RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 24 November 2009

Kes DS Anwar, dakwaan liwat berniat jahat: Sivarasa


KUALA LUMPUR - Dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berniat jahat dan tidak boleh diterima memandangkan ketiadaan penemuan perubatan berhubung penetrasi, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Peguam R Sivarasa, yang mewakili Anwar berkata, bukanlah satu perkara baru bahawa untuk melakukan dakwaan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penetrasi merupakan perkara utama dan teras.

Beliau berkata, dalam kes ini, tiada bukti perubatan yang pasti bagi mencadangkan berlaku penetrasi ke dalam dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Berdasarkan laporan perubatan oleh pegawai perubatan dari Pusrawi yang mula-mula sekali memeriksa pengadu, dinyatakan bahawa dubur itu tidak berdarah, tidak cedera, tidak bernanah dan ia adalah bersih, kering serta kelihatan normal,” katanya, sambil menambah perkara itu turut disokong laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Oleh itu, beliau berhujah hakikat itu cukup untuk mahkamah membatalkan dakwaan terhadap Anwar memandangkan jelas tiada kesalahan yang telah dilakukan.

Sivarasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berhubung permohonan Anwar untuk membatalkan dakwaan liwat terhadapnya.

Pada 10 Mac, Anwar mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 24, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 27 Jun tahun lepas. Sivarasa turut berhujah bahawa dakwaan terhadap Anwar tidak berasaskan bukti sebaliknya berat sebelah, menyalahi undang-undang dan berniat jahat.

Beliau berkata, mahkamah mempunyai hak dan kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonan membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu bagi mengelak pendakwaan yang menindas Anwar.

Sivarasa berkata, pembabitan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam kes itu jelas menunjukkan niat jahat terhadap Anwar, memandangkan beliau disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berikutan laporan polis terhadap beliau oleh Anwar membabitkan pemalsuan keterangan dalam insiden 'mata lebam' pada 1998.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk membatalkan atau menangguhkan dakwaan itu, bagi membetulkan salah laksana keadilan jika dakwaan itu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Bagaimanapun kami berpendapat ia hanya untuk menghalang mahkamah daripada terus mendengar kes ini,” katanya.

Mohamed Yusof berkata, berdasarkan laporan DNA oleh ahli kimia, terdapat spesimen DNA campuran daripada dua lelaki di tempat kejadian, yang menyokong dakwaan Mohd Saiful bahawa dia diliwat oleh Anwar.

“Ini bukan kes yang sewajarnya untuk mahkamah menggunakan kuasa bagi membatalkan dakwaan memandangkan pendakwaan tidak tahu bagaimana kes memudaratkan Anwar,” katanya.

Hakim Mohamad Zabidin menetapkan 1 Disember untuk keputusan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan