RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 9 Jun 2009

TIDAK HORMAT KERAJAAN? KERAJAAN PERPADUAN PULA BAGAIMANA?

PAS tidak hormat kerajaan yang 'belakangkan' perlembagaan negara

PAS sangat kesal dengan kejadian kekerasan yang berlaku di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) dan dalam Dewan tempat persidangan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari ini (7 Mei).

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily melalui Setiausaha Politik, Dr Shamsuri.

"Pada kali ini, bukan sahaja para penyokong dan pimpinan parti dari Pakatan Rakyat yang ditangkap, tetapi beberapa ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat negeri Perak juga telah ditahan,"katanya.

Peristiwa yang berlaku ini adalah berpunca dari sikap angkuh para pimpinan BN yang tidak menghormati undang-undang,ujarnya.

BN juga ujar Presiden PAS bertindak dengan berselindung di sebalik lencana anggota keselamatan.

"PAS sekali-kali tidak akan menghormati kerajaan yang sememangnya tidak menunjukkan rasa hormat mereka kepada undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.

Sebelum ini beberapa pimpinan Pakatan Rakyat telah ditangkap polis semasa berada berhampiran di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dun Perak.

Antara yang ditahan ialah, Ketua Pemuda PAS,Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S.Jayakumar dan beberapa Adun serta 30 orang awam. Sehari sebelum itu, Naib Presiden PAS Mohamad Sabu turut ditangkap. - azm _

~~Sumber Harakahdaily

Ulasan saya - Itu Duluuuuuuu......................


SIAPA MENGAJAR AHLI PAS TIDAK HORMATI ULAMAK?

Harap anda semua dapat baca dengan jiwa yang tenang. Dan buat kesimpulan berpandukan iman.

tok Iskandar said:

Pesuruhjaya PAS,Ustaz Ahmad Awang dalam temuramah yang disiarkan dalam NST Online berkata,ada pemimpin PAS yang melobi agar PAS bergabung dengan UMNO untuk membentuk kerajaan campuran di Perak selepas PRU yang lepas.Bila ditanya,beliau enggan menjelaskan identiti individu yang terbabit.

Memang haru sampai penyokong-penyokong PAS di peringkat akar umbipun keliru.Ketua Dewan Ulama,Ustaz Harun Taib ketika ditanya mengenai kerajaan perpaduan juga keliru.

Setahu tok,dalam hirarki kepimpinan PAS,Mursyidul Am,TG Nik Aziz adalah tempat rujukan semua ahli PAS dan segala keputusannya tidak boleh dibantah sesiapapun hatta Presiden PAS sendiri.Persoalannya,agenda kerajaan perpaduan ini tidak dibincangkan langsung dalam muktamar PAS.

Ada ahli PAS menganggapnya sebagai gimik politik sahaja.Ada ahli PAS yang bingung kerana majlis syura sudah bersetuju untuk memperkasakan Pakatan Rakyat.

Bantahan keras TG Nik Aziz yang mengatakan kerajaan perpaduan itu mengarut dalam ucapannya di Stadium Melawati pada Sabtu lepas dikatakan pandangan peribadinya amatlah menyedihkan.Sekarang siapa tak hormat kepada ulama dan mereka yang lebih tua daripadanya.

Paling menghairankan kenapa ucapan TG Nik Aziz ini tidak disiarkan oleh laman web harakahdaily.Beliau adalah seorang tokoh pemimpin PAS dan bukannya pemimpin UMNO.Siapa pula di belakang tabir harakahdaily yang begitu berani untuk tidak menyiarkan ucapan TG Nik Aziz.

Ahli-ahli UMNO sendiri turut keliru dengan agenda kerajaan perpaduan.Menurut sumber dalam UMNO sendiri,kerajaan perpaduan ini melibatkan Pak Lah dan proksinya kerana mereka meragui kredibiliti Najib memerintah negara.

Jika berlaku,mungkin rundingan ini di antara PAS dengan Pak Lah yang masih mempunyai pengaruh di kalangang pengikutnya di parlimen.Pada pandangan peribadi tok,eloklah TG Haji Hadi menyatakan dulu perancangannya kepada TG Nik Aziz kerana ahli-ahli PAS melihat tindakannya membelakangkan TG Nik Aziz adalah kurang wajar.

Sebelum menerangkan kepada rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat,eloklah bersemuka dengan TG Nik Aziz.Jangan kita lupa persediaan di Manik Urai dan sebarang keputusan PAS mengenai kerajaan perpaduan akan menjauhkan parti itu dengan rakan-rakan komponen di dalam Pakatan Rakyat.

Tidak mustahil ketika itu PAS akan kehilangan sokongan bukan Melayu.Tok seperti majoriti ahli PAS yang lain akan berdiri teguh bersama-sama TG Nik Aziz menolak cadangan kerajaan perpaduan yang mengarut ini.Kami tidak bersalah kerana kami sekadar mengikut pendirian pimpinan tertinggi kami.

http://pemudakemehe1.blogspot.com

AHMAD AWANG BERBOHONG ATAU SIAPA BOHONG?

Awas....Jangan sampai Pas jadi mangsa `binatang' seperti ini....

Akhirnya, Ustaz Ahmad Awang, bekas Naib Presiden PAS Pusat, telah mendedahkan bahawa wujud usaha membawa PAS kepada UMNO. Boleh rujuk kepada ucapan Ustaz Ahmad Awang di bawah.

Benarlah Husam Musa apabila beliau berkata tujuan beliau menentang Ust Nasa baru-baru ini adalah kerana untuk menghalang usaha membawa PAS kepada UMNO.

Ia juga membuktikan bahawa:

a. Tidak wujud usaha untuk menjatuhkan ulama dalam PAS
b. TIdak wujud untuk menyebarkan kekuasaan Anwar Ibrahim
i – Yang sebenarnya hanyalah usaha untuk menyebarkan pengaruh Mursyidul Am
c. Tidak wujud usaha untuk meliberalisasikan PAS ke arah menjauhkan diri dari Islam
d- Membuktikan wujudnya Fraksi UMNO dalam PAS

Yang sebenarnya konflik yang wujud sekarang ini adalah hasil dari usaha beberapa pihak untuk membawa PAS kepada UMNO, seperti yang didedahkan oleh Ustaz Ahmad Awang itu.

http://www.malaysiawaves.com

Isnin, 8 Jun 2009

UMNO KINI MENDAPAT KEKUATAN, PKR DAN DAP BERDUKACITA

Oleh: WFAUZDIN NS

Kisah Kerajaan Perpaduan ini sudah lama timbul sebelum muktamar lagi. Percubaan untuk ke arah `kerjasama' dengan Umno ini pun sudah lama cuba dilakukan oleh beberapa pimpinan Pas. Ramai yang sudah maklum cerita `merayap' malam masuk kelambu Umno oleh beberapa pimpinan Pas sejurus sahaja PR merampas Selangor di dalam Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu. Ini bermakna cita-cita untuk bersama Umno yang pernah `menerajang' Pas ini memang sudah lama ada dihati beberapa pimpinan Pas. Saya percaya jika perkara ini dilakukan oleh PKR atau DAP di Perak yang berpakat untuk `bersatu' dengan Umno/Bn, nescaya Ir Nizar dari Pas ini tidak akan merasa duduk di kerusi MB Perak walau sesaat pun. Tetapi, kelakuan buruk ini dilihat molek dan mulia jika `Ulamak' yang melakukannya di Selangor.

Amat sukar untuk memahami apakah strategi mereka yang bersungguh-sungguh benar untuk bekerjasama dengan Umno. `Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'. Setahu saya di dalam Perhimpunan Agung Umno sendiri pun mereka tidak pernah hendak menyebut betapa Umno perlu bekerjasama atau untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan bersama Pas. Tiba-tiba di dalam muktamar Pas baru-baru ini, begitu lantang pimpinan Pas mempertahankan hasrat inginkan Kerajaan Perpaduan ini. Kononnya demi rakyat. Betulkah rakyat kini kepingin sangat agar Pas bekerjasama dengan Umno? Seingat saya, pimpinan tertinggi Pas pernah menyatakan sebaik sahaja Najib ditabalkan sebagai PM yang baru menggantikan Pak Lah, isu Kerajaan Perpaduan tamat. FULL STOP. Sekarang apa sudah jadi? Siapa yang bergembira dan siapa yang berduka sekarang? Jelas, media-media kerajaan Umno/Bn saban hari memuji idea Pas di dalam muktamar baru-baru ini dan tentunya Umno juga turut bergembira. Lihatlah apa komen Najib dan Mukhriz serta beberapa pemimpin Umno sehari dua kebelakangan ini. Sebaliknya yang kecewa, duka dan bersedih adalah rakan-rakan seperjuangan Pas sendiri. Lihat apa pula komen pimpinan PKR dan DAP. Gembirakah mereka?

Saya tidak menyangka samasekali muktamar kali ini dapat mengembalikan semula `nyawa-nyawa ikan' Umno. Tidak terfikir juga oleh saya betapa tergamaknya mereka menghiris hati rakan-rakan mereka di dalam PR. Percubaan pertama yang gagal dilaksanakan di Selangor, kini dicuba di peringkat yang lebih tinggi pula. Amat memalukan , muktamar telah menjemput pimpinan tertinggi PR untuk hadir semasa perasmian muktamar semata-mata untuk mereka mendengar bahawa Pas akan teruskan usaha Kerajaan Perpaduan ini. Saya rasa kita masih ada kelemahan dari segi adab dan sopan dengan tetamu apatah lagi mereka adalah rakan-rakan kita yang bersama setia dengan kita sewaktu susah. Pada saat Speaker Perak dari DAP ditarik dengan ganas oleh pihak keselamatan di dalam Dun Perak semata-mata untuk mempertahankan kerajaan di bawah MB Ir Nizar dari Pas, pimpinan Pas masih bersangka baik dengan mereka yang merampas kerajaan negeri Perak itu. Bayangkan hati mana tak luluh.

Sekiranya pimpinan Pas menganggap bekerjasama dengan Umno akan membolehkan Pas melaksanakan dasar Islamnya, sudah tentu saya pun akan menyokong kuat. Memang benar seperti yang diperkatakan oleh Presiden Pas sewaktu penggulungannya di muktamar bahawa Islam menyeru kepada perdamaian. Perdamaiankah namanya jika kita menghulurkan tangan kepada `perompak' yang merompak rumah kita sedangkan perompak itu masih tidak mengaku kesalahannya dan tidak memulangkan kembali hasil rompakannya kepada kita? Tentu Pas masih ingat sewaktu Parti Melayu S46 di bawah Ku Li mengikat perdamaian dengan Umno, maka segala skandal atau salah laku pimpinan Umno yang sebelum ini lantang disuarakan oleh Ku Li dan Rais Yatim diam setakat itu sahaja. Ku Li dan Rais dapat jawatannya dan segala skandal dan penyelewengan dikira selesai dengan perdamaian itu. Apakah masalah Melayu selesai selepas perdamaian tersebut?

Saya yakin, ahli-ahli Pas majoritinya mahukan Pas meneruskan agenda perjuangan mereka bersama PR dan tidak akan mengambil jalan mudah untuk bersama Umno. Buktinya, suara-suara mereka telah diterjemahkan di dalam pemilihan pimpinan Pas baru-baru ini. Meskipun dikatakan bahawa tokoh yang pro PR (Erdogan) gagal dipilih sebagai Timbalan Presiden Pas, tetapi yang menang jawatan tersebut ditolak majoritinya oleh perwakilan. Husam dan Mat Sabu dikenali oleh rakyat sebagai yang terlalu anti Umno telah mendapat sokongan yang lebih besar dari perwakilan. Kekalahan Husam dan Mat Sabu adalah kekalahan `teknikal ' atau di atas kertas sahaja kerana undi kepada mereka telah berpecah. Lihat bagaimana perwakilan memilih Naib-Naib Presiden Pas serta AJK yang lain, majoritinya mereka yang dipilih adalah tokoh-tokoh yang menolak idea Kerajaan Perpaduan ini. Amat malang sekali jika mana-mana tokoh atau ahli Pas yang menolak idea Kerajaan Perpaduan bersama Umno ini dilabelkan sebagai anti Ulamak.

Di dalam keadaan begini, saya penuh yakin bahawa para Ulamak di dalam Pas mampu berijtihad untuk mendapatkan kebenaran. Jelas kita lihat pandangan dua tokoh Ulamak di dalam Pas iaitu Mursyidul Am dan Presiden Pas agak bertentangan. Kedua-duanya boleh kita pakai ijtihad mereka sebagai panduan tetapi kita harus memilih pandangan yang kurang mudharatnya kepada parti kita. Jika Umno kita anggap tidak pernah dan tidak mungkin memudharatkan kita, maka terimalah Kerajaan Perpaduan ini. Sebaliknya jika kita anggap PKR dan DAP terlalu banyak memudharatkan kita, kita tolak sahaja kedua-dua parti tersebut. Habis cerita.

Lain-lain artikel berkaitan klik sini

KISAH BLOGGER DI MUKTAMAR....KESIHAN..

Presiden PAS dalam ucapan dasarnya di muktamar PAS ke-55 telah menucapkan penghargaan terhadap sumbangan blogger selama ini membantu perjuangan PAS melalui “media baru”, namun rupa-rupanya ada kisah lain yang berlaku di muktamar.

Golongan pro-muqabalah yang dilihat menguasai urusetia muktamar kali ke 55 tiba-tiba menjadi golongan yang tidak mesra-blogger mungkin kerana blogger dilihat kebanyakannya tidak menerima idea dan gagasan Pakatan Rakyat yang dibawa oleh pimpinan utama parti.

Berikut ialah catatan ummi anni:

Sumbangan media baru khususnya media siber termasuk portal berita dan blog memainkan peranan untuk menyediakan maklumat alternatif kepada rakyat yang selama ini di cengkam oleh media arus perdana yang dikuasai kerajaan UMNO BN telah berjaya mencelikkan rakyat sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Sebenarnya, walaupun tiada majlis penghargaan khusus untuk para blogger dan wartawan internet pada majlis muktamar pada tahun ini. Namun pengiktirafan yang diberikan oleh Presiden PAS itu telah lama ditunggu oleh para blogger sekalian yang telah bertungkus-lumus selama ini memperjuangkan kebenaran dan keadilan melalui alam siber membantu Pakatan Rakyat mencapai kemenangan. Moga-moga ibadah dan perjuangan kita ini dapat membantu kita berhadapan dengan ALLAH SWT di akhirat kelak.

Betul lah pimpinan atas menghargai bloggers ni.. tapi hakikatnya blogger tetap dipandang sebagai ‘nobody’… kalau benar seperti yang TGHH sebut.. blogger ini diiktiraf kenapa bila kita nak mintak pas media dari urusetia tak dilayan..

” kami tak berikan pas media kepada blogger.. hanya media perdana sahaja diberi pas media muktamar”.. alasan mereka,”kalau beri kat sorang blogger nanti semua blogger nak.. ” susah sangat ke kalau berikan untuk 2 @ 3 orang blogger pas media.. ? blogger bukan nak mintak keistimewaan apa sangat.. dapat masuk semasa PC pun dah cukup la…

Kalau kita dengar ucapan dari perwkilan negeri Melaka disebut bagaimana media perdana ini mensensasikan akhbar mereka dengan memburukkan pimpinan PAS.. tapi mereka2 ini juga la yang diiktiraf.. blogger2 yang membawakan liputan yang benar tak diberi keistimewaan seperti media perdana.. apa ni…

Bila ummi tanya ada wifi ke? pakai password ke.. ?… “ha’ah ada password.. hanya unit IT aje yang boleh guna line wifi ni.. orang lain tak boleh.. “hangin tol ummi bila dia jawab macam tu… tapi sebagai muslim kita telah ditarbiyyah supaya bersabar… takpa lah ummi tetap ucapkan terima kasih… bukan kebuluq sangat pun pasal ummi ada bawak broadband sendiri.. cuma ummi saja tanya tapi jawapan memang menghanginkan hatiku…

Ummi telah mengikuti 2 program besar oleh 2 parti.. satu semasa Kongres PKR di tempat yang sama Stadium Melawati Shah Alam… dan yang terkini Muktamar Tahunan PAS ke 55… 2 parti yang besar.. ummi sebagai ahli PAS tapi tidak menjangka ini cara pengurusan PAS .. berbanding dengan PKR.. kami blogger mendapat tempat bersama media perdana… memang ummi kecewa dengan pengurusan PAS.. untuk mendapat pas media kami telah ditolak mentah2 apatah lagi untuk mendapat liputan di dalam sidang media … kami memang tak dapat.. nak mintak letak recorder pun tak kasi.. hina sungguh blogger ni rupanya..

Ummi tunjuk kad media yang ummi dapat dari kerajaan Pakatan Rakyat di Perak oleh DS Nizar sendiri.. tapi tetap tak diiktiraf..

“akak ni ada pas media tapi pas yang bukan dari media perdana.. “kata petugas

“ni pas dari kerajaan PR Perak .. DS Nizar yang iktiraf blogger sebagai media kerajaan PR”

“kami tak kisah siapa yang beri.. Nizar ke siapa ke.. tapi akak bukan dari mana2 yang boleh kami beri pas media”.. aduiii hangat hati betul la dengar ayat tu… kalau nak bukak cerita dalam kain PAS ni memang banyak sungguh.. tapi disebabkan sayangkan jemaah ummi tak sanggup nak bukak buruk parti sendiri.. seperti bukak pekung di dada la pulak…

Tapi ummi luahkan ketidakpuasan hati ummi kerana perkara in tak sepatutnya berlaku terhadap blogger jemaah sendiri.. kerana pimpinan sendiri telah memberi pengiktirafan kepada blogger kerana sumber berita yang kita sampaikan tidak seperti media arus perdana yang bermuka2..

Bak kata MSK sapa suruh gatai jadi blogger… sendiri tanggung la… kalau Topeng Perak pulak cakap.. blogger ni dapat apa.. dapat maki aje.. kalau Cenangau kata pulak.. blogger ni macam daun kari.. untuk menyedapkan bau masakan hang buh la.. masa nak makan hang kena tolak ketepi…

Ummi mengharapkan agar perkara ini diberi ruang sedikit untuk dipertimbangkan.. permintaan blogger tidaklah besar sangat.. tidak minta dilayan seperti media perdana pun sekurang2nya beri sedikit ruang untuk kami blogger berdiri dibelakang para media perdana pun tak apalah.. jangan dihalau terus jauh2.. sebelum para blogger rasa bosan dengan layanan yang begini harap ada sedikit perubahan minda dalam pengurusan pada majlis besar yang akan datang..

Sumber: Kelab GB

KERAJAAN PERPADUAN -JANGAN JADI MONYET DI ZOO

“Musuh-musuh mahu PAS lemah. Musuh-musuh mahu Pakatan (Rakyat) berpecah. Mereka wujudkan isu. Mereka umpankan kita dengan isu. Kerajaan perpaduan dan mungkin perlantikan Pesuruhjaya (PAS negeri). Tetapi malang sekali bagai monyet di zoo yang menyambar pisang apabila dibaling, kita menyambar umpan musuh. Kemudian mereka meniup serunai, kita pun menari bagai ular tedong.” (Iskandar, ADUN Chempaka, Selangor)

Ini juga yang ingin saya perkatakan. Sebelum dan sepanjang Muktamar Tahunan PAS 55 di Shah Alam, pelbagai isu dan spikulasi timbul. Saya dapat simpulkan bahawa ada segolongan para ahli, penyokong dan perwakilan yang hadir sudah masuk perangkap UMNO/BN yang sengaja mencipta isu. Maka bersorak-sorailah juak-juak UMNO/BN justeru kerana berjaya menghiruk-pikukkan muktamar tahun ini. Sebelum muktamar berlangsung, akhbar-akhbar ‘jahanam’ mereka terus menerus mencipta istilah, aliran, golongan, kumpulan, itu ini, si fulan itu dan si fulan ini.

Mengapa terjadi sebegini? Mengapa UMNO/BN dan tangan-tangan ‘jahanam’ mereka begitu sibuk dengan PAS dan kepimpinannya? Tidak lain tidak bukan ianya kerana PAS dan Pakatan Rakyat (PR) sudah menunjukkan bahawa gabungan ini boleh memimpin negara. UMNO/BN tahu bahawa jika mereka tidak ‘menjalankan perang saraf’ serta mencucuk jarum ‘jahanam’ mereka, BN akan hancur pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Munculnya pelbagai istilah (saya tidak gemar untuk menyebutnya) merupakan gerakan halus dan jahat akhbar-akhbar jahanam UMNO/BN. Kumpulan itu, kumpulan ini. Penyokong si fulan, anti itu dan anti ini. Semuanya sekadar istilah dan momokan UMNO/BN. Mengapa pemimpin, ahli dan penyokong PAS termakan racun pemikiran yang ditaburkan?

“Kemudian mereka meniup serunai, kita pun menari bagai ular tedong.”

Sumber duniasutera.blogspot

Lain-lain sila klik sini

Ahad, 7 Jun 2009

"Intailah aku sementara nampak" - Mat Sabu

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Rangkap ketiga pantun yang disampaikan mantan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu cukup memberi erti yang sangat mendalam kepada hadirin Muktamar PAS ke-55.

"Tuai padi antara masak, nanti jangan layu-layuan, Intailah aku sementara nampak, nanti jangan rindu-rinduan," kata Mohamad Sabu ketika mengakhiri rangkap pantunya sebelum menamatkan ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, dekat ini hari ini.

Bacaan pantun Mat Sabu disambut dengan laungan takbir yang sangat gemuruh oleh perwakilan dan para pemerhati.

Terdahulu diawal ucapannya, Mohamad Sabu yang menggelarkan dirinya sebagai 'Abang Mat' mengutarakan beberapa isu membabitkan membedah demokrasi seperti isu rampasan kuasa di Perak, pelanggaran undang- undang oleh pihak polis, Umno/BN terhadap kuasa speaker di Perak selain isu memantapkan gerakan memansuhkan ISA.

Mohamad Sabu juga menegur secara sinis kisah-kisah beberapa pimpinan PAS yang di kalangan ulama yang akhirnya menyertai Umno.

Beliau memberi contoh, Dato' Nakhaie Ahmad yang digolongkan sebagai ulama yang akhirnya menyertai Umno hingga kini.

Mohamad Sabu mahu PAS kekal dengan ideologi perjuangan tatkala melihat Umno/BN yang dikuasai Dato' Seri Najib Tun Razak merosakkan kerajaan. /wann_/Harakahdaily

UMNO UMPAMA KUCING - AZIZAN RAZAK


SHAH ALAM, 7 Jun: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno umpama kucing, "baik di depan tetapi awas di belakang kita dia akan curi ikan kita."

Azizan berkata demikian ketika membuat ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke 55 dekat sini hari ini.

"Menjadi perangai kucing juga dia akan berak di mana-mana sahaja hatta atas sejadah sekalipun," kata Azizan yang disambut gelak ketawa perwakilan
dan pemerhati muktamar.

Namun, Azizan berkata, "kita tetap masih boleh runding dengan Umno ni."

Azizan berkata, sehingga hari ini, Umno masih berusaha untuk mencuri Adun PAS dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

"Mereka tidak berhenti dari membuat kerja ini," kata Azizan.

~~Sumber Siasah

TAK CAYA LAH AKU, TAKKAN PAS CAM TU!!

Oleh: MSK

Keputusan siapa Timbalan Presiden Pas sudah keluar dan Ustaz Nasha terpilih sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut. Terkejut?

Memang terkejut. Ada banyak yang berlaku dibelakang tabir sehingga mengejutkan orang ramai.

Dalam mana-mana pilihanraya…petugas-petugas Pas dikenali sebagai petugas yang paling berdedikasi dan pandai membuat kerja…terutama dalam membuat culaan pengundi. dan petugas-petugas inilah juga yang membuat culaan dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden.

Sebaik sahaja tamat waktu mengundi…mereka sudah dapat membuat jangkaan siapa yang menang. Dan pemenangnya ialah Husam Musa..diikuti dengan Ustaz Nasha dan Mat Sabu.

Pada pukul 7.30…pengiraan undi dimulakan dan menjelang jam 9.30 malam…pengiraan tamat, dan keputusan tak rasmi sudah bocor kepada pemimpin dan wartawan.

Dan sekitar jam 9.55 malam…Malaysiakini sudah dapat membuat laporan.

They see Husam garnering about 45 percent of the votes, with Nasharuddin trailing at 35 percent while Mohammad Sabu finishing third with 20 percent.

Keputusan tak rasmi pada malam semalam sudah diketahui bukan sahaja pemimpin Pas malah pemimpin PKR juga sudah mendapat maklumat. Husam mendapat 453 undi (44.1%), Nasha 388 (37.8%) dan Mat Sabu 188 (18.3%).

Mstar juga melaporkan perkara yang sama.

Datuk Paduka Husam Musa dipercayai menang tipis jawatan Timbalan Presiden PAS dalam persaingan tiga penjuru.

Berdasarkan maklumat keputusan tidak rasmi yang diperoleh setakat 9 pagi tadi, Naib Presiden PAS itu mendapat 543 undi sekaligus menewaskan penyandang jawatan tersebut iaitu Nasharudin Mat Isa yang memperoleh 388 undi dan juga Mohamad Sabu yang hanya memperoleh 188 undi.

Husam menang dengan perbezaan 65 undi.

(Cuma disini Mstar tersilap menulis jumlah undi yang diperolehi oleh Husam..543 undi..sepatutnya 453 undi. perbezaan undi antara Husam dan Nasha ialah 65.( 388+65=453. Bukan 543)

Tetapi mengapa perlu keputusan ditangguhkan sehingga pagi ini?

Dan kalau mengikut laporan Malaysiakini..Mustafa Ali mengatakan pengiraan undi berlaku sehingga jam 2.30 pagi!! Apakah Jawatankuasa Pemilihan memerlukan ENAM jam setengah untuk mengira seribu undi?

Ada sesuatu yang tak kena dalam pemilihan Pas kali ini.Apakah taktik Mahathir semasa menentang Tengku Razaleigh sudah diimpot oleh Pas?

Dan apabila keputusan rasmi diumumkan pagi tadi…memang ramai yang terkejut. Macam mana keputusan tak rasmi dan rasmi begitu jauh berbeza?

Keputusan rasmi.. Husam 281 (27.4%), Nasha 480 (46.8%) dan Mat Sabu 261 (25.5%)

Ada apa-apa yang berlaku dalam gelap lagi?

Ha.ha..ada perwakilan ke muktamar SMS kat aku..bezanya sekarang…Pas pakai kopiah/Umno pak

Lain-lain arikel klik sini

KERAJAAN PERPADUAN ? KARUT!! - NIK AZIZ


SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

“Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan,” kata beliau semalam.

Bercakap dalam ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan parti itu telah mengambil ketetapan untuk menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Saya tak faham macam mana (timbul)… kita sudah buat keputusan di Ipoh tahun lalu, dan kita menyokong Pakatan Rakyat,” katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu ternyata bercanggah dengan pandangan Abdul Hadi yang terus menaruh keyakinan bahawa cadangan pembentukan kerajaan perpaduan akan tetap diterima satu hari nanti.

Selain itu Nik Aziz turut membantah sebarang usaha sama atau rundingan bersama Umno yang bermatlamat untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa.

“Nak berunding untuk tubuh kerajaan tak usah, tapi nak bincang dengan Umno untuk benda lain boleh,” katanya.

Sambil menyifatkan Umno sebagai samseng politik, Menteri Besar Kelantan itu turut mengingatkan supaya Umno terus dimusuhi dan dibasmi.

“Umno adakah samseng politik, kita perlu matikan mereka habis-habisan.

“Mereka ini umpama telur-telur tinggalan penjajah Inggeris dahulu yang menetas satu persatu,” katanya.

http://mstar.com.my

Lain-lain artikel klik sini

KETUA PEMUDA PAS P.PINANG DENDAM TERHADAP PKR?

Oleh: WFAUZDIN NS

Muktamar Pas kini di penghujungnya dan kesemua perwakilan yang hadir dari merata pelosok negeri merasa lega kerana muktamar kali ini dapat dijalankan dengan baik dan teratur. Meskipun terdapat pertandingan di peringkat tertinggi khususnya jawatan Timbalan Presiden Pas yang amat hangat dan mendebarkan sekali. Perwakilan telah memutuskan bahawa Us Nasa layak ditabalkan sebagai Timbalan Presiden Pas walaupun tidak mendapat undi yang terlalu kuat. Faktanya, Us Nasa menang, tetapi yang tidak menyokong beliau iaitu yang menyokong Husam dan Mat Sabu melebihi dari undi yang diterimanya. Apa pun kita kena terima bahawa Us Nasa adalah Timbalan Presiden Pas yang dipilih.

Semasa muktamar sedang berlangsung sekarang, saya terbaca satu kenyataan oleh Ketua Pemuda PAS P.Pinang iaitu Sdr Mohd Yusni Mat Piah di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 06 Jun 2009. Beliau mengulas tentang kemenangan calon PKR di PRK Dun Penanti baru-baru ini. Ketika muktamar baru sahaja bersemangat menyebut untuk memperkuatkan PR dan pemilihan pula seolah-olah menjurus kepada kepimpinan Ulamak, kita lihat apa yang diucapkan oleh Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini di dalam akhbar tersebut. Petikan adalah seperti berikut,
" Jika kita lihat kepada peratusan pengundi yang keluar ia amat mendukacitakan dan `signal' yang rakyat tidak puas hati dengan permainan politik PKR. PKR menang kerana rakyat beranggapan daripada memberi undi kepada calon bebas baik pilih PKR kerana Umno tidak bertanding".

Apakah maksud beliau sebenarnya ? Apakah beliau juga beranggapan bahawa pimpinan Pas yang bertungkus lumus berkempen di dalam PRK Dun Penanti tersebut turut terlibat dalam apa yang dikatakan `permainan politik PKR'? Dan, apakah pada anggapan beliau penyokong-penyokong Pas di Dun Penanti `terpaksa' mengundi calon PKR kerana tiada calon lain terutamanya Umno? Jika Umno yang masuk bertanding, apakah beliau akan merasa penyokong-penyokong Pas akan memberi undi kepada Umno? Atau sebenarnya, beliau masih berdendam dengan PKR kerana kegagalan Pemuda Pas P.Pinang untuk meletakkan calon Pas di situ? Inikah sikap seorang Ketua Pemuda Pas yang memberi ulasan dan kenyataan yang mirip seratus peratus dengan kenyataan Pemuda Umno? Post mortem masih dijalankan oleh PKR tentang keputusan pilihanraya tersebut, tetapi Ketua Pemuda Pas ini telah berani mendedahkan betapa rakan mereka PKR tidak mendapat sokongan rakyat sebenarnya.

Apakah ini jenis Ketua Pemuda di era kepimpinan Ulamak yang kini di bawah Ketua Pemuda Pas yang baru? Saya mungkin terkeliru atau diputarbelitkan oleh akhbar tersebut, tetapi saya mencabar Ketua Pemuda Pas tersebut menyaman akhbar berkenaan jika benar beliau tidak berkata demikian. Jika beliau tidak berani menyaman akhbar berkenaan, beliau harus berani meletakkan jawatannya selaku Ketua Pemuda Pas kerana beliau gagal menghayati semangat setiakawan dan persefahaman pimpinan PR termasuk pimpinan PAS sendiri. Mursyidul Am Pas dan Presiden Pas serta beberapa tokoh Pas telah bekerja kuat di PRK Dun Penanti, tiba-tiba ada pemuda yang bersikap seperti ini. Saya harap agar Ketua Pemuda Pas yang baru berani bertindak kepada Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini kerana Ketua Pemuda Pas yang baru ada berjanji bahawa beliau bukan sahaja berani berdepan dengan Ketua Pemuda Umno, bahkan sanggup berdepan dengan Najib sendiri. Nah, buktikan dulu keberanian beliau terhadap Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini.

Saya berharap kejadian seperti ini tidak meresapi ke dalam kepimpinan Pemuda Pas yang lain . Percayalah, Pas akan rosak jika punyai pimpinan seperti ini yang sentiasa mencari jalan untuk `menyakitkan hati' rakan-rakan seperjuangan mereka. Saya tidak tahu bagaimana sikap sebenar Pemuda Pas P.Pinang yang sebenarnya terhadap PR, atau mungkin beliau seorang sahaja yang bersikap sedemikian? Seekor kerbau ini harus disembelih sebelum membawa lumpur dan najis ke dalam jemaah Pas.

wfauzdin.blogspot.com