RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Rabu, 10 Jun 2009

RAIS YATIM, SI PENAKUT YANG MAHU BERSUARA

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA menyebut nama Rais Yatim, teringat pula saya kisah `keberanian' beliau mencabar Zaid Ibrahim untuk berdebat secara terbuka berkaitan soal imej PM yang beliau sanjungi itu. Keberanian beliau itu tidak lama bertahan, tidak sampai beberapa hari Zaid Ibrahim secara terbuka menyahut cabaran menteri yang juga bekas tokoh Semangat 46 yang `telah membakar jambatan'nya dengan Umno dahulu. Zaid Ibrahim menyerahkan kepada Rais untuk menetapkan tarikh, masa dan gelanggang perdebatan yang ingin diadakan itu. Malangnya, Ahli Parlimen Jelebu itu sehingga kini membisu seribu bahasa. Ini pantun orang Jolobu buat Rais, " Ke Jelobak Ke Jolobu, Tuai Padi Tigo Tangkai, Penakut Sungguh Orang Jolobu, Panjang Gigi Yo Dari Misai".

Baru-baru ini Rais bersuara lagi. Tetapi kali ini beliau memuji Presiden Pas pula kerana katanya seorang yang berpandangan jauh kerana hajat Pas untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan bersama Umno. Di dalam masa yang sama Rais Yatim yang tewas di dalam pemilihan jawatan Naib Presiden Umno itu mengherdik PKR dan DAP kerana membantah idea Pas tersebut. Rais berkata, idea Kerajaan Perpaduan itu adalah hak Pas dan parti-parti lain tidak perlu campur tangan. Wah, Rais kini menjadi pembela Pas yang kuat sepertimana sewaktu beliau di dalam Parti Semangat 46 yang `hilang semangat' itu. Takut sungguh Rais sekiranya Kerajaan Perpaduan yang baru di peringkat cadangan itu gagal dilaksanakan.

Hajat Rais, mudah-mudahan Pas akan mengikut jejak langkah beliau yang `cerdik' sewaktu membawa keluar Semangat 46 dari Gagasan Rakyat yang dibina bersama Pas suatu ketika untuk kembali `melutut' kepada Umno. Memang beliau cerdik, kerana sebaik sahaja beliau serta rakan-rakannya dari Semangat 46 `merangkak' ke dalam Umno, beliau kini sudah menjadi menteri. Kemasukan Rais serta tokoh-tokoh Semangat 46 ke dalam Umno benar-benar menyelamatkan Umno kerana Rais tidak lagi bersuara seperti sewaktu di luar Umno. Dengan hanya berjabat tangan dengan pemimpin Umno sebagai tanda `perpaduan' atau `bertaubat', maka, selesai semua perkara di dalam Umno seperti isu rasuah, kronisma dan berbagai-bagai lagi yang pernah Rais tuduh terhadap pemimpin Umno.

Mungkin itulah yang diinginkan oleh Rais untuk Pas ikuti. Saya tidak tahu samada ada atau tidak pimpinan Pas yang mempunyai otak dan akal `sebijak' Rais Yatim ini. Apa yang pasti, Rais pasti gagal kerana jika ada pun pimpinan Pas termakan dengan cara Rais untuk menunjukkan `perdamaian' sepertimana Semangat 46 pernah tunjukkan, rakyat sudah tentu boleh berfikir sebaliknya. Pada rakyat, jika Pas sudah tidak larat lagi untuk berjuang, bersusah payah membela nasib mereka, rakyat boleh memilih pihak lain yang masih mampu bertahan menahan segala cabaran sehingga rakyat mencapai kemenangan. Saya tidak percaya pimpinan Pas bercita-cita untuk menaiki puncak dengan begitu mudah dan selesa seperti yang telah Rais Yatim lakukan.

Saya tidak hairan jika PKR atau DAP yang mempunyai niat untuk bersama Umno atau Bn, kerana parti tersebut kebanyakan tokohnya lahir dari darah daging Umno/Bn. Tetapi, amat memalukan jika parti berkenaan terus komited menentang Umno sedangkan Pas memikirkan yang sebaliknya. Peluang hanya datang sekali, dan Pas kini mempunyai peluang terbaik untuk menjadi parti pengganti kepada Umno dengan dasar yang lebih baik dan mulia. Sekiranya peluang ini dilepaskan, maka entah kurun ke berapa kita akan dapat lihat Pas mampu bangkit kembali./ wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan