RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 21 November 2014

SOKONG AZIZAH BUKAN SATU ARAHAN?

BENARKAH Surat Akuan Sumpah yang ditandatangani oleh 13 Adun dari PKR untuk menyokong Wan Azizah sebagai MB Selangor dulu merupakan satu "arahan' dari parti?  Apakah juga Akuan Sumpah dari 15 Adun DAP untuk menyokong Wan Azizah juga merupakan satu 'arahan' dari DAP?  Manakala dua lagi Adun dari PAS yang turut sama menyokong Azizah hanyalah secara sekarela?

Aku timbulkan isu ini kerana ada dakwaan bahawa beberapa Adun telah melanggar "arahan" parti apabila menarik balik Akuan Sumpah kepada Azizah dan menyokong Azmin.  Aku dari awal lagi yakin apa yang berlaku adalah Mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR sendiri buat keputusan untuk hanya mencalonkan Azizah sebagai MB Selangor.  Di dalam mesyuarat tersebut, Azmin juga turut hadir dan mungkin lebih faham samada pencalonan Azizah itu dibuat secara "paksa" dan sokongan juga di"paksa" kepada semua Adun PKR.  Ertikata lain, semua yang hadir di dalam mesyuarat berkenaan tentu tahu samada menyokong Azizah itu merupakan satu arahan parti atau sekadar parti membuat keputusan mencalonkan beliau tanpa mengarahkan mana-mana Adun untuk menyokong atau tidak.

Tentu Minit Mesyuarat ada rekod samada ianya merupakan satu arahan atau tidak.  Aku lebih berpegang kepada pendapat bahawa 13 Adun PKR itu menyokong Azizah dan menandatangani Aku Sumpah itu atas dasar bersetuju dan bersolidariti dengan pencalonan oleh parti.  Mereka hanya mahu tunjukkan bahawa PKR termasuk semua Adun sebulat suara menyokong Azizah, iaitu Presiden mereka untuk menjadi MB Selangor.  Ertikata lain, aku percaya tiada arahan resmi dari parti untuk menyokong Azizah.

Tentang sokongan kesemua Adun DAP juga begitu di mana aku yakin tiada arahan resmi dari PR agar kesemua Adun PR mesti menyokong Azizah dan menandatangani Akuan Sumpah.  Apa yang terjadi adalah sokongan jitu atas dasar bekerjasama untuk memberikan sokongan.  Sebab itu lah PAS waktu itu masih tidak membuat sebarang keputusan kerana tiada arahan resmi dari PR untuk menyokong Azizah.  Dua Adun PAS yang menyokong Azizah dan menandatangani Akuan Sumpah itu hanya bertindak secara peribadi sejajar dengan konsep Tahalluf Siyasi yang diperjuangkan oleh PAS iaitu mengutamakan rakan sendiri dari calon Bebas.

Jika tidak berlaku arahan, maka tidak benarlah dakwaan bahawa Dr Xavier dan beberapa Adun itu telah melanggar arahan, jika benar cerita itu.  Khabarnya ada lima Adun yang beralih sokongan kepada Azmin, tetapi setakat hari ini aku hanya dapat melihat satu bukti berkaitan Dr Xavier.  Bukti yang ditunjukkan dan kini hangat dibahaskan di dalam FB dan blog adalah surat yang kononnya ditandatangani oleh Dr Xavier itu, betul atau palsu?  Terdapat bukti yang dipamirkan di media sosial bahawa adanya keraguan terhadap tandatangan Dr Xavier.  
 
Dua tandatangan yang berbeza

Aku tidak mahu ulas mana satu tandatangan Dr Xavier yang betul dan palsu.  Aku cuma ingin katakan andainya memang benar Dr Xavier dan beberapa Adun PKR itu mengalih sokongan dari Azizah kepada Azmin, adakah itu melanggar arahan parti?  Jika tiada arahan ertinya Dr Xavier dan beberapa Adun itu tidak bersalah.  

Oleh itu, sebelum pergi lebih jauh, kena buktikan dulu bahawa terdapat "arahan" sokong Azizah samada secara bertulis mahupun di dalam Minit Mesyuarat.  Jika benar ada, maka wajarlah tindakan diambil kepada yang melanggar asrahan parti walaupun aku tidak setuju dengan kaedah paksaan untuk menyokong seseorang.  Harap-harap tidak begitu.

Selasa, 18 November 2014

BERI PELUANG KEPADA AZMIN, TIDAK PERLU PANDANG NEGATIF

SEJAK awal lagi aku pernah sebut, aku bukanlah penyokong tegar Azmin Ali terutamanya sewaktu di dalam pemilihan parti baru-baru ini.  Sudah menjadi amalan biasa, setiap kali ada pemilihan tentulah calon-calon yang bertanding akan mempunyai penyokong masing-masing dan aku percaya jika Anwar bertanding sebagai Presiden pun satu hari nanti, pasti ada ahli-ahli yang menyokong calon lain selain dari Anwar.

Azmin berjaya mendapat mandat parti
 Apabila pemilihan di dalam parti selesai meskipun terdapat beberapa isu yang masih belum selesai terutamanya berkaitan beberapa laporan terhadap calon-calon yang bertanding, parti setakat ini mengiktiraf Azmin adalah pemenang jawatan Timbalan Presiden, manakala TSKI pula dipecat atas sebab disiplin yang beliau sendiri gagal membela dirinya.  Kita jangan lupa, aduan yang dikemukakan kepada JPP dan Jawatankuasa Displin parti bukan saja terhadap Azmin, tetapi terdapat juga aduan terhadap TSKI.  Soal pemilihan ini pun aku telah tulis sebelum ini bahawa JPP dan Jawatankuasa wajib menyiasatnya secara adil dan berani dan umumkan secara terbuka hasil siasatan samada ada kes atau tidak.  Selagi tidak diumum, selagi itulah persepsi tetap bermain dan ini menjejaskan imej parti.


Begitu juga, apabila parti mencalonkan Azizah, Presiden PKR sebagai calon MB Selangor dan turut disokong oleh rakan kita DAP, maka sebagai ahli aku rasa wajar beri sokongan kepada calon pilihan parti bukan calon pilihan Anwar.  Sepanjang tempoh krisis MB Selangor, tentunya sebagai ahli kita komited untuk menentukan Azizah diterima sebagai MB Selangor.  Kita sokong Azizah bukan kerana Anwar atau Azizah secara peribadi tetapi kerana itu keputusan parti.  Kita sedar tidak semua yang setuju dengan Azizah sebagai calon MB Selangor, tetapi itu keputusan parti secara konsensus.

Takdir menentukan bukan Azizah sebagai MB Selangor.  Ini di luar bidangkuasa parti.  Sikap tanggungjawab parti yang tidak terperangkap dengan percaturan untuk melagakan parti dengan pihak Istana, maka parti bertindak bijak dengan akur terhadap pilihan Tuanku.  Azizah dan Anwar serta pimpinan faham benar perangkap ini, maka parti membuat keputusan memberi mandat sepenuhnya kepada Azmin.   Tidak mungkin Anwar dan para penyokong parti akan berguling-guling di jalanraya seperti beberapa lebai di Perak dahulu sewaktu ingin mempertahankan Nizar.  Parti bertindak bijak mengalah dengan Istana kerana Azmin juga salah seorang pemimpin besar di dalam parti.  Azmin adalah Timbalan Presiden PKR dan beliau juga adalah Pengerusi PKR Negeri Selangor.  


Sekali lagi, suka atau tidak, setuju atau tidak, sebagai ahli parti aku akur dengan keputusan parti secara jemaah ini.  Bukan kehendak Azmin, bukan kehendak Anwar atau Azizah, tetapi itu kehendak parti yang berikan mandat setelah Istana mahukan Azmin sebagai MB Selangor.  Ada yang mendakwa Azmin telah melobi untuk jawatan ini, namun bagi aku tidak perlu kita memperlekehkan kuasa Tuanku.  Jika Tuanku tidak terima Azmin, lobi lah sekuat mana pun.  Jika benar Azmin punyai kuasa atau pengaruh besar untuk melobi, aku rasa selepas PRU 13 yang lalu TSKI bukan lagi MB Selangor.  Lojiknya tentulah Azmin.  Terdapat juga cerita bahawa lebih kurang 5 Adun yang menyokong Azizah awalnya telah mengubah sokongan terhadap Azmin dan ini menyebabkan Tuanku memilih Azmin.  Namun cerita tinggal cerita.  Setakat ini tiada seorang pun boleh membuktikannya dan Tuanku juga tidak pernah menyatakan sedemikian.  



Azmin kini adalah MB Selangor.  Samada dia mampu setanding dengan TSKI atau lebih dari beliau, biarlah masa menentukannya.  Rakyat Selangor sebenarnya tidak memilih siapa MB Selangor atau dari parti mana asalkan rakyat terbela di Selangor.  Jika Azmin gagal memenuhi impian mereka, bukan bererti itu hanya kegagalan Azmin seorang tetapi itu adalah juga kegagalan parti.  Jika Azmin berjaya menarik perhatian dan sokongan rakyat Selangor, itu juga akan membantu menaikkan imej parti.  Ertikata lain, selaku MB tidak boleh lari dari membawa imej parti.  Sebab itulah TSKI sering ditegur oleh Anwar sejak awal beliau menyambung tugas sebagai MB Selangor dulu.  Anwar mahu TSKI menjadi MB yang baik, komited dan berdisplin bukan sahaja sebagai pentadbir negeri tetapi juga sebagai pemimpin di dalam parti.  TSKI gagal sebagai pemimpin parti atau menjadi ahli parti yang komited.

Setakat ini, Alhamdulillah, Azmin cuba menjiwai sebagai seorang pentadbir dan ahli politik yang baik.  Maka, peluang ini harus kita berikan kepada Azmin untuk buktikan bahawa untuk menjadi MB yang baik tidak perlu kita lupakan parti kita yang menaikkan kita.  Komited terhadap tanggungjawab kepada rakyat dan negeri, komitmen juga perlu kuat kepada parti.  

Aku lihat ada banyak juga yang mempersendakan Azmin yang kerap turun ke padang merentasi sawah, belukar, longkang dan sebagainya.  Memang itu bukan tugas resmi atau tugas harian beliau sebagai MB.  Tetapi sebagai amaran atau sindiran kepada kakitangan majlis bandaran dan juga kepada Exco-Exco yang berkaitan, maka tindakan Azmin itu patut kita lihat secara positif.  Aku pun tidak setuju cara Azmin itu dikekalkan berterusan kerana ini akan menjatuhkan imej pegawai-pegawai bawahannya yang seolah-olah tidak tahu bekerja.  Azmin perlu mulakan di peringkat awal, selepas itu azmin harus memantau prestasi para Exconya dan pegawai-pegawai yang berkenaan agar terus bekerja demi rakyat.

Berilah peluang kepada Azmin untuk menunjukkan prestasinya samada Selangor boleh dibangunkan sejajar dengan dasar Pakatan Rakyat.  Jika Azmin gagal, maka gagallah parti dan lebih kita bimbang pihak Istana akan dituduh sebagai salah memilih calon.  Semoga ini tidak berlaku demi rakyat Selangor.

Isnin, 17 November 2014

HUDUD - DULU SALAHKAN UMNO, KINI TUDING JARI PADA DAP DAN PKR

GAGAL laksanakan hukum Hudud, mahu salahkan DAP dan PKR?  Bukankah suatu ketika di bawah kerajaan PAS Terengganu hukum Hudud telah diwartakan malahan katanya telahpun diperkenankan oleh Sultan Terengganu.  Waktu itu MB Terengganu bukan pemimpin PasMa kerana PasMa belum wujud lagi waktu itu.  MB Terengganu waktu itu Tuan Presiden PAS sendiri.

Mengapa Hudud gagal dilaksanakan?  Aku tahu jawapannya sebab itu aku tidak sedikit pun salahkan PAS apabila Hudud tidak dapat dilaksanakan ketika itu bahkan ketika ini pun tidak dapat dilaksanakan di Kelantan walaupun Kelantan berpuluh tahun di perintah oleh Mursyidul Am PAS sendiri.  Bukan salah Hj Hadi mahu pun Tok Guru Nik Aziz.  Kita sebenarnya tahu sebab apa tidak dapat dilaksanakan, tetapi apabila ada sedikit krisis sesama kita di dalam PR, kita alih telunjuk kita yang selama ini menuduh kerajaan Pusat yang menghalang Hukum Hudud dari dilaksanakan, kita kini menuding kepada PKR dan DAP pula.  Umno/Bn sudah tidak bersalah lagi dalam soal ini.  Lihat betapa teruknya kita berkawan.

Aku masih ingat betapa PAS di Terengganu begitu bersungguh-sungguh mahu laksanakan hukum Hudud.  Siapa yang halang waktu itu?  Bukankah pemimpin Umno waktu itu bahkan Kerajaan Pusat juga turut menyatakan Kerajaan Pusat tidak akan bekerjasama sedikit pun dengan Kerajaan PAS Terengganu jika hudud dilaksanakan.  Kita sedar, banyak jabatan dan ejensi yang ada hubungkait dengan perlaksanaan hukum Hudud ini di bawah Kerajaan Pusat.  Contohnya pihak berkuasa seperti Polis, Warden Penjara, Kehakiman dan sebagainya semua itu di bawah Kerajaan Pusat.  Mustahil Hudud dapat dilaksanakan tanpa kerjasama Kerajaan Pusat, bahkan Perlembagaan pun ada halangannya.  Tetapi, mengapa sekarang ada "Ostat" yang menjaja ke hulu ke hilir mendakwa PKR dan DAP menghalang dan menentang Hudud?

Jika benar DAP atau PKR menentang Hudud, bagaimana selepas Kerajaan PAS Terengganu hilang kuasa di negeri itu, DAP dan PKR terus bekerjasama dengan PAS?  Lojiknya DAP dan PKR akan tinggalkan PAS sebab mereka tahu PAS tetap mahu kepada Hudud hingga sekarang.  Tetapi tidak berlaku demikian.  Jika ada seorang dua pimpinan di dalam DAP atau PAS yang memberi ulasan tentang Hudud seolah-olah menggambarkan menentang Hudud, itu bukan suara mutlak atau keputusan mutlak PKR dan DAP.  Jika DAP tolak Hudud sekalipun, DAP tidak pernah menentang secara keras bila PAS di Terengganu atau Kelantan ingin laksanakannya.  Mereka yang secara jelas gunakan kuasa dan undang-undang untuk menghalang Hudud itu adalah rejim Umno/Bn sekarang, bukan DAP atau PKR.  

Anwar pernah ulas tentang Hudud.  Anwar memang ada sebut Hudud bukan ajenda utama di dalam PR.  Manifesto PR yang dipersetujui tidak pernah letak Hudud sebagai agenda utama dan manifesto ini turut ditandatangani oleh Presiden PAS.  Adakah ini bererti Presiden PAS juga terlibat menentang Hudud?  Apa yang Anwar sebut, bukan waktu ini Hudud sesuai dilaksanakan selagi sistem kehakiman negara yang penuh dengan ketidakadilan, amalan rasuah yang berleluasa dan kehidupan rakyat yang masih tertekan.  Bahkan lebih penting, Putarajaya bukan milik PR maka sukar buat kita mahu sampaikan penerangan berkaitan Hudud ini kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.  Sebab itu, Anwar tidak pernah halang usaha Kerajaan PAS Kelantan sekarang bekerjasama dengan Kerajaan Pusat di dalam melengkapkan beberapa perkara untuk merealisasikan Hudud di Kelantan.  Ertinya, Hudud perlu kepada kajian dan persedian yang rapi sebelum dilaksanakan.  

Malangnya, bila PAS gagal laksanakan Hudud atas sebab-sebab yang mereka sendiri tahu, terdapat beberapa pimpinan mereka yang menuding jari kepada DAP dan PKR atas kegagalan itu.  Di mana konsisten kita terhadap musuh yang kita kenali selama ini?  Apakah kemelut yang berlaku akhir-akhir ini di atara PKR, DAP dan PAS telah membutakan mata kita terhadap kezaliman musuh selama ini?