RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 12 Oktober 2010

SATU CARA UNTUK JATUHKAN KU LI

UMNO mahu jatuhkan Ku Li

GUA MUSANG –UMNO disifatkan parti yang tidak mempunyai dasar apabila sanggup memilih calon yang hanya boleh menang dalam pilihan raya sahaja tanpa memikirkan ia mampu mengabaikan prinsip parti.

Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hasan berkata, Pas tidak menyentuh soal calon memandangkan semua layak untuk menjadi calon sama ada mereka Orang Asli, Cina mahu pun India.

Menurutnya, terdapat banyak pihak berpendapat Pas takut dengan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, ditambah desas desus yang mengaitkan beliau akan dicalonkan.

“Kita tetap menghormati Ku Li, (namun) kita tidak takut, sebab kita tidak lawan Ku Li, tapi kita melawan ideologi UMNO, tetapi disebabkan UMNO letakkan Ku Li di barisan hadapan, kita nak buat macam mana.

“UMNO memilih Ku Li mungkin kerana kemenangan semata-mata, atau mungkin ada konspirasi sama ada hendak menjatuhkan Ku Li,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan Dividen Ladang Rakyat kepada 250 masyarakat Orang Asli di Markas Pas, di Bandar Lama, di sini.

Mohd Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning berkata, pada PRK Galas, UMNO melihat Ku Li boleh membawa kemenangan kepada mereka sehingga sanggup menunggu kepulangannya beliau dari luar negara.

Namun katanya, umum mengetahui sebelum ini UMNO telah mengetepikan Ku Li tetapi kini dijulang semata-mata mahu kemenangan berpihak kepadanya.

“Bagi kita, dia seorang (Ku Li) negarawan, anak raja dan politik veteran yang pernah mencabar bekas Perdana Menteri, tapi UMNO tetap mencalonkan Ku Li,” katanya.

Mohd Fadzli berkata, UMNO sanggup membuat apa sahaja demi mahu menang walaupun tindakan itu seolah-olah menjatuhkan martabat Ku Li./Sinar

`KATAK' TIDAK TAHU BERADAB

Ibrahim Ali didakwa tidak hormati mendiang Chong
Joseph Sipalan
Okt 11, 10


Ahli parlimen pembangkang hari ini membidas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), yang dikatakan tidak berdiri dan terus bercakap di telefon ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati pemergian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah.

Ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata presiden PERKASA itu tidak sopan dan "sengaja memprovokasi", dan memberi amaran bahawa wakil rakyat pembangkang boleh mengemukakan usul terhadap Ibrahim.

Bercakap di lobi Parlimen, Khalid berkata, seorang rakan MP telah meninggal dan ia hanya satu minit bertafakur sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, katanya, Ibrahim terus duduk dan bercakap dengan kuat di telefon, seperti mahu menunjukkan semangatnya sebagai juara Melayu.

Menurut Khalid lagi, jelas kepada semua ahli parlimen yang Ibrahim sedang bercakap di telefon kerana hanya suaranya sahaja yang kedengaran sedangkan orang lain diam bertafakur.

Khalid berkata, walaupun Ibrahim akhirnya berdiri, tetapi hanya pada penghujungnya.

Dalam SMS kepada Malaysiakini lewat petang ini, Ibrahim mendakwa tuduhan terhadapnya itu adalah tidak benar.

"Saya bangun. Cuma lewat sikit. Tak sampai sesaat. Kalau kata saya tak berdiri hormat adalah dusta," demikian kandungan SMS tersebut.

Dalam SMS tambahan yang dihantar Ibrahim selepas itu, beliau menulis: "Tak kan la hal macam ni pun jadi isu... Saya bangun dan masih bertafakur. Cuma lambat sikit. Tak Sampai sesaat."/Malaysiakini

TIMB PRES PKR - MUNGKINKAH ZAID AKAN MUNGKIR JANJI LAGI ?

Tak mungkin Zaid beri laluan pada Khalid
Aidila Razak
Okt 11, 10


Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR, telah meletakkan semula tumpuan terhadap pesaingnya, Datuk Zaid Ibrahim.

Ini kerana ketika menawarkan dirinya, Zaid berkata, beliau hanya akan berbuat demikian jika Khalid tidak bertanding jawatan nombor dua PKR itu.

Jika ketua PKR Wilayah Persekutuan itu mahu menjaga imej dan prinsipnya, maka beliau harus mengotai janjinya dan menarik diri walaupun mendapat pencalonan dari kira-kira dua pertiga cabang PKR.

Zaid (kiri) masih membisu mengenainya dan sehingga ini tidak dapat dihubungi. Bagaimanapun, menurut sumber-sumber yang rapat dengan bekas menteri di jabatan perdana menteri itu, beliau tidak mungkin menarik diri untukmemberi laluan kepada Khalid.

Katanya, ini kerana keadaan sudah berubah kebelakangan ini.

Begitu juga, Zaid - ketika ditanya sama ada akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Khalid - pernah memberitahu pihak media tentang perlunya 'mengambil jalan yang berbeza' jika 'keadaan berubah'.

Tumpuan pada Nurul Izzah

Sumber itu berkata, orang yang perlu diberi perhatian sekarang ialah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, yang belum memutuskan sama ada akan menerima "tawaran' Zaid untuk menyokongnya jika bertanding timbalan presiden.

"Dia masih belum putuskan. Saya berhati-hati terhadap apa yang akan dilakukan oleh Zaid (berdasarkan keputusan Nurul Izzah nanti)," katanya.

Nurul hanya menerima satu pencalonan untuk bertanding jawatan his timbalan presiden. Beliau memerlukan dua pencalonan untuk layak bertanding.

Bagaimanapun, Nurul dilaporkan telah mendapat pencalonan yang mencukupi, dari kalangan kira-kira 30 cabang yang belum lagi menghantar keputusan rasmi kepada ibupejabat parti.

Zaid yang juga penyelaras Pakatan Rakyat sehingga ini membisu tentang jawatan yang akan ditandinginya jika Nurul menerima tawaran bertanding timbalan presiden, tetapi wujud spekulasi yang mengatakan beliau mungkin mensasarkan jawatan presiden.

Sama ada Zaid akan menggunakan 'persetujuan Nurul" sebagai satu alasan untuk bertanding jawatan tersebut masih menjadi teka-teki, tetapi mereka yang mengetahui, telah menyatakan kebimbangan masing-masing dengan langkah Zaid seterusnya./Malaysiakini

Isnin, 11 Oktober 2010

GALAS - JIKA MAIN PROVOKASI, MEREKA SILAP TEMPAT

Oleh: WFAUZDIN NS

PRK Dun Galas tidak dapat mengelak pertembungan di antara Umno dan PAS. Ada ramalan yang menyebut bahawa akan terdapat lebih dari seorang calon bebas akan bertanding, namun pertarungan sebenar adalah hanya tertumpu kepada dua parti terbesar ini. Umno yang dasarnya Kebangsaan, manakala PAS pula dasarnya Islam. Inilah dua parti yang ditawarkan kepada seluruh rakyat di Dun Galas.

PAS lebih awal memberi peringatan kepada semua jentera dan penyokongnya agar tidak melayani sebarang provokasi daripada pihak lawan. Tidak pernah pihak lawan tidak mengadakan provokasi di dalam mana-mana pilihanraya sebelum ini termasuk provokasi dari pihak media di bawah kawalan mereka. PAS sebagai sebuah parti yang amat berpengalaman di dalam Pilihanraya, tentunya arif dengan bentuk provokasi mereka.

Namun ingin diingatkan kepada Umno, sekiranya mereka masih ingin `bermain' dengan provokasi seperti sebelum ini, mereka sebenarnya silap tempat. Galas bukan seperti di Bagan Pinang yang mana provokasi yang dimainkan sedikit sebanyak menguntungkan mereka. Di Bagan Pinang banyak kita lihat berbagai aksi samseng mewarnai suasana kempen di sana. Akhirnya mereka menang di Bagan Pinang.

Galas, sebuah kawasan yang berada di dalam Negeri Kelantan. Bukan saya ingin melabelkan orang-orang Kelantan ini `gedebe', tetapi semua tahu orang-orang Kelantan tidak sama dengan orang-orang negeri lain. Kita masih ingat, di Bagan Pinang bagaimana puak-puak yang mulanya ingin tunjuk `berani dan samseng' untuk menakutkan penyokong-penyokong dan jentera PAS, tetapi apabila tibanya jentera kempen dari Kelantan membantu, puak-puak ini mula `menekan brek'. Sifat orang-orang Kelantan yang sanggup menyahut cabaran walau di mana bumi dipijak itulah yang membezakannya dengan masyarakat negeri lain.

Inilah yang amat dikhuatiri oleh PAS Kelantan. PAS Kelantan bimbang jika Umno terlupa bahawa mereka sekarang sedang `bermain' di Negeri Kelantan. Silap besar jika mereka masih ingin menggunakan taktik yang sama seperti di Bagan Pinang. Mereka boleh berkempen atau berlakon menjadi `penoreh getah' seperti yang telah mereka lakukan di PRK Dun Manek Urai dahulu, mereka boleh menjadi `Penyumpit' kali ini tetapi mereka dinasihatkan agar tidak bermain dengan provokasi yang keterlaluan.

Kita tetap yakin, di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz selaku MB Kelantan yang selalu mengingatkan rakyat Kelantan agar berakhlak dan bermoral tidak akan melayani provokasi jauh sekali untuk memulakannya. Itu harapan kita, tetapi kadangkala `orang yang bersungguh ingin menjual, ada juga yang teringin membeli'nya. /wfauzdin.blogspot.com

PEMILIHAN PKR - TERGUGATKAH AZMIN DENGAN KEHADIRAN TAN SRI KHALID ?

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

TERLEBIH dahulu saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang berani membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Pengumuman beliau itu patut kita lihat secara positif walaupun beliau mungkin dianggap terlalu awal untuk menduduki kerusi berkenaan namun Dato Zaid dilihat lebih `muda' dari Tan Sri Khalid di dalam PKR. Dato Zaid juga ingin bertanding jawatan yang sama. Tidak menjadi masalah besar kerana ini suatu bukti menunjukkan PKR sentiasa mengamalkan demokrasi yang lebih baik dari Umno.

Beberapa alasan yang diberikan oleh Tan Sri Khalid yang merasakan wajar beliau bertanding jawatan tersebut bolehlah kita terima sebagai alasan yang munasabah. Lebih wajar lagi untuk beliau mencuba nasib di kerusi nombor dua itu adalah kerana kedudukan Tan Sri Khalid sekarang sebagai MB Selangor. Beliau juga dilihat tidak `rakus' berkempen dan tidak pernah `mengusik' sesiapa apatah lagi memburukkan kepimpinan parti. Beliau seorang yang tegas, berkarisma dan tidak mudah untuk di`provokasi'kan oleh musuh luar dan dalam parti. Semangat setiakawan Tan Sri Khalid amat disenangi oleh ahli-ahli PKR termasuk pemimpin parti.

Jika ada pun sesiapa yang ingin mencari sebab untuk tidak menyokong beliau hanyalah kerana Tan Sri Khalid terlalu bersifat `profesional' dan tidak mempunyai kepintaran politik. Walaupun Tan Sri Khalid tidak sebaik YB Azmin di dalam kehebatan berpidato, tetapi kecekapannya menguruskan Negeri Selangor mungkin lebih baik dari YB Azmin sekiranya MP Gombak itu menjadi MB Selangor. Itulah hebatnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimana pula dengan Dato Zaid Ibrahim? Bagaimana dengan janji beliau yang tidak akan bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR sekiranya Tan Sri Khalid bertanding jawatan yang sama? Apakah Dato Zaid sudah bersedia untuk menunaikan janjinya? Bagaimana pula dengan janji terbaru Dato Zaid, bahawa beliau sanggup menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya YB Nurul Izzah juga bertanding jawatan yang sama? Mana satu pilihan Dato Zaid sekarang? Kita percaya Dato Zaid tidak akan memungkiri janji-janji beliau lagi.

