RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 11 Januari 2014

PEMILIHAN KEADILAN - JIKA ANWAR TIDAK BERTANDING PRESIDEN, AZMIN BAKAL LAWAN DS WAN AZIZAH?

PEMILIHAN pimpinan di dalam KEADILAN sudah tidak beberapa lagi iaitu dijangka selesai keseluruhannya di dalam bulan Mei tahun ini.  Pemilihan Cabang kali ini dilakukan serentak dengan pemilihan di peringkat Pusat yang dijangka bermula bulan depan.

Dato' Sri Anwar Ibrahim - Akan menjadi Presiden?
Datin Sri Wan Azizah - Bakal bersara dari politik atau terpaksa berdepan dengan Azmin?
Aku tidak menjangkakan persaingan sengit di banyak tempat di Cabang-Cabang, namun di peringkat Pusat kali ini menjadi tumpuan adalah di Kerusi Presiden, Timbalan, Ketua AMK dan Ketua Wanita.  Kerusi Presiden kini disandang oleh DS Wan Azizah, kemungkinan akan ditandingi seandainya DS Anwar Ibrahim tidak tampil mengambil jawatan tersebut dari isterinya.  Adakah DS Anwar Ibrahim bersedia untuk berada di Kerusi Presiden dan melupuskan terus jawatan Ketua Umum yang tidak dipertandingkan sejak dulu?

Azmin Ali - Sudah hampir pasti akan ditentang
DS Anwar Ibrahim dulu memilih untuk berada di jawatan Ketua Umum adalah bersifat strategik dan muslihat untuk kepentingan parti.  Waktu itu beliau berdepan dengan berbagai fitnah dan menghadapi banyak kes mahkamah yang memungkin beliau terpenjara sekali lagi.  Justeru itu, beliau tidak mahu parti kehilangan Presiden sekiranya beliau berada di Kerusi tersebut.  Itu andaian ramai orang dan ianya memang lojik.  Semua tahu, sekarang pun DS Anwar masih tidak bebas dari fitnah dan masih berdepan dengan risiko dipenjarakan.  Maklumlah, rejim tidak akan boleh tidor lena selagi DS Anwar bersama dengan rakyat.

Zuraida Kamarudin - Bakal ditentang?
Adakah DS Anwar telah bersedia untuk berada di Kerusi Presiden walaupun beliau tahu risiko yang bakal dihadapi oleh parti seandainya beliau terpenjara sekali lagi?  Jika DS Anwar bertanding di Kerusi Presiden dan isterinya DS Wan Azizah bersara dari politik, aku yakin tiada sesiapa akan bertanding merebut Kerusi tersebut.  Jika ada pun, tokoh itu sebenarnya ingin 'membunuh diri".

Tetapi jika berlaku sebaliknya, DS Anwar masih ingin kekal di Jawatan Ketua Umum sehinggalah semua kesnya selesai, maka tentulah DS Wan Azizah akan terus mempertahankan Kerusi tersebut.  Jika ini terjadi, percayalah DS Wan Azizah akan ditentang oleh seorang tokoh yang selama ini sering menyebut dan menggalakkan DS Anwar menjadi Presiden.  

Kerusi Timbalan Presiden di dalam keadaan bagaimana pun hampir pasti akan ditandingi.  Timbalan Presiden kini dipegang oleh Azmin Ali.  Samada Azmin berhajat untuk naik ke puncak iaitu bertanding jawatan Presiden sekiranya DS Anwar menjadi Ketua Umum, pastinya beliau akan berdepan dengan DS Wan Azizah.  Adakah Azmin Ali cukup kuat untuk berdepan dengan DS Wan Azizah?  Pada pandangan aku merupakan satu kesilapan politik yang besar oleh Azmin jika beliau ingin mencabar DS Wan Azizah.  Bukan aku bermaksud DS Wan Azizah itu sehebat DS Anwar, tetapi keadaan Azmin itu sendiri yang menyukarkan beliau untuk berdepan dengan DS Wan Azizah.  Bukan kerana pengaruh DS Anwar akan membantu DS Wan Azizah, tetapi beberapa isu yang timbul sebelum pilihanraya dan sewaktu pilihanraya malahan selepas pilihanraya yang menampakkan Azmin semakin kurang mendapat sokongan khususnya di peringkat akar umbi.

Andainya Azmin belum bersedia untuk menentang DS Wan Azizah, jawatan beliau sekarang pun tetap akan ditandingi.  Kesemuanya adalah kerana ramai yang ingin melihat tokoh lain yang lebih diyakini dan dihormati dan tidak ramai musuh serta dihormati oleh rakan-rakan dari PAS dan DAP untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden.  Camportangan Azmin di dalam beberapa tindakannya mencatur calon-calon di beberapa kawasan sebelum PRU 13 yang lalu banyak mengguris perasaan ahli. Selaku Pengarah JPRP, beliau terlebih di dalam menggunakan kuasanya.  Isu di Selangor termasuk isu perlantikan MB, isu kenaikan elaun MB dan Adun yang mana beliau mengkritik Tan Sri Khalid Ibrahim di belakang, nama Azmin agak terjejas walaupun beliau mempunyai sokongan yang agak kuat di beberapa Cabang di Selangor tetapi beliau harus ingat undian untuk jawatan Timbalan Presiden bukan datang dari Selangor sahaja.

Siapa pula tokoh yang mahu diangkat untuk menentang Azmin?   Dan, siapa pula yang akan bertanding jawatan Ketua AMK yang bakal dikosongkan oleh Sdr Shamsul Iskandar?  Apabila Azmin bakal ditentang, sudah semestinya Ketua Wanita sekarang iaitu orang kuat beliau Puan Zuraida Kamaruddin juga bakal ditentang.  Apakah Sdr Rafizi yang amat menyerlah ketika ini akan berada di dalam Saf kepimpinan KEADILAN di peringkat tertinggi?  Apakah politik Sdr Saifuddin Nasution berahir atau beliau akan terus berada di persada kepimpinan KEADILAN?

Aku akan ulas di dalam penulisan akan datang.  Waktu ini, masa aku tumpukan untuk "BUGHAH".  Kahkahkah....
 

Jumaat, 10 Januari 2014

SULTAN PERLU TEGUR JAIS KERANA TIDAK HORMATI KERAJAAN PILIHAN RAKYAT SELANGOR

KALAULAH Jamil Khir tak bagitahu kita pun, memang kita taat kepada Sultan selagi Sultan itu taat kepada Allah dan Rasul.  Jadi, tak perlulah Jamil Khir melalak tidak tentu pasal kerana tidak timbul soal tidak taat kepada Sultan.  Jamil Khir sebut soal taat kepada Sultan adalah berkaitan dengan isu Kalimah Allah di Selangor.

Kisahnya JAIS rampas kitab Bible berbahasa Melayu kepunyaan penganut-penganut Kristian.  Kisahnya juga JAIS buat serbuan tanpa berbincang bahkan tanpa maklum pun kepada Kerajaan Negeri Selangor.  Mengapa Jamil Khir tidak sebut bahawa setiap Jabatan yang berada di bawah kerajaan negeri mestilah ada hubungan baik serta saling bekerjasama?  Bolehkah Jamil Khir terima jika ada Jabatan atau Kementerian di bawah Kerajaan Pusat berbuat sesuatu tindakan, tambahan pula tindakan itu sensitif tanpa pengetahuan Kerajaan Pusat?  Tentu tidak masuk akal, bukan?

Jangan persoal tentang kitab Bible itu menyalahi undang-undang atau hukum Islam kerana berbahasa Melayu dan mempunyai Kalimah Allah di dalamnya, kita persoalkan tindakan JAIS yang seolah-olah mensabotaj Kerajaan Negeri.  Jika mahu bicara sangat tentang undang-undang, nanti orang akan tanya siapa yang luluskan penerbitan kitab tersebut?  Bukankah ada cop kelulusan KDN pada kitab berkenaan?  Siapa Menteri di KDN?  Menteri dari PAS, PKR atau DAP?  Ada pula nanti orang bertanya, mengapa Najib boleh benarkan kitab tersebut atau Kalimah Allah digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak?  Semenjak bila hukum halal atau haram itu berbeza mengikut negeri?  

Justeru itu, jangan kaitkan Sultan.  Memang Sultan itu Ketua Agama Islam dan sememangnya beliau patut dimaklumkan oleh JAIS sebelum tindakan serbuan dibuat, begitu juga sepatutnya Kerajaan Negeri Selangot patut dimaklumkan.  Rakyat mesti taat kepada Sultan selaku Ketua Agama Islam, dan jangan lupa Sultan juga mesti hormati Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat.  

Rakyat memilih siapa layak mentadbir Negeri Selangor, maka hormati jugalah Kerajaan Negeri.  Sewajarnya Sultan juga tegur JAIS kerana JAIS tidak menghormati Kerajaan Negeri di bawah naungannya.


Khamis, 9 Januari 2014

KETUA AGAMA ISLAM MESTI TAAT PERINTAH AGAMA AGAR LEBIH DIHORMATI

APABILA kita dilantik menjadi Ketua di dalam apa jua organisasi, pertubuhan, persatuan mahupun kumpulan, sudah tentu kita dilihat yang terbaik dari yang lain.  Jika kita tidak sebaik mana pun, kita mesti dilihat baik jika kita bertanggungjawab sebagai seorang ketua.

Di alam persekolah Ketua Kelas atau Ketua Pengawas mesti terdiri dari murid yang baik, berdisiplin dan mempunyai kebijaksaan melebihi dari yang lain.  Ketua Kelas mestilah seorang yang taat kepada undang-undang dan peraturan sekolah, menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain di samping mempunyai tugas mencegah atau mengambil tindakan kepada murid-murid yang melanggar peraturan atau disiplin sekolah.   Jika di sekolah, merokok merupakan satu kesalahan, Ketua Kelas mahu Ketua Pengawas ini semestinya tidak merokok, melarang murid-murid lain merokok atau mengambil tindakan kepada murid-murid yang merokok dengan membuat laporan kepada guru disiplin sekolah.

Di alam tentera juga ada ketua yang dilantik.  Aku mengambil contoh perbarisan kawad.  Di dalam perbarisan kawad kaki umpamanya, akan ada seorang yang berada di hadapan sekali yang dipanggil Ketua Perbarisan.  Ketua Perbarisan mestilah seorang yang bukan saja segak tubuh badan, tetapi mempunyai disiplin yang tinggi, kemas di dalam pemakaian dan tegas.  Jika di dalam perbarisan kawad, anggota perbarisan mestilah berbaju kemas, kasut berkilat, rambut pendek dan sebagainya, maka Ketua Perbarisan mestilah terbaik dari lain-lain anggota.  Ini penting untuk beliau menegur anggota-anggota lain yang tidak berpakaian dengan kemas.

Kelantan bertuah memiliki Sultan (Ketua Agama Islam) yang boleh dijadikan ikutan oleh umat Islam di Kelantan
Di negara kita ada Raja-Raja atau Sultan adalah Ketua Agama Islam.  Ertinya, Ketua Agama mestilah orang yang taat kepada ajaran Islam.  Meskipun di dalam hal ehwal pentadbiran atau hukum-hakam Islam dilaksanakan oleh Jabatan Agama atau Majlis Agama mahupun Mufti, namun jawatan Ketua Agama Islam itu mestilah dipelihara dengan baik.  Sekiranya hukum Islam mengharamkan judi atau arak, Ketua Agama bukan sahaja menentukan dirinya tidak terlibat di dalam berjudi mahupun minum arak, malahan mesti menegur atau mengambil tindakan kepada rakyat yang berugama Islam di bawah naungannya sekiranya mereka meminum arak.  Tentulah tidak lojik sekiranya Ketua Agama Islam itu sendiri meminum arak, berjudi atau terlibat dengan aktiviti maksiat.

Sekiranya semua pihak boleh berperanan dengan sewajarnya dan bertanggungjawab dengan jawatan yang disandang, sudah tentu kedudukan mereka akan dipandang tinggi oleh orang lain.  Sebaliknya jika mereka sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik, tidak hairanlah kedudukan mereka sentiasa diperlekehkan. 

Rabu, 8 Januari 2014

BUGHAH - ANTARA NASIHAT, IJTIHAD DAN PENIPU

ISU "Bughah" masih hebat diperdebatkan.  Bermula dengan Harussani mendakwa peserta himpunan Dataran Merdeka pada 31 hb Dis tahun lalu yang membantah kenaikan harga barang oleh rejim pemerintah sebagai "Bunghah" atau penderhaka yang 'halal' darah mereka (boleh dibunuh), sehingga kini tidak ramai Ulamak tampil menyokong Harussani.

Seorang Ustaz yang amat dikenali kerana melibatkan diri dengan isu Mat Sabu dituduh Syiah, ustaz ini menganggap Harussani boleh berhukum dengan "Ijtihad".  Negara ini mempunyai ramai Ulamak sehingga ada Persatuan Ulamak, negara ini ada Pusat Islam, JAKIM, YADIM, Para Mufti, Ahli Majlis Fatwa di setiap negeri, tetapi hanya kerana seorang Harussani ber'ijtihad' dengan kepala otaknya sendiri berpandukan media yang cukup hebat menfitnah, maka habis seluruh kepercayaan umat Islam bahkan hilang hormat rakyat kepada golongan setaraf Harussani.

Kerana nila setitik, nama Ulamak dan para Mufti tercemar.  Bayangkan seorang Mufti boleh memberi hukum sedemikian rupa sedangkan seluruh dunia tahu rakyat berhimpun secara aman tanpa senjata itu bertujuan untuk apa.  Harussani terasa malu untuk mengaku kesilapan, maka dipertahankannya hujah "gred D" beliau itu.  Tanda rasa malu itu jelas bila beliau tidak mahu dan takut untuk berdepan dengan Dewan Pemuda PAS Perak yang ingin bertemu beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang hukum "Bughah" itu.  Berani kerana benar, takut kerana salah".  Nabi kita tidak pernah mengajar kita apatah lagi seorang bergelar Ulamak untuk takut berhujah dengan hukumnya sendiri.

Bagaimana Harussani boleh diharapkan untuk berhujah dengan orang lain yang bukan dari ugama Islam untuk mempertahankan Islam, jika dengan sesama agama pun beliau tidak berani ke hadapan?  Di negara lain, Ulamak mereka tegas dengan hujah mereka bahkan sering kita lihat Ulamak Sunni berdebat atau berhujah dengan Ulamak Syiah.  Ulamak di sana berani berdebat dan berdailog dengan Paderi-Paderi Kristian.  Malangnya, Harussani berdepan dengan Pemuda PAS sahaja sudah 'surrender".  Beliau cuma hebat di TV3 suku dan Utusan meloya sahaja.

Seorang Mufti cuba membela Harussani.  Dikatakan kononnya Harussani tidak bermaksud 'membughahkan" rakyat berhimpun, Harussani cuma beri contoh dan peringatan, katanya.  Pembelaan mufti ini menambahkan lagi cerita-cerita lucu sebelum ini.  Contoh apa yang Harussani mahu berikan ?  Peringatan apa yang Harussani mahu peringatkan?  Contoh dan peringatan ini wujud setelah kejadian berlaku?  Mengapa sebelum Himpunan beliau tidak memberi peringatan tentang ciri-ciri Bughah?  Sepatutnya dilakukan lebih awal jika ingin memberi peringatan.  Itu pun setelah perhimpunan berjalan, tiada satu pun ciri-ciri Bughah yang didapati sewaktu perhimpunan.  Tetapi mengapa Harussani terus menghukum?

Adilkah kita menuduh seseorang itu berzina sedangkan beliau tidak melakukannya, tetapi bila terdesak kita memberi alasan "aku bukan tuduh, tetapi cuma ingatkan saja", sedangkan tuduhan telah kita buat?  Umpamanya, aku melihat Harussani minum di sebuah Restoren Cina.  Aku pun memberitahu orang ramai bahawa Harussani minum arak di Restoren Cina, sedangkan Harussani hanya minum susu 'lembu".  Maka, tentulah Harussani marah dengan tuduhan tersebut kerana beliau tidak minum arak walaupun di restoren Cina.  Maka, Harussani pun buat laporan Polis bahawa aku telah menfitnahnya.  

Oleh kerana aku tahu aku salah dan takut untuk diambil tindakan atas fitnah yang aku buat, maka aku pun gunakan kepala otak aku untuk melepaskan diri.  Aku pun berkata, "Aku tak tuduh dia minum arak, aku hanya memberi ingatan sahaja bahawa jangan minum arak...".  Walhal semua orang tahu aku telah menuduhnya minum arak.  Tidakkah bangsatnya aku?

Paling bangang sekali, ada pula balaci aku yang sokong aku.  Dia pun kata aku hanya lakukan "ijtihad" bahawa minum susu 'lembu' di kedai Cina itu seperti minum arak juga hukumnya.  Amat memalukan kita memiliki Harussani yang mempunyai ilmu serendah itu.

Selasa, 7 Januari 2014

SERAH ISU KALIMAH ALLAH PADA YANG BERHAK, KITA FOKUS DEDAHKAN PENIPUAN REJIM

FOKUS Kita kini haruslah kepadma permasalahan rakyat tak kira bangsa dan ugama, iaitu kos sara hidup yang tinggi dan sifat berpoya-poya pemimpin Umno.  Isu kalimah Allah, itu urusan mereka yang arif iaitu para-para Mufti dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan termasuk juga Ketua Agama di setiap negeri iaitu Sultan untuk menanganinya.

Rakyat di bawah jangan alpa dengan mainan licik Umno untuk hilangkan fokus kita terhadap isu kenaikan harga barang sekaligus membuktikan janji-janji Najib sebelum PRU 13 yang lalu terbukti bohong dan khianat.  Himpunan TURUN ke Dataran Merdeka pada 31 hb Dis yang lalu amat memalukan mereka kerana gagal menghalang rakyat turun berhimpun walaupun propaganda jahat dan jijik telah dimainkan.  

Usaha berterusan rejim untuk menghina rakyat bukan sahaja bermula sebelum perhimpunan, malahan setelah berjayanya himpunan tersebut ada tok peti memberi "fatwa murahan" melabelkan orang ramai yang berhimpun secara aman tanpa senjata untuk membantah kenaikan harga barang itu sebagai "Bughah" atau penderhaka yang darah mereka "halal" untuk dikorbankan.  Ertinya, tidak semua tok peti cerdik atau alim dalam bab agama apatah lagi yang berkelulusan Diploma sahaja. Rujukan tok peti ini adalah dari berita-berita media berlidah syaitan dan juga dari akhbar yang entah berapa kali kena saman kerana menfitnah.  Inilah kitab muktabar buat tok peti untuk menghukum dan beliau akui sendiri kenyataannya itu adalah mengikut "kefahaman"nya sendiri.  Ertikata lain, jika otaknya label diploma dan beku pula, maka tentulah hukum yang diberikan itu menjadi bahan ketawa orang ramai.  

Kita akan terus fokus kepada isu kenaikan harga barang.  kongsikan sebanyak mungkin maklumat dan fakta berkaitan isu ini di dalam FB atau blog kita agar rakyat tidak lalai dan leka dengan isu kalimah Allah yang mereka sendiri tidak pernah menunjukkan minat dengan hukum Allah.

Kita boleh sesekali jawab isu tersebut tetapi fokus utama kita kembali kepada isu kenaikan harga barang.  Percayalah, jika kita terus fokus isu ini mereka pasti akan lebih tertekan kerana mereka amat bimbang jika isu kenaikan harga barang ini kita lagu-lagukan setiap hari, akhirnya orang-orang Melayu miskin yang melambak di dalam Umno itu akan mula merasai mereka telah tertipu dengan pemimpin mereka sendiri.

Sehubungan itu, kita teruskan usaha kita menyedarkan rakyat bahawa rejim yang ada sekarang telah dan akan terus menghisap darah mereka tidak kira darah itu "halal" atau "haram".