomi Universiti Malaya dilihat mampu membangunkan Kelantan.
 
 
Musibah banjir besar di Kelantan baru-baru ini membuktikan Husam Musa mampu mengalas amanah sebagai MB sekiranya diberikan peluang. Husam menunjukkan beliau berwawasan dan tidak hilang punca menghadapi malapetaka. Penampilan peribadi yang bersahaja, tidak memakai baju Melayu untuk mengharung banjir dan berusaha mendapatkan Helikopter untuk memecah kebuntuan mencari mangsa-mangsa banjir yang memerlukan pertolongan, Husam dilihat mempunyai inisiatif yang tinggi. 
 

Beliau juga tidak segan silu mengadu permasalahan rakyat kepada rakan sekutu di dalam PR, di mana beliau menulis surat memohon bantuan dari Kerajaan Negeri Selangor. Meskipun jika Husam tidak mengutus surat atau berhubung dengan Azmin selaku MB Selangor, Kerajaan Selangor tetap juga akan membantu atas dasar kemanusiaan. Namun, inisiatif Husam itu jelas menunjukkan beliau peka dan sensitif dengan apa yang sedang terjadi di Kelantan. Beliau tidak habiskan masanya mengarang puisi atau madah serta tazkirah di saat rakyat Kelantan menyabung nyawa.

Husam telah memberi amaran 27 Dun PAS yang terlibat banjir seboleh-bolehnya jangan ‘hanyut’ dalam arus bantuan pemulihan BN. Husam ada bacaan politiknya tentang Kelantan dan beliau sedar negeri Serambi Mekah itu bukan sahaja diancam dengan banjir tetapi terancam dengan muslihat Umno. Lagu 'Kerajaan Perpaduan atau Campuran' kini mula dilagukan di Kelantan disaat rakyat kehilangan hartabenda malahan terdapat nyawa yang melayang dengan bencana ini. Umpama sifakir miskin yang sedang lapar diumpan dengan makanan yang lazat-lazat.

Apakah tidak terlambat untuk melakukan sesuatu di Kelantan?

Ahad, 4 Januari 2015

MUSIBAH BANJIR - AZMIN TAMPILKAN WAJAH PR

AZMIN, selaku MB Selangor setakat ini telah berjaya menanamkan sedikit keyakinan rakyat kepada kepimpinannya.  Anak didik Anwar Ibrahim ini sedikit sebanyak telah berjaya mengimplimentasikan cita-cita Ketua Umum PKR itu yang mahukan kekayaan Selangor dikembalikan kepada rakyat, bahkan boleh juga dinikmati bersama oleh rakyat di luar Selangor disaat-saat mereka memerlukan.
 
 

Musibah banjir baru-baru ini yang melanda di beberapa negeri khususnya di Pantai Timur dan kini merebak ke Selatan, termasuk Malaysia Timur telah memberi kesempatan kepada kepimpinan Azmin di Selangor untuk membuktikan bahawa PR mampu merentasi sempadan politik sempit.  Kerajaan Negeri Selangor telah menyalurkan peruntukan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan berjumlah RM 1 Juta, manakala lain-lain negeri seperti Pahang, Terengganu dan Perak masing-masing mendapat RM 100 Ribu.  Hanya Kelantan yang dikuasai oleh PAS, manakala lain-lain negeri kesemuanya di bawah Umno/Bn, namun tidak tertinggal untuk mendapat manafaat dari kemurahan hati Kerajaan Negeri Selangor.
 
 

Ada yang berpendapat adakah bijak Azmin menyalurkan peruntukan tersebut kepada negeri-negeri di bawah Umno/Bn sedangkan mereka mempunyai 'ibu-bapa' di Pusat yang lebih kaya raya?  Sebenarnya jumlah wang itu tidak penting tetapi apa yang tersirat di sebalik bantuan yang diberikan.  Kita ingin memberikan contoh kepada pihak musuh politik kita bahawa tidak selama-lamanya kita mesti berfikiran kolot dan sempit.  Politik lebih dinamik dan sihat mesti dimulakan apatah lagi apabila melibatkan isu keselamatan rakyat.  Konsep PR yang ingin melahirkan kerajaan yang berkebajikan harus ditampilkan dan Selangor serta Pulau Pinang telah memainkan peranan itu.  
 
 
Apakah tindakan Selangor itu bererti wujud 'UG' di antara PKR dan Umno/Bn?  Jauh sekali.  PKR bukan parti yang berahi sangat untuk bersama rejim.  Kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dengan beberapa negeri di bawah Umno itu tidak lain dan tidak bukan adalah kerana demi rakyat.  Itulah yang PR mahu Umno/Bn turut lakukan.  Kita bukan mahu Umno/Bn ber'UG' dengan kita, tetapi kita mahu mereka membantu dan berganding bahu demi rakyat.  Bezanya dengan "UG' adalah objektif UG hanyalah kepentingan politik dan kuasa iaitu bergabung untuk mewujudkan kerajaan bersama atas berbagai alasan yang diberikan termasuklah kononnya untuk kepentingan Melayu Islam.
 
Kerajaan Selangor tidak ber'UG' dengan Umno/Bn.  Kerajaan negeri di bawah Azmin Ali cuba merealisasikan Konsensus Nasional walaupun setakat ini hanya bertepuk sebelah tangan.  Konsensus Nasional (KN) bukan berpaksikan kerajaan camporan atau gabungan PKR/Umno, tetapi merentasi sempadan politik dengan terus berbuat kebajikan kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik.  PKR tetap PKR dan PKR komited dengan PR.  Umno tetap Umno dan ianya terus bersama BN dan parti ini tetap musuh nombor wahid kita di dalam politik.  Apakah kerana mereka musuh politik, maka kita mesti menghukum rakyat keseluruhannya?  PR mesti membela nasib rakyat tanpa mengira siapa mereka.
 
Nampaknya usaha MB Selangor sekarang ini berjaya meningkatkan imej PR di mata rakyat.  Begitu juga Kerajaan Negeri P.Pinang.  Kepimpinan DAP di P.Pinang sedikit pun tidak terguris dengan berbagai gelaran yang diberikan oleh beberapa pihak.  Isu Hudud bukan ada kaitan dengan DAP untuk tidak membantu Kelantan yang dilanda musibah. DAP ada pendirian, begitu juga PAS ada prinsipnya yang tersendiri.  Namun DAP tidak melihat isu tersebut untuk melupakan dasar PR iaitu rakyat mesti dibela dan dibantu.  
 
Azmin juga tidak lagi melayani karenah beberapa pihak yang kelihatan seperti ingin menjejaskan tumpuannya terhadap negeri Selangor.  Isu apa pun mesti ditangani berasingan, tetapi tugas dan tangungjawab yang diamanahkan mesti dipikul tanpa alasan.   Mereka ada sebab untuk mengkritik Azmin, tetapi Azmin juga ada sebab untuk meneruskan kerjanya.  

Semoga rakyat akan dapat menilai bahawa PR sebenarnya mampu mentadbir negara ini jauih lebih baik dari Umno/Bn.  Kita telah buktikan.