Adakah YB Azmin tergugat dengan keputusan Tan Sri Khalid ini? Sudah tentu keputusan Tan Sri Khalid sedikit sebanyak akan membuatkan YB Azmin lebih perlu bekerja kuat untuk meyakinkan ahli-ahli PKR. Pertandingan ini tentunya akan menjadi lebih hebat dan meriah sekiranya YB Nurul Izzah juga memasuki gelanggang. Sdr Mustafa Kamil Ayub juga mempunyai peluang yang agak besar sama seperti Tan Sri Khalid. Pada saya, YB Nurul Izzah harus berfikir banyak kali untuk mencuba nasib di peringkat ini.

Saya tetap yakin, menaruh harapan bahawa YB Azmin akan dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Komitmen beliau terhadap parti, berkarisma serta mempunyai kelebihan berkomunikasi yang hebat menjadi salah satu faktor mengapa YB Azmin perlu diangkat menduduki kerusi nombor dua di dalam PKR itu.

Namun, seandainya beliau tewas tidak ralat atau rugi rasanya jika Sdr Mustafa Kamil Ayub mahu pun Tan Sri Khalid dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PKR. Calon yang lain daripada itu sukar untuk saya lihat kehebatan dan kelebihannya. Namun, semuanya atas pilihan ahli-ahli PKR sendiri./wfauzdin.blogspot.com

Ahad, 10 Oktober 2010

PRK DUN GALAS - SI MAT MASLAN BAKAL `MENYUMPIT' PULA

Di Manek Urai, Si Mat Maslan menoreh, Di Galas mungkinkah Si Mat Maslan menyumpit pula?

Oleh: WFAUZDIN NS


SAMADA kebetulan atau tidak dengan PRK Dun Galas, kerajaan telah umumkan peruntukan RM 200 juta untuk kemudahan bekalan air bagi orang Asli. Pengumuman tersebut dibuat di Gua Musang iaitu kawasan di mana terletaknya Dun Galas yang akan mengadakan Pilihanraya Kecil di situ. Gua Musang adalah satu daerah yang terdapat ramainya masyarakat orang Asli.

"Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Nisra Nisran Asra Ramlan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Kelantan, membabitkan 50 kampung yang dihuni masyarakat Orang Asli." (Sinar) Teringat kita dialog yang popular sewaktu PRK Parlimen Sibu iaitu," I Help U, U Help Me". Mungkin ini bukan rasuah politik tetapi `kebetulan' kerajaan ingin beri peruntukan tersebut. Memang sepanjang pemerintahan Bn, banyak yang `kebetulan' berlaku, sebab itu SPRM tidak mampu buat apa-apa apatah lagi SPR.

Walau bagaimanapun, peruntukan yang diumum disaat begini tentulah memalukan Ahli Parlimen Gua Musang, Ku Li yang baru sahaja bersetuju untuk menjadi Pengarah Pilihanraya bagi Umno di PRK Dun Galas. Ini bermakna Ku Li yang telah menjadi Ahli Parlimen sekian lama di Gua Musang masih gagal menguruskan hal air terutamanya kepada masyarakat orang Asli.

Tidak hairan sekiranya sewaktu kempen PRK Dun Galas nanti akan ada beberapa pemimpin Umno yang akan belajar cara `menyumpit' atau `menari tarian orang Asli'. Jika di Manek Urai dahulu, kita dapat melihat Si Mat Maslan menoreh getah, kali ini adakah si Mat Maslan akan menyumpit pula? Tentu banyak adegan atau drama yang bakal kita lihat nanti./wfauzdin.blogspot.com

KISAH DUA `ARWAH' - RAHIMI DAN SAIFUL

Rahimi Jadi 'C4' Untuk Ranapkan Anwar Selepas Saiful Gagal

KUALA LUMPUR 9 OKT: Rahimi Osman menjadi sandaran utama untuk melakukan pemusnahan karektor terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Saiful Bukhari Azlan gagal menyakinkan rakyat melalui kes mahkamah konspirasi kedua.

“Kalau Saiful Bukhari gagal dijadikan peluru hidup untuk membunuh (karektor) Anwar, Rahimi dengan apa cara sekalipun mesti dijadikan bom jangka C4 untuk membunuh karaktor Anwar,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustaffa Kamil Ayub, hari ini.

Rabu lalu, Rahimi mendakwa dipaksa pemimpin dan peguam PKR untuk menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes melibatkan Anwar.

Bagaimanapun, tindakan Rahimi itu menimbulkan banyak menimbulkan keraguan berikutan ia seakan-akan mengulangi skrip yang berlaku kepada P Balasubramaniam yang menukar akuan bersumpah pertama kepada kedua, sebelum penyiasat persendirian itu kemudian mengakui akuan bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya Sharibuu sebagai sahih.

Dalam kenyataan media, Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak mengingatkan pimpinan dan rakyat betapa konspirasi terbaru melibatkan Rahimi tidak patut dipandang remeh.

Menyifatkan pimpinan Umno sebagai licik hingga PKR tidak sempat menghidu rancangan itu, beliau sangat yakin penyokong Najib-Rosmah akan menuduh parti ini tidak bermaruah dan bermasalah.

“Saya sangat yakin orang-orang Najib mahu rakyat melihat parti ini sudah didalangi dalang-dalang politik busuk yang bermasalah.Angkat Politik Nilai, tolak dalang politik busuk seperti ‘arwah’ Rahimi dan ‘arwah’ Saiful Bukhari!

“Saya sangat yakin Najib dan Rosmah terlibat dalam konspirasi ini,” katanya.

Mustaffa yakin kenyataan Rahimi menuduh dua peguam, Latheefa dan Saiful Izham Ramli memaksanya menamakan Najib-Rosmah dalam akuan bersumpah keduanya itu semata-mata untuk melindungi kepentingan dua individu itu.

“Rakyat dan anggota parti mahu diperbodohkan lagi dengan memadamkan nama kedua-dua peribadi misteri ini. Tidakkah kita hairan Rahimi boleh menafikan akuan bersumpahnya selepas dua setengah tahun beliau membuat akuan itu?

“Tidakkah kita hairan, mengapa Rahimi beriya-iya memadamkan nama Najib-Rosmah tetapi mereka berdiam diri dan sangat defensif walhal Rahimi bermati-matian cuba memadamkan nama mereka dalam akuan bersumpahnya.

Beliau mendakwa mereka mahu Ketua Umum PKR itu palang penjara dengan apa cara sekalipun kerana Umno sendiri menyakini bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkeupayaan membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya./TVSelangor

SELEPAS AZMIN, PENYOKONG SETIA BELIAU KETUA WANITA PKR PULA KENA.....

Dalam pemilihan Naib Presiden, keadaan sekarang macam Summerslam. Ramai sangat yang nak ajdi Naib Presiden, tapi dalam pandangan aku…hanya beberapa orang saja yang mempunyai kaliber untuk jadi Naib Presiden. Yang lainnya…saja nak menyemak. dan yang lebih leceh lagi, ada diantara Calon Naib Presiden ini syok sendiri.

Semalam, Dolah Sani buat perjumpaan dengan ahli PKR Kuala Kangsar dan Sg. Siput untuk berkempen supaya menyokongnya sebagai Calon Naib Presiden. Cara dia berkempen pun sudah memualkan. Kalau macam inilah orang yang akan menjadi Naib Presiden PKR…buat malu saja. Dolah Sani berkempen macam nak lawan Umno. Dan dia pun buat macam Umno. Kempennya bukan hendak menerangkan visi dan misinya, tapi memfitnah orang lain.

Dollah Sani kata, Cabang Ipoh Timor dan Ipoh Barat dapat lima ribu sorang dari Zaid. Betul atau tidak, aku tak tau…tapi kedua-dua Cabang ini mencalonkan Mustaffa Kamil. Dalam perjumpaan itu juga, aku diberitau, Chegu Bard mendapat RM400,000 dari Zaid. Fuiyoo!! Kalau macam tu, pemilihan lagi sekali aku gerenti nak bertanding. Boleh buat duit ooo!!

Cerita orang tu bagi duit, orang ni bagi duit…semakin memualkan. Hari tu, Ketua Wanita Perak marah kat aku pasai aku bocorkan cerita dia dalam mesyuarat. Dia kata semua Cabang dapat lima ribu dari Zaid. Bila aku tulis dalam blog, dia kata dia cuma menyampaikan apa yang diceritakan oleh Zuraidah. Zuraidah pun dua kali lima macam Dolah Sani. Cerita la macam mana nak memberdayakan Wanita PKR. Ni dok cerita pasai orang tu bgai duit, orang ni bagi duit. Tapi nak kata apa…itulah standard Ketua Wanita PKR.

Semasa aku bercuti lima hari dari menulis, aku jenguk juga pejabat PKR kat Tropicana. Kat situ aku jumpa seorang Wanita PKR Pusat. Dia marah kat aku sebab aku promote Animah Ferrar untuk melawan Zuraidah sebagai Ketua Wanita. Astaghfirullahilazim!!! bila masa aku sebut Animah Ferrar??

Boleh check balik dalam semua posting yang aku buat…aku tak pernah sebut nama Animah Ferrar. Yang pernah aku sebut mungkin Team Ferrari.

Walaubagaimanapun, sapa nak lawan pun mampuih pi la. Tunggu malam esok atau hari Isnin. Lepas tu baru aku sambung Dream Team aku./Keseluruhan artikel baca di ureka.asia

JIKA TIDAK MAHU DIGELAR `PRIMITIF', MCA MESTI KELUAR DARI BN

Oleh: WFAUZDIN NS

PEMUDA MCA semalam di dalam kenyataannya yang disiarkan di Malaysiakini menyeru agar Bn atau kerajaan menjauhi `kumpulan/lelaki primitif' iaitu kumpulan yang sentiasa mencetuskan isu perkauman. Siapakah yang dimaksudkan oleh Pemuda MCA sebagai `primitif' itu? Sudah pasti bukan datangnya dari PR, dan tidak mustahil datangnya dari Umno atau Perkasa.

Terlalu banyak bukti menunjukkan Umno dan Perkasa boleh dikategorikan sebagai `primitif' jika mengikut gelaran yang diberikan oleh Pemuda MCA tersebut. Malah, terdapat `lelaki primitif' yang pernah digantung keahlian dan jawatannya di dalam parti Umno, kemudiannya diberi `pengampunan' seterusnya diberi 'selendang wira Melayu'. Pemuda MCA harus sedar perkara ini dan harus belajar darinya.

Justeru itu, Pemuda MCA hendaklah memberi tekanan atau nasihat kepada MCA Pusat agar memikirkan kembali untuk terus bersama Bn. Sehingga kini, isu perkauman malahan isu agama dipermainkan demi survival politik sekutu mereka. Keputusan Umno mulanya untuk menjauhi Perkasa akhirnya tidak dilaksanakan. Presiden Umno sendiri merasakan bahawa Umno tidak boleh meninggalkan Perkasa begitu sahaja disaat Umno kini `nazak'. Isu Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah Lim Guan Eng yang ikhlas ingin membantu warga tua yang terdiri di kalangan orang Melayu di P.Pinang dimainkan sebagai isu perkauman dan agama. Maka, sijahil pun bertambah jahil disebabkan oleh mainan politik Umno.

Tiada jalan lain lagi buat MCA jika tidak mahu dikatakan bersekongkol dengan golongan `primitif' ini. MCA termasuk sekutunya dari Gerakan dan MIC haruslah berfikir dengan serius untuk keluar dari Bn dan bersama di dalam PR yang telah terbukti dapat memberikan keadilan kepada semua kaum dan agama. Seandainya mereka masih ingin bersama Umno di dalam Bn, ini bermakna mereka turut terlibat di dalam kumpulan `primitif' ini./wfauzdin.blogspot.com

MEDIA LAGAKAN AZMIN - NURUL IZZAH, ZAID TETAP TIDAK SETUJU BOIKOT MEDIA

Manipulasi Fakta, 'Pelacuran' Media Makin Keterlaluan

SHAH ALAM 9 OKT: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mendapati media arus perdana semakin keterlaluan dalam memanipulasi kenyataan dan memutar belit fakta bagi memburuk-burukkan imej pimpinan Pakatan Rakyat di mata masyarakat.

Secara sinis, Azan ketika bercakap kepada TV Selangor, berkata media sedemikian yang senantiasa dikawal kerajaan sudah mencapai tahap maksimum dalam memanipulasi dan memutar belit kenyataan pemimpin pembangkang

"Saya rasa media kerajaan sudah sampai ke tahap yang orang kata maksimum. Cara manipulasi berita sampai ke tahap maksimum. Selepas ini tiada lagi kaedah untuk tahap manipulasi yang lebih tinggi," kata beliau ketika ditemui TV Selangor hari ini.

Akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian dan saluran TV arus perdana seperti RTM, TV3 dan Astro Awani saban minggu cuba menerbitkan laporan yang menimbulkan kemarahan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru, calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menjadi mangsa apabila kenyataannya diputar belit portal MStar yang cuba melaga-lagakan beliau dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Bagi Azan, beliau langsung tidak hairan kerana bagi beliau inilah cara kerja media arus perdana yang secara terang-terangan melanggar prinsip media dan etika kewartawanan.

"Ini kerja mereka, tak pernah berubah. Sehingga beberapa isu yang sepatutnya dilihat mengutamakan nilai kewartawanan itu sendiri sudahpun digadai."

"Tugas induk dia, iaitu menjatuhkan pembangkang ataupun menghina dan mengaibkan seseiapa saja yang menentang kerajaan dan Barisan Nasional,” katanya.

Azan turut membuat taakulan bahawa media arus perdana akan terus meningkatkan 'serangan' sempena pilihan raya kecil DUN Galas tidak lama lagi.

"Mereka dah lama lacurkan entiti dan etika kewartawanan dan media.

"Kita lihat beberapa hari lagi tentang insiden atau calon pilihan raya kecil Galas, dan mereka akan guna semua kekuatan media sebaik mungkin,” katanya lagi./TVSelangor

KES BUNUH DAN DIBAKAR BELUM SELESAI, POLIS MASIH `RAJIN' IKUTI CERAMAH PR

Sungguh memalukan apabila kami mendapat berita yang Majlis Jamuan Hari Raya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor yang diadakan di Kg.Ayer Manis Kulai telah diganggu oleh pihak polis dua hari lalu (8 Okt). Ia sesuatu yang tidak wajar berlaku sebenarnya.

Apakah UMNO Johor sudah terlalu takut dan sanggup mengarahkan pihak polis untuk menggempur sebuah majlis jamuan hari raya parti politik?. Biarpun pihak polis yang melakukan kekasaran itu, namun hakikatnya rakyat lebih tahu yang mereka melaksanakan tugas mengikut arahan puak-puak UMNO Johor itu sendiri sebenarnya. Mahu dinafikan pun tidak berguna, kerana Johor adalam "Lubuk UMNO" yang kononnya terlalu sukar untuk ditembusi oleh parti pembangkang di negara ini. Tambahan pula UMNO itu sendiri lahirnya di negeri Onn Jaafar itu.

Makanya, ketakutan yang amat sangat menyebabkan UMNO Johor terpaksa menggempur majlis anjuran PKR itu. Difahamkan pasukan polis yang diketuai oleh OCPD Zul dari Balai Polis Kulaijaya telah mematahkan mikrofon ketika Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng , sedang berucap dihadapan lebih 400 orang hadirin. Tindakan tersebut menyebabkan Chua Jui Meng terpaksa berucap tanpa menggunakan microfon. Walau pun sudah mematahkan microfon, pihak polis masih terus berada disitu termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Difahamkan antara pemimpin PKR pusat yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden, Azmin Ali dan Ketua Wanita, YB Zuraida Kamaruddin




Orang ramai panik lihat polis tergamak gempur majlis jamuan hari raya

[Nampaknya UMNO Johor semakin gentar untuk berlawan secara "anak jantan" dengan Pakatan Rakyat di negeri itu sekarang ini. Tindakan mengarahkan pihak polis menggempur Majlis Jamuan Hari Raya adalah satu tindakan biadap bagi manusia yang tidak bertamadun. Apakah ini yang dikatakan demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini agaknya. Ternyata, mereka sudah terlalu takut untuk melihat satu persatu kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang. Apapun, syabas dan tahniah kepada PKR Johor yang telah berjaya mencipta sejarah yang amat menarik untuk diperkatakan oleh rakyat Malaysia ini. Semoga dengan ini, rakyat Johor yang selama ini karat UMNO akan membuka mata dan hati mereka untuk membuat perubahan dalam PRU-13 nanti. Jika inilah sikap mereka, ternyata mereka tidak layak untuk berkuasa lagi sebenarnya]./Pahang Daily