INVOKE SOLUTION BUAT KAJIAN DI TEMPAT YANG SALAH?
Saya merujuk berita yang disiarkan di dalam Malaysiakini hari ini yang melaporkan kajian dari Invoke Solution di mana dikatakan Nurul Izzah lebih berpengaruh berbanding ayahandanya, Anwar Ibrahim. Dikatakan kajian itu dibuat terhadap 1,500 dari kalangan ahli parti dan 1,500 lagi di kalangan bukan ahli. Lebih muda yang dikaji, lebih ramai menolak Anwar Ibrahim. Itu yang diperolehi oleh Invoke Solution, lapor Malaysiakini.
Kita tidak pernah terpengaruh dengan kajian atau poll atas kertas seperti ini kerana semua tahu kajian dari banyak pihak sebelum PRU14 dahulu menyatakan Najib masih popular dan Bn tetap menang pada PRU14. Invoke juga pernah meramalkan Pas tidak akan perolehi sebarang kerusi di seluruh semenanjung pada PRU14. Seperti juga kajian IDE atau Merdeka Centre, ada kajian dari Invoke yang tepat, hampir tepat dan salah samasekali. Tidak pelik dengan kajian atas kertas seperti ini.
Apa yang peliknya, bagaimana Invoke Solution di bawah Sdr Rafizi yang baru memenangi jawatan Timbalan Presiden Keadilan boleh terfikir untuk buat kajian sokongan melibatkan sesama pimpinan partinya sendiri? Lebih teruk lagi, apa tujuan untuk melihat sokongan terhadap ayah dan anak di dalam partinya sendiri? Semua ahli Keadilan maklum bahawa Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding di dalam pemilihan parti baru-baru ini. Ertinya, Anwar dapat sokongan solid yang digambarkan melalui pemilihan parti. Bahkan, kebanyakan calon yang bertanding selalu 'menjual' nama Anwar Ibrahim dan sering berkata mereka mahu melihat Anwar menjadi PM. Tiada suara-suara di akar umbi yang menentang usaha ini. Jika Invoke Solution mahu melihat sokongan anak-anak muda, lebih wajar dibandingkan di antara Rafizi dan Nurul Izzah, siapa yang lebih anak muda sokong. Saya harap Invoke Solution boleh cuba berbuat demikian.
Pada pendapat saya, kajian yang lebih berfaedah untuk parti adalah membuat kajian atau analisa disaat negara dibelenggu dengan masalah kos sara hidup sekarang, setakat mana rakyat menyokong PH berbanding PN/Bn? Itu lebih releven, berfaedah dari 'melaga-laga'kan ayah dan anak atau sesama pimpinan parti. Saya tidak faham tujuan kajian ini dibuat selain dari saya memikirkan adalah untuk menggambarkan Anwar Ibrahim itu tidak releven lagi, kononnya. Itu pada pemahaman saya, mungkin juga saya salah.
Berapa banyak pun kajian yang dibuat, saya yakin rakyat apatah lagi ahli-ahli parti masih berada di belakang Anwar Ibrahim termasuk sokongan kukuh dari rakan-rakan dalam PH. Anwar telah membuktikan beliau seorang pejuang yang tulen, tahan diuji dengan kesenangan dan kesusahan dan berpegang teguh dengan prinsipnya. Serangan dari dalam dan luar parti yang semakin kuat terhadapnya cukup membuktikan aura Anwar Ibrahim ini sukar diatasi oleh mana-mana pimpinan di dalam Keadilan sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan