RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 14 Oktober 2009

MESTI ADIL KEPADA SEMUA KEM TENTERA


Oleh: WFAUZDIN NS

AMAT bertuah warga tentera yang menetap di sekitar Port Dickson apabila berlakunya pilihanraya kecil di Dun Bagan Pinang baru-baru ini. Mereka telah dikunjungi oleh menteri-menteri yang sebelum ini tidak pernah menjenguk mereka. Bagaikan kanak-kanak, warga tentera ini diberi umpan `gula-gula' dan tidak hairanlah ada yang termakan umpan tersebut. Ada segelintir yang punyai akal untuk berfikir menolak bekas perasuah dan memilih calon yang berakhlak. Tetapi lebih ramai yang mahukan Padang Futsal, Kolam Renang dan kemudahan wifi termasuk segelintir yang bergelar ustaz askar.

Maka, menanglah Bn di Bagan Pinang dan mulai saat itu warga tentera di sana mulalah berangan untuk berenang di kolam renang, bermain futsal di padang futsal yang baru serta ada yang telah membeli komputer walaupun secara berhutang kerana tidak lama lagi seluruh kem di sini akan menikmati kemudahan wifi. Persoalannya, adakah janji-janji itu akan dipenuhi dan jika benar bila warga tentera ini akan dapat menikmatinya? Setelah mereka pencen atau setelah mereka tidak lagi bertugas di situ? Bila pula agaknya bandar (betul ke taraf bandar?) Port Dickson akan menjadi `Bandar Tentera Darat' walaupun berada di tepi lautan?

Tidak kira bila janji-janji ini akan ditunaikan, yang pasti tokeh-tokeh komputer termasuk kedai Perwira Niaga Malayasia (PERNAMA) tempat tentera hendak berhutang akan melebar senyum mereka. Tokeh-tokeh kedai sukan pun mulalah menyediakan stok seluar renang dan seluar serta kasut futsal yang banyak selepas ini. Inilah berkatnya bila Pembangkang berhadapan dengan Bn. Percayalah, jika Pembangkang tidak sertai pilihanraya kecil ini berani kita kerat jari bahawa Port Dickson tidak akan diumumkan menjadi `Bandar Tentera Darat' dan usah haraplah warga tentera hendak memiliki Padang Futsal yang baru, kolam renang atau perkhidmatan wifi. Kirim salam ye skot.

Kita lihat sendiri kem tentera di Kuantan yang menempatkan jumlah tentera darat dan udara yang begitu ramai serta menjadi tempat Najib `bergantung nyawa' di dalam pilihanraya umum yang lepas. Ada ke kolam renang, padang futsal dan perkhidmatan wifi? Sekali lagi kirim salam ye skot. Mengapa? Sebab tiada pilihanraya kecil di situ. Begitu juga di mana-mana kem seluruh Malaysia tiada yang mendapat keistimewaan seperti yang diperolehi oleh kem di Port Dickson. Jika mahu, berdoalah agar diadakan pilihanraya kecil di kawasan tersebut dan Pembangkang masuk bertanding. Pasti mereka akan dapat.

Jika sudah ada Bandar Tentera Darat, mana pula Bandar Tentera Laut dan Udara? Tentu TLDM dan TUDM terasa hati. Tetapi mereka perlu bersabar kerana kawasan kem mereka belum ada pilihanraya kecil lagi. Tunggulah ye skot. Kalau Bandar Tentera Darat berada di tepi laut, mungkin Bandar Tentera Laut pula akan berada di tengah darat. Bandar Tentera Udara mungkin di atas gunung gamaknya. Begitulah hebatnya Bn mentadbir pembangunan negara mengikut musim pilihanraya semata-mata.

Adalah wajar dan adil jika semua kem penempatan tentera memohon kepada Menteri Pertahanan untuk mendapatkan apa yang diperolehi oleh warga tentera di Port Dickson. Jika untuk berlaku adil kepada warga tentera pun sukar, bagaimana untuk berlaku adil kepada rakyat keseluruhannya? Apakah tentera ini hanya alat untuk dipergunakan sahaja? Jika benar, mengapa sanggup warga tentera menjual maruah diri semurah itu? Rakyat percaya tentera mempunyai semangat jati diri yang kuat tetapi apa yang berlaku di Port Dickson membuatkan rakyat berfikir dua tiga kali untuk menyatakan tentera itu berani dan gagah serta setia bersama rakyat.

Apa pun, tahniah kepada 600 orang tentera yang mengundi Pas baru-baru ini. Sekiranya berlaku situasi perang di negara ini, ini lah jumlah yang boleh diharapkan untuk mempertahankan ugama, bangsa dan negara. Manakala yang lainnya mungkin boleh mewakili negara ke pertandingan futsal atau renang setahun dua nanti. Jangan mati beragan sudahlah./kembali ke laman asal di sini.

2 ulasan:

  1. agaknya bila dah mati seseorang yb tu, barulah datang macam2 projek...hebat juge ye!!!!

    BalasPadam
  2. selama ini itulah cara BN menipu rakyat....dan sayang....rakyat kebanyakannya memang merelakan diri mereka ditipu. salam ukhwah kepada anggota tentera yang telah cuba menegakkan kalimah Allah di Bagan Pinang.

    BalasPadam