RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 14 Januari 2010

Pemangku Raja Kelantan terharu sokongan rakyat


Jimadie Shah Othman
Jan 14, 10


kemaskini 7.47pm Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra terharu dengan sokongan rakyat yang membanjiri lapangan terbang Kota Bharu untuk menyambut kepulangan baginda petang ini.

Menurut seorang saksi, perasaan terharu itu jelas terbayang di wajah baginda ketika mengaminkan doa.

Baginda tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 4 petang, disambut ribuan rakyat yang menunggunya sejak jam 2.30 petang lagi.

Turut menyambut baginda, Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat, timbalanhya Datuk Ahmad Yakob serta barisan exconya.

Beberapa pemimpin Umno juga turut hadir menyambut baginda.


Sebelum bertolak dari lapangan terbang yang penuh sesak itu, baginda melambaikan tangan kepada orang ramai yang hadir sambil berkata: "Terima kasih sudi mari (datang)."

Orang ramai turut melaungkan takbir serta membawa kain rentang, yang antaranya bertulis Daulat Tuanku dan Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja.

Mereka hadir bagi menunjukkan sokongan padu kepada pemangku raja itu, yang dilaporkan sedang bermasalah dengan adindanya Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry.

Perselisihan antara mereka mula mencuri tumpuan apabila Tengku Temenggong mengambil tindakan undang-undang terhadap pegawai istana yang mengeluarkan kenyataan mengenai krisis rumahtangga dengan isterinya, Manohara Odelia Pinot.

Ia semakin ketara apabila Tengku Muhammad Faris, yang memangku tugas Sultan Kelantan, membuat beberapa rombakan dalam Majlis Perajaan Negeri (MPN), termasuk menggugurkan Tengku Temenggong daripada MPN, September lalu.

Tengku Temenggong kemudiannya mencabar keputusan tersebut di mahkamah. Kes tersebut sedang berjalan.

Sementara itu, Pemuda Umno memberitahu Malaysiakini, ahli pergerakan itu turut hadir perhimpunan itu "demi penyatuan" dan taat setia kepada pemangku raja.

Selain sambutan di lapangan terbang, kerajaan negeri menganjurkan perhimpunan di stadium negeri di Kota Bharu malam ini, termasuk acara sembahyang hajat bagi mendoakan kesihatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra supaya segera sembuh.

Tengku Muhammad Faris dijadual hadir. Bernama pula melaporkan, satu memorandum turut diserahkan oleh wakil Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada pemangku raja susulan masalah dalam istana Kelantan sejak akhir-akhir ini, termasuk surat Tengku Muhammad Fakhry bertajuk 'Penyampaian Titah KDYMM Al-Sultan Kelantan' untuk melucutkan gelaran datuk terhadap beberapa tokoh yang menerima anugerah itu daripada sultan.

Susulan itu, pengelola istana Datuk Abdul Halim Hamad dilaporkan sebagai berkata, hanya Pemangku Raja berhak sepenuhnya menyampaikan titah sepanjang ketiadaan sultan yang sedang dirawat di Singapura sejak Mei tahun lepas./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan