RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 23 Januari 2018

KEADILAN TIDAK BERSEDIA UNTUK TAWAN PAHANG BERSENDIRIAN SEBALIKNYA KAMI BERSAMA PAKATAN HARAPAN



BARU-BARU ini saya membaca kenyataan pemimpin Pas Pahang yang menyebut bahawa parti suci itu akan menawan Pahang, dan sudah tentunya akan melaksanakan hudud atau paling kurang RUU Akta 355 di Pahang bagi membuktikan itulah pemerintahan Islam di seluruh negeri ini termasuk di puncak Genting Highland.

Tahniah, itulah dia parti politik yang mesti ada cita-cita kalaupun tidak angan-angan. Hadi Awang ada cita-cita mahu menjadi PM dengan 40 Kerusi Parlimen dan Nik Amar pula beriman bahawa tanpa Kerusi sekalipun kalau Allah mahu Pas memerintah, siapa boleh halang? Janji mengandung dulu. Begitu jugalah dengan Rosli Jabar, PJ Pas Pahang yang juga tidak mahu ketinggalan untuk berangan-angan menawan Pahang. Tidak salah berangan-angan, tidak jatuh kapir walaupun orang lihat kelakar.

Saya selaku orang Keadilan tidak berani berangan-angan begitu. Keadilan ada cermin dan kami selalu melihat batang tubuh kami dicermin. Kami suka berpakaian dengan saiz pakaian yang secucuk dengan kami. Keadilan tidak mampu bahkan mustahil untuk memerintah Pahang kalau hanya bersendirian. Di dalam sejarah Parti Keadilan, kami tidak pernah bertanding bersendirian. Kami juga tidak pernah mentadbir mana-mana negeri bersendirian.

Pahang adalah salah satu negeri yang diamanah kepada Keadilan sebagai pemimpin sekiranya Pakatan Harapan berjaya menumbangkan rejim Umno/Bn serta sekutunya Pas di Pahang. Ini bermakna, pemimpin dari Keadilan hanya dipilih sebagai MB Pahang tetapi yang mentadbir negeri ini nanti, InsyaAllah, adalah kerajaan Pakatan Harapan. Agihan Kerusi di Pahang boleh dikatakan hampir selesai, saya difahamkan hanya sekitar satu atau dua Kerusi sahaja yang sedang dalam pertimbangan parti manakah di antara kami dalam Pakatan Harapan yang memiliki senjata ampuh untuk menumbangkan calon Umno/Bn dan sekutunya Pas. Setiap satu Kerusi di seluruh negeri ini adalah 'mutiara' bagi kami.

Siapa calon MB dari Pakatan Harapan jika Allah izinkan kami merampas negeri Tok Gajah ini? Kami telah ada calonnya. Mentadbir dan mengurus negeri sebesar Pahang ini bukan semudah mengurus pondok pengajian. Terpulanglah kepada kepimpinan Pakatan Harapan Pahang samada untuk mengumumkan calon MB Pahang pada Konvensyen Pakatan Harapan Pahang pada Sabtu (27 Januari 2018) ini nanti. Manifesto Pakatan Harapan Negeri Pahang juga telah siap dan bila-bila masa sahaja akan diumumkan.

Apa yang pasti, seluruh peringkat rakyat Negeri Pahang akan menikmati kesejahteraan daripada manifesto yang kami tawarkan. Golongan petani, nelayan, warga felda, kakitangan awam, pesara tentera dan polis, orang Asal, penghuni di bandar dan luar bandar, semua golongan yang menjadi rakyat negeri ini tetap menjadi keutamaan kami. Kami tidak suka berangan-angan tetapi kami selalu impikan Pahang menjadi sekurang-kurangnya seperti negeri Selangor sekarang. Kalau Pas Pahang mahu menjadikan Kelantan sebagai model negeri yang mahu diikutinya, kami tawarkan model Selangor sebagai alternatif kepada rakyat Pahang.

Sesiapa yang pernah hadir menyaksikan persidangan Dun Negeri Pahang, sudah pasti dapat melihat prestasi kesemua Wakil-Wakil Rakyat kami berhujah dan memberikan pandangan di dalam Dun. Pendek kata, kami tidak menjadi 'pasu bunga' atau hanya 'berkecuali' sahaja apabila Dun menyentuh isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negeri.

Semua tahu, Pahang adalah negeri tertinggi memiliki hutang dengan kerajaan Pusat. Hutang negeri Kelantan pun tidak jauh bezanya dengan Pahang walaupun dikatakan Ulamak yang memimpin. Namun, Selangor dan P.Pinang adalah dua negeri Pakatan Harapan yang berada di kedudukan tertinggi negeri paling kurang berhutang walaupun tidak dipimpin oleh Ulamak. Pakatan Harapan Pahang mahu menjadikan kedua-dua negeri ini contoh terbaik sekiranya kami berjaya membentuk kerajaan negeri.

Kami yakin, Pakatan Harapan mampu memerintah negeri ini kerana sudah terlalu lama rakyat Pahang menderita angkara pentadbiran negeri yang lemah ditambah pula dengan tekanan dari kerajaan Pusat yang mengenakan Cukai GST yang menyenakkan perut rakyat Pahang. Pahang negeri terbesar di Semenanjung, kaya dengan hasil laut dan bumi, maka sewajarnya rakyat Pahang boleh menikmati kesejahteraan dan keselesaan melebihi dari rakyat Selangor.

Sehubungan itu, kami menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini agar memilih Pakatan Harapan untuk mentadbir Pahang selepas PRU14 akan datang. Cukuplah tempuh yang kita berikan kepada Umno/Bn untuk menerajui negeri ini. Tidak sanggup lagi rasanya kita melihat satu persatu yang mereka lakukan bermula dengan Lynas, Bauksit dan kini terbinanya 'Tembuk Besar China" di bumi Tok Gajah tercinta ini